DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Rabu, 25 Februari 2009

Karpal Singh : Kamu memang Celaka!

Sikap biadap Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berlarutan di Dewan Rakyat, apabila Pengerusi DAP itu berulang kali memaki Pemuda Umno sebagai 'celaka' sebelum menarik balik perkataan itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu yang menuduh pergerakan berkenaan mengugutnya dengan menghantar dua peluru, juga dengan angkuh memberi amaran kepada Pemuda Umno supaya tidak memperlekehkannya. "Ada 100 laporan polis dan dua peluru saya terima... barang kali ini rekod dalam dunia.

Saya mahu tahu di mana Pemuda Umno, celaka ini dapat dua peluru yang dihantar kepada saya."Siapa buat semua laporan polis... saya beri amaran kepada Pemuda Umno jangan main-main dengan saya. Saya Singh dan Singh is King," katanya dipercayai merujuk filem Bollywood Singh Is King. Sekurang-kurangnya tiga kali Karpal menyebut celaka yang ditujukan kepada Pemuda Umno ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sebelum menarik balik perkataan itu selepas diarahkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.

Terdahulu, tindakan Karpal menggunakan perkataan celaka dan menuduh Pemuda Umno menghantar peluru kepadanya, menghangatkan Dewan apabila dibantah beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), terutama yang mewakili Pemuda Umno.Ada yang meminta Karpal menarik balik perkataan itu dan juga meminta pemimpin DAP itu mengemukakan bukti yang Pemuda Umno menghantar peluru berkenaan hingga Kiandee terpaksa menenangkan keadaan.

"Saya tak nak dengar lagi `celaka', sepatutnya (perkataan itu) tidak dipakai," kata Kiandee, tetapi Pengerusi DAP itu menegaskan beliau ada hak untuk bercakap dan tidak mahu diganggu sesiapa dalam perbahasannya. "Ini perkara benar, saya tak mahu sesiapa ganggu saya... saya ada hak untuk cakap... Pemuda Umno adalah celaka," kata Karpal sebelum sekali lagi diminta oleh Timbalan Speaker supaya menarik balik perkataan berkenaan."Minta tarik balik `celaka'... saya sudah minta jangan sebut, tapi masih lagi keluar perkataan itu... itu saja," kata Kiandee sebelum Karpal akur dan memberitahu beliau tiada masalah menarik balik perkataan berkenaan.

Karpal berkata, semua laporan polis yang dibuat terhadapnya berpunca daripada kenyataannya bahawa Sultan Perak boleh dibawa ke mahkamah berdasarkan peruntukan Perkara 181(2) Perlembagaan Persekutuan. "Seratus laporan polis kerana saya katakan Sultan Perak boleh dibawa ke mahkamah. Tak payah laporan polis, baca Perlembagaan," katanya sambil menjelaskan kandungan Perkara 181(2) berkenaan.

Dalam perbahasannya itu, Karpal turut merujuk kenyataannya sebelum ini yang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjelaskan beliau tidak mempunyai perselisihan faham dengan Ketua Pembangkang itu yang dianggap masih Ketua Pakatan Rakyat.

Torashah

Speaker DUN Perak disiasat SPRM!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan keterangan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berhubung tindakan beliau menggantung Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN.

Keterangan Sivakumar diambil oleh dua pegawai SPRM selama hampir tiga jam di kediaman Menteri Besar Perak di sini bermula dari pukul 6.20 petang hingga 9.09 malam ini. Turut menemani ialah peguam beliau, Augustine Anthony.

Sivakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh pada sidang akhbar selepas itu berkata, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berkaitan apa jua perkara yang dibangkitkan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi memberitahu ia berkaitan penggantungan Zambry dan enam Exco kerajaan negeri.

''Penyiasatan masih dilakukan, saya tidak mahu komen pasal siasatan. ''Mereka telah menyoal saya secara profesional tetapi saya tidak rasa mereka patut buat begini terhadap saya," katanya.
Ini merupakan kali kedua Speaker DUN Perak itu disiasat berhubung kes tersebut selepas siasatan polis Isnin lalu. Menurut Sivakumar, beliau amat kecewa dengan tindakan SPRM kerana ia memalukan Speaker dan DUN.

''Perkara ini tidak pernah berlaku di mana-mana negara Komanwel, Speaker buat keputusan tetapi orang siasat Speaker," katanya. Beliau mendakwa, perkembangan itu bakal memberi kesan kepada proses demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di negara ini.
Jelasnya, jika beliau boleh disiasat, ini bermakna Speaker DUN lain juga tidak terkecuali.

''DUN merupakan bidang kerajaan tertentu dan ia tidak boleh dimalukan dengan cara begini kerana boleh menghancurkan sistem demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa," katanya.
Hadir sama pada sidang akhbar itu Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming . Sementara itu, Koo Ham menyelar Barisan Nasional (BN) dan UMNO ekoran tindakan SPRM mengambil keterangan Sivakumar.

Menurutnya, Speaker dilindungi undang-undang dan tidak boleh ditahan, didakwa atau dipenjara sama ada melalui prosiding sivil atau jenayah. ''Kenapa mereka buat semua ini jika bukan kerana hendak memalukan Speaker dan ini merupakan satu serangan terhadap institusi Parlimen di negara ini," katanya. - UM

Ahad, 22 Februari 2009

PAS Kata : Tragedi Perak dicetus pemimpin berfikiran gangster !

Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan pihak tertentu berusaha menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai Menteri Besar Dato' Seri Ir. Mohammadd Nizar Jamaluddin sebagai berfikiran 'gangster'.

"Ini kerana Kerajaan Perak dahulu dipilih oleh rakyat, tetapi kerajaan Perak sekarang dipilih oleh dua tiga orang. "Tindakan mereka menjatuhkan Kerajaan Nizar itu tidak pun terasa bersalah, namun apabila tindakan yang serupa berlaku ke atasnya dianggap satu kesalahan.
"Jahat. Inilah fikiran gangster," katanya ketika bercakap kepada pemberita di sini pagi ini.

"Nilaikan, mana lebih baik menyerahkan kepada rakyat memilih kerajaan yang disukainya berbanding kerajaan yang dipilih oleh "gangster-gangster" itu? "Dan taraf gangster berbanding dengan kerajaan adalah serupa, sama ada presidennya, peraturan atau polisnya. "Cuma yang berbeza ialah gangster itu haram, manakala kerajaan itu halal, namun dari segi peraturannya adalah serupa, katanya.

Beliau mengulas banyak pihak mengecam tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar yang menggantung kealian Menteri Besar Dato' Dr Zambry Abdul Kadir serta enam Exco daripada menghadiri sidang dewan, sebagai tidak mengikut peraturan.

Selain dari itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulangi pendiriannya supaya pilihan raya semula di Perak diadakan. "Saya masih bertegas bahawa pilihan raya semula hendaklah diadakan di Perak. "Menteri Besar Ir Nizar sudah pun menyembahkan perkara itu kepada Tuanku (Sultan Perak) supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan,"katanya.

Mengenai tercetusnya banyak isu yang menimbulkan kontroversi dalam negara kini termasuk krisis Perlembagan di Perak, beliau menggesa Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jangan melepaskan jawatannya. "Pak Lah dipilih menjadi Presiden (Umno) dan Perdana Menteri Malaysia untuk lima tahun, kenapa dia sanggup berhenti. "Kalau Pak Lah (mahu) berhenti kerana bersalah, tidak usaha tangguh hingga Mac, berhentilah segera.
"Tapi kalau dia merasa tidak bersalah, kenapa hendak berhenti juga.Di situlah terletaknya kesilapan Pak Lah.

"Adalah tidak betul apabila sejak awal lagi dia tunduk kepada pihak yang menyuruhnya berhenti, katanya. Beliau turut mengulas tindak-tanduk pemimpin Umno-BN yang kini seolah-olah cemas berdepan dengan Pakatan Rakyat apabila banyak isu tercetus dalam negara, Mursyidul Am PAS itu mendakwa keadaan itu menjadi puncanya. "Itulah puncanya oleh kerana mereka tidak menjaga undang-undang sedangkan undang-undang itu sendiri merupakan titik pertemuan di antara segala kebaikan dan kejahatan.

"Yang jahat tidak boleh memberi peluang kepada kejahatannya, manakala yang baik pula tidak boleh ditindas. "Titik pertemuannya ialah undang-undang. "Apabila undang-undang itu sendiri dipijak, maka akhirnya menjadi huru-haralah," katanya.

Komen :

Macamana ni Tok Guru Nik Aziz? Kes Elizabeth Wong, Tok Guru suruh Eliza jangan letakkan jawatan sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Negeri kerana melibatkan kos yang tinggi untuk satu lagi PRK di Bukit Lanjan. Belanja pasukan Polis untuk satu PRK sahaja sudah memakan belanja melebihi 10 juta ringgit, inikan pula untuk 59 kawasan PRK di Perak. Tidakkah berbillion ringgit akan digunakan untuk satu lagi PRK seluruh Perak. Tidakkah ini pembaziran namanya semasa kita semua di dalam kegawatan ekonomi sekarang?

Alangkah baiknya jika wang ini digunakan bagi membantu keluarga-keluarga pekerja yang diberhentikan kerja yang sudah menjangkau atau melebihi 20 ribu orang sekarang. Tidakkah Tok Guru pernah berfikir bagaimana untuk menolong nasib pekerja-pekerja ini. Janganlah ketika gawat sekarang pihak pembangkang hanya menyerahkan perkara ini kepada kerajaan memerintah untuk menyelesaikan masalah pekerja-pekerja ini. Jangan asyik berpolitik sehingga lupakan masalah rakyat. Bila susah cari kerajaan dan bila senang hentam kerajaan. Itu sahaja kerja senang pembangkang, mencari kesalahan orang lain? Padahal kesalahan sendiri adalah lebih banyak hingga tidak boleh disorokkan lagi.

Mungkin Pas bernasib baik berkawan dengan Anwar kerana beliau pakar dalam kerja-kerja menipu ini. Sehinggakan perkara sah nampak salah dan tidak betul, apabila diputarbelitkan oleh Anwar menjadikan seolah-olah perkara itu betul dan tidak bersalah. Pas sepatutnya berterima kasih kepada Anwar kerana mengajar Pas supaya suka menipu. Mungkin bagi Pas menipu itu " Halal " bagi Pas, tetapi tidak bagi BN. Sama juga ketika Pas mengkafirkan UMNO dan BN kerana berkawan dengan MCA dan MIC, tetapi PAS " tidak kafir " kerana berkawan dengan DAP dan PKR? Sama-samalah kita fikirkan akan kebenaran kata-kata ini.
Wallahuallam.

Torashah.

Jumaat, 20 Februari 2009

Gantung MB Perak tak sah!

Pedulikan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar yang ternyata amat teruk dan tidak masuk akal.
Demikian reaksi spontan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tindakan Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Tegas Perdana Menteri, apa yang harus dilakukan oleh Zambry sekarang adalah terus menjalankan fungsi pentadbiran negeri sebagai kerajaan sah seperti mana dikehendaki rakyat.

Malah, beliau menyelar perlakuan Sivakumar yang juga ADUN DAP kawasan Tronoh itu sebagai tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang berkenan melantik Zambry dan barisan Exconya mengetuai kerajaan negeri. ‘‘Ini merupakan usaha terakhir pakatan pembangkang mahu menggulingkan kerajaan BN yang sah di Perak.

‘‘Oleh itu kerajaan negeri Perak (diterajui Zambry) perlu membuat laporan polis kerana apa yang dilakukan oleh Speaker DUN Perak itu sesuatu yang menyalahi atau menolak apa yang telah dilaksanakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dan perlembagaan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-Kanak Gaza di Sri Perdana di sini hari ini.

Semalam, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta. Tindakan itu dibuat melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai oleh Sivakumar. Sivakumar dalam kenyataannya menegaskan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan enam Exco dalam kerajaan negeri yang baru itu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan.
Ekoran itu, Zambry digantung dan dilarang menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco pula dikenakan hukuman sama selama 12 bulan.

Abdullah berkata, tindakan Sivakumar itu juga bermotif untuk mengurangkan bilangan wakil rakyat BN dalam DUN menjadikannya daripada 28 kepada 21 ADUN sahaja. ‘‘Ertinya 21 dan kalau ada undi, mereka berharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti dalam pakatan pembangkang. Niatnya tidak ada yang baik, hanya untuk menggulingkan kerajaan BN yang diwujudkan,” katanya.

Justeru, kata Abdullah, dalam situasi sekarang adalah lebih baik BN meneruskan pemerintahannya supaya kerajaan negeri terus stabil sekali gus memastikan perkhidmatan yang berterusan untuk rakyat. - UM

ULASAN :

Digantung tak jejas tugas - MB

Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung beliau dan enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN tidak menghalangnya menjalankan tugas seharian.

Katanya, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa dan menyerahkan sepenuhnya isu penggantungan itu untuk diselesaikan menerusi saluran perundangan. ''Apa yang penting adalah kesahihan tindakan Speaker terbabit lebih-lebih lagi selepas melakukan pembohongan besar kononnya saya bersama enam Exco kerajaan Barisan Nasional (BN) telah gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang semalam.

''Tidak timbul soal saya dan enam (Exco) berhadapan masalah untuk masuk DUN kerana isunya sekarang adalah cara dia bertindak. ''Dia telah menyalahgunakan sepenuhnya kuasa sebagai Speaker dan kita akan menangani hal ini mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program Hari Masyarakat Nelayan, Penternak dan Petani Negeri Perak yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini hari ini.

Sebagai Speaker DUN Perak, kata Zambry, Sivakumar seharusnya menyedari sama ada tindakannya itu dilakukan benar-benar mengikut lunas undang-undang. Bagaimanapun, katanya, dalam surat yang diberikan kepada beliau, Speaker tersebut secara jelas mendakwanya bersama enam lagi Exco BN gagal memberikan penjelasan kepada jawatankuasa berkenaan.

Tambahnya, kenyataan itu adalah bohong dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Speaker DUN. Ditanya sama ada keputusan Sivakumar itu sebagai muktamad dan tidak boleh dipertikaikan, Zambry bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sivakumar dalam kenyataan akhbar empat perenggan semalam, mengumumkan Zambry digantung serta-merta dan dilarang daripada menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan manakala enam lagi Exco lain digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN juga berkuatkuasa semalam.

Kesemua tujuh ADUN BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan ADUN Canning (DAP), Wong Kah Woh bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (ADUN Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd. Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang).

Tindakan bermotif politik, balas dendam

Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang Dewan semalam dilihat bermotifkan politik dan membalas dendam.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Speaker daripada parti DAP itu tidak mempunyai asas kukuh berbuat demikian yang secara jelas mempertikaikan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. ''Pelantikan Zambry dan enam Exco kerajaan negeri dibuat atas perkenan Sultan Perak mengikut perlembagaan, jadi nampak juga di sini Speaker DUN telah menyalahgunakan kuasanya.

''Tindakan itu adalah tidak tepat, saya sendiri tidak tahu apakah asas beliau berbuat demikian. Apa yang saya faham, Menteri Besar dan barisan Exconya tidak melanggar apa-apa peraturan Dewan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pilihan raya kecil Bukit Gantang di bangunan UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini. Semalam, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan itu dibuat melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang diketuai Sivakumar yang juga ADUN kawasan Tronoh. Sivakumar menegaskan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan enam Exco dalam kerajaan negeri yang baru itu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau amat berpuas hati dengan persiapan awal UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bukit Gantang bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen itu pada 7 April ini. Menurut beliau, semangat yang berkobar-kobar jelas terpancar di wajah setiap pemimpin parti-parti komponen kerana sedar pilihan raya kecil itu amat penting bagi menunjukkan bahawa UMNO dan BN tetap mendapat sokongan rakyat.

Kata beliau, kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu tidak bermakna BN telah ditolak oleh rakyat, malah ia telah memberi pengajaran berguna kepada parti itu. Katanya, apa yang pasti dalam pilihan raya kecil kali ini, BN akan memilih calon yang diterima oleh pengundi dan bukan calon yang digemari parti.

''Pengundi adalah raja, mereka akan memilih calon yang mereka suka dan bukan calon yang parti suka. Kita kena buktikan BN adalah pilihan terbaik lebih-lebih lagi setelah mengambil alih kerajaan negeri. ''Pada masa yang sama, pucuk pimpinan juga akur untuk mengambil calon tempatan dan bukan calon dari luar. Pemimpin di peringkat bahagian ini pula bersedia bekerja bermati-matian untuk memastikan kemenangan BN dan mematuhi arahan pucuk pimpinan," katanya.

Karpal: Keputusan Speaker DUN Perak tidak boleh dikuatkuasakan

Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN negeri itu, tidak boleh dikuatkuasakan. Katanya, keputusan itu hanya boleh dikuatkuasakan apabila disahkan oleh Dewan Undangan Negeri Perak (DUN).

Katanya, Sivakumar perlu memanggil sidang DUN Perak untuk mengesahkan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu. ''Sivakumar mengambil tindakan di bawah Perkara 72(3) Peraturan Mesyuarat DUN untuk menggantung Zambry dan enam Exco yang mana apabila terdapat rungutan daripada ahli DUN semasa Dewan tidak bersidang maka keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa terbabit.

''Keputusan jawatankuasa itu bagaimanapun tidak boleh dikuatkuasakan selagi ia tidak disahkan oleh DUN dan hanya Sivakumar yang boleh memanggil sidang DUN kerana beliau merupakan Speaker yang sah ketika ini," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Karpal berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh Sivakumar menggantung Zambry selama 18 bulan dan enam Exco selama 12 bulan semalam.

Katanya, dalam kes beliau yang digantung selama enam bulan pada tahun 2004, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mencadangkan dia digantung tetapi ia dibawa ke sidang Dewan Rakyat untuk disahkan di mana pengundian dijalankan dan mengesahkan penggantungan tersebut.

Tegas beliau, perkara yang sama harus dilakukan oleh Sivakumar untuk memanggil sidang DUN Perak yang harus dihadiri oleh semua wakil rakyat. ''Sidang DUN itu harus dihadiri oleh semua wakil rakyat termasuk Zambry dan enam Exco terbabit serta tiga wakil rakyat yang dikatakan telah meletak jawatan.

''Sidang DUN itu juga boleh digunakan untuk menggantikan Sivakumar sebagai Speaker, mengesahkan kedudukan tiga wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang kini menjadi ahli Bebas," katanya. Karpal menegaskan, Sivakumar tidak boleh menghalang mereka menghadiri persidangan selagi perkara itu tidak disahkan oleh DUN.

UM - Torashah

Isnin, 16 Februari 2009

Titah Agong : Hormati keluhuran Perlembagaan

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan titah ucapan pada mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, semalam. Turut serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.


TEKS titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen Ke-12, semalam.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya pada hari ini sekali lagi kita dapat bersama-sama dalam istiadat perasmian penggal kedua, Parlimen Ke-12. Pada kesempatan ini beta ingin menyentuh beberapa perkara yang wajar diamati dan diambil perhatian.

Pada tahun 2008, dunia telah dilanda krisis kewangan global yang bermula di Amerika Syarikat, kemudiannya ke Eropah dan bahangnya dirasai oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Walaupun dunia pada masa kini menghadapi cabaran ekonomi yang amat getir, namun ekonomi negara masih bertahan kerana langkah-langkah telah pun diambil bagi memperkukuhkan asas ekonomi dan sistem kewangan negara sejak krisis kewangan pada tahun 1997/98.

Sehubungan itu, pada tahun lalu, ekonomi negara terus berkembang pada kadar sekitar lima peratus dan jumlah perdagangan antarabangsa kekal melebihi RM1 trilion.
Pada tahun ini situasi ekonomi dunia dijangka lebih mencabar dan boleh menggugat pertumbuhan ekonomi negara. Melalui Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Mamanda Perdana Menteri yang bermesyuarat setiap minggu, kerajaan sentiasa memantau dengan rapi persekitaran ekonomi global dan mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan impaknya ke atas ekonomi negara.

Antara langkah yang diambil ialah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion, mengkaji semula strategi pembangunan, menyenarai utamakan program dan projek pembangunan, menggalakkan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta serta melaksanakan projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi bagi menjana pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Beta berharap dengan pelaksanaan langkah-langkah tersebut ekonomi negara akan terus berkembang dan kesejahteraan rakyat akan terpelihara. Jika keadaan memerlukan, pakej tambahan untuk menstabilkan ekonomi akan diperkenalkan.

Kerajaan beta akan terus meminimumkan kesan kelembapan ekonomi global ke atas sektor perdagangan dan perindustrian negara. Antara langkah tersebut ialah mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kondusif, meningkatkan daya saing negara serta memperkenalkan dasar pelaburan yang lebih liberal dan telus.

Dalam hubungan ini, promosi dan usaha bagi menggalakkan kemasukan lebih banyak pelaburan dari negara-negara yang mempunyai lebihan dana Timur Tengah dan Republik Rakyat China akan dipertingkatkan. Begitu juga pelaburan dari India dan rantau ASEAN. Di samping mengekalkan eksport ke pasaran tradisi, usaha-usaha akan digiatkan lagi untuk meneroka pasaran baru yang berpotensi.

Sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berperanan lebih besar dalam menjana pertumbuhan, memperluaskan asas ekonomi dan menyumbang kepada hasil eksport negara. Langkah-langkah liberalisasi sektor perkhidmatan secara terancang dan progresif akan terus diambil supaya sektor tersebut menjadi lebih kompetitif di peringkat serantau dan global.

Sektor pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan sumber pendapatan pertukaran wang asing negara. Pada tahun lalu negara telah mencatatkan ketibaan seramai 22,050,000 pelancong dan menyumbang sebanyak lebih kurang RM48 bilion kepada pendapatan negara.

Pada tahun ini, di sebalik kelembapan ekonomi global, kerajaan menyasarkan ketibaan seramai 20 juta orang pelancong ke negara ini. Sehubungan ini, promosi produk-produk pelancongan seperti ekopelancongan, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan pelbagai keagamaan, program Malaysia Rumah Keduaku, program inap desa serta Malaysia sebagai lokasi membeli-belah, mesyuarat, konvensyen dan pameran antarabangsa akan terus dipertingkatkan lagi.

Selain itu, kerajaan beta juga akan mempromosikan program minat khas seperti sukan golf, selam skuba dan memancing. Bagi menggalakkan pelancongan domestik, destinasi-destinasi pelancongan yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan akan dipromosikan dengan lebih agresif.

Pada masa yang sama penjagaan kebersihan, alam sekitar dan sistem pengangkutan serta kemudahan awam akan terus diberi perhatian bagi memajukan lagi industri pelancongan negara.
Beta sukacita kedudukan Malaysia dalam Laporan Kajian Bank Dunia bagi kemudahan menjalankan perniagaan telah meningkat daripada kedudukan ke-24 pada tahun 2008 kepada kedudukan ke-20 di kalangan 181 buah negara pada tahun 2009.

Pada masa yang sama, tumpuan akan terus diberi terhadap usaha-usaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang akan menyumbang kepada peningkatan daya saing negara. Ini semua boleh meningkatkan lagi kemasukan pelabur ke negara ini.

Bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana berdaya maju yang menerima kesan buruk daripada kelembapan ekonomi global, Skim Bantuan Jaminan PKS bernilai RM2 bilion telah disediakan bagi membolehkan mereka mempunyai akses kepada pembiayaan pada kos yang lebih rendah.

Justeru, beta menyeru institusi perbankan supaya terus menyediakan kemudahan pembiayaan kepada syarikat-syarikat perniagaan dalam usaha menjana dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Selain daripada langkah-langkah yang beta nyatakan, pihak industri sama ada besar, sederhana atau kecil wajar beralih kepada industri yang berasaskan tekonologi tinggi, misalnya bioteknologi. Pihak industri hendaklah juga mengambil peluang-peluang yang disediakan dengan menceburi dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan secara moden dan berskala besar.
Pihak swasta juga hendaklah mengambil peluang sepenuhnya di atas keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pensijilan halal Malaysia. Ini bertujuan bagi memperkukuhkan kedudukan negara kita sebagai hab barangan dan perkhidmatan halal dunia.

Kepakaran Malaysia dalam perbankan Islam yang diiktiraf masyarakat antarabangsa juga boleh dieksploitasi bagi mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab sistem perbankan Islam.
Komoditi juga merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara. Walau bagaimanapun, ketidaktentuan harga komoditi kebelakangan ini telah memberi kesan kepada pendapatan pekebun-pekebun kecil.

Sehubungan ini, kerajaan beta telah mengambil langkah-langkah perlu bagi meringankan beban mereka dengan menggalakkan industri hiliran, meningkatkan penggunaan biobahan api, meneroka pasaran-pasaran baru dan memberi insentif penanaman semula kelapa sawit dan getah.

Di samping itu, kerjasama dengan negara-negara pengeluar lain akan dipertingkatkan bagi menstabilkan harga komoditi di pasaran antarabangsa. Masyarakat Felda juga tidak terlepas daripada kesan kejatuhan harga komoditi. Justeru, langkah-langkah menggiatkan aktiviti keusahawanan serta melaksanakan Program Bumi Hijau telah diambil untuk meringankan beban mereka. Kerajaan beta juga telah menyediakan pelbagai program untuk membangunkan sosioekonomi generasi kedua dan ketiga peneroka Felda. Golongan ini akan diperkasa melalui pelbagai latihan kemahiran termasuk dalam bidang teknologi tinggi.

Dalam usaha meringankan beban rakyat jelata menghadapi suasana ekonomi yang mencabar, beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan beta misalnya pemberian pelbagai subsidi serta meneruskan kawalan harga barangan keperluan.

Seperti yang dijanjikan, harga runcit petrol dan diesel telah diturunkan sebanyak tujuh kali selaras dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia. Ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan beta terhadap kesejahteraan rakyat jelata. Usaha ini hendaklah disokong oleh semua pihak termasuk para pengusaha, peniaga, badan bukan kerajaan dan persatuan pengguna.

Rakyat jelata juga perlu beriltizam bersama kerajaan beta menangani cabaran ekonomi masa kini dengan meningkatkan produktiviti, berbelanja dengan bijak serta mengutamakan barangan tempatan seperti mana kempen membeli barangan Malaysia yang telah dilancarkan oleh Mamanda Perdana Menteri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

Dalam menangani kenaikan harga barangan makanan, adalah menjadi hasrat kerajaan beta memastikan rakyat memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dan pada harga yang berpatutan. Pada masa yang sama rakyat adalah digalakkan untuk mengeluarkan bahan makanan sendiri melalui Program Bumi Hijau.

Beta menyeru supaya kelembapan ekonomi yang dihadapi sekarang dijadikan sebagai titik tolak untuk para pengusaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan mengutamakan tenaga kerja tempatan. Dalam sektor pembinaan misalnya, para pengusaha boleh mengguna pakai kaedah sistem binaan berindustri. Pada masa yang sama, tenaga kerja tempatan juga hendaklah tidak terlalu memilih kerja.

Sehubungan ini, langkah kerajaan beta menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pemberhentian Pekerja di peringkat nasional, negeri dan daerah, Jawatankuasa Pemudah Cara Penggajian Pekerja Yang Diberhentikan untuk melatih dan menempatkan pekerja-pekerja yang diberhentikan dan mengeluarkan garis panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja bagi membantu majikan mengekalkan tenaga kerja selama mana yang boleh, adalah tepat.

Kerajaan beta tidak akan sama sekali mengabaikan kaum-kaum bumiputera di Sabah
dan Sarawak, masyarakat Orang Asli serta masyarakat luar bandar termasuk petani, nelayan dan pekebun kecil. Pelbagai langkah dan usaha untuk mempertingkatkan taraf ekonomi kaum-kaum tersebut dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar akan terus dilaksanakan.

Antara usaha-usaha tersebut termasuklah penyediaan peruntukan biasiswa yang khusus bagi kaum-kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak serta golongan-golongan yang amat memerlukannya. Di samping itu, kerajaan beta juga akan mengambil berat akan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum India dengan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Mengenal Pasti dan Memantau Penyertaan Kaum India dalam program dan projek kerajaan yang dipengerusikan oleh Mamanda Timbalan Perdana Menteri bagi mempertingkatkan penyertaan kaum tersebut dalam arus pembangunan negara.

Kerajaan beta telah mengambil langkah-langkah yang bersepadu bagi membantu rakyat menghadapi kesan-kesan sosioekonomi berikutan kelembapan ekonomi global. Sejak tahun lalu Projek Cari telah dilaksanakan bagi memastikan setiap rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum mendapat bantuan daripada kerajaan. Pada masa yang sama Jaringan Keselamatan Sosial telah diperluaskan dengan menaikkan kelayakan pendapatan isu rumah bagi membolehkan lebih ramai golongan yang memerlukan seperti golongan miskin, warga emas dan ibu tunggal diliputi di bawah skim-skim bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kemudahan perumahan terutamanya bagi golongan yang memerlukan terus menjadi agenda utama kerajaan beta. Sehubungan ini, Program Perumahan Rakyat, Program Bantuan Rumah, Projek Rumah Mesra Rakyat dan sebagainya akan terus dilaksanakan dan dipertingkatkan bagi memastikan rakyat golongan berpendapatan rendah memiliki rumah yang selesa mengikut kemampuan mereka.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak 25,500 unit rumah akan dibina pada tahun ini. Skim Jaminan Kredit Perumahan telah disediakan bagi membantu golongan yang tidak berpendapatan tetap memiliki rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Beta bangga dengan pengisytiharan bandar raya Melaka dan Georgetown sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO. Pengiktirafan tersebut hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosi pelancongan negara. Beta ingin mengingatkan agar apa jua tindakan yang boleh menjejaskan pengiktirafan tersebut hendaklah dielakkan.

Beta dukacita walaupun negara kita telah 51 tahun merdeka, namun isu-isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum. Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan.

Hak-hak setiap rakyat di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipelihara dan dihormati. Sehubungan ini, beta menyeru semua rakyat bersama-sama meningkatkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara. Kepelbagaian kaum dan budaya yang dimiliki hendaklah digembleng menjadi kekuatan negara kita.

Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan. Oleh itu, beta mengingatkan semua pihak supaya menghormati kedudukan tersebut dan tidak mempersoalkannya.

Perlembagaan Persekutuan juga adalah undang-undang tubuh dan tertinggi di negara ini yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan. Oleh itu, beta ingin mengingatkan supaya kesepakatan tersebut dihormati dan tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara. Justeru, sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu diperjelaskan kepada golongan ini supaya mereka lebih memahami asas-asas pembentukan negara. Di samping itu, prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat.

Beta juga memandang berat kecenderungan sesetengah pihak yang mudah mempercayai fitnah dan berita-berita palsu yang disebar oleh pihak-pihak tertentu termasuk melalui laman-laman blog sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan rakyat. Sesungguhnya, kita harus belajar daripada sejarah di mana kejatuhan sesebuah empayar dan tamadun adalah berpunca daripada fitnah, hasad dengki dan perpecahan di kalangan rakyat.

Sehubungan ini, rakyat hendaklah berhati-hati dan bijak menilai maklumat yang tersebar. Pengamal-pengamal media termasuk penulis-penulis blog hendaklah lebih beretika dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan demi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.

Kerajaan beta juga mengambil berat mengenai isu ketenteraman awam dan keselamatan dalam negara. Namun, masih ada yang mempunyai persepsi negatif mengenai isu jenayah di negara ini seolah-olah ia tidak terkawal. Sehubungan ini, Polis Diraja Malaysia hendaklah sentiasa berusaha memerangi jenayah demi kesejahteraan rakyat. Beta juga menyeru rakyat jelata memberi kerjasama kepada pihak polis dalam usaha-usaha mereka membanteras jenayah dan menyertai Program Kepolisan Masyarakat.

Beta menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuktikan keikhlasan dan iltizam kerajaan beta mengotakan janji untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Bagi memastikan usaha pembanterasan rasuah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, SPRM perlu dianggotai oleh pegawai-pegawai yang profesional, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi serta terlatih dalam pelbagai bidang.

Justeru, bagi menarik golongan tersebut berkhidmat, SPRM akan menyediakan skim perkhidmatan dan saraan yang lebih baik. Skim baru ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada pegawai-pegawai SPRM di atas peranan dan sumbangan penting mereka dalam meningkatkan integriti dan membanteras jenayah rasuah di negara ini.

Penubuhan SPRM dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah bukti bahawa kerajaan beta berpegang pada janji-janjinya. Beta yakin kedua-dua suruhanjaya tersebut akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti institusi-institusi tersebut. Langkah kerajaan ini akan memantapkan lagi agenda integriti negara dan seterusnya melonjakkan martabat negara di persada antarabangsa.

Modal insan yang berkualiti adalah amat penting kepada pembangunan negara. Justeru kerajaan beta telah memperkenalkan Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, Pelan Induk Latihan Pembangunan Kemahiran Pekerja Malaysia dan Pelan Strategik Pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

Usaha-usaha memperluaskan pendidikan prasekolah akan terus dilaksanakan bagi memastikan peluang pendidikan diperoleh lebih awal. Di samping itu, transformasi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah akan dilaksanakan agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan akan datang. Beta menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, badan bukan kerajaan dan badan korporat memainkan peranan membantu para pendidik untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam bidang pengajian tinggi, kerajaan beta telah menetapkan 18 agenda utama untuk dilaksanakan di bawah tujuh teras Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Antara agenda yang sedang dilaksanakan termasuklah Program Apex, MyBrain 15, kepimpinan, pembelajaran sepanjang hayat, pengantarabangsaan dan beberapa program lain yang akan dapat melonjakkan institusi pengajian tinggi awam ke tahap yang lebih cemerlang. Ini selaras dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki minda kelas pertama.

Pada masa ini, 41 peratus daripada penduduk negara terdiri daripada golongan belia iaitu yang berumur antara 15 hingga 39 tahun. Justeru, masa depan negara bergantung kepada golongan ini. Cabaran untuk membangunkan golongan belia kini bukan hanya tertumpu kepada aspek latihan dan pekerjaan, bahkan negara memerlukan belia yang berintegriti, memiliki identiti diri yang positif, berdaya saing dan cintakan negara. Sehubungan itu, jangkauan program kepada seluruh warga belia akan dipertingkatkan.

Dalam usaha membangunkan modal insan di luar bandar, Pelan Tindakan Desa yang bertujuan mengupayakan masyarakat luar bandar telah disediakan dengan penyertaan mereka sendiri. Beta menyeru agar semua agensi kerajaan bekerjasama bagi menjayakan pelan tersebut.
Kesihatan mental dan fizikal adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Rakyat yang sihat dan cergas boleh membawa kepada peningkatan produktiviti dan kesejahteraan keluarga. Justeru, beta menyeru supaya rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, bersukan dan menjaga kebersihan persekitaran untuk menghindar penyakit-penyakit kronik dan berjangkit.

Menyedari pentingnya memelihara alam sekitar, kerajaan beta akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk menangani kemerosotan kualiti udara, air dan persekitaran. Usaha-usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai, para pengusaha ladang dan ternakan serta pihak industri demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Sumber tenaga yang terjamin adalah salah satu ciri sebuah negara maju. Sehubungan ini, usaha-usaha akan diambil untuk memanjangkan jangka hayat bekalan sumber tenaga fosil sedia ada dan pada masa yang sama meningkatkan penggunaan sumber tenaga alternatif dan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam bidang pengangkutan, kerajaan beta akan mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam serta berusaha mengurangkan kemalangan. Di samping itu, beta berharap para pengusaha pengangkutan awam akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan demi keselesaan dan keselamatan para penumpang.

Kerajaan beta juga prihatin kepada golongan kurang upaya dan telah mula mempertingkatkan kemudahan yang mesra orang kurang upaya. Penyediaan kemudahan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat. Di samping itu, kerajaan beta sedang mempertingkatkan penyertaan orang kurang upaya dalam sektor awam dengan memperuntukkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan anggota perkhidmatan awam kepada mereka. Beta berharap langkah ini akan diikuti oleh sektor swasta.

Dasar luar Malaysia sentiasa berpaksikan kepada usaha mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Sepanjang tahun 2008, kepentingan Malaysia telah berjaya diketengahkan dan dilindungi di peringkat antarabangsa melalui amalan diplomasi yang proaktif. Malaysia telah berjaya mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara-negara sahabat dan kerjasama serantau terutamanya dengan ASEAN yang kini semakin maju sebagai badan serantau.

Kerjasama pelbagai hala dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa juga bertambah mapan, terutama dengan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Pertubuhan Persidangan Islam, Komanwel serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sebagai pasukan pengaman di serata dunia mencerminkan iltizam Malaysia kepada keharmonian masyarakat antarabangsa.

Lawatan-lawatan negara ke Kemboja, Laos dan Kuwait yang telah beta sempurnakan pada tahun 2008 telah menyumbang kepada kesuburan, keakraban dan pengukuhan hubungan-hubungan ini. Beta berbangga suara dan pandangan Malaysia dalam menyorot kepentingan negara di peringkat antarabangsa sentiasa diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Pengiktirafan dan penghormatan kepada negara dapat dilihat dengan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang menyokong Malaysia menjayakan penganjuran beberapa mesyuarat, persidangan dan forum penting dunia pada tahun 2008 termasuklah Forum Ekonomi Dunia dan Sidang Kemuncak Lapan Negara-Negara Membangun. Ini melambangkan bahawa dasar-dasar Kerajaan Malaysia diterima pakai bagi kepentingan masyarakat antarabangsa.

Beta maklum dan menggalakkan daya usaha kerajaan beta untuk menjayakan beberapa lagi inisiatif antarabangsa pada tahun ini dalam bidang penerangan dan diplomasi awam, persidangan hak asasi manusia dan sebagainya. Beta menyeru semua petugas di Kedutaan Malaysia di seberang laut supaya bertugas sebagai satu pasukan di bawah panji negara.

Kerajaan beta sentiasa siap siaga berinteraksi supaya negara-negara kecil khususnya tidak ditindas atau ditekan atas alasan-alasan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Justeru, tindakan kerajaan beta mengadakan sidang khas Parlimen pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk tindakan Israel menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah tindakan yang tepat.

Beta berbangga di atas kejayaan Malaysia mengusulkan supaya diadakan sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Penghantaran bantuan perubatan serta sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama menyerlahkan lagi keprihatinan negara terhadap keamanan dan keselamatan sejagat amnya dan nasib rakyat Palestin khasnya.

Beta menyeru semua golongan rakyat tanpa mengira fahaman politik berganding bahu dan saling bekerjasama memajukan negara yang kita kasihi. Semua pihak termasuk parti-parti politik perlu menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan serta tidak melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan pembangunan ekonomi negara.

Beta ingin mengingatkan sekali lagi supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat menunjukkan perilaku yang terpuji dalam Dewan yang mulia ini. Beta amat sedih dengan perilaku yang tidak sepatutnya di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat pada sesi yang lalu yang memberi imej negatif kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Dewan ini khususnya serta negara amnya. Sehubungan ini, semua Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mematuhi dan menghormati peraturan-peraturan Dewan.

Sebelum beta mengakhiri titah ini, beta maklum bahawa Mamanda Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Mamanda Timbalan Perdana Menteri pada bulan hadapan setelah menerajui negara sejak 31 Oktober 2003.

Sehubungan ini, beta merakamkan penghargaan kepada Mamanda Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di atas kepimpinan dan segala sumbangan terutamanya dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.

Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

Akhir titah, beta juga merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Negara, Ahli-Ahli Dewan Rakyat, anggota-anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan seluruh rakyat jelata yang telah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran serta keselamatan negara yang kita cintai.

Semua pihak hendaklah terus mempertingkatkan usaha-usaha menyokong kerajaan bagi menangani cabaran-cabaran terutamanya yang timbul akibat daripada kelembapan ekonomi global. Ini kerana tanpa sokongan padu semua pihak segala usaha tersebut tidak akan berjaya.
kap dan berkesan, SPRM perlu dianggotai oleh pegawai-pegawai yang profesional, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi serta terlatih dalam pelbagai bidang.

Justeru, bagi menarik golongan tersebut berkhidmat, SPRM akan menyediakan skim perkhidmatan dan saraan yang lebih baik. Skim baru ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada pegawai-pegawai SPRM di atas peranan dan sumbangan penting mereka dalam meningkatkan integriti dan membanteras jenayah rasuah di negara ini.

Penubuhan SPRM dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah bukti bahawa kerajaan beta berpegang pada janji-janjinya. Beta yakin kedua-dua suruhanjaya tersebut akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti institusi-institusi tersebut. Langkah kerajaan ini akan memantapkan lagi agenda integriti negara dan seterusnya melonjakkan martabat negara di persada antarabangsa.

Modal insan yang berkualiti adalah amat penting kepada pembangunan negara. Justeru kerajaan beta telah memperkenalkan Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, Pelan Induk Latihan Pembangunan Kemahiran Pekerja Malaysia dan Pelan Strategik Pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

Usaha-usaha memperluaskan pendidikan prasekolah akan terus dilaksanakan bagi memastikan peluang pendidikan diperoleh lebih awal. Di samping itu, transformasi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah akan dilaksanakan agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan akan datang. Beta menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, badan bukan kerajaan dan badan korporat memainkan peranan membantu para pendidik untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam bidang pengajian tinggi, kerajaan beta telah menetapkan 18 agenda utama untuk dilaksanakan di bawah tujuh teras Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Antara agenda yang sedang dilaksanakan termasuklah Program Apex, MyBrain 15, kepimpinan, pembelajaran sepanjang hayat, pengantarabangsaan dan beberapa program lain yang akan dapat melonjakkan institusi pengajian tinggi awam ke tahap yang lebih cemerlang. Ini selaras dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki minda kelas pertama.

Pada masa ini, 41 peratus daripada penduduk negara terdiri daripada golongan belia iaitu yang berumur antara 15 hingga 39 tahun. Justeru, masa depan negara bergantung kepada golongan ini. Cabaran untuk membangunkan golongan belia kini bukan hanya tertumpu kepada aspek latihan dan pekerjaan, bahkan negara memerlukan belia yang berintegriti, memiliki identiti diri yang positif, berdaya saing dan cintakan negara. Sehubungan itu, jangkauan program kepada seluruh warga belia akan dipertingkatkan.

Dalam usaha membangunkan modal insan di luar bandar, Pelan Tindakan Desa yang bertujuan mengupayakan masyarakat luar bandar telah disediakan dengan penyertaan mereka sendiri. Beta menyeru agar semua agensi kerajaan bekerjasama bagi menjayakan pelan tersebut.
Kesihatan mental dan fizikal adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Rakyat yang sihat dan cergas boleh membawa kepada peningkatan produktiviti dan kesejahteraan keluarga. Justeru, beta menyeru supaya rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, bersukan dan menjaga kebersihan persekitaran untuk menghindar penyakit-penyakit kronik dan berjangkit.

Menyedari pentingnya memelihara alam sekitar, kerajaan beta akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk menangani kemerosotan kualiti udara, air dan persekitaran. Usaha-usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai, para pengusaha ladang dan ternakan serta pihak industri demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

Sumber tenaga yang terjamin adalah salah satu ciri sebuah negara maju. Sehubungan ini, usaha-usaha akan diambil untuk memanjangkan jangka hayat bekalan sumber tenaga fosil sedia ada dan pada masa yang sama meningkatkan penggunaan sumber tenaga alternatif dan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam bidang pengangkutan, kerajaan beta akan mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam serta berusaha mengurangkan kemalangan. Di samping itu, beta berharap para pengusaha pengangkutan awam akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan demi keselesaan dan keselamatan para penumpang.

Kerajaan beta juga prihatin kepada golongan kurang upaya dan telah mula mempertingkatkan kemudahan yang mesra orang kurang upaya. Penyediaan kemudahan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat. Di samping itu, kerajaan beta sedang mempertingkatkan penyertaan orang kurang upaya dalam sektor awam dengan memperuntukkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan anggota perkhidmatan awam kepada mereka. Beta berharap langkah ini akan diikuti oleh sektor swasta.

Dasar luar Malaysia sentiasa berpaksikan kepada usaha mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Sepanjang tahun 2008, kepentingan Malaysia telah berjaya diketengahkan dan dilindungi di peringkat antarabangsa melalui amalan diplomasi yang proaktif. Malaysia telah berjaya mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara-negara sahabat dan kerjasama serantau terutamanya dengan ASEAN yang kini semakin maju sebagai badan serantau.

Kerjasama pelbagai hala dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa juga bertambah mapan, terutama dengan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Pertubuhan Persidangan Islam, Komanwel serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sebagai pasukan pengaman di serata dunia mencerminkan iltizam Malaysia kepada keharmonian masyarakat antarabangsa.

Lawatan-lawatan negara ke Kemboja, Laos dan Kuwait yang telah beta sempurnakan pada tahun 2008 telah menyumbang kepada kesuburan, keakraban dan pengukuhan hubungan-hubungan ini. Beta berbangga suara dan pandangan Malaysia dalam menyorot kepentingan negara di peringkat antarabangsa sentiasa diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Pengiktirafan dan penghormatan kepada negara dapat dilihat dengan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang menyokong Malaysia menjayakan penganjuran beberapa mesyuarat, persidangan dan forum penting dunia pada tahun 2008 termasuklah Forum Ekonomi Dunia dan Sidang Kemuncak Lapan Negara-Negara Membangun. Ini melambangkan bahawa dasar-dasar Kerajaan Malaysia diterima pakai bagi kepentingan masyarakat antarabangsa.

Beta maklum dan menggalakkan daya usaha kerajaan beta untuk menjayakan beberapa lagi inisiatif antarabangsa pada tahun ini dalam bidang penerangan dan diplomasi awam, persidangan hak asasi manusia dan sebagainya. Beta menyeru semua petugas di Kedutaan Malaysia di seberang laut supaya bertugas sebagai satu pasukan di bawah panji negara.

Kerajaan beta sentiasa siap siaga berinteraksi supaya negara-negara kecil khususnya tidak ditindas atau ditekan atas alasan-alasan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Justeru, tindakan kerajaan beta mengadakan sidang khas Parlimen pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk tindakan Israel menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah tindakan yang tepat.

Beta berbangga di atas kejayaan Malaysia mengusulkan supaya diadakan sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Penghantaran bantuan perubatan serta sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama menyerlahkan lagi keprihatinan negara terhadap keamanan dan keselamatan sejagat amnya dan nasib rakyat Palestin khasnya.

Beta menyeru semua golongan rakyat tanpa mengira fahaman politik berganding bahu dan saling bekerjasama memajukan negara yang kita kasihi. Semua pihak termasuk parti-parti politik perlu menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan serta tidak melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan pembangunan ekonomi negara.

Beta ingin mengingatkan sekali lagi supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat menunjukkan perilaku yang terpuji dalam Dewan yang mulia ini. Beta amat sedih dengan perilaku yang tidak sepatutnya di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat pada sesi yang lalu yang memberi imej negatif kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Dewan ini khususnya serta negara amnya. Sehubungan ini, semua Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mematuhi dan menghormati peraturan-peraturan Dewan.

Sebelum beta mengakhiri titah ini, beta maklum bahawa Mamanda Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Mamanda Timbalan Perdana Menteri pada bulan hadapan setelah menerajui negara sejak 31 Oktober 2003.

Sehubungan ini, beta merakamkan penghargaan kepada Mamanda Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di atas kepimpinan dan segala sumbangan terutamanya dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.

Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

Akhir titah, beta juga merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Negara, Ahli-Ahli Dewan Rakyat, anggota-anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan seluruh rakyat jelata yang telah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran serta keselamatan negara yang kita cintai.

Semua pihak hendaklah terus mempertingkatkan usaha-usaha menyokong kerajaan bagi menangani cabaran-cabaran terutamanya yang timbul akibat daripada kelembapan ekonomi global. Ini kerana tanpa sokongan padu semua pihak segala usaha tersebut tidak akan berjaya.
- UM

Selasa, 10 Februari 2009

TITAH RAJA MUDA PERAK YANG AMAT BERMAKNA PADA RAKYAT DAN RAJA .

















SISTEM berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja adalah sebahagian daripada budaya Melayu. Institusi Raja adalah sistem berkerajaan yang mempunyai landasan sejarah dan tradisinya sendiri. Institusi Raja telah lama berakar di bumi Melayu dengan sistem pemerintahan yang didukung oleh pentadbiran yang cekap lagi tersusun; berjaya menyatukan warga berupaya memelihara keamanan - bertenaga mencetus kemakmuran.

Sebuah negeri bernama Melaka telah dibangunkan oleh Raja Iskandar Shah. Apa yang dikenali sebagai Melaka, pada asalnya hanyalah sebuah perkampungan nelayan dengan pen-duduk sekitar 200 orang. Dengan kebesaran daulat Baginda, kampung nelayan tersebut akhirnya berkembang pesat; diiktiraf sebagai pusat maritim di rantau ini, terkenal sebagai pelabuhan dan pusat persinggahan, berperanan sebagai pusat perdagangan.

Melaka berfungsi sebagai pusat penyebaran Islam, dihormati sebagai pusat pemerintahan yang mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar, diiktiraf sebagai sebuah empayar yang agung. Melaka agung kerana di sinilah berputik dan berkembangnya budaya, penulisan. Kesusasteraan, sosialisasi dan tamadun bangsa. Semuanya dicapai melalui sistem pe-merintahan yang cekap, dengan hier-arki pembahagian tanggungjawab yang tersusun antara Raja dan rakyat.

Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan, merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan utama menguruskan rutin harian negara dengan dibantu oleh barisan pembesar negeri. Bahawa sistem kerajaan berteraskan Raja ketika itu lagi, tidak pernah bersifat mutlak dalam erti kata sebenar. Struktur pemerintahan begitu tersusun dengan lapisan pembahagian tugas dan perwakilan kuasa di antara Raja dengan pembesar negeri.

Raja, setelah disembah maklumkan maklumat dari rakyat, mengamalkan sistem perundmgan, bermesyuarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan dari pembesar negeri. Sistem perundingan dan mesyuarah amat diutamakan, dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti yang terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada anakanda Baginda Sultan Mahmud Syah:Petikan:"Hai anakku, ketahui olehmu ba-hawa dunia ini tiada akan kekal ada-nya... melainkan iman... Adapun pe-ninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu.

Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong: jikalau teraniaya ia hen-daklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu.... Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana se-kalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri. Adapun segala anak Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum Allah. ....Jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, ba-hawa kerajaanmu binasa." (Petikan Sulalat-al-Salatin).

Di bawah pentadbiran Inggeris, orang Melayu masih belum memiliki institusi politik secara tersusun hatta tidak mempunyai saluran perwakilan secara formal lagi berkesan. Raja-Raja Melayu secara kolektif berperanan sebagai jurubicara, menzahirkan suara Melayu. 'Durbar' adalah mesyuarat pertama yang menghimpunkan empat Raja Melayu dari Negeri-negeri Bersekutu di Kuala Kangsar pada 1897. 'Durbar' merupakan forum Raja-Raja menyuarakan nasib dan kepentingan Melayu.

Rejimen Askar Melayu Diraja, The Malay College Kuala Kangsar, Sultan Idris Training College, Kolej Tunku Kursiah, Pegawai Tadbir Melayu agama Islam, penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran, milik tanah, pendidikan bangsa, bidang kuasa penghulu dan kadi, emansipasi wanita Melayu, adalah antara tuntutan yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu melalui 'Durbar'. Melalui 'Durbar', Raja-Raja melahirkan kebimbangan terhadap sektor perlombongan yang meminggirkan orang Melayu sedangkan sektor pertanian yang merupakan sumber ekonomi utama orang Melayu, begitu diabaikan. Penubuhan tabung pen-didikan dan biasiswa di setiap negeri adalah atas titah Raja-Raja Melayu.

Kebimbangan mengenai kemasukan kaum imigran secara besar-besaran dizahirkan. Raja-Raja Melayu memberikan saranan kepada pentad-biran Inggeris supaya tenaga kerja turut diambil dari kalangan orang Jawa, demi memastikan orang Melayu tidak akan menjadi minoriti di bumi dan tanah air warisan pusaka bangsanya. Raja-Raja Melayu men-zahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada 1948 berasaskan apa yang pernah dilakukan terhadap penduduk Arab, ketika Henry Gurney bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin. Raja-Raja Melayu turut menegur ran-cangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Malayan Union merupakan kerangka pertama yang menampilkan perkumpulan formal semua sembilan Raja Melayu dalam tahun 1946. Tentangan terhadap Malayan Union digerakkan atas sentimen mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Gerakan menentang Malayan Union mematahkan usaha pecah - perintah pentadbiran Inggeris untuk memisahkan Raja dengan rakyat. Malah gerakan menentang Malayan Union mengembalikan hubungan erat - menjalinkan semula kerjasama antara Raja dengan rakyat. Raja bersama rakyat, bertutur dalam satu bahasa - bersuara dalam satu nada, menyampaikan tuntutan memerdekakan warga - menggerakan hasrat memerdekakan negara. Gerakan menentang Malayan Union turut merintis kesedaran bangsa akan pentingnya penyatuan, lalu lahirlah institusi politik Melayu secara formal lagi tersusun.

Apabila orang Melayu mencapai kata sepakat menubuhkan Umno, Raja-Raja Melayu bukan sekadar memberikan restu perkenan, malah secara langsung berada di belakang usaha tersebut. Pada 11 Mei 1946, Umno secara rasmi ditubuhkan di perhimpunan yang berlangsung di Istana Besar Johor Bahru. Pada usia awal penubuhannya, beberapa per-jumpaan dan mesyuarat Umno, berlangsung di persekitaran istana; di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar; di Balai Rong, Arau: di Is-tana Besar, Johor Baru; di Balai Besar, Alor Setar; di Balai Besar, Kota Baru lahirlah institusi politik Melayu secara formal lagi tersusun. Malah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar serta Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Negeri Sembilan turut berangkat mencemar duli di Mesyuarat Agimg Umno di Kelab Seremban pada 1 Mac 1947, sementara Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat mencemar duli, berkenalan dengan wakil-wakil di Mesyuarat Agung Umno pada 2 September 1947 di Istana Besar, Johor Baru.

Dalam usaha pertama Umno mengadakan kutipan derma, sejumlah RM19,266.75 berjaya dipungut. Sebanyak RM6,000 atau satu pertiga dari jumlah derma tersebut adalah sumbangan Raja-Raja Melayu.Peranan Raja di belakang penubuhan organisasi politik Melayu itu diberikan pengiktirafan secara simbolik tetapi amat signifikan. Ketika Datok Onn meminta anak saudara-nya, Syed Muhammad Naquib al-Attas (kini bergelar Profesor), melukis bendera Umno, Onn meminta Syed Muhammad Naquib menggabungkan warna-warna Hang Tuah, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kekuatan pengaruh Islam dalam dunia Melayu. Mengambil panduan Onn itu, Syed Naquib lalu meletakkan bulatan berwarna kuning di antara jalur merah putih, melambangkan penyatuan Raja-Raja Melayu. Keris, melambangkan alat kebesaran Raja-Raja Melayu, diwarnakan hijau, selaras dengan tanggung jawab Raja-Raja mempertahankan Islam.

Sokongan Raja-Raja Melayu di belakang penubuhan Umno tidaklah bermakna Raja-Raja terlibat aktif dalam kegiatan politik berparti. Sokongan tersebut adalah sebahagian da-ri pendirian Raja-Raja, secara simbolik - secara semangat, menyokong usaha untuk warga dan negara memperoleh kemerdekaan. Kerana itu juga Raja-Raja Melayu memberi perkenan untuk diwakili menyertai rombongan kemerdekaan ke London. Pendirian tegas dan sekata oleh wa-kil-wakil Raja-Raja Melayu kepada Kerajaan Inggeris adalah antara faktor utama yang tidak membolehkan Kerajaan Inggeris berlengah daripada memenuhi timtutan kemerdekaan.

Dalam usaha menuntut kemerdekaan, rakyat digerakkan melalui organisasi politik. Gerakan politik berjaya menyusun barisan rakyat, bangkit secara aktif menyuarakan tuntutan kemerdekaan. Rakvat ketika itu memiliki pilihan untuk menen-tukan rupa bentuk dan kerangka kerajaan. Rakyat di Tanah Melayu telah memilih untuk mengekalkan institusi Raja, lalu dimaktubkan secara perundangan dalam 'Periembagaan Merdeka'. Maka lahirlah sebuah negara merdeka yang berpegang kepada prinsip Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Kuasa Raja dan kuasa rakyat digabung dan diimbang. dalam semangat mengekal yang dikendong sementara berusaha mencipta yang baru.Pengiktirafan tinggi kepada Raja tertera pada bendera Persekutuan Tanah Melayu. Bulan bintang yang melambangkan status agama Islam di dalam negara, diwarnakan kuning, simbol peranan Raja sebagai ketua agama Islam: di samping warna yang menjadi lambang daulat payung negara. Lirik lagu kebangsaan negara, diakhiri dengan kata-kata 'Raja kita selamat bertakhta'. Bahawa Raja itu kekal dinobatkan menjadi simbol kedaulatan negara. Pemilihan mengekalkan Institusi Raja, memberi kesinambungan kepada amalan tradisi negara beraja.

Institusi Raja diperlengkap dengan institusi rakyat melalui amalan demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi yang diputuskan oleh pimpinan politik Melayu merumuskan untuk tidak mengambil alih kesemua peranan Raja. Kedudukan Raja ber-daulat tidak berubah, malah diselaraskan, diinstitusikan secara legal di dalam 'Perlembagaan Merdeka'. Peranan Raja telah dikanunkan secara perlembagaan dengan menggaris bidang dan pembahagian kuasa. Pendekatan tersebut bukan sahaja meneruskan kesinambungan tamadun dan sejarah, malah turut menyuntik roh - membentuk wajah kepada kerangka negara, meletakkan identiti, terutamanya, lambang mengekalkan warisan sejarah kerajaan Melayu di bumi ini. Sistem demokrasi yang menjadi pilihan, mengujudkan mekanisme semak dan imbang, bertujuan untuk menjamin kestabilan negara yang lebih utuh lagi diyakini.

Pengekalan Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Kehadiran Raja sebenarnya sangat membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi lain ciptaan demokrasi.

Raja memenuhi satu keperluan per-lembagaan secara simbolik - secara fungsi. Selaku ketua negara - Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan; lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa.

Institusi Raja telah melalui proses evolusi secara dinamik, dibina semula dan mentafsir semula kewujudannya sejajar dengan perkembangan semasa. Penghayatan akan se-mangat Raja berperlembagaan amatlah penting. Amatlah perlu bagi Raja untuk memenuhi amanah dan me-menuhi harapan tersebut berlandaskan semangat perlembagaan, mengisi ruang-ruang yang dipertanggung-jawabkan, menurut yang diperuntukkan oleh undang-undang. Raja hendaklah arif memenuhi peranan supaya kata dan laku, tidak disalah lihat dan tidak disalah tafsir sebagai bercanggah dengan semangat demokrasi. Raja perlu mengamalkan ke-bijaksanaan, bersifat tidak memihak tidak partisan tidak berkepentingan, demi menjamin keadilan kekal berlaku di dalam negara dan di kalangan warga.

Dalam memenuhi tanggung jawab melindung hak orang Melayu, Raja juga perlu mencerminkan pendirian saksama, men-jamin penghidupan sejahtera warga berbagai kaum. Ketika negara melangkah masuk tahun kedua belas mencapai kemerdekaan, warga menghadapi ujian getir. Pilihan raya umum tahun 1969, disusuli dengan peristiwa perselisi-han kaum di antara orang Melayu dengan bukan Melayu. Peristiwa yang dikenali sebagai 13 Mei itu, merupakan satu ujian kepada perjalanan sebuah negara yang mengamalkan formula perkongsian kuasa politik di antara kaum. Orang Melayu resah apabila kuasa politik Melayu kelihatan tergugat.

Institusi Yang di-Pertuan Agong berperanan penting menyelamatkan keadaan. Dengan perkenan Seri Paduka Baginda, institusi Parlimen digantung; kuasa pentadbiran negara diserahkan kepada Majlis Gerakan Negara. Isu-isu sensitif antara kaum ditegah daripada dibincangkan secara terbuka. Perundmgan secara tertutup dilakukan dalam usaha merangka pendekatan yang dapat menjamin berlakunya pembangunan lebih se-imbang di antara kaum, sebagai pra-syarat menjamin kestabilan politik.

Bahawa politik negara tidakkan stabil, sekiranya orang Melayu merasakan kedudukan mereka, ibarat anak diriba mati tak makan, ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Pendekatan pembangunan dengan matlamat menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan secara agihan ekonomi yang lebih saksama diperkenalkan melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut pada tafsiran Raja-Raja Melayu adalah selaras dengan semangat yang terkandung dalam Perkara 153, Perlembagaan Negara, sebagai satu perkayasaan dasar untuk membela nasib Melayu.

Apabila Parlimen dipulihkan dalam tahun 1971, 'Rukun Negara' diperkenalkan sebagai piagam pegangan warga. 'Kesetiaan kepada Raja' merupakan salah satu komponen dalam piagam 'Rukun Negara'.Nyatalah dalam urutan sejarah negara, institusi Raja melalui proses evolusi yang dinamik berhubung pe-ranannya. Amatlah penting bagi Raja memenuhi peranannya bersandarkan semangat yang termaktub di dalam perlembagaan, peka terhadap pengharapan yang diletakkan oleh rakyat, arif mentafsir dinamik yang sedang dan terus berlaku. Raja perlu melengkapkan diri untuk memenuhi peranan dan tanggungjawab yang telah diperuntukkan.

Raja harus mempunyai kedudukan yang kukuh untuk membolehkannya berpendirian tegas bersikap berani, adil lagi saksama.Dalam memenuhi peranan berasaskan nasihat, Raja sama sekali tidak harus merasakan tekanan dan tidak semestinya memberikan perkenan, jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan dan bertentangan de-ngan undang-undang. Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan dan tindakan yang tidak mencerminkan keadilan.Sebagai lambang perpaduan negara, Raja perlu berada di atas politik kepartian. Kerana itu. setelah Umno ditubuhkan dan setelah negara mencapai kemerdekaan, Raja melangkah ke belakang, tidak lagi kelihatan terlibat secara zahir dan tidak lagi berangkat hadir dalam kegiatan-kegiatan yang dianjurkan atas nama parti politik.

Berada di atas politik men-jadi bertambah penting kerana dalam amalan membentuk kerajaan berasaskan pilihan rakyat, banyak kumpulan yang bersaing dalam gelanggang politik. Raja hendaklah berada di luar gelanggang politik dan tidak seharusnya terlibat dalam persaingan tersebut. Raja perlu berada di atas politik kepartian, di atas setiap instrumen kerajaan, di atas pasukan keselamatan dan angkatan pertahanan, di atas cabang perundangan, cabang eksekutif dan cabang kehakiman.

Keberkesanan peranan amat bergantung kepada daya usaha yang dirintis oleh Raja. Integriti institusi Raja amat bergantung kepada disiplin yang diamalkan oleh Raja untuk tidak memperlihatkan cacat dan cela. Raja perlu berada di atas segala hierarki, tidak terbendung dengan mana-mana gerakan politik, dengan mana-mana persukuan atau dengan mana-mana kumpulan agama.

Apabila Raja, sama ada secara perkataan mahupun perbuatan, membuka ruang, membolehkan berlakunya kritikan dilakukan kepada institusi Raja secara berlebihan, maka orang Melayu akan turut menanggung kesan jangka panjangnya. Raja Melayu yang tercalar kedudukannya adalah pembuka laluan kepada tercabarnya kedudukan bangsa.

Pada umumnya, demokrasi dianggap sebagai sistem kerajaan yang terbaik; tetapi sistem demokrasi se-mata-mata belum pasti menjamin ke-sempurnaan. Bahawa pada era ini, masih belum wujud sistem kerajaan yang dapat dianggap sempurna sepenuhnya. Demikian juga dengan sistem demokrasi. Dunia menjadi saksi, melihat wajah buruk betapa sistem demokrasi di dunia ini ada kalanya boleh disalahgunakan. Dengan semangat untuk memperelok amalan demokrasi, dalam proses untuk menyempurnakan sistem demokrasi, Institusi Raja berkedudukan untuk mengisi ruang-ruang kosong yang masih terdapat.

Raja yang berada di atas politik kepartian perlu dimanfaatkan bagi mengisi ruang yang kosong, sebagai penjamm kepada pelaksanaan undang-undang secara adil, sebagai pengawas memas-tikan bahawa instrumen kerajaan tidak disalahgunakan, sebagai pelindung terakhir kepada orang Melayu, sebagai pemelihara kesucian Islam, sebagai payung pelindung kepada warga dan negara. Untuk itu institusi Raja kekal relevan.

Perubahan yang berlaku hanyalah dari mekanisme dan kaedah memenuhi peranan. Raja mempunyai ruang berperanan secara pro-aktif. Raja harus menguasai pengetahuan serta mempunyai barisan pakar-pakar dalam bidang-bidang yang relevan. Raja perlu disembah nasihat dengan maklumat yang tepat, secara objektif secara rasional, berasaskan data berasaskan fakta, untuk membolehkan Raja berada dalam kedudukan terbaik memenuhi peranan secara arif- secara bijak, secara adil secara saksama.

Peranan dan pengaruh Islam di rantau ini dan di kalangan orang Melayu berkait rapat dengan Raja dan istana, bermula dari era Kesultanan Melayu Melaka. Keputusan Sultan Melaka memeluk Islam menjadi pemangkin kepada berlakunya kegiatan dakwah Islamiah yang hebat. Peringkat demi peringkat, pembesar dan isi istana, membawa kepada penduduk di bandar dan di desa menerima Islam sebagai agama. Islam tidak sekadar menjadi pegangan kepercayaan beragama kepada batang tubuh Raja. Islam mempengaruhi dan mengubah corak pemerintahan, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang.Undang-undang Melaka menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan itu dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab.

Terkandung di dalam Kanun bahawa seseorang Raja perlu mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas kasihan. Sifat mengampun dan belas kasihan ada-lah antara sifat yang diutamakan di dalam Islam. Allah itu Maha Pemurah Maha Mengasihani sifatNya, seperti yang terkandung dalam ka-limah 'Bismillahi Rahmani Rahim';diulang sebanvak 114 kali di dalam al-Quran, ditempatkan pada permulaan setiap surah di dalam al-Quran melainkan surah 'At Taubah'; kalimah 'Bismillahi Rahmani Rahim* diulang dua kali dalam surah 'An-Namli'. Hukum syarak, hukum kanun, undang-undang laut Melaka, adat, resam dan fahaman, yang di-jadikan sandaran melakukan pemerintahan, saling lengkap melengkapi.

Raja berperanan sebagai penaung kepada sistem pemerintahan yang ber-paksikan undang-undang.Islam juga telah membawa Raja Melayu kepada dua konsep murni, adil dan muafakat. Konsep adil dapat dibuat tafsiran lanjutan kepada perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' orang Melayu.Konsep keadilan politik Melayu dibayangkan oleh kata-kata 'Raja adil Raja disembah Raja zalim Raja disanggah'. Konsep taat setia rakyat kepada Raja tidak bererti bahawa Raja boleh melakukan apa sahaja menurut sesuka hati. Konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah.Istana terlibat secara langsung dalam mengembangkan Islam dan menempatkannya sebagai agama resmi negara.

Ajaran Islam begitu sebati dengan Institusi Kesultanan Melayu kerana terkandung perselarian nilai dan amal antara yang dianjurkan oleh Islam dalam sistem pemerintahan kesultanan Melayu. Sejarah tentang peranan dan hubungan Raja dengan Islam, memberikan kelebihan yang memihak kepada Raja dalam urusan Islam. Peranan Raja sebagai ketua agama tetap kekal. Raja telah berjaya membawa penyatuan, menyeru kepada kebaikan, meluaskan penerimaan.

Islam menyeru kepada penyatuan kepada perpaduan. Islam itu adalah persaudaraan. Perkataan dan perbuatan atas nama Islam hendaklah memperlihatkan persaudaraan, hendaklah bermatlamatkan penyatuan dan hendaklah membawa perpaduan.

Persaudaraan, penyatuan dan perpaduan adalah komponen-komponen penting, menjamin warga hidup dalam aman dan muafakat, makmur lagi sejahtera. Penggunaan Islam dalam apa jua bentuk yang tidak menghasilkan persaudaraan, penyatuan dan perpaduan amatlah bercanggah dengan semangat Islam itu sendiri.

Dalam memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, ke atas bahu Beta sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Beta berpegang teguh bahawa kegiatan atas nama Islam hendaklah dikawal kesuciannya hendaklah dipertahankan kemurniannya. Kesucian Islam tidak harus dicemari kemurnian Islam tidak harus dinodai oleh sebarang muslihat dan agenda terselindung bertopengkan Islam. Untuk itu amatlah penting bagi anggota Majlis Agama Islam Perak, demikian juga para pegawai dan kakitangan Majlis, berada di atas sebarang pengaruh politik dan pengaruh kumpulan - Jabatan dan pejabat agama Islam hendaklah membina integriti hingga diterima dengan keyakinan tinggi sebagai tempat yang dapat melakukan timbang tara secara adil.

Dalam hasrat menjamin kestabilan negara dan dalam usaha memupuk hidup rakyat yang sejahtera, amatlah penting bagi generasi muda dan generasi muka memahami salasilah dan falsafah sesebuah institusi di dalam negara. Kejayaan masa lampau perlu dijadikan gagasan membina masa hadapan yang lebih gemilang. Institusi yang telah membina tamadun bangsa di masa lalu hendaklah dipelihara secara bersama. Iklim politik yang sihat pada masa hadapan amat bergantung kepada harga dan nilai yang diletakkan kepada sejarah bangsa di masa lalu. Memahami yang terdahulu, berusaha ke arah memperbaikinya, lalu diamanahkan pula kepada generasi di hari muka, harus dilakukan demi menjamin kesinambungan dan penerusan identiri bangsa.

Minda generasi muda jangan sekali-kali diracuni. Institusi Raja ada kalanya dimomokkan dengan istilah feudalisme. Istilah sedemikian adalah istilah yang dipelopori oleh mereka yang terpengaruh dengan fahaman kiri; dari kalangan mereka yang kurang arif mendalami sejarah; dari kalangan mereka yang gagal membezakan sinar intan dari cahaya kaca. Feudalisme bukan perlakuan yang dilakukan oleh institusi.

Feudalisme berlaku kerana perlakuan individu, hingga manusia takjub dan taksub kepada individu; berlaku pendewaan terhadap individu, dan manusia berasa takut yang melampau kepada individu. Dalam niat mahu menggembirakan individu yang didewakan, manusia sanggup mengorbankan prinsip, berpura-pura, berkata putih pada yang hitam, berkata hitam pada yang putih. Dalam mengemis kasih - dalam menagih belas dari individu, manusia sanggup membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar.

Budaya feudallsnie pernah berlaku dalam istana - pernah berlaku dalam institusi Raja, tetapi budaya feudalisme tidak terbatas berlaku dalam istana dan dalam institusi Raja semata-mata. Budaya feudalisme turut berlaku da-lam sistem demokrasi, dalam sistem komunisme, dalam sistem republik, dalam sistem pemerintahan berpaksikan tentera, malah dalam kegiatan-kegiatan berlandaskan agama.Untuk itu bangsa perlu bijaksana. Akal biar jauh - fikiran biar panjang.

Jangan seluruh ladang dimusnahkan kerana sebatang pokok yang ada penyakit. Atas fahaman tersebutlah, Hang Tuah terpaksa melakukan pilihan paling getir. Hang Tuah tidak berhasrat membunuh sahabat tersayangnya Hang Jebat; yang dibunuh adalah penderhakaan dan perebutan kuasa. Hang Tuah bukan mempertahankan Raja, tetapi mempenahankan kerajaan. Tanpa kerajaan apalah ertinya sebuah negara.

Untuk itu amatlah penting faktor sejarah dikenali secara mendalam - dihalusi secara teliti; difahami - dihayati. Jangan terlalu ghairah mendengar guruh di langit hingga air tempayan dicurahkan. Takut nanti yang dikendong keciciran - yang dikejar entah di mana. Ketika mendapat teduh di bawah pohon rendang, janganlah perdu mahu ditebang.
Semoga Raja kita selamat bertakhta. Semoga rakyat hidup bahagia.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!.

Tulisan:

Sedutan teks titah Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah pada Simposium Budaya Melayu Perak anjuran Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak dengan kerjasama kerajaan Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak, Ipoh.

Isnin, 9 Februari 2009

5,000 pertahan Sultan Azlan Shah!

IPOH 9 Feb. – Padang Sultan Abdul Jalil di sini bergema dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ apabila lebih 5,000 orang yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berkumpul menyatakan ikrar taat setia akan mempertahankan kedaulatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hingga ke titisan darah terakhir.

Mereka yang menyertai perhimpunan secara aman anjuran Pemuda UMNO Perak itu meluahkan rasa marah terhadap sikap biadap dan kurang ajar pemimpin pembangkang iaitu Karpal Singh, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng terhadap Sultan Perak.

Luahan kemarahan yang meluap-luap itu bukan sahaja dapat didengar melalui kata-kata mereka, malah tertera pada tulisan pada sepanduk yang dibawa. Antaranya, ‘Jangan Hina Raja Kami,’ ‘Kumpulan Gerakan Melayu Bersedia Menjadi Benteng Utama Mempertahankan Kedaulatan Raja-raja,’ ‘Pakatan Rakyat Jadi Kuda DAP’ dan ‘Usir Nizar dari Perak.’

Malah, di saat-saat akhir perhimpunan, para peserta yang semakin bersemangat hampir berarak menuju ke kediaman rasmi Menteri Besar Perak untuk menghalau keluar Mohammad Nizar selepas seorang wakil NGO mengajak mereka semua berbuat demikian.

Bagaimanapun, sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner, Azisman Alias berjaya menenangkan keadaan dan meminta perhimpunan itu ditamatkan serta merta bagi mengelak kejadian tidak diingini dan provokasi. Perhimpunan itu berakhir pada pukul 3.30 petang dan peserta kemudiannya bersurai secara beransur-ansur dari padang berkenaan.

Terdahulu, mereka berkumpul di Dataran Bandaraya Ipoh pada pukul 1.30 petang sebelum berarak menuju ke Padang Sultan Abdul Jalil setengah jam kemudian kerana tidak dibenarkan menggunakan lokasi tersebut.

Sementara menunggu majlis bermula, beberapa wakil NGO sempat memberikan ucapan meluahkan kemarahan terhadap perbuatan kumpulan tertentu menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ di setiap akhir ucapan.

Majlis kemudiannya dimulakan pada pukul 2.40 petang selepas ketibaan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharuddin, Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum memulakan majlis, semua peserta yang beragama Islam membacakan al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Allahyarham Roslan Shaharum dari Pas yang meninggal dunia hari ini.

Wakil dari Parti Progresif Penduduk (PPP) merupakan orang pertama berucap diikuti wakil dari MIC untuk menyatakan sokongan daripada masyarakat India kepada institusi Raja Berperlembagaan dan menentang mereka yang menderhaka titah sultan.

Abdul Azeez yang mendapat peluang berucap kemudiannya memberi amaran kepada Karpal Singh supaya menghentikan budaya kurang ajar dan biadap atau bersedia menerima sebarang tindakan daripada generasi muda.

‘‘Kita akan pastikan Karpal Singh dihalau dari bumi Malaysia. Karpal Singh kata dia lawyer (peguam) tetapi sebenarnya dia liar (penipu) sebab sebagai peguam dia mesti tahu undang-undang dan apa itu institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Reezal Merican pula berkata, pelajar Melayu di seluruh negara berasa terhiris dengan kebiadapan Karpal terhadap Raja-Raja Melayu. ‘‘Bumi ini ada fitrahnya, fitrah bumi ini dinamakan Tanah Melayu dan yang menjaga hak adalah Sultan dan Raja-Raja Melayu.

‘‘Menderhaka kepada Raja Melayu bermakna mengundang kemarahan rakyat bukan saja di Perak tetapi di seluruh Malaysia,” tegasnya. Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang terkenal dengan semangat juang Melayu turut berucap pada majlis tersebut.
‘‘Kita ingin beritahu kepada Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim, kita akan lawan habis-habisan.

‘‘Ini baru langkah permulaan, kita akan gerakkan seluruh jentera di seluruh kampung dan berjuang mempertahankan kedaulatan Sultan Perak hingga ke titisan darah terakhir,” tegasnya sambil disambut laungan gemuruh daripada orang ramai. Zainol Fadzi Paharuddin yang berucap seterusnya pula memohon Sultan Perak menarik balik darjah kebesaran dan kewarganegaraan penderhaka.

‘‘Kita tidak mahu institusi raja diperkotak-katikkan dan dihina sampai kasut jamban pun boleh dibaling. Inikah manusia yang kita ingin agung-agungkan sebagai pemimpin,” katanya.
Khairy yang merupakan orang terakhir berucap menyatakan bukan sahaja orang Melayu marah dengan sikap biadap pemimpin pembangkang, malah orang Cina dan India juga turut berasa demikian.

Katanya, tindakan beberapa pemimpin pembangkang telah mencabuli empat daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu rukun kedua, ketiga, keempat dan kelima. ‘‘Empat daripada Rukun Negara ini sudah dikoyakkan, apa lagi kita ada? Undang-undang, Perlembagaan dan Raja-raja kita sedang dipijak, apa tindakan kita hari ini?'' katanya yang berjaya menaikkan semangat peserta.

Sebelum menamatkan ucapannya, Khairy turut mengarahkan semua Pemuda UMNO mengambil tindakan yang perlu sekiranya bekas Menteri Besar dan Exco berkeras mahu memasuki pejabat kerajaan negeri esok. -UM

Ahad, 8 Februari 2009

Zambry mohon restu ibu

PULAU PANGKOR 7 Feb. - Kepulangan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah menyandang jawatan Menteri Besar Perak ke-11 semalam disambut ratusan penyokong di Jeti Lumut International Yacht Club (LIYC) dekat sini.

Penyokong yang terdiri daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Lumut itu mula berkumpul memenuhi kawasan LIYC seawal 5 petang. Zambry sebelum itu bergegas dari Istana Iskandariah, Kuala Kangsar ke Ipoh untuk mengiringi kepulangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kuala Lumpur, sebelum bertolak ke Lumut.

Ketibaan Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor di Lumut kira-kira jam 9.30 malam itu disambut dengan tepukan gemuruh penyokong yang turut membawa bendera parti serta kain rentang yang tertera ucapan tahniah.

Rombongan Menteri Besar kemudian dibawa menaiki bot laju ke sini dan sekali lagi disambut dengan tepukan gemuruh penyokong pelbagai kaum yang memenuhi Jeti Awam Pulau Pangkor.
Ketua UMNO Bahagian Lumut itu kemudian terus dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Masjid di sini untuk berjumpa dengan ibu, Saidatul Badru Abdul Kader, 68, bagi mendapatkan restunya.

Zambry dan isteri, Datin Saripah Zulkifli turut bersalaman dengan bapa tirinya, Jaafar Awang Long. Ketika berada di rumah tempat beliau dibesarkan itu, Zambry turut menyampaikan ucapan ringkas kepada penduduk kampung yang berkumpul untuk menyaksikan kemunculan anak seorang nelayan sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

''Bersyukur kepada Allah kerana telah mengamanahkan kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar. ''Jawatan ini amat berat tanggungjawabnya dan memerlukan kerjasama semua rakyat pelbagai kaum di seluruh negeri.
''Masanya sudah tiba untuk kita bersama-sama bekerja keras membangunkan negeri kerana masa untuk kita 'berbulan madu' sudah tamat," katanya.

Jumaat, 6 Februari 2009

Pulihkan keyakinan rakyat..!

ANGGOTA Dewan Undangan Negeri Pangkor, Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun ketika Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam.

KEDUDUKAN rapuh kerajaan campuran Perak yang dibentuk oleh parti DAP-PKR-Pas sebenarnya sudah dapat ditelah dari awal lagi. Pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu, pakatan parti itu berjaya membentuk kerajaan hanya dengan kelebihan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memenangi 31 kerusi berbanding 28 kerusi Barisan Nasional (BN).

Kekalutan dalam pakatan parti itu semakin ketara pada episod pemilihan Menteri Besar Perak yang beberapa kali tertangguh ekoran rasa tidak puas hati terutamanya DAP.
Bagaimanapun kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu mesti disandang oleh seorang Melayu yang beragama Islam, maka Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak seperti yang diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Umum mengetahui jawatan Menteri Besar yang disandang beliau sebelum ini bukan keputusan majoriti, tetapi sebaliknya adalah kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Kerana itu juga, pemerintahan Mohammad Nizar sentiasa dibelenggu kontroversi apabila beberapa keputusan kerajaan Perak kelihatan cenderung memperjuangkan dasar-dasar yang ditentukan oleh DAP.

Paling mengejutkan apabila Mohammad Nizar menganugerahkan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina. Alasannya supaya sekolah-sekolah Cina tersebut dapat memajukan tanah berkenaan bagi menambah pendapatan sekolah. Rakyat Perak juga dikejutkan dengan pendedahan abang Mohammad Nizar, Mohd. Fazil Jamaluddin mengenai Perjanjian Pangkor II yang dibuat dengan DAP.

Perjanjian itu antara lain melarang Mohammad Nizar menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam. Beliau juga dikatakan tidak dibenarkan menyebut terma-terma politik yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti hudud dan qisas. Sebelumnya, Mohammad Nizar mengumumkan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru.

Cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak kerana ia disifatkan tidak munasabah serta bertentangan dengan semangat Kanun Tanah Negara. Isu-isu itu jugalah yang bakal menjadi cabaran kepada Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Lebih mencabar, Zambry mengepalai sebuah kerajaan yang sangat rapuh. BN terikat kuasanya dengan pakatan pembangkang apabila masing-masing menguasai separuh daripada majoriti kerusi DUN. Apa yang membolehkan BN merampas Perak hanyalah sokongan daripada tiga bekas wakil rakyat pakatan pembangkang.

Itu pun wakil rakyat berkenaan tidak menyatakan secara rasmi mahu menyertai BN, sebaliknya hanya menyokong tetapi berdiri di atas tiket ADUN Bebas. Untuk menunggu sehingga pilihan raya umum baru yang dijangka dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang, banyak perkara yang boleh terjadi.

Tidak mustahil dalam tempoh terdekat bakal ada ahli BN yang bertindak melompat parti dan kerajaan Perak sekali lagi akan berubah tampuk pemerintahan. Situasi panas itu seperti dijelaskan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, hanya merugikan rakyat Perak sendiri.

Ini kerana tumpuan di kalangan wakil rakyat kini adalah untuk memujuk wakil rakyat lawan menyertai parti mereka seterusnya membentuk kerajaan. Dalam keadaan itu, agenda-agenda pembangunan dan memperkasakan pentadbiran tidak lagi menjadi keutamaan, katanya.
Keadaan itu juga membawa kepada kewajaran bahawa kemelut politik Perak ketika ini harus dikembalikan kepada rakyat jelata.

Dalam erti kata yang lain perlu diadakan semula pilihan raya negeri. Namun, pastinya Sultan Azlan Shah mempunyai sebab tersendiri mengapa baginda merasakan bahawa pilihan raya negeri itu tidak perlu. Secara logik akal juga, peralihan kuasa kepada BN itu tidak bercanggah dengan peraturan dan dibenarkan dari sudut perlembagaan.

Ini kerana BN kini memiliki majoriti kerusi DUN. Penguasaan BN di Perak sebenarnya lebih kukuh melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Walaupun gagal merebut majoriti kerusi DUN, namun BN memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti-parti dalam kerajaan campuran iaitu sebanyak 28 kerusi.

Sebaliknya DAP hanya memenangi 18 kerusi, PKR (tujuh) dan Pas (enam). Walaupun jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pas, DAP dan PKR itu tinggi iaitu 31 kerusi, tetapi ia tidak boleh dianggap majoriti kerana parti-parti itu bukan daripada satu parti yang bertanding.

Justeru, kerusi yang dimenangi parti-parti itu perlu dikira secara berasingan. Namun atas keputusan berhemah Sultan Azlan Shah yang melihat majoriti ketika itu berpihak kepada pakatan DAP-PKR-Pas, maka pakatan parti tersebut berjaya membentuk kerajaan campuran.
Sikap berhemah Sultan Azlan Shah sekali lagi terserlah dalam isu ketika ini apabila BN yang kembali mempunyai suara majoriti diberikan hak untuk menubuhkan kerajaan.

Menurut Ahmad Nidzammuddin, sewajarnya Mohammad Nizar dan penyokong parti pakatan DAP-PKR-Pas menyanjung tinggi keputusan itu. Tindakan Mohammad Nizar menyembah derhaka untuk tidak melepaskan jawatan Menteri Besar mengguris hati orang Melayu apabila ia dilihat membelakangkan titah Sultan.

''Bagi orang Melayu yang sangat tinggi kesetiaan dan menjunjung kasih ke bawah duli yang maha mulia Raja, tindakan Mohammad Nizar itu sukar diterima," ujar beliau. Bagaimanapun dalam keghairahan merampas kembali Perak, BN perlu menyedari realiti sebenar kedudukan mereka terutamanya dari sudut sokongan rakyat kebanyakan.

Rakyat Perak terutamanya pengundi di tiga kawasan ADUN yang berpaling tadah menilai perbuatan wakil rakyat mereka melompat parti adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan. Dari sudut moral, ketiga-tiga wakil rakyat itu tidak lagi mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk mewakili rakyat jelata.

Soal kredibiliti juga menjadi persoalan apabila dua daripada tiga wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada BN itu terbabit dengan isu rasuah. Jamaluddin Mohd. Radzi, 52, dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu, 57 sebelum ini dituduh di mahkamah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan bagi membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Dalam ketika BN sudah sedia bergelut dengan isu kredibiliti seperti rasuah dan korupsi di mata kebanyakan masyarakat, kehadiran wakil rakyat itu sedikit-sebanyak mengikis kepercayaan terhadap kredibiliti BN. Begitu juga 'kepulangan' penuh misteri ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang beberapa hari sebelum peralihan kerajaan Perak mengumumkan keluar parti BN dan menyertai PKR.

Tindakan sekelip mata itu membuatkan rakyat Perak tertanya-tanya apa nilai kesetiaan yang dipegang oleh Nasaruddin? Perkara-perkara sebeginilah yang meletakkan kerajaan baru BN di Perak berdepan dengan sokongan yang sangat meruncing dan tipis.

Bukan sedikit usaha yang perlu dilakukan oleh Zambry terutamanya untuk menarik kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat Perak keseluruhannya menyokong kerajaan BN.
Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya BN berjaya mencari formula bagaimana untuk merakyatkan parti itu dan menjadikannya sesuai untuk semua golongan.
Menurut Ahmad Nidzammuddin, BN Perak perlu keluar dari kepompong yang selama ini memperlihatkan diri mereka seolah-olah kumpulan elit dan hanya sesuai untuk mereka dari kelas atasan.

''Sesuatu yang boleh dipelajari daripada kepimpinan kerajaan campuran sebelum ini ialah bagaimana mereka bersungguh-sungguh menambat hati rakyat dengan menumpukan kepada usaha meningkatkan kebajikan," katanya.

Lebih penting, BN Perak boleh mengembalikan keyakinan rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang sebelum ini menjerat kedudukan kerajaan campuran. Isu-isu itu termasuk penyerahan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina dan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru.

Seandainya kedua-dua perkara ini masih di peringkat cadangan, adalah wajar untuk BN Perak tidak meneruskannya dan mempertimbangkannya semula berdasarkan survival semua kaum.
Sumber : Utusan Malaysia