DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Isnin, 20 April 2009

Peringatan Sultan Azlan Shah

Tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan ‘menyalakan api dalam sekam.’

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika menyampaikan titah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-81 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.

Titah baginda, seseorang raja sebenarnya berada ‘di atas politik’ dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.

“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.
“Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang- undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kerabat-kerabat di raja yang lain. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir. Pada hemat baginda, rakyat negara ini terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Tegas baginda, dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian.

Justeru titah Sultan Perak, para pemimpin yang mewakili kumpulan politik berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Baginda mengakui hakikat sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara sememangnya berlaku kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir di negara ini.

Jelas Sultan Azlan Shah, baginda sendiri dari semasa ke semasa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahu pun tertutup berkaitan perkara-perkara yang tergelincir daripada dasar dan garis perundangan.

“Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca daripada kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

“Barang dijauhkan Allah, bangsa menghadapi nasib malang ‘menang sorak kampung tergadai’, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri,” titah baginda. Sultan Azlan turut mahu tafsiran bahawa raja berperlembagaan adalah raja sekadar lambang tanpa sebarang kuasa diperbetulkan segera.

“Raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

“Perlu ditegaskan bahawa raja berperlembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan serta hak untuk memberi peringatan dan teguran,” titah baginda.

Tegas baginda, peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan. Raja pemerintah, titah baginda, mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara agar sentiasa dilindungi.

Justeru, berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kata Sultan Azlan Shah, raja-raja mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum- kaum lain. - UM

DAULAT TUANKU..

Torashah

Sabtu, 18 April 2009

Setiausaha DUN Perak digantung...

Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah menggantung jawatan setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri kerana mengeluarkan notis untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Menurut Bernama, dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini, Sivakumar berkata, beliau menggantung tugas Abdullah kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.

"Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya," katanya. Sivakumar berkata akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.

"Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Anggota DUN," katanya.

Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam. Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu. Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu, maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihanraya bagi DUN perlu diadakan.

Notis mengadakan sidang DUN Perak itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar BN, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam ecxconya adalah terbatal dan tidak sah.Ekoran itu, mereka kini boleh menghadiri sidang DUN Perak.-malaysiakini

Torashah

Ahad, 12 April 2009

Pas dibanjiri wabak kejahilanisme?

Pas dibanjiri wabak kejahilanisme?SAYA didatangi seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang kononnya kini sedang dalam proses menyiapkan Ph. D. Tujuannya adalah untuk dapatkan pandangan saya terhadap beberapa soalan yang siap ditulisnya.

Bila ditanya kenapa saya yang dipilih, dia mendakwa dia adalah pecandu tulisan saya sejak dia di sekolah menengah lagi. Untuk tidak menghampakannya, saya memberikan kesediaan untuk memberikan pandangan saya tetapi ianya pastilah di luar lingkaran kecendekiawanan kerana jangankan Ph D, saya tak ada pun MA, BA mahu pun diploma.

Tahap keilmuan saya setakat 4 thanawi sahaja. Kerana bila diminta maklumat pendidikan selepas lapan tahun bertugas dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, saya tulis saya tidak bersekolah dan mencatatkan bahawa saya hanya pandai menulis dan membaca sendiri sahaja.Soalan yang ditanya adalah:

1. Kenapa bila tokoh-tokoh besar Pas seperti Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cerca pihak lawan, malah sering pula mendoakan kemusnahan pihak lawan politiknya, maka apa yang diucap dan diungkap akan disambut dengan takbir oleh para penyokong dan tidak ada yang buat teguran bahawa mencerca dan memburukkan orang lain hakikatnya adalah perbuatan terlarang. Tokoh seperti Datuk Dr Haron Din hampir tidak pernah mencerca pihak lawan, apatah lagi mendoakan kemusnahan atau meminta agar pihak lawan ditimpa petaka. Datuk Dr Haron Din adalah antara pimpinan Pas yang jarang pakai serban. Beliau hanya berkopiah atau bersongkok.

2. Bila Datuk Seri Haji Hadi kata Umno/BN menang di sesuatu kawasan kerana pengundi hantu dan Dato' Nik Aziz pun memperakukannya, orang Pas terimanya sebagai sesuatu yang betul dan benar. Bila Datuk Seri Haji Hadi kata mencerca peribadi dibolehkan dalam Islam, maka semua menerimanya sebagai sesuatu yang benar.

3. Demikian juga bila Dato' Nik Aziz kata Tuhan pun samseng, Allah juga mencarut dan boleh bekerjasama dengan syaitan, semua orang menerimanya tanpa bahas. Paling malang, bila ada yang kata KELMARIN TOK GURU SEMBAHYANG HAJAT, HARI NI HUJAN SELALU. BERKAT SUNGGUH TOK GURU.

4. Juga ada cerita mengatakan bahawa ada penjahat yang diupah menembak Dato' Nik Aziz datang ke rumah menteri besar itu untuk menjalankan tugasnya pada suatu malam. Kononnya untuk sampai ke halaman rumah Dato' Nik Aziz, mereka dapati ada sungai yang perlu diseberangi. Kerana tidak ada perahu atau rakit, mereka terpaksa berenang. Kononnya ketika mahu ke masjid sembahyang Subuh, Dato' Nik Aziz terperanjat melihat dua orang lelaki sedang meniarap dan menggayakan orang sedang berenang di halaman rumahnya yang berpasir.

Bila Dato' Nik Aziz tiup atas kepala lelaki-lelaki berkenaan barulah mereka sedar bahawa mereka sedang berenang atas pasir depan rumah orang yang mahu mereka tembak, bukannya sedang berenang menyeberangi sungai. Lelaki-lelaki berkenaan telah menceritakan apa yang berlaku kepada Dato' Nik Aziz. Lelaki-lelaki itu yang kononnya takutkan keramat Dato' Nik Aziz telah memilih menyertai Pas pada hari itu juga.

5. Macam mana komen enta?

"Jawapan saya adalah seperti berikut:

Mencerca, memburuk, mengaib dan mendoakan kemusnahan orang lain adalah perbuatan terlarang dan tidak halal. Saya teliti terjemahan 6,236 ayat al-Quran dan saya ketemui ayat 148 hingga 149 Surah An-Nisaa' yang melarang kita mengucapkan kata-kata buruk (mencerca) terhadap seseorang.Kepada pertanyaan kenapa bila tokoh-tokoh besar Pas seperti Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cerca pihak lawan, malah sering pula mendoakan kemusnahan pihak lawan politiknya, akan disambut dengan takbir oleh para penyokong dan tidak ada yang buat teguran bahawa mencerca dan memburukkan orang lain adalah perbuatan terlarang, jawabnya kerana penduduku dan penyokong jahil atau sengaja menjahilkan diri.

Malah bagi saya Pas kini sedang dilanda wabak dan sindrom kejahilanisme menyebabkan berlakunya trend taksubisme dan aliran memBERHALAkan sesama manusia walaupun kopiah dan serban memutih di kepala, sehingga rata-rata oendukung dan penyokong oarti itu melihat orang lain dan puak lain jahil belaka, hanya kita dan puak kita sahaja yang alim dan layak masuk syurga.Walhal ukuran jahil vs lebai sebenarnya bukan bergantung kepada janggut panjang, jubah labuh, ekor serban cecah tumit, bijih tasbih yang dibilang sebesar buah pinang atau boleh baca Quran dan hadis ‘belan (Sambil) bersiul jah’ serta bagi yang ada Ph D dalam bidang hukum hakam.

Sebaliknya kelebaian seseorang bergantung kepada hidayah, iman dan takwa yang dimiliki hasil anugerah Allah setelah diusahakan tanpa kenal erti kecewa dan putus asa bagi mendapatkannya serta sejauh mana pula ikhlasnya kerja-kerja amal ibadat yang dilakukan walaupun seseorang itu ketika sembahyangnya barangkali hanya mampu berpakaian sekadar menutup paras pusat hingga lutut sahaja.Mereka yang ada hidayah, ada iman dan takwa akan sentiasa sedar dan insaf bahawa tiada rasul dan nabi lagi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

Maknanya tidak ada sesiapa yang maksum dan bebas dari melakukan salah dan silap, termasuk tokoh-tokoh seperti Dato' Nik Aziz dan Dato' Seri Haji Hadi yang ditaksubi sehingga ke peringkat semacam memBERHALAkan sesama manusia oleh para pendukung dan penyokong Pas apabila apa yang dikata dan dilakukan ditelan sebagai benar belaka.

Sesuai dengan ketokohan dan mendalamnya ilmu amal keduanya (Dato' Nik Aziz dan Dato' Seri Haji Hadi serta mereka sestandard dan sestatusnya dengannya), syaitan dan iblis yang ditugaskan menggoda mereka tentulah dari kalangan yang ada kelas, bukannya dari kelas 'tamada' yang menggoda orang tamada macam saya.

Ertinya mereka juga tidak akan babas dari melakukan salah dan silap. Selain dari ada autoriti untuk menegur, mereka berdua juga kena dan perlu ditegur kalau dalam Pas masih ada kalangan mereka cuba bebaskan diri dari wabak dan sindrom kejahilanisme.Bagi saya berani membuat teguran terhadap keduanya adalah fardhu kifayah, kalau tak ada yang berani menegur bermakna Pas kini disemak-samun oleh wabak, sidrom dan fenomena kejahilanisme yang kronik.

Seandainya bila ditegur, maka mereka marah, maknanya mereka juga terjebak dengan perangkap kejahilanisme dek terpedaya oleh bisikan syaitan dan iblis, terutama ketika mereka marah, walaupun ketika di luar masa marah barangkali mereka memang sangat alim dan tinggi tahap ketakwaannya.Alim dalam bentuk lahiriah tetapi sering jahil dalam perlakuan dan tindak tanduk tidak semestinya syurga menjadi tempat pemastautinan abadi di akhirat nanti. Itu hakikat yang kena diperakukan.

Misalnya sebagai contoh, kita ambil iktibar kisah seorang yang sangat alim dan doanya sangat mustajab pada zaman nabi Musa a.s. tetapi orang alim itu masuk mati masuk neraka kerana perlakuannya memenuhi kemahuan Firaun yang menyogok isteri orang alim berkenaan dengan 15 kati emas agar medoakan kebinasaan ke atas Nabi Musa a.s.

Ketika ditemui oleh orang suruhan Firaun yang membawa sogokan emas supaya tolong doakan agar Nabi Musa sesat di padang pasir, orang alim itu menolaknya. Baginya mengkhianati Pesuruh Allah, samalah seperti mengkhianati Allah. Baginya jangankan berkati, kalau pun disogok berpikul emas pun dia tidak akan penuhi apa yang dimahukan oleh Firaun.Kelemahan orang alim itu dicari dan pasukan penyiasat Firaun mendapat tahu bahawa orang alim itu sangat sayangkan isterinya dan akan penuhi segala permintaan isterinya. Dengan kata laian orang alim itu dari spesis lelaki ‘alah ko bini’.

Isteri orang alim itu disogok dengan 15 kati emas supaya memujuk suaminya mendoakan agar Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir. Bila isterinya meminta agar suaminya berdoa seperti yang dimahukan Firaun, pada awalnya orang alim itu menolak.Tetapi apabila isterinya memaklumkan dia telah mengambil upah 15 kati emas dan sangat seronok dengan upah yang diterima setelah sebelumnya hidup dalam keadaan serba daif, orang alim itu terpaksa melakukannya demi untuk menjaga hati isterinya.

Dia bukan takutkan bini tetapi bininya lebih-lebih lagi tidak takutkannya.Untuk memastikan doanya tidak makbul, orang alim itu telah pergi berdoa dalam kandang kuda, yakni tempat yang kotor dengan harapan doanya tidak akan dimakbulkan. Macam mana pun doanya tetap makbul dan Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir.Kerana perbuatannya itu, orang alim berkenaan mati masuk neraka. Maknanya doa untuk kemusnahan orang lain adalah perbuatan berdosa dan boleh menyebabkan orang yang mendoakan kemusnahan orang lain akan dicampak ke neraka walaupun ianya seorang yang sangat alim dan warak pada lahiriahnya.

Justeru, berpasak-paksikan riwayat itu, maka tidak kira sama ada ianya Dato' Nik Aziz, Dato' Seri Haji Hadi, mufti, exco/menteri agama, bila didapati mencerca atau mendoakan kemusnahan terhadap orang lain, maka perbuatan itu adalah merupakan perbuatan bersalutkan kejahilanisme, terutama ketika sedang melakukan perbuatan itu.

Pandangan yang mengKERANAkan apabila kalah dalam pilihanraya kononnya disebabkan pengundi hantu juga bagi saya bersifat mengKERANAkan sesuatu selain dari KERANA ALLAH dan ianya adalah suatu keyakinan dan kepercayaan bersalutkan kejahilanisme.Kalah menang dalam pilihanraya bukan kuasa mana-mana parti atau keramat tokoh-tokoh tertentu yang ditentukan, sebaliknya ia sebenarnya telah sedia tersurat dan tertakdir. Manusia hanya boleh berusaha tetapi tidak boleh memastikan apa yang diusahakan akan ‘jadi’ sebagaimana yang diusaha dan diharapkan.

Demikian juga bila kalah dalam pilihanraya, ianya adalah kerana memang itu yang telah disurat dan ditakdirkan. Kalau kalah dikaitkan dengan pengundi hantu, maka ianya bersifat mempertikai, menolak tepi dan menafikan takdir dan suratan-Nya, sekaligus ianya boleh merosakan akidah kerana mengKERANAkan selain dari KERANA ALLAH.

Pun demikian halnya apabila kita kononnya boleh mencarut dan boleh samseng kerana Allah juga mencarut dan samseng, ianya bersiafat menyama-tarafkan Allah Maha Pencipta dengan kita manusia yang dicipta. Sebagai hamba kita tidak boleh setarafkan diri kita dengan Allah, malah dengan nabi pun kita tak boleh samatarafkan diri.

Bila Allah samseng atau mencarut (jika benar sifat Allah begitu), kita tidak boleh ikut sama samseng dan mencarut kalau mahu jadi hamba-Nya yang mendapat pahala. Allah tu siapa dan kita pula siapa?Kita kena muhasabah diri. Apa yang nabi buat, umpamanya kahwin hingga sembilan isteri, sebagai umat kita tak boleh ikut, kita dibolehkan hanya beristeri setakat empat sahaja, itu pun jika mampu berlaku adil dan tidak menipu isteri pertama, apatah menyembunyikan perkahwinan kedua, ketiga atau keempat dari isteri atau isteri-isteri yang telah sedia ada.

Cerita berenang atas pasir atau kelebih-kelebihan lain juga lebih bersifat kerana mahu menBERHALAkan tokoh yang dianggap keramat. Tak ‘kanlah tokoh yang dikeramatkan itu lebih keramat dari nabi yang mengalami patah gigi dan luka-luka dalam perang.Nabi dilontar batu dan macam-macam oleh penentang seruannya, tetapi tidak ada riwayat yang kata pelakunya bengkok tangan, mengembik tidak berhenti atau berak memanjang sebagaimana kononnya yang dialami oleh pelaku terjadap tokoh-tokoh tertentu yang kononnya juga pelaku itu hanya pulih selepas minum air tawar tokoh-tokoh berkenaan.

Tentang sanggup bekerja dengan syaitan pula bagi saya adalah suatu kenyataan yang tidak patut disebut kerana bukan sahaja dengan syaitan laknatullah, dengan orang Yahudi pun dilarang bekerjasama atau diajdikan orang kepercayaan.Larangan itu terkandung dalam ayat 118 hingga 120 Surah Ali-’Imran.Kalau dah macam tu kenapa tak ada yang tegur. Soal lelaki berkenaan yang memohon agar namanya tidak dicatatkan, malah kalau boleh dirahsiakan demi kepentingan bahan untuk Ph D nya.

Bagi saya keadaan itu berlaku kerana dalam Pas kini diwabaki, disindromi dan difenomenai kejahilanisme dan amalan memBERHALAkan sesama manusia sehingga mereka lupakan kandungan Surah Al-Asyr. Mereka tidak ambil kisah tentang kata-kata bahawa ada kemungkinan orang atau puak yang dianggap dan disangka melakukan perbuatan ahli syurga sebenarnya melakukan kerja ahli neraka.

Mereka boleh telan bahawa Pas itu Islam dan Islam itu Pas sedangkan Islam datang dari allah manakala pegawai pendaftaran pertubuhan yang meluluskan pendaftaran Pas itu adalah seorang pegawai yang beragama Hindu. Pas tidak cukup suci untuk disamatarafkan dengan Islam.Pas barangkali boleh menggunakan pendekatan yang dituntut oleh Islam dalam berpolitik. Islamik atau tidak hasilnya bergantung kepada niat dan sejauh mana selarinya dengan apa yang Islam, Allah dan rasul-Nya.

Bagi saya kalau pendukung dan penyokong menganggap Pas itu Islam dan Islam itu Pas samalah seperti menganggap Melayu iu Islam dan Islam itu Melayu yang boleh menyumbang kepada kerosakan akidah .Mudah-mudahan ada alim ulamak yang tidak bias politik membetulkan saya jika saya silap!

Sumber dan tulisan asal:
http://melikapakjangak.blogspot.com/2009/04/muncul-kembali-134.html

Rabu, 8 April 2009

Bukan Melayu undi pembangkang!

PENGUNDI sudah pun membuat pilihan. Walaupun sukar untuk diterima oleh pihak yang kalah tetapi itulah keputusannya.

Calon anak tempatan yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian gagal menyaingi populariti calon Pas, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin - yang menjadi Menteri Besar Perak selama 11 bulan.

Taktik pembangkang melepaskan peluru penabur di saat-saat akhir dengan mensasarkan serangan peribadi kepada Ismail pada malam sebelum pengundian - sehingga tidak memberi peluang kepada beliau untuk membela diri - sedikit-sebanyak memberi kesan kepada pengundi Melayu atas pagar di kawasan Parlimen ini.

Dan seperti disebut-sebut sepanjang kempen pilihan raya kecil ini, pengundi Cina menjadi penentu apabila mereka beramai-ramai keluar mengundi untuk memberi sokongan kepada Mohammad Nizar yang menjadi calon pilihan DAP sejak awal-awal lagi.

Ternyata pendekatan populis yang diambil oleh Mohammad Nizar sepanjang menerajui kerajaan negeri mendapat sokongan pengundi Cina yang meliputi 27 peratus daripada keseluruhan 56,462 pemilih berdaftar.

Walaupun perkembangan dua tiga hari sebelum tarikh pengundian menunjukkan seolah-olah angin perubahan telah melanda kem BN khususnya kalangan masyarakat Cina tetapi realitinya tidak begitu.

Disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di Taiping. Bandar warisan tempat penjumlahan undi bagi pilihan raya kecil P059 ini memang hujan setiap hari. Sambutan hangat kepada program yang dihadiri Pengarah Pilihan Raya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Sepetang, tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang yang mempunyai 6,276 orang atau 31.8 peratus pemilih berdaftar kaum Cina mencatatkan jumlah keluar mengundi tertinggi semalam iaitu sebanyak 15,411 pengundi atau 78.14 peratus. Dan di situ sahaja, BN kalah dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Ini bermakna BN mengalami majoriti kekalahan lebih 100 peratus berbanding majoriti kemenangan pembangkang di DUN itu pada pilihan raya umum lalu yang hanya 564 undi.
BN juga kalah dalam DUN Changkat Jering yang mencatat peratusan keluar mengundi 73.79 peratus atau 18,418 pengundi.

BN hanya menang di DUN Trong - daerah terbesar dengan jumlah pengundi terkecil iaitu 10,796 orang. Itupun dengan majoriti tidak sampai 1,000 undi daripada 7,928 orang atau 73.8 peratus yang keluar mengundi.

Keseluruhannya 41,757 orang atau 75.34 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini, pertambahan 2.69 peratus berbanding 72.65 peratus atau 40,299 orang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Dan seperti yang sudah diketahui umum, calon Pas yang mendapat sokongan 100 peratus daripada parti pakatan pembangkang DAP dan PKR, menang dengan majoriti 2,789 undi iaitu pertambahan 1,223 undi berbanding pilihan raya umum tahun lalu. Pada PRU-12, calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi kalah majoriti 1,566 undi kepada calon Pas, Roslan Shaharum yang memperoleh 20,015 undi. Calon Bebas, Morgan mendapat 872 undi.

Analisis daripada kekalahan BN di Bukit Gantang, satu faktor patut menjadi renungan BN khususnya parti-parti komponen - MCA dan Gerakan - bahawa majoriti pengundi Cina tidak memihak kepada mereka lagi.

Namun tentulah tidak adil untuk meletakkan kesalahan 100 peratus kepada kedua-dua parti itu sahaja. Hanya persoalannya, ke mana undi para penyokong BN yang kecewa dengan fenomena pada 2008 dan dikatakan sudah kembali menyokong BN. Keputusan BN untuk melantik badan bebas melakukan bedah siasat punca kekalahan parti itu adalah langkah yang tepat.

"Walaupun kita bekerja keras dengan turun ke bawah memberi penjelasan kepada pengundi tetapi tidak berjaya meyakinkan mereka untuk menerima kita," katanya sebagai reaksi terhadap kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Mungkin BN memerlukan badan bebas untuk memberikan jawapan lebih telus tanpa berselindung tentang sebab-sebab kekalahan parti itu. Apakah isu yang sebenarnya sehingga BN tidak mendapat sokongan pengundi malah dengan kadar yang merosot daripada pilihan raya umum lalu? Dan apa lagi yang dimahukan oleh pengundi bukan Melayu daripada BN?

Bagaimanapun seperti yang dipersetujui sendiri oleh Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya Pas Perak, Asmuni Awi pada sidang akhbar harian di markas parti itu pada awal-awal kempen, keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang bukan satu referendum rakyat.
Ia tidak boleh dijadikan cerminan pendirian seluruh rakyat Perak terhadap kerajaan negeri BN, apatah lagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru berusia lima hari.

Seperti kata Muhyiddin, gagasan yang dibawa oleh Najib masih terlalu baru untuk diserap oleh rakyat di negeri ini. Tambahan pula rakyat Perak masih keliru dengan krisis kerajaan negeri yang berlarutan sejak hujung tahun lalu.

Menjadi adat bertanding. Ada menang dan ada yang kalah. Tetapi yang menang tidaklah boleh mendabik dada bahawa mereka menang kesemuanya. Bagi BN yang kalah, masih ada harapan untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada parti tersebut. Pilihan raya adalah satu proses demokrasi.

PRU Ke-13 masih jauh lagi. Najib bersama saf kepimpinan baru yang bakal diumumkan nanti mempunyai masa untuk meyakinkan rakyat agar mempercayai konsep 'parti, rakyat, kerajaan' serta gagasan 'Satu Malaysia' yang menjanjikan kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Sabtu, 4 April 2009

TUN Mahathir Kembali Ke Pangkuan UMNO..

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai semula Umno selepas keluar daripada parti hampir setahun lepas.

Bekas presiden Umno itu menyerahkan borang penyertaan semulanya itu berserta yuran keanggotaan RM2 kepada Perdana Menteri dan presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, di sini, pada pukul 12 tengah hari.

Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak mereka Datuk Mokhzani turut menyertai semula Umno dan menyerahkan borang keanggotaan kepada Najib.
Najib berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana sanggup untuk bersama-sama meneruskan perjuangan dengan Umno."Saya percaya kemasukan Tun Dr Mahathir akan memberi ransangan kuat kepada Umno dan boleh membantu memulihkan Umno dan Barisan Nasional," kata Najib kepada pemberita pada majlis penyerahan borang keanggotaan Umno itu.

Sebagai negarawan, beliau berkata Dr Mahathir dapat memainkan peranan bermakna dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional.Najib turut mengalu-alukan kemasukan semula Dr Siti Hasmah kerana jasanya kepada Umno dan negara selama ini sudah tentu dapat membantu peranan wanita di masa hadapan.

Dr Mahathir keluar Umno pada 19 Mei tahun lepas setelah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun."Walaupun berada di luar Umno, hati ada dalam Umno," kata Dr Mahathir sambil menjelaskan tegurannya terhadap parti itu selama ini adalah untuk membina dan bukan untuk menghancurkannya.

Kepada soalan dahulu beliau masuk semula Umno di zaman perdana menteri kedua Tun Razak Hussein dan kini menyertai semula Umno di zaman Najib, anak Tun Razak, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: "Itu pakatan kekeluargaan yang tidak disengajakan".Dr Mahathir pernah disingkirkan daripada Umno di zaman Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman pada 26 Sept 1969 kerana mengkritik kepimpinan pemimpin itu.

Kemudian perdana menteri kedua Tun Abdul Razak menerima semula kemasukan Dr Mahathir ke dalam Umno pada 1972.Dua lagi anak Dr Mahathir iaitu Datuk Mukhriz dan Datuk Mirzan turut hadir pada majlis hari ini.Ditanya mengenai peranan yang akan dimainkannya kelak, Dr Mahathir percaya seseorang pemimpin harus membantu Umno setelah bersara dan bukannya berpisah dengan Umno setelah bersara.

Mengenai jawatannya di dalam Umno atau kerajaan kelak, Dr Mahathir berkata "ianya tak payah" dan menambah kata beliau bersedia memberikan pandangan sekiranya diperlukan.Mengenai kesan kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam Umno terhadap pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah pada Selasa ini, Najib percaya tindakan Dr Mahathir itu akan memberikan perkembangan positif yang akan diterima oleh anggota Umno.

Sementara itu :

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Sabtu serah borang untuk menyertai semula UMNO dan menyeru rakan-rakannya yang sudah meninggalkan UMNO untuk kembali ke pangkuan parti dan bergandingan dengannya untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk membaikpulih UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat.

"Imej UMNO sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah sangat tercalar, maka langkah pertama yang harus dilakukan oleh Najib ialah membersihkan UMNO dalam apa cara sekalipun," katanya. Dr Mahathir menambah, walaupun telah berada di luar UMNO buat seketika, tetapi hatinya tetap sentiasa bersama UMNO. "Selama ini saya memang lantang mengkritik.

Tetapi teguran saya adalah untuk membina semula UMNO dan bukan untuk menghancurkan UMNO," tegasnya dalam sidang media pertama Najib sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6, kelmarin. Sidang media itu berlangsung di kediaman Najib di Sri Satria, Putrajaya tengahari Sabtu selepas Najib dan Dr Mahathir berbincang selama dua jam setelah bersarapan bersama. Pada sidang media itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan borang keahlian dan yuran RM2 untuk menyertai semula UMNO kepada Najib.

Tturut serta menyerahkan borang dan wang keahlian ialah Tun Dr Siti Hasmah, serta anak mereka, Datuk Mokhzani. Hadir sama menyaksikan ialah Datuk Mukhriz dan Mirzan. "Kepulangan Tun memberi rangsangan kepada UMNO dan sudah pasti dapat membantu membaik pulih UMNO. Saya bagi pihak UMNO yakin kepulangan semula negarawan ini akan memainkan peranan penting dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti," kata Najib.
Menurut Najib, Tun sudah mengesahkan persetujuan untuk turun berkempen Isnin ini di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. "Kini satu episod dalam UMNO telah berakhir dan kehadiran Tun adalah pembuka tirai untuk membawa kembali bekas pemimpin UMNO yang dahulu untuk bersama pemimpin-pemimpin sekarang dalam memperjuangkan keharmonian negara. "Hari ini Tun datang bersama seisi keluarga untuk kembali ke pangkuan UMNO dan kehadiran Tun Dr Siti Hasmah boleh membantu pemimpin Wanita.

UMNO juga mengalu-alukan penyertaan Datuk Mokhzani," kata Najib.Apabila diminta mengulas peristiwa ini mengulangi sejarah beliau menyertai semula UMNO semasa ayah Najib, Tun Razak Hussein menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir berkata, "Hubungan kekeluargaan ini adalah kebetulan dan tidak disengajakan." Ditanya samada beliau akan menawarkan sesuatu jawatan rasmi kepada mantan Perdana Menteri itu, Najib berkata ianya tidak ada dalam perancangan buat masa ini.

"Tetapi saya boleh mendapatkan nasihat Tun pada bila-bila masa sahaja,"katanya. Najib turut berseloroh apabila ditanya mengenai gertakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memburuk-burukkannya. "Siapa Anwar Ibrahim?," katanya kepada wartawan. Soalannya kemudian disambut oleh Tun yang menjawab, "Orang yang mahu menjadi Perdana Menteri pada 16 September itulah." Ini membuat semua yang hadir ketawa.

Tun Mahathir turut mengulas mengenai khabar angin mengenai tawaran jawatan kepadanya, "Tak payahlah sebut pasal jawatan. Bila-bila masa Najib boleh datang jumpa saya jika saya dipercayai boleh membantu UMNO."Mengulas mengenai tindakan Najib membebaskan beberapa tahanan ISA semalam, Tun berkata beliau telah melakukan perkara yang pertama ketika dilantik menjadi Perdana Menteri dulu.

"Antara perkara pertama saya lakukan ketika menjadi Perdana Menteri dulu ialah membebaskan 21 tahanan ISA. Saya yakin Najib akan mengikut jejak ayahnya menjadi seorang Perdana Menteri yang hebat."

Mengenai rombakan kabinet, Najib berkata, "Berita mengenai rombakan kabinet itu media sendiri yang buat, bukan saya. Tetapi saya sedang memikirkannya. Beliau enggan mengumumkan tarikhnya dan sekadar menjawab, tidak lama lagi. Namun difahamkan Najib akan mengumumkannya pada 8 April sebelum beliau berlepas ke Pattaya, Thailand. - MYKMU

Torashah