DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Selasa, 30 Jun 2009

Konsep 1Kelantan Yang Diamalkan Pas!

Patung Buddha Duduk, Tumpat, Kelantan

Dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksana kerajaan Kelantan sejak 1990 ternyata turut diterima rakyat pelbagai kaum di negeri ini. Di mana ia mencerminkan seakan-akan konsep 1Kelantan apabila semua kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa di bawah dasar tersebut.

Sedangkan konsep 1Malaysia baru diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak selepas mengambil alih teraju pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi April lalu. Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Anuar Tan Abdullah berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) baru sedar konsep tersebut sedangkan ia sudah lama diamalkan di Kelantan kini hampir 20 tahun.

Sumber: Haprakdaily.Berikut adalah fakta-fakta mengenai 1Kelantan yang tidak didedahkan oleh Anuar Tan Abdullah:

1. Berikan nama satu masjid yang kerajaan Pas telah dirikan semasa pemerintahannya yang kononnya Dasar Membangun Bersama Islam. Apakah masjid besar dan moden yang boleh dibanggakan oleh rakyat Kelantan?

2. Semasa kerajaan BN mentadbir Kelantan, permohonan kaum keturunan Siam untuk membina sebuah berhala di Kampung Berok, Pasir Mas tidak diluluskan kerana ketinggiannya yang agak menonjol. Setelah berkali-kali memohon, maka kerajaan BN meluluskan dengan syarat:


Berhala itu tidak boleh dibuat menegak, tetapi perlulah dibaringkan.
Berhala hendaklah terlindung agar tidak mengganggu kaum Melayu Islam di sekitarnya.

Apabila "Kerajaan Islam" Pas mentadbir semakin banyak projek berhala yang diluluskan di Kelantan. Berhala duduk yang berada di Jong Bakar, Tumpat telah diluluskan walaupun ketinggiannya menyamai 5 atau 6 tingkat bangunan.

3. Berhala Buddha terbesar di Asia Tenggara di Kampung Tawang, Bachok. Ketinggian berhala ini menyamai 12 tingkat bangunan iaitu melebihi 100 kaki dan diletakkan secara berdiri. Berhala ini dibina betul-betul bertentangan dengan kiblat solat. Pelancaran perasmian tokong Buddha itu akan disempurnakan oleh Exco kerajaan negeri, Dato' Anuar Tan Abdullah sendiri pada 6 Jun 2009.

Inikah Dasar Membangun Bersama Islam yang diamalkan oleh Parti Angguk Saja (Pas) Kelantan?

Sumber : Blog Cucu Tok Selampit

Warna-warni politik Torashah

Sabtu, 27 Jun 2009

Jangan ikut etika syaitan!

SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA mengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.

Pandangan Harussani tidak lagi dilihat sebagai pendapat seorang ulama yang harus dihormati tetapi beliau dikecam dan dituduh sebagai menyokong UMNO.

Segalanya berlaku apabila Harussani menyuarakan kekesalan berikutan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas dan UMNO. Beliau diserang habis-habisan di dalam blog-blog tetapi beliau tidak peduli semua itu.

‘‘Saya bercakap yang hak (benar), dalam Islam mengeratkan silaturahim antara saudara Islam adalah wajib, jadi saya hairan daripada rujukan mana sesetengah pihak itu ambil sehingga sanggup mencela saudara seagama,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD ZIN di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Walaupun sekali sekala dalam berhujah, Harussani menyelitkan kata-kata gurauan namun nada beliau sentiasa serius apabila menekankan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Bagi Harussani, masa depan golongan itu dalam semua bidang termasuklah politik akan berhadapan dengan bahaya, jika mereka terus berpecah belah.

Harussani juga kecewa kerana ada sesetengah ahli politik begitu mudah mengeluarkan hujah yang mengelirukan dan mencela sesama Islam. Oleh itu beliau mengingatkan dalam apa pun perkara berkaitan hubungan sesama Islam, jangan sesekali mengikut etika syaitan.

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?
HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.

Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah 'ikat' kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya."

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya. Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.
Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa': 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan. Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.

Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu.

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan. Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.

Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat. Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang. Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini. Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.

Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi. Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.

Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.
Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya 'bantai', kalau raja tak betul, raja saya 'hentam' saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.

Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan. Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.

Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.
Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul. Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal 'Tan Sri'. Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.

Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur. Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.

Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa. Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.

Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?

Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar. Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain. Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa'uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur. Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.

Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.

Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.
Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.

Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.
Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).

Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa' ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?

HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.

Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?

HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).

Sumber Utusan
Warna-warni politik Torashah

Khamis, 11 Jun 2009

Sultan Perak: Jangan pertikai kedaulatan Yang di-Pertuan Agong

Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa sebarang gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, bukan sahaja telah melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima, serta dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

"Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu," titah baginda pada perasmian Majlis Wacana Ilmu di Institut Tadbiran Islam Perak di Ipoh hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, lapor Bernama.

"Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang telah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka," titah Baginda.

Sultan Azlan bertitah penyimpangan daripada semangat asal yang telah dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan."Pada masa yang sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas."Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titahnya.

Baginda bertitah amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Tafsir berdasar ilmu

Sultan Azlan bertitah manusia biasanya dapat berfikir dengan rasional jika asas pertimbangan sentiasa didasarkan kepada ilmu pada sesuatu peristiwa yang ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta.

Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri daripada pengaruh sentimen dan emosi yang dapat membezakan tentang apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku, titah baginda."Ilmu menjadi bernilai jika yang dipelajari itu dapat diamalkan dalam kehidupan harian. Ujian sebenar terhadap penguasaan ilmu adalah di peringkat aplikasi.

Manusia yang berjaya menghayati ilmu akan memperlihatkan penguasaannya terhadap ilmu di peringkat aplikasi," titahnya."Lima puluh tahun yang lalu ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan profesional, kesopanan dan kesusilaan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini, merupakan komponen yang ditekankan dalam proses pendidikan dan penyampaian ilmu, merupakan elemen penting untuk mewujudkan kestabilan," titah Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah negara telah memiliki bilangan cerdik pandai dan profesional yang jauh lebih ramai namun ia mula memperlihatkan kelunturan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang menjadi prinsip kelima dalam Rukun Negara.Titahnya aspek kesopanan dan kesusilaan juga bagaikan tidak diutamakan lagi walaupun institusi ilmu tumbuh bercambah pada hari ini."

Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian, atau kemungkinan berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga teralpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan," titahnya.

Sultan Azlan bertitah ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat."Semoga komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian penting dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan," titah baginda.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 7 Jun 2009

Mampukah Pas jadi parti utama?

''Bersandarkan kepada latar belakang politik negara yang kelam kabut dan iklim dunia yang semakin parah suasana geopolitiknya pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki menerusi tema muktamar kali ini iaitu - Islam Memimpin Perubahan.

Demikianlah petikan ucapan dasar oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di Shah Alam, kelmarin yang sekaligus memberikan isyarat yang jelas bahawa parti itu kini bukan sahaja sudah bersedia menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang malah mula mengatur langkah untuk menerajui negara ini.

Atas sebab itulah, Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan tersebut yang turut dihadiri oleh Lim Kit Siang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, Pas bersedia menawarkan diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia selepas berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, jika diberi mandat oleh rakyat.

Dalam soal ini mana-mana juga pihak termasuk pakatan pembangkang tidak harus merasa gundah gulana dengan apa yang diperkatakan oleh Abdul Hadi kerana kenyataan itu hakikatnya adalah hasrat yang dizahirkan atas keyakinan bahawa "keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia."

Tambahan pula, kenyataan Abdul Hadi itu selaras dengan desakan yang bergema dalam perbahasan di peringkat Dewan Pemuda mahupun muktamar yang mahu Pas menjadi parti dominan atau tulang belakang kepada pakatan pembangkang dan bukan sekadar pengikut sahaja.

Sememangnya kenyataan Abdul Hadi adalah tepat pada masanya kerana selama ini sepanjang berada dalam pakatan tersebut, Pas dilihat seolah-olah tidak berdaya untuk 'menyanggah' apa yang dilakukan oleh rakan pembangkang yang lain.

Ada ketikanya pula, rakyat mempertikaikan pendirian Pas apabila ada sesetengah isu yang dicetuskan oleh pembangkang biarpun dilihat tidak betul tetapi tidak disanggah oleh Pas. Perjuangan Pas yang berteraskan Islam menambahkan lagi desakan bahawa parti itu sepatutnya berada teratas berbanding parti-parti lain kerana di situ Islam sepatutnya diletakkan.

Berkemungkinan

Sememangnya sementara kita mengakui bahawa dalam politik segalanya berkemungkinan, namun begitu dalam usaha Pas mencapai cita-cita tersebut, terlalu banyak yang harus dilakukan oleh parti itu bagi memastikan apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Ia termasuklah untuk menyakinkan PKR dan DAP untuk menerima konsep Islam yang diperjuangkan.

Apa pun, cabaran utama Pas ialah memperkukuhkan kedudukan politik dan dalaman jika mereka berhasrat untuk bukan sahaja menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang tetapi juga memerintah negara. Pas perlu memberi keyakinan kepada rakyat secara keseluruhan bahawa mereka alternatif terbaik.

Dari segi politik, jika Pas ingin menjadi dominan, mereka perlu terlebih dahulu mempunyai kerusi Parlimen yang mencukupi. Pada masa ini Pas hanya mempunyai 23 kerusi Parlimen iaitu lapan kerusi di Kelantan, enam kerusi di Kedah, dua kerusi di Terengganu, dua kerusi di Perak, empat kerusi di Selangor dan satu kerusi di Wilayah Persekutuan.

Ia bermakna kedudukan Pas adalah terlalu rapuh untuk menjadi dominan hatta dalam pakatan pembangkang sekali pun. Oleh itu Pas harus mengkaji dari sekarang kerusi-kerusi yang boleh ditandingi oleh parti tersebut. Mahu tidak mahu, Pas harus menjadi parti yang memiliki majoriti dalam Parlimen seperti mana kedudukan UMNO sekarang yang mempunyai 78 kerusi.

Jika Pas tidak mempunyai kerusi majoriti dalam Parlimen maka apa juga yang diperkatakan oleh Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya hanya akan menjadi satu mimpi indah yang tidak akan kesampaian. Dalam soal ini ketegasan pucuk pimpinan Pas adalah penting terutamanya ketika pembahagian kerusi untuk PRU13 hendak dilakukan.

Pas tidak boleh tunduk kepada sebarang tekanan daripada DAP atau PKR sehingga terpaksa sekali lagi menjadi pengikut seperti mana berlaku dalam pilihan raya umum lalu. Begitu juga di peringkat negeri, Pas perlu menguasai kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri seperti mana kejayaan dicapai di Kedah dan Kelantan.

Parti itu perlu mempunyai keyakinan diri untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu kerana seperti mana kata Abdul Hadi, "Sepanjang tempoh puluhan tahun kewujudan Pas ini, kita telah berjaya untuk memecahkan tembok masyarakat bukan Islam yang dahulunya merasa janggal dengan Pas."

Bagi melaksanakan tujuan itu, Pas perlu memberi peluang kepada ahli-ahli yang berada di dalam Kelab Penyokong Pas untuk menjadi calon.

Persoalannya, mahukah DAP dan PKR memenuhi jumlah kerusi yang dituntut oleh Pas termasuklah di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu? Biarlah persoalan ini diselesaikan oleh pucuk pimpinan Pas tetapi apa yang pasti kalaulah benar Pas berhasrat menjadi peneraju kepada pemerintahan negara, inilah cabaran pertama yang harus ditempuh.

Seperkara lagi, apabila Pas membentangkan slogan bertemakan, 'Islam Memimpin Perubahan', parti itu haruslah melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa Islam bersifat universal seperti mana ditegaskan oleh Abdul Hadi bahawa "kita perlu menyedari bahawa Islam adalah sebuah addin yang lengkap dan syumul. Ia sama sekali tidak bersifat kaku, jumud dan eksklusif sebagaimana yang dikritik oleh para orientalis barat yang buruk sangka terhadap Islam."

Kita tidak menafikan bahawa sokongan bukan Islam kepada Pas semakin meningkat tetapi dalam masa yang sama keyakinan mereka terhadap pelaksanaan kepimpinan berteraskan Islam harus diperkukuhkan. Jika mereka melihat bahawa Pas sememangnya boleh menjadi alternatif terbaik melalui pendekatan Islamnya tidak mustahil calon-calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya akan mencapai kejayaan.

Taksub

Bagaimanapun dalam keghairahan Pas untuk menumbangkan UMNO janganlah terlalu taksub melihat apa sahaja yang dilakukan oleh parti induk Melayu itu semuanya salah. Ini kerana pendekatan seumpama itu boleh menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

Dalam soal ini, pemimpin-pemimpin Pas perlu bersikap terbuka, mereka perlu menyokong jika sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah betul mereka perlu menyokong tetapi kalau sebaliknya maka menegurlah dengan baik. Jangan terlalu ghairah melihat UMNO seolah-olah 'musuh kamu yang paling nyata' . Sebagai sebuah parti politik, Pas sudah pastilah mempunyai kelemahan dan tidak semestinya segala tindakan politik mereka semuanya betul belaka, begitu juga dengan UMNO.

Pendirian memberikan teguran secara baik adalah selaras dengan pendirian Abdul Hadi yang menegaskan sebanyak dua kali dalam ucapan dasarnya bahawa; "Pas mempunyai sikap keterbukaannya untuk bertemu serta berbincang dengan sesiapa sahaja bagi kepentingan Islam dan seterusnya rakyat di dalam negara kita ini." dan "Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah dengan sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema 'Islam Memimpin Perubahan'.

Oleh itu prinsip ini perlu dipegang teguh oleh semua kepimpinan dan ahli Pas. Tidak salah untuk mempunyai hasrat untuk menggantikan UMNO, malah bukanlah satu 'dosa' mempunyai niat sedemikian, tetapi janganlah mempunyai perasaan seolah-olah melihat segala keburukan yang berlaku di dalam negara ini adalah akibat perbuatan UMNO.

Langkah itu bersesuaian dengan penegasan Abdul Hadi kepada wartawan, kelmarin bahawa, "pada ketika ini Pas menjadi penasihat kepada kerajaan dan bukannya membangkang membuta tuli''.

Kesimpulannya, Abdul Hadi sudah pun secara terbuka menyatakan hasrat Pas untuk menjadi parti utama di negara ini, oleh itu terserahlah kepada pemimpin dan ahli Pas untuk membuat persiapan bagi merealisasikan impian beliau itu, tetapi apa yang pasti ia bukanlah sesuatu yang mudah dicapai seperti mana 'selancar' ia dilafazkan. - UM

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 1 Jun 2009

Zaid Ibrahim ''Merepek'' Lagi!!!

Zaid Ibrahim buat hal lagi. Bekas Menteri di Pejabat Perdana Menteri ini sekali lagi membuat kenyataan konstroversi apabila mengkritik tindakan kerajaan Malaysia mengenai isu usaha membawa Chin Peng ke Malaysia.

Zaid dilaporkan menyatakan "kerisauan"nya mengenai isu Chin Peng yang menurutnya berbaur "perkauman". Tapi, benarkah isu Chin Peng ini berbaur "perkauman" sebagaimana yang didakwa?

Zaid mendakwa Dato' Seri Rais Yatim dan Dato' Seri Zahid Hamidi telah memberi kenyataan yang berbaur perkauman apabila menyatakan bahawa Malaysia mempunyai "satu lagi musuh baru" iaitu "kumpulan mereka-mereka yang mahu menghidupkan kembali fahaman komunisme di Malaysia". Mungkin Zaid merujuk kepada kenyataan kedua menteri tersebut kepada kaum Cina di Malaysia kerana dia menyangka bahawa komunis merujuk kepada kaum Cina.

Ingin saya menyatakan disini bahawa tanggapan Zaid itu salah sama sekali! Mungkin benar bahawa Chin Peng yang merupakan "de facto" kepada komunis di Malaysia suatu masa dahulu adalah berbangsa Cina. Namun, Zaid juga perlu tahu bahawa Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Muhammad Indera dari Partai Komunis Malaya di bawah pengaruh Chin Peng dahulu merupakan "bumiputera" yang berbangsa MELAYU.

Oleh yang demikian, maka salahlah tanggapan Zaid yang melabelkan kenyataan Rais dan Zahid merujuk kepada "kaum" yang tertentu. Maka oleh itu, TIDAK TIMBULLAH ISU PERKAUMAN!Hairan bin Ajaib. Mengapa setelah dinyalakan bibit-bibit api, lalu disimbah pula dengan minyak? Mahu dimarakkan api itukah? Beberapa pemimpin politik pembangkang bertindak seolah-olah "hero" kepada Chin Peng.

Kononnya "pembela keadilan" dan "pembela rakyat". Tapi, apakah mereka memikirkan sepatutnya "pembelaan" diberikan kepada lebih dari 1444 orang anggota polis yang dibunuh pihak komunis? Apakah pemimpin pembangkang ini prihatin untuk membela nasib 1883 warga polis yang cedera dan cacat akibat kumpulan pengganas Chin Peng ini dahulu? Apakah pemimpin pembangkang ini "lupa" untuk membela nasib lebih dari 2558 orang awam yang dibunuh manakala 1490 orang lagi cedera akibat keganasan pihak Komunis ini?

Atau mereka sengaja "menbutakan mata" semata-mata demi permainan "politik" mereka? PAS, DAP dan Zaid Ibrahim adalah sama sahaja. Mungkin mereka ini manusia kononnya prihatin dan pembela, namun mungkin mereka juga hanya membela kepada mereka-mereka yang menyebelahi mereka sahaja. Mungkin mereka-mereka ini seangkatan dengan fahaman Komunis sehingga berani membelakangkan sensitiviti beribu-ribu rakyat sendiri demi kepentingan hanya seorang ketua komunis?

Jika mereka ini hidup di zaman komunis, mungkin Chin Peng akan mengambil mereka sebagai "komrad"nya dan habis ditembaknya polis, askar, orang awam dan pemimpin politik yang tidak sehaluan dengan mereka! Jika Zaid dan pemimpin politik Pakatan Rakyat ingin membawa Chin Peng kembali ke tempat kelahirannya atas dasar kemanusiaan, apakah Chin Peng tidak cukup makan semasa tinggal di Thailand?

Apakah tidak ada lagi tanah kosong untuk Chin Peng "disemadikan" dengan aman di sana? Ayah dan ibu Chin Peng boleh berhijrah ke Malaya suatu masa dahulu tanpa memikirkan tempat mati mereka, mengapa kini Chin Peng harus difikirkan tempat matinya? Mengapa nenek moyang Chin Peng tidak sebok untuk disemadikan di tanah besar China? Jika dikaji, ada juga komunis berbangsa Melayu yang meninggal di Thailand.

Mengapa pula pemimpin Pakatan Rakyat dan Zaid tidak teringat untuk "berjuang" untuk mereka dahulu? Saya hairan. Mengapa individu seperti Zaid Ibrahim ini diberikan liputan oleh media? Zaid Ibrahim mungkin seorang menteri. Tapi, itu dahulu. Kini dia tidak lagi menteri. Malah dia juga telah dipecat dari UMNO! Dia tidak lebih dari seorang peguam biasa yang "mendambakan" kontrak perundangan dari pihak kerajaan.

Samalah jika hendak dibandingkan dengan peguam-peguam lain. Saya percaya, lebih ramai yang "menyampah" untuk mendengar ucapan "merepek"nya berbanding yang suka mendengar. Bukan membenci, tapi ucapannya bagaikan omongan kosong untuk secebis publisiti murahan!

MYKMU