DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Ahad, 27 Disember 2009

Utusan Melayu dan duri dalam daging !
























SEJARAH tidak pernah berbohong dan ia akan menceritakan kisah-kisah silam dan juga yang baru beberapa jam berlaku. Yang berbohong dan sering memutarbelitkan fakta ialah manusia. Dalam sejarah, banyak yang boleh dipelajari. Yang baik dijadikan teladan, yang jahat dijadikan sempadan.

Itulah sejarah yang sering kita pinggirkan dan tidak diambil berat. Berani di katakan, rakyat Malaysia - terutamanya generasi muda - semakin tersisih dengan sejarah.
Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pernah memberitahu bahawa Malaysia akan berada dalam keadaan bahaya sekiranya, rakyatnya tidak tahu sejarah.

Sejarah asal usul penubuhan Malaysia, sejarah asal usul politik Malaysia dan menjuruslah kepada sejarah pra dan pasca-Kesultanan Melayu, sudah tidak diambil endah oleh generasi sekarang.

Tidak pasti mengapa fenomena ini berlaku, namun, sedikit sebanyak kita boleh salahkan juga kepada sistem pendidikan. Ia diakui Prof. Zainal yang berkata "semakin ramai pelajar sekolah menengah kita yang sudah tidak berminat mempelajari dan mengetahui mengenai sejarah tanah air. Pelajar sains misalnya, tidak minat langsung dan ada yang tidak berpeluang belajar sejarah."

Utusan Melayu turut mempunyai sejarah yang panjang. Namun, saya yakin tidak ramai yang mengenai asal usul akhbar ini, yang pada mula penubuhannya pada 1939 diterbitkan dalam tulisan jawi. Tulisan jawi ialah tulisan rasmi yang digunakan oleh umat Melayu sejak ratusan tahun dalam alam Nusantara ini. Sehinggalah pada tahun 1967 Utusan Malaysia, yang bertulisan rumi diterbitkan dan bergerak seiring dengan abangnya Utusan Melayu bertulisan jawi.

Kini akhbar tulisan jawi hanyalah akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia yang diterbitkan secara percuma setiap Isnin dan dikenali sebagai Utusan Melayu Mingguan. Tidak pasti, sampai bila akhbar jawi dan kalam jawi itu sendiri akan bertahan. Yang pasti, cubaan untuk 'menghilangkannya' sudahpun ada.

Sejarah akhbar ini sungguh besar sekali. Pak Said Zahari (Ketua Pengarang Utusan 1959-1961) dalam tulisannya bertajuk Mogok Utusan Kenapa dan Untuk Apa? berkata, Utusan Melayu sejak lahirnya dalam tahun 1939, berikrar akan berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara. Utusan Melayu telah meniupkan semangat kebangsaan, menanamkan bibir-bibit perjuangan pembebasan daripada belenggu penjajahan yang telah menindas dan menginjak maruah mereka sejak ratusan tahun.

Katanya lagi: "Utusan Melayu dilahirkan oleh patriot-patriot Melayu sejati yang mahu mengembalikan keagungan dan maruah bangsanya yang telah luput oleh angkara penjajahan. Para wartawan dan setiap pekerja lainnya yang bertanggungjawab menerbitkan lembaran-lembaran Utusan Melayu setiap hari adalah pejuang bangsa yang menggunakan Utusan Melayu sebagai senjata dan alat perjuangannya.''

"Penjajah Inggeris tidak pernah senang dengan Utusan Melayu. Dari mula-mula lagi Utusan Melayu sudah menjadi duri dalam daging penjajah Inggeris. Mereka menyedari bahawa kepentingan politik, ekonomi dan keselamatannya di rantau ini akan terancam sekiranya Utusan Melayu dibiarkan dengan dasar dan cita-cita perjuangan serupa itu," kata Pak Said.

Zainuddin Maidin (Ketua Pengarang Utusan 1982-1992) pula pernah menulis: "…sejak Utusan Melayu mendorong kepada penubuhan UMNO, komitmennya kepada perjuangan asal yang merangsangkan pelancaran mogok dan peranan utamanya di dalam menentang konfrontasi Indonesia dan memerangi 'Malaysian Malaysia' Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri Singapura) adalah menjadi bukti yang amat jelas bahawa Utusan Melayu didokong oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu."

Sejarahnya, "Utusan Melayu tidak dilahirkan di atas dulang emas. Salah seorang pengasasnya Allahyarham Yusoff Ishak menitiskan air mata apabila ia dapat mencukupkan modal daripada beberapa orang Melayu bagi menerbitkan Utusan Melayu di Singapura pada 29 Mei 1939. Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan."

Hari ini rakyat Malaysia, terutama anak-anak Melayu tidak tahu itu semua. Mereka tidak peduli lagi dengan akhbar yang memperjuangkan apa yang mereka perolehi hari ini. Di sebalik akhbar-akhbar Cina di Malaysia menjadi jualan tertinggi di antara akhbar-akhbar yang ada di negara ini, akhbar Melayu semakin disisihkan.

Orang Melayu sendiri menyisihkan akhbar ini. Dengan jualannya yang semakin menurun, tidak pasti sampai bila akhbar keramat ini akan kekal bertapak di atas muka bumi Malaysia ini.
Hari ini juga Utusan Malaysia akan meneruskan perjuangannya, walaupun, ia sering ditohmah sebagai 'duri dalam daging' oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.

Walaupun ia diboikot oleh tiga negeri pembangkang Pulau Pinang, Perak dan Selangor (kecuali Kelantan dan Kedah), walaupun ia dipulau daripada menghadiri acara yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim, wartawannya tidak akan berputus asa. Tindakan itu tidak sedikit pun menjejaskan perjuangannya sebagai Penyebar Fikiran Rakyat. Biarlah Utusan Malaysia menjadi 'duri dalam daging' mereka asalkan maruah agama, bangsa dan negara terpelihara.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 13 Disember 2009

Isu Masjid : PAS beri amaran kepada DAP!

Sebelum ini, Timbalan presiden PAS Nasaruddin Mat Isa pernah dikecam pemimpin dalam pakatan pembangkang termasuk daripada PAS sendiri kerana kenyataan isu kerajaan perpaduan kerana dianggap bertentangan dengan kesepakatan dalam pakatan itu.

Peliknya, hanya PAS sahaja perlu jaga hati dan perasaan rakan-rakan mereka dalam PKR dan DAP sebaliknya pemimpin DAP khususnya sering membuat kenyataan yang tidak mengambil kira sensitiviti PAS yang dilabel parti memperjuangkan Islam. Di Selangor contohnya, wakil rakyat serta Exco DAP, Ronnie Liu bertelagah dengan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali dalam beberapa isu termasuk soal penjualan arak di tempat terbuka.

Terbaru Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming pula mempersoal perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 bagi membina masjid dalam tempoh lapan tahun hingga 2008.
Beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat kelmarin hingga membangkitkan rasa tidak puashati ahli parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkannya "biadap" dan "dan cuba menyalakan api dalam sekam".

Nasaruddin yang jarang bercakap isu parti kebelakangan itu, hari Khamis 'pulang paku buah keras' terhadap keceluparan Nga yang juga ahli parlimen Taiping. Beliau menggesa isu peruntukan besar untuk pembinaan masjid, tetapi rumah ibadat bukan Islam diabaikan, tidak harus dibesar-besarkan oleh DAP. Nasharudin bimbang kenyataan Nga boleh membangkitkan sentimen agama dan menimbulkan salah faham orang ramai.

Nasharudin, yang juga ahli parlimen Bachok, berkata salah faham dalam isu seumpama ini boleh "dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat." Dalam kenyataannya , beliau berkata menjadi "hak bukan Islam menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi."

"Sepertimana yang kita maklum, sudah menjadi hak dan tanggungjawab pihak kerajaan untuk membina masjid-masjid dan institusi-institusi agama bagi menyemarakkan syiar Islam di Malaysia sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara kita," katanya.
Bagaimanapun, pihak kerajaan digesa berlaku adil kepada semua rakyat dalam memenuhi keperluan mereka sepertimana yang telah digariskan dalam lunas perlembagaan negara.

"Kita tidak membantah malah menyokong usaha pihak bukan Islam menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi kerana dikhuatiri langkah tersebut akan menyinggung dan menimbulkan perasaan tidak senang hati dikalangan umat Islam Negara kita," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pimpinan pakatan pembangkang tidak membangkitkan sebarang isu berhubung sentimen agama dan bangsa yang seringkali disalahtafsir oleh sesetengah pihak untuk dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat.
"Amatlah diharapkan agar isu-isu yang boleh menyinggung sensitiviti agama dan bangsa serta kepentingan komponen parti Pakatan Rakyat dapat diselesaikan melalui saluran dalaman yang lebih efektif.

Ini bagi mengelakkan sebarang polemik sepertimana yang pernah melanda Pakatan Rakyat sebelum daripada ini," tegasnya. Apa yang penting katanya, adalah memberikan fokus sebaik mungkin kepada agenda perjuangan yang telah disepakati dalam membangunkan sebuah negara yang lebih berintegriti, berkebajikan dan beramanah. Mengambil kira teguran Nasaruddin, ramai mahu melihat adakah pemimpin DAP ataupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersuara dalam isu ini. - AD

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 3 Disember 2009

DAP Perak mohon maaf !

Setelah dikecam pelbagai pihak sebagai perbuatan biadab, tidak bertamadun, kurang ajar, keji dan memalukan rakyat Malaysia, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Permohonan maaf itu dibuat ekoran perbuatan beberapa pemimpin utama parti itu termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang dan ahli parti itu memijak poster wajah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas di negeri itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu, menurut Setiausahanya, Nga Kor Ming tidak terpakai kepada semua ADUN berkenaan yang digelar tiga ekor 'katak'. ''Tetapi kita tidak mohon maaf kepada tiga ekor 'katak' kerana pepatah Melayu ada mengatakan, Melayu pantang derhaka, harapkan pagar-pagar makan padi, harap ADUN, ADUN lompat parti.

''Ini adalah budaya yang tidak sihat dan kita 100 peratus tidak bersetuju kerana kita berpegang teguh kepada prinsip parti,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. Beliau berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu dan tidak faham mengapa isu yang berlaku di peringkat mesyuarat dalaman itu diuar-uarkan sedemikian rupa.

Kor Ming mendakwa kesediaan memohon maaf itu kerana DAP adalah parti yang berbudi bahasa, dan tidak bertoleransi kepada pengkhianat rakyat. ''Sebenarnya, ia hanya untuk mesyuarat dalaman, saya pun kurang faham mengapa isu ini diuar-uarkan,'' katanya.

Muka depan Utusan Malaysia semalam menyiarkan gambar Kit Siang memijak poster tiga ADUN Bebas Perak, sementara anaknya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melompat melepasinya semasa memasuki dewan pada Konvensyen Tahunan Parti DAP Perak di Ipoh, Ahad lalu.

Menurut Kor Ming, perbuatan tersebut bertujuan menunjukkan rasa keji terhadap tiga ADUN Perak itu kerana berpaling tadah daripada prinsip demokrasi, kawasan Parlimen mereka serta parti sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan pembangkang. Beliau mendakwa, tindakan itu juga selaras dengan prinsip politik parti itu yang menentang rasuah politik dan budaya 'lompat parti'.

Ditanya sama ada permohonan maaf tersebut atas faktor desakan, beliau berkata: ''Kita manusia kadang-kadang ada buat silap, tetapi kita memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung perasaan," katanya. - UM

Warna-warni Politik
Torashah