DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Isnin, 29 Mac 2010

Berlarutankah kekecohan sidang DUN Perak?

WALAUPUN suasana di bandar raya Ipoh, Perak tenang menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula esok, namun, masih ada yang menjangka 'sesuatu' pasti akan berlaku. Sidang DUN Perak kali ini menjadi tumpuan kerana ia adalah yang pertama kali diadakan setelah Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.

Namun, kekecohan yang berlaku setiap kali sidang DUN diadakan, bukanlah perkara baru kerana ia telah berlarutan sejak Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan berdasarkan sokongan yang diterima daripada majoriti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Bagi pihak pembangkang, tindakan tiga ADUN Bebas menyokong BN disifatkan sebagai 'kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan.' Ini kerana sokongan tiga ADUN Bebas tersebut - Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) membezakan undi majoriti dalam Dewan.

Tanpa undi ketiga-tiga mereka, kedudukan BN dan pakatan pembangkang dalam Dewan adalah sama iaitu masing-masing 28 kerusi. Rentetan peristiwa tersebut, maka, berlakulah sidang DUN bawah pokok, sidang DUN dalam sidang DUN dan kekecohan-kekecohan lain. Justeru, jangkaan 'sesuatu' akan berlaku pada 30 Mac ini bukan sesuatu yang pelik.

Hakikatnya, pembangkang dikatakan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kembali kuasa yang hilang. Bagi mereka, tempat yang dianggap sebagai 'dewan yang mulia' adalah lokasi terbaik untuk menzahirkan kekecewaan tersebut. Dalam maksud tersirat, ia juga menunjukkan betapa 'kebalnya' mereka apabila berani membelakangkan peraturan dan undang-undang.

Perasaan 'kebal' ini sebenarnya turut didorong oleh sikap pihak berwajib yang seolah-olah gagal mengambil tindakan yang sewajarnya. Biarpun banyak laporan polis dibuat, malangnya, pemimpin pembangkang masih dibiar melakukan kesalahan sama berulang kali.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar menghina mahkamah kerana mengeluarkan notis meminta semua wakil rakyat hadir ke sidang itu, sehingga kini masih tiada tindakan.
Dalam hal ini, Sivakumar tiada hak memanggil sidang kerana mahkamah dalam keputusannya telah mengesahkan kedudukan ADUN Tronoh itu sebagai Speaker terbatal dan digantikan oleh Datuk R. Ganesan.

Malangnya, Sivakumar yang memulakan 'permainan' dengan memfailkan injuksi ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan siapa Speaker yang sah, akhirnya tidak dapat menerima hakikat tersebut. Lalu beliau mendakwa tidak terikat dengan keputusan itu kerana Mahkamah Tinggi Ipoh mencampuri urusan legislatif dan keputusan mahkamah membatalkan samannya terhadap Ganesan tidak terpakai.

Tidak hairanlah mengapa Muhyiddin baru-baru ini juga telah menyifatkan tindak tanduk bekas Speaker itu sebagai 'kartun'. Sementara itu, Zambry melabelkan perkembangan terkini membabitkan sikap pemimpin pembangkang menjelang sidang DUN ini sebagai sindrom 'bulan mengambang', 'political esctasy' dan 'politik putar-belit'.

''Setiap kali sidang DUN, fenomena sebegini (buat kecoh) akan berlaku. Saya ibaratkan ia umpama sindrom 'bulan mengambang'. ''Mereka juga boleh diibaratkan sebagai mengalami 'political esctasy,' sentiasa ketagih mahu melakukan huru-hara, mewujudkan kegelisahan rakyat dengan mewajarkan segala tindakan," katanya.

Terbaru, pembangkang mendesak supaya diadakan satu mesyuarat khas kononnya bertujuan membincangkan perjalanan sidang DUN. Bagi Zambry, 'politik putar belit' yang diamalkan parti lawan menyebabkan beliau tidak berminat melayan permintaan mereka. ''Dulu pun mereka kata mahu jadi pembangkang yang baik. Tetapi apa yang berlaku pada sidang DUN lepas. Awak percayakah? soal Zambry.

Bagi pemerhati politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak, tujuan pembangkang melakukan 'kekecohan' adalah semata-mata untuk menganggu kelicinan kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN. ''Mereka semakin bimbang dengan kemampuan Zambry dalam usahanya menangani masalah rakyat, selain gusar usaha itu akan menenggelamkan sokongan rakyat terhadap pakatan pembangkang," kata beliau.

Disebabkan itu, beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata: ''Jalan paling mudah adalah 'menghidupkan watak-watak tertentu' bagi mengalihkan pandangan orang ramai daripada isu pokok iaitu membincangkan masalah rakyat kepada isu-isu yang menampakkan 'kekejaman' kerajaan memerintah terhadap parti pembangkang."

Berdasarkan pandangan dan pendapat, ia menggambarkan kemelut politik di Perak seolah-olah tiada kesudahannya lagi. Namun di sebalik kemelut yang berpanjangan itu, pembangkang seharusnya telah sedar betapa perlunya mereka mencari alternatif lain yang lebih menjurus kepada usaha membantu rakyat dan bukannya bertindak berdasarkan kepentingan peribadi semata-mata.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 25 Mac 2010

Ustazah dakwa keinginan seks suami cukup tinggi!

Seorang ustazah mendakwa suaminya, bekas Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Abdul Rashid Rahman lebih mengutamakan kepuasan seks sendiri tanpa mempedulikan kesihatan dirinya yang ketika itu menderita kesakitan akibat bisul di punggung.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Siti Rosmala Mohamed, 38, ketika memberikan keterangannya selaku pemohon yang memfailkan permohonan cerai secara fasakh pada 15 Februari 2008 terhadap Abdul Rashid, 60.
Siti Rosmala memberikan keterangan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Zaidi Abdullah di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ibu kepada tiga anak itu turut mendakwa, walaupun mereka sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa lebih seminggu, namun suami sering kali memaksanya melakukan hubungan seks. "Walaupun seminggu tidak bercakap, selepas saya dimarahi atau dipukul namun dalam soal nafkah batin (hubungan seks), saya mesti berikan biarpun terpaksa," dakwa Siti Rosmala.

Katanya, dia terpaksa akur memuaskan nafsu suami meskipun ketika mereka 'perang besar' antara 30 Disember 2007 dan 4 April 2008. Guru dari Kedah itu mendedahkan perkara tersebut ketika menjawab soalan peguam syarie, Shazril Khairy Mustafa yang mewakilinya.

"Dia (Abdul Rashid) tergamak mengheret saya dari ruang tamu untuk mendapatkan nafkah batin sedangkan ketika itu kami tidak bertegur sapa. "Ketika bisul ada di punggung, saya terpaksa tidur meniarap kerana teramat sakit namun dia tetap mahukannya. Dengan nada marah dia mengatakan bahawa sakit itu sekejap sahaja. Ketika dia melakukannya, saya bukan sahaja sakit bisul malahan hati juga cukup sakit," tegasnya.

Selesai sahaja bersetubuh, dakwa Siti Rosmala, suami mengarahkannya keluar dari bilik dan pergi tidur bersama anak-anak. Siti Rosmala juga mendakwa, keinginan seks Abdul Rashid cukup tinggi sejak mereka mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu. Dia mendakwa, defendan sering bertindak kejam termasuk memukulnya di kepala dengan rotan dan kitab ekoran kesalahan kecil.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak, Abdul Qayyum, 10, Hannan, 5, dan Bazlina, 3 tahun. Sambil menangis, Siti Rosmala mendakwa, disebabkan mahu menjadi isteri yang solehah maka dia terpaksa mengikut sahaja kemahuan suaminya itu. Abdul Rashid diwakili peguam syarie, Zulmi Sabri.

Komen : Apalah nak jadi pada pemimpin PAS iaitu bekas Ketua Dewan Ulama Perlis ni. Kuat bebeno nafsu serakahnya. Gamaknya setiap kali selepas memberi ceramah, dalam kepala dok ingat nak balik " menyodok " aje! Sama ceritanya dengan Tiger Wood, kalau tak " menyodok " dulu gamaknya tak larat nak ngayun kayu golf! Kesianlah bini dema dok nanggung nasib yang sama! Wallahuallam.

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 21 Mac 2010

Jangan pertikai isu Speaker !

Persoalan siapa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah hanya sengaja ditimbulkan oleh Dr Abdul Aziz Bari menjelang sidang DUN 30 Mac ini, kata pengamal undang-undang, Dr Naran Singh.

“Bagaimanapun, kenyataan (Dr Abdul Aziz Bari) perlu berlandaskan kepada bukti yang konkrit bukan hanya membuat pandangan atau rumusan bersandarkan kepada rakaman video semata-mata kerana rakaman berkenaan boleh dikurang atau ditokok tambah.

“Rakaman ini boleh dibuat sebelum atau selepas pelantikan baru dan boleh dimanipulasikan pihak yang berkepentingan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Abdul Aziz Bari yang hanya berdasarkan kepada rakaman video, V Sivakumar diheret dari kerusi dan diusung keluar dewan serta Speaker baru (Ganesan) dilantik membuat rumusan bahawa pelantikan berkenaan tidak sah.

Katanya, dalam soal pelantikan Ganesan ini ia memang dilaksanakan secara perundangan negeri dan juga sudah mendapat persetujuan majoriti dewan. “Tambahan lagi, Siva juga sudah membawa isu ini ke Mahkamah Tinggi, Ipoh dan pihak mahkamah sudah mengisytiharkan bahawa Ganesan adalah Speaker yang sah,” katanya.

Seorang lagi pengamal undang-undang, Madzi Hassan berkata, dalam soal Speaker DUN Perak, campur tangan mahkamah dibolehkan biarpun dari segi prosiding DUN atau Parlimen, mahkamah tidak berhak berbuat demikian. Katanya, dalam konteks menentukan siapa Speaker Perak yang sah, ia memerlukan campur tangan mahkamah kerana ia dianggap melanggar undang-undang.

“Kejadian semasa sidang DUN 7 Mei lalu, V Sivakumar diheret dari kerusi dan diusung keluar dewan serta melantik Speaker baru Datuk R Ganesan dianggap telah mencabuli perundangan. “Ini kerana, kejadian berkenaan dianggap sebagai jenayah kekerasan serta gangguan fizikal yang sememangnya memerlukan campur tangan mahkamah,” katanya. “Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) pada masa itu boleh menjadi saksi kepada rakaman ini sama ada benar atau tidak, " katanya.

Sementara itu : Sivakumar macam kartun - Kata TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar kerana berkelakuan seperti watak dalam cerita kartun apabila masih menganggap dirinya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu umpama hidup dalam dunianya sendiri yang tidak berpijak di bumi nyata. "Rakyat faham dan tahu keputusan mahkamah telah mengesahkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dari Barisan Nasional (BN), kedudukan Speaker (baru) juga sudah disahkan.

"Jadi nak kata apa lagi (pada Sivakumar) pun tidak tahulah, tidak berpijak di bumi nyata, berlakon atau jadi macam kartun, biarlah budak-budak tengok televisyen cerita kartun Sivakumar ini bagus juga," katanya di sini hari ini. Muhyiddin mengulas tindakan Sivakumar baru-baru ini yang menggunakan kepala surat rasmi Yang Dipertua DUN Perak bagi menghantar notis Sidang DUN pada 30 Mac ini.

Mengulas lanjut Muhyiddin meminta Sivakumar menerima kenyataan dan bukannya membuang masa dengan terus berpolitik sehingga menjejaskan kerja-kerja pembangunan negeri. "Dia seorang wakil rakyat, buatlah kerja, nanti kalau menang balik nak jadi Speaker atau Menteri Besar itu lain cerita," tegasnya.

Warna-warni politik

Torashah

Khamis, 18 Mac 2010

Ane Sivakumar Meroyan Lagi : MB Perak Tidak Boleh Hadir Sidang DUN 30 Mac ini!

Ayo yo macha Sivakumar. Yen na dei macha. Lu apa cerita sekarang macha? Jangan jadi macam monkey dapat bunga la macha! Jangan ingat lu lawyer, sekarang mau jadi "loyar burok" pulak macha!..Ayo yo...!

V. Sivakumar hari ini berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak boleh menghadiri sidang DUN pada 30 Mac ini kerana tempoh penggantungannya daripada menghadiri mesyuarat masih belum berakhir.

“Dr Zambry telah digantung selama 18 bulan manakala enam anggota exco selama 12 bulan...tempoh penggantungan enam anggota exco telah berakhir bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini.

Sivakumar yang juga ADUN Tronoh berkata penggantungan Zambry yang berkuatkuasa sejak 3 Mac 2009 masih berjalan tetapi enam lagi exco yang digantung selama 12 bulan itu sudah tamat tempoh penggantungan dan akan dibenarkan hadir.

Sivakumar mendakwa beliau masih Speaker yang sah dan telah menghantar notis menghadiri Sidang DUN pada 30 Mac ini kepada semua Adun Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang kecuali Zambry dan tiga Adun Bebas.

“Tiga katak (ADUN Bebas) tidak dipanggil menghadiri Sidang DUN kali ini kerana saya sudah menerima surat peletakan jawatan mereka pada Februari 2009... mahkamah masih belum memutuskan sama ada mereka masih wakil rakyat yang sah kerana semakan kehakiman yang difailkan oleh saya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum dibicara,” katanya.

Beliau berkata penggantungan Zambry dan enam anggota exco oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN telah disahkan pada 3 Mac oleh Sidang DUN yang diadakan di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Mengenai kedudukan Speaker Datuk R. Ganesan, Sivakumar mengulangi bahawa pelantikan Ganesan adalah tidak sah kerana tidak dibuat mengikut peraturan. Katanya, usul pelucutan Speaker dan usul pelantikan Speaker baru telah beliau tolak iaitu sehari sebelum Sidang DUN 7 Mei 2009, jadi mengikut peraturan sidang, usul berkenaan tidak berbangkit.

Katanya, pelantikan Ganesan juga dibuat sebelum titah perasmian oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan itu bermakna peraturan mesyuarat telah dilanggar kerana perkara pertama dalam sidang perasmian ialah titah perasmian dan agenda lain adalah selepasnya.

Sivakumar berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengatakan Zambry sebagai Menteri Besar yang sah atau ketua eksekutif tetapi jawatan beliau sebagai Ketua Legislatif tidak berubah dan oleh itu akan terus menjalankan tugas sebagai Speaker. BN mempunyai 28 ADUN serta tiga ADUN bebas yang menyokongnya manakala PR mempunyai 28 ADUN dalam DUN Perak.

Hahaha..Macha Siva, macam ini lah macha. Kalau lu mau itu kerusi speaker juga tarak apa macha. Nanti kita buat satu kerusi cantik-cantik punya, kemudian kita letak bawah pokok sana. Lu boleh duduk sana nanti dan kita akan pasang satu speaker buat lu lah macha Siva. Tarak cukup satu speaker kita boleh pasang dua ka, tiga ka atau berapa lu mau " speaker " pun kita kasi pasang jugak. Tapi itu " Speaker Dewan " tak boleh lah macha...al right macha...ada faham ka macha!!!!

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 14 Mac 2010

Nah Tu Diaaaaaaa……!

‘Khalid Al Walid’ PAS atau Razak Bin Abas, tidak dapat dinafikan oleh sesiapa keakrabannya dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, YAB Menteri Besar Kelantan.
Walaupun dia gagal menggulingkan Tengku Razaleigh Hamzah didalam pilihanraya umum 1999, kejayaan PAS mempertahankan Kelantan dengan cemerlang membawa keberkatan kepadanya.

Tambahan pula sebelum dia menyelak kainnya di Pendang pada tahun 2002, dia dilaporkan sudah berbisik dahulu kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan tindakannya. Lantas apabila dia benar-benar berbuat demikian, bertambahlah keberkatannya disisi Tuan Guru.

Salah seorang anaknya, iaitu Roshaimi Bin Razak terkenal rapat dengan seorang anak Nik Abdul Aziz dan juga seorang exco dalam pentadbiran Nik Abdul Aziz. Baru-baru ini pula desas-desus kencang berkata menantu Nik Aziz, Almenantunya Ariffahmi pula telah masuk kongsi perniagaan dengan insan yang terkenal dengan panggilan Chegu Mie ini.

Khabarnya pula, mereka berdua akan menyewa di bawah pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Sebelum kita pergi lebih lanjut, elok juga kita fahami serba sedikit modus operandi geng balak di Kelantan. Ia adalah satu usahasama Ali dan Baba yang boleh dibanggakan. Selalunya Ali akan menubuhkan syarikat dengan beberapa orang baba. Ali mestilah seorang yang rapat dengan salah seorang exco yang duduk di dalam jawatankuasa balak kerana hanya setelah surat permohonan mereka diminit oleh salah seorang exco barulah ianya boleh diangkat ke peringkat seterusnya.

Bagi mendapatkan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar pula, Ali dan Baba perlu berjanji untuk menderma sejumlah wang kepada Parti. Apabila Ali berjaya mendapatkan kelulusan itu, dia akan menjual syarikat dan segala konsesi yang diperolehi oleh syarikat itu kepada Baba. Baba akan membayar sejumlah wang yang akan Ali kongsikan bersama rakannya dan juga untuk Ali gunakan untuk menderma kepada Ahli Politik dari parti politik.

Wang itu pula jika sampai ke tangan Ahli Politik ia akan terus disimpan diluar Parti untuk aktiviti parti apabila diminta. Namun begitu, ketirisan berlaku dimana-mana dan ianya tidaklah selalunya berakhir dengan begitu sempurna. Bahkan kadang-kadang ada sesetengah Ali yang menulis pula surat kepada exco tertentu minta dibatalkan perjanjian derma mereka.
Memandangkan wang-wang ini sama ada yang diterima oleh Ali atau yang didermakan kepada Ahli Politik selalunya dirahsiakan maka tiada ketelusan didalam pengurusannya.

Seringkali juga orang tengah yang juga merupakan Ahli Parti yang berjawatan melarikan wang itu kerana mereka tahu mereka tidak akan didakwa. Terdapat satu insiden dimana orang tengah telah melarikan wang berjumlah RM82,000 ke Kuala Lumpur untuk membeli sebuah Mercedes Benz second hand secara tunai.

Memandangkan Parti memerlukan sumber kewangan ini maka beberapa Exco atau Ahli Dewan Harian telah diamanahkan untuk mencari wang menerusi cara begini dan sebab itulah kita akan sering mendapati orang yang amat dipercayainya sahaja yang sering mendapat konsesi balak di Kelantan.

Senarai syarikat di bawah adalah senarai pendek daripada ribuan syarikat yang telah mengejar habuan dari Kerajaan Negeri Kelantan dan ianya di senaraikan disini tanpa prejudis dan sekadar bagi memudahkan kita memahaminya.


MT Arju Enterprise (KT0123850-U)
Didaftarkan pada 17 Disember 1997.
Diambil alih oleh Roshaimi Bin Razak pada 29 Julai 2000.
Pada 6 Jun 2001, Roshaimi menyerahkan hak milik kepada Ng Man Chan.

Sri Kalai Seberang Enterprise (KT0118180-U)
Tarikh didaftarkan 10 Mac 1997
Pemilikan asal Mat Isa Bin Mat Saman dan Siti Amunah Binti Ismail.
Kedua-dua mereka menarik diri dari pemilikan syarikat pada 20 Mac 2001.
Sehari sebelum itu, iaitu pada 19 Mac 2001 Wong Kam Soon dan Roshaimi Bin Razak menyertai syarikat sebagi pemilik.
Roshaimi ‘tarik diri’ dari syarikat pada 5 September 2001 dan serahkan pemilikan kepada Kua Geam Hang yang menyertai syarikat pada 24 Julai 2001.

Khazanah Rimba & Trading (KT0118590-P)
Didaftarkan pada 27 Mac 1997.
Cheong Kok Tong mengambil alih syarikat pada 20 Oktober 1999.
Roshaimi Bin Razak menyertai Cheong sebagai pemilik bersama pada 24 Julai 2001.
Pada 20 Jun 2004, Roshaimi ‘tarik diri’ dari syarikat.

Syarikat Gemal (KT0035356-H)
Tarikh didaftarkan 7 Februari 1985.
Pemilikan asal Wan Ahmad Zaki Bin Wan Jaffar, Che Abdullah Bin Deraman, Azmera Bin Othman, Kamariah Binti Abdullah dan Roshaimi Bin Razak.
Kesemua mereka ‘tarik diri’ dari syarikat pada 3 Februari 2002. Kamariah tarik diri pada 13 Oktober 1991).
Pemilikan syarikat diambil alih oleh Ho Chung Meng pada 3 Februari 2002.

Sri Kemboja Timber (KT0180591-H)
Ditubuhkan oleh Roshaimi Bin Razak pada 14 Oktober 2003.
Pada 19 Mei 2004, Chiong Ah Hui menyertai syarikat atas dasar perkongsian.
Roshaimi serahkan syarikat sepenuhnya kepada Chiong pada 27 Jun 2005.

Sri Jelaping Enterprise (KT0116611-V)
Didaftarkan pada 15 Disember 1996
Pemilikan bersama diantara Roshaimi Bin Razak dan Lim Boon Lang bermula 4 September 2003.
Pada 7 Oktober 2003, Lim Boon Lang ‘tarik diri’ dan diambil alih oleh Chiong Ah Hui.
Pada 20 Jun 2004 ia menjadi milik tunggal Chiong Ah Hui apabila Roshaimi Bin Razak ‘tarik diri’.

Perniagaan Gunong Jaya (KT0076975-T)
Didaftarkan pada 12 November 1990 oleh Yusuf Bin Husain.
Diambil alih oleh Roshaimi Bin Razak dan Wong Kam Soon pada 21 Mac 2001.
Mendapat kelulusan balak sebelum April 2004.
Roshaimi keluar dari syarikat pada 10 April 2004.

Tegoh Taqwa Enterprise (KT0121361-P)
Didaftarkan pada 19 Ogos 1997.
Menjadi pemilikan bersama Roshaimi Abdul Razak dan Cheong Kok Tong pada 24 Julai 2001.
Pada 8 Mei 2005 menjadi milik tunggal Tan Wah Leong.
RM Ramad Enterprise (KT01405659-W)
Didaftarkan pada 27 September 1999 oleh Roshaimi Bin Razak.
Cheong Kok Tong sertai Roshaimi pada 29 Mac 2003 tapi tinggalkan syarikat pada 19 Mei 2004. Chiong Ah Hui sertai syarikat pada 19 Mei 2004.
Roshaimi tinggalkan syarikat pada 27 Jun 2005.
Yap Yong Poh dan Teo Tian Song ambil alih syarikat pada 18 Januari 2007 daripada Chiong Ah Hui.

10. Awara Murni Enterprise (KT0121121-M)
Didaftarkan pada 7 Ogos 1997.
Pemilikan asal oleh Saimin Bin Ishukri@Zakaria dan menarik diri dari syarikat pada 19 Januari 2000.
Roshaimi Bin Razak mengambil alih syarikat pada 22 November 2005.
Syarikat mendapat keluusan balak diantara November 2005 hingga Januari 2006.
Pada 9 Januari 2006, Roshaimi menyerahkan pemilikannya kepada Ong Kung Soon.

11. CT Dragon Trading (KT0210504-U)
Tarikh didaftarkan pada 9 April 2006.
Dimiliki bersama oleh Cheong Kok Tong, Tew Thin Choy dan Roshaimi Bin Razak.
1 Ogos 2007 Roshaimi ‘menarik diri’ dari syarikat.
13 November 2007, Wong Kok Bing menyertai senarai pemilik syarikat.

Individu yang terdapat didalam senarai pendek di atas tidak bersalah atau melakukan sebarang kesalahan dan hendaklah tidak didiskriminasikan. Mereka adalah ahli perniagaan tulin yang mencari rezeki yang dibenarkan.

Apa yang dipertikaikan mengapa dibawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, hasil kekayaan negeri hanya dibahagikan kepada beberapa kerat orang yang sudah kaya atau yang sudah dikayakan oleh Nik Aziz. Mengapa kekayaan itu tidak dibahagikan sama rata dan diutamakan mereka yang belum mendapat peluang.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz digesa supaya bersikap telus dan mengeluarkan senarai penuh syarikat-syarikat yang telah menerima projek Kerajaan Negeri semenjak 1990 hingga sekarang supaya rakyat dapat menilai sendiri. Kerajaan Negeri juga dimohon untuk ‘declassify’ dokumen-dokumen dalam Mesyuarat Exco yang berselindung disebalik Akta Rahsia Rasmi supaya kita dapat memahami keluasan projek dan untuk tujuan apa individu-individu tertentu diberikan projek.

Kerajaan Mahathir Mohamed pernah mengeluarkan senarai penerima projek Pusat dan Kerajaan Abdullah Ahmad Badawi pernah mengeluarkan senarai penerima AP pengimport kenderaan.

Sebelum ada yang menghalalkan tindakan Nik Abdul Aziz dengan alasan ketirisan hanya kecil berbanding dengan pusat, sayugia saya ingatkan, bajet tahunan Kerajaan Negeri hanyalah didalam lingkungan RM400 juta sahaja. Jika ketirisan yang mencecah hampir ratusan juta dibandingkan dengan perdapatan dan peruntukan perbelanjaan negeri, tentu sekali ianya menunjukkan ketirisan yang maha hebat. Bagaimanapun, ingin saya tegaskan, apa yang berlaku di Kelantan tidak ‘reflect’ PAS secara kesuluruhannya.

Setiap kali ceramah, PAS masih mengutip derma dari ahli-ahlinya. Walaupun ada yang menderma hingga beribu ringgit tetapi hampir keseluruhannya adalah derma yang kecil jumlahnya. Iaitu beberapa ringgit yang disimpan hasil memotong getah atau hasil pemberian anak mereka yang bersabung nyawa mencari rezeki di rantauan. Mereka ikhlas mahu membantu Parti mereka didalam menentang Barisan Nasional yang bagi mereka bergelumang dengan rasuah, kronisme dan nepotisme.

PAS Kelantan sudah gagal membersihkan dirinya. Pimpinan PAS Kelantan tiada keyakinan diri untuk mengundurkan Nik Abdul Aziz walaupun mereka sedar populariti Nik Abdul Aziz sudah menjunam.

Mereka sedar kebelakangan ini mereka terpaksa batalkan kehadiran Nik Abdul Aziz untuk merasmikan beberapa program kerana kehadiran tetamu dan peserta yang amat sedikit. Antara program yang terpaksa dibatalkan ialah sebuah program bermotor beberapa bulan yang lalu. Walaupun mereka sudah mengeluarkan wang untuk membayar peserta dan hadirin, sesuatu yang PAS Kelantan tidak pernah lakukan sebelum ini, tetapi kehadiran hanyalah sekadar kurang daripada 50 orang peserta sahaja.

Bagi golongan yang masih berkeras mempertahankan Nik Aziz ini, argumen mereka ialah Nik Aziz masih tunjang mereka kerana pemilih diluar Kelantan masih menganggap Nik Aziz sebagai keramat. Apalagi, masyarakat Cina dan India melihat Nik Aziz sebagai seorang pemimpin Islam yang dapat ditunggang untuk memajukan agenda mereka.

Sebelum Pilihanraya Umum 2008, Tun Mahathir Mohamed pernah membuat kenyataan akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana yang antara lain menyeru supaya, ‘UMNO dibersihkan dari luar’ setelah melihat UMNO gagal membersihkan dirinya dari dalam.

Pentadbiran Nik Abdul Aziz sudah gagal membersihkan dirinya sendiri, masanya sudah tiba untuk ‘PAS Kelantan dibersihkan dari luar’ sebelum ianya memudaratkan kredibiti PAS sebagai sebuah parti yang membela rakyat dengan penuh ikhlas.

Kepada Allah saya berserah dan memohon perlindunganNya!
Wallahuallam.

Sumber : http://kickdefella.wordpress.com/2010/03/14/tu-diaaaaaaa/

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 9 Mac 2010

Harussani jawab Nik Aziz!

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tujuan beliau mengungkap kembali usahanya membantu menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak adalah supaya tidak ada nada songsang dari mana-mana pihak yang menyatakan mufti tidak berperanan dalam menyatukan masyarakat Melayu Islam.

Kata beliau, tindakannya itu disebabkan ada pihak-pihak yang memohon nasihat dan pandangannya bagaimana perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kekuatan Melayu Islam. Menurutnya, kenyataan beliau berhubung penolakan mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan Pas-UMNO di Perak baru-baru ini adalah berdasarkan pengamatannya terhadap Pas Perak yang tidak mahu memberi ruang untuk berbincang selepas mereka menang dalam pilihan raya umum lalu.

Maka, beliau berpandangan tidak ada jalan pintas melainkan berusaha bersama-sama mencantumkan semula dua parti yang majoritinya Melayu itu untuk bersatu. "Mereka (Pas Perak) tidak menunjukkan minat untuk mengadakan perbincangan dengan dakwaan yang pelbagai. "Saya adalah mufti yang dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan Perak yang antara lain tugasan utama saya adalah membantu dan menasihat DYMM Sultan dalam perkara yang berkaitan hukum syarak.

"Oleh yang demikian, segala urusan yang menjadi kepentingan orang Islam dan Islam itu sendiri, maka saya bertanggungjawab memberi pandangan apatah lagi ia membabitkan perpaduan dan hubungan antara dua parti terbesar orang-orang Melayu Islam," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menggelarkan beliau sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwa campur tangan dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Reaksi Menteri Besar Kelantan itu adalah susulan daripada pendedahan terbuka Harussani dalam Program Dialog Za'ba - Perpaduan Melayu, Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.

Harussani mendakwa, Pas bersikap angkuh apabila menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak dan juga dipersetujui oleh kepimpinan parti itu.
Nik Abdul Aziz terkilan kerana Harussani menyebut namanya tanpa kehadiran beliau untuk mengesah atau menafikan perkara itu.

Dalam kenyataan hari ini, Harussani menegaskan bahawa mufti bukan sekadar memberi pandangan dan mengeluarkan fatwa berhubung dengan isu air mutlak dan haid sahaja.
Malah, kata beliau, ia lebih dari itu, apatah lagi yang membabitkan kepentingan umat Islam biarpun terpaksa menerima cercaan dari pelbagai pihak.

"Segala pandangan yang diberi adalah berdasarkan tanggungjawab saya sebagai mufti dan saya tidak pernah khuatir dengan apa-apa gelaran yang dilemparkan kepada saya," katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 8 Mac 2010

Apa nak jadi dengan Nik Aziz!

Menggeleng kepala memikirkan kenyataan terbaru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang secara terbuka mengiktiraf DAP. Bagi Tok Guru itu, Pas amat senang dengan tahap kerjasama dengan DAP. Kata Nik Abdul Aziz: ''...Sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam.''

Bukan apa, kita tidak pernah lupa bahawa Dewan Ulama Pas Kelantan pada 1963 telah mengeluarkan fatwa menghukum orang Islam yang bekerjasama dengan orang bukan Islam sebagai kafir. Kita tidak pula hendak menjatuhkan hukum kerana berpendapat itu bukan urusan Awang tetapi apakah kerjasama Pas-DAP sekarang tidak tertakluk kepada fatwa tersebut.

Kenyataan Mursyidul Am Pas tersebut tidak lebih daripada kenyataan politik. Pendirian Pas akan berubah-ubah mengikut kepentingan Pas dan di mana Pas berada. Yang pasti, DAP sudah tentu lega dengan komitmen Mursyidul Am Pas itu. DAP telah berjaya selangkah lagi, setelah menawan Pas untuk bersekongkol dengannya.

Warna-warni Politik
Torashah

Nik Aziz Gelar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Sebagai Ejen UMNO!






















Nik Abdul Aziz Nik Mat menggelarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Mursyidul Am Pas itu mendakwa peranan Harrussani selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) merendahkan martabatnya sebagai mufti malah tidak lagi layak memakai gelaran itu.
"Beliau telah menjadi ejen UMNO. Kemuliaan seorang mufti hilang kalau merelakan diri menjadi ejen.

Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular. "Saya kira, seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa)," kata beliau dalam kenyataan hari ini. Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai reaksi terhadap pendedahan terbuka Harussani dalam Program Dialog Za'ba - Perpaduan Melayu, Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Harussani mendakwa, Pas Perak bersikap angkuh apabila menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU12 walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Nik Abdul Aziz terkilan kerana Harussani menyebut namanya tanpa kehadiran beliau untuk mengesah atau menafikan perkara itu. ''Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika.

''Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya," ujar beliau. Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz tidak mengesahkan dakwaan Harussani bertemunya, sebaliknya hanya bertanya: "Tidakkah tindakan Harussani itu membuktikan keterlibatannya dengan politik?"

Tegasnya, jika mufti sendiri sanggup melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. "Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan Pas adalah benar.

"Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO.
"Jika Mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam Pas," katanya.

Sementara itu : Mufti Perak, Tan Sri Harussani berkata, tujuan beliau mengungkap kembali usahanya membantu menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak adalah supaya tidak ada nada songsang dari mana-mana pihak yang menyatakan mufti tidak berperanan dalam menyatukan masyarakat Melayu Islam.

Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai mengamal fahaman politik sempit apabila menggelarkan seseorang mufti itu ejen parti politik jika mencampuri aspek kepimpinan negeri.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tanggapan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz itu menunjukkan Mursyidul Am Pas tersebut tidak memahami fungsi dan peranan mufti yang sebenar.

Adakah Tok Guru Nik Aziz seorang ULAMAK!!!

Warna-warni Politik
Torashah

Jumaat, 5 Mac 2010

Harussani dedah keangkuhan Pas!

Setelah berdiam diri hampir dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini meluahkan apa yang terbuku di hati.

Beliau menceritakan keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu, walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP).

"Saya tanya hadis dan ayat mana yang dipakai kerana setahu saya ada hadis mengatakan tolonglah saudara kamu yang zalim dan dizalimi. Saya kata jika BN ini zalim, saya tawarkan wakil rakyat Pas menjadi Menteri Besar dan yang lain akan jadi Exco bersama BN.
"Sultan secara dasarnya berkenan dengan cadangan ini, tetapi dia (Ahmad) masih berkeras menolaknya.

Saya kata al-Quran menyebut jika sayang kepada kafir maka kita adalah kafir, beliau (Ahmad) kata dia menggunakan kaedah fikah dalam perkara itu. "Kemudian saya kata mana boleh kaedah fikah digunakan apabila ia bertentangan dengan nas al-Quran, ia tidak boleh dipakai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Za'ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini yang dipengerusikan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Dr. Idris Zakaria. Panulis lain yang turut menyertai program itu ialah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Madya Datuk Abdul Halim Sidek.

Mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selepas pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud Pas akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk. Katanya, beliau dilantik sebagai orang tengah dan persoalan yang timbul ialah daripada 28 wakil rakyat BN hanya seorang Cina.

"Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah. "Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu. "Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju," katanya.

Jelas Harussani, semasa sampai di Ipoh beliau yang optimis dengan cadangan itu yang turut disokong kepimpinan tertinggi Pas telah menghubungi Ahmad, tetapi malangnya jawapan yang diterima amat mendukacitakan. Beliau mendakwa, Pas Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka.

"Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat," katanya.

Sementara itu : Mahfuz cabar Harussani masuk politik

PAS melalui Mahfuz mencabar Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria meletakkan jawatannya untuk bergiat aktif dalam politik termasuk bertanding pilihan raya daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan memperlekehkan kerjasama Pakatan Rakyat.

“Saya mencabar Tan Sri Harussani meletakkan jawatan sebagai mufti dan beliau secara langsung terlibat dalam politik,” kata Naib Presiden PAS Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mahfuz dalam reaksinya terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Harussani Zakaria yang telah menceritakan keangkuhan PAS Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata Harussani apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara PAS dan BN, Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang terus berkata pihaknya tidak akan bersekongkol dengan orang Umno yang zalim dan lebih baik berkawan dengan kafir yang dirujuk kepada DAP.
Mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selepas pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud PAS akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk.

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 4 Mac 2010

Sidang DUN: Zambry tak layan kerenah pembangkang!

''Saya tidak mahu layan kerenah mereka." Itu jawapan ringkas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika mengulas tindakan pembangkang yang tidak mahu mengiktiraf sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual pada 30 Mac ini.

Tegas Zambry, jika pembangkang tidak berpuas hati, mereka perlu bertanya sendiri kepada Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan kerana hak memanggil sidang DUN adalah di bawah bidang kuasa beliau.

''Tak taulah, itu mereka perlu tanya Ganesan," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan pembangkang tidak mengiktiraf sidang DUN pada 30 Mac ini seperti disiarkan dalam sebuah laman blog.

Dalam laporan itu, kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang di Perak dikatakan tidak akan menghadiri sidang DUN tersebut kerana tidak mahu mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, mereka hanya akan menghadiri sidang DUN itu jika notis memanggil sidang DUN dikeluarkan oleh V. Sivakumar yang diiktiraf mereka sebagai Speaker yang sah.

Walaupun pembangkang dikatakan akan memboikot sidang DUN itu, namun mereka dijangka akan menghadirinya seperti yang dilakukan pada sidang DUN terdahulu yang juga dipanggil oleh Ganesan.

Isnin lalu, Ganesan melalui notis yang ditandatangani Setiausaha DUN Perak, Rumaizi Baharin memanggil kesemua 59 ADUN menghadiri sidang DUN Perak yang pertama bagi penggal ketiga pada 30 Mac ini. Sidang DUN dijangka dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Zambry tidak terkejut tindakan Mohsin

Tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, bukan perkara mengejutkan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Zambry berkata, apa yang berlaku itu memang sudah dijangka kerana umum mengetahui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menghadapi masalah dalaman walaupun mereka cuba menyembunyikannya.

''Saya tak mahu ambil tahu kerana itu masalah mereka. Biarlah mereka hadapi sendiri. Kalau saya cakap banyak, mereka kata ini kerja UMNO. ''Lebih baik saya tidak masuk campur. Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya ataupun apa sahaja," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Zambry, beliau juga tidak pelik sekiranya Mohsin menerima pelbagai cemuhan serta cacian daripada para penyokong pakatan pembangkang ekoran tindakannya itu. ''Selama ini, siapa duduk dalam kelompok mereka semua malaikat dan semuanya hebat tetapi apabila orang itu keluar (parti) sahaja, dia menjadi manusia paling keji, paling hina, paling kotor, tidak bertamadun dan sebagainya," kata beliau.

Mohsin pula keluar PKR

Saya khuatir dengan politik PKR dan pakatan pembangkang khususnya di Perak yang menghalalkan pelbagai cara demi matlamat sempit, serangan tanpa batasan terhadap institusi raja, badan kehakiman dan penguatkuasaan, termasuk meraih sokongan negara luar bagi menyerang kedaulatan negara.

Ia sudah sampai ke tahap yang saya tidak lagi boleh bertolak ansur dan mendiamkan diri. Sedikit kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah 8 Mac 2008 bukan digunakan untuk memantapkan perjuangan umat, rakyat dan agama, sebaliknya menjadi medan politik 'ghonimah' (membahagikan harta rampasan perang).

Perebutan kuasa, jawatan, kedudukan dan habuan menjadi-jadi. Perbuatan khianat, tikam belakang, sabotaj dan budaya politik fitnah memfitnah semakin parah sehingga saya tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen yang diamanahkan Allah.

Warna-warni Politik

Torashah