DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Rabu, 28 Julai 2010

Dendam Khalid Samad terhadap Hasan Ali dan Harussani Zakaria masih membara!

Dilihat Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad terus menjadi batu api dengan mendesak Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali supaya menyaman Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu kerjasama PAS-Umno.

Khalid berkata, tindakan itu perlu diambil supaya "keikhlasan dan ketelusan" exco kerajaan Selangor itu tidak dipersoalkan oleh ahli PAS. "Oleh itu, kami amat berharap agar saman terhadap Tan Sri Harussani disegerakan oleh pihak Datuk Pesuruhjaya supaya terbukti bahawa beliau telah ditipu dan beliau tidak reda ditipu sebegini rupa oleh Umno dan konco-konconya," katanya.

Khalid mengulas keputusan PAS Selangor yang berpendapat tidak perlu menyaman Harussani berhubung isu kerjasama PAS-Umno kerana kontroversi pertemuan itu "tidak pernah menjadi isu bagi PAS dan gabungan pembangkang di negeri itu". Desakan agar Hasan mengambil tindakan undang-undang ditimbulkan dalam munaqasyah (perbincangan) PAS negeri di Shah Alam, Ahad lalu.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid berharap ahli-ahli parti Islam itu tidak mempertikaikan tindakan Hasan kerana "sebagai ahli, tuntutan wala (kesetiaan) dan thiqah (kepercayaan) mesti dipertahankan". Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam turut menolak dakwaan Hasan "ingin melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan disiplin".

"Ini merupakan satu kemungkinan sahaja, akan tetapi amatlah malang sekiranya PAS Selangor mempunyai seorang pesuruhjaya yang menipu. "Berdasarkan tarbiah (didikan) dan latihan keagamaan yang dibangga-banggakan sebagai asas kekuatan PAS, kemungkinan adanya pesuruhjaya negeri yang sanggup berbohong adalah hampir mustahil!

"Ianya satu kemungkinan yang perlu ditolak mentah-mentah. Tidak mungkin Datuk Pesuruhjaya menipu kepada ahli dan pimpinan PAS serta rakyat jelata. Tidak mungkin!" tegas Khalid.

Bagaimanapun, Khalid mendakwa Hasan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS telah melakukan "kesilapan" kerana "membenarkan dirinya ditipu oleh seorang mufti Umno/BN yang tegar". "Kesilapan beliau adalah kesilapan menghormati dan menyanjungi Tan Sri Harussani dan menjadikan beliau sebagai seorang pakar rujuk. Kesilapan ini adalah kerana kurang bijaknya beliau dalam mengenali sifat lawan.

"Namun, kurang bijaknya itu bukanlah satu kesalahan. Seperti kata-kata pujangga Inggeris, stupidity is not a crime (kebodohan bukanlah jenayah)," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 27 Julai 2010

Kepincangan dunia akibat mabuk kuasa - Sultan Perak.

Kepincangan dan kesengsaraan yang berlaku dalam dunia hari ini kebanyakannya berpunca daripada kelemahan manusia mengawal nafsu untuk berkuasa, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah, banyak contoh dalam sejarah menunjukkan mereka yang mabuk kuasa akhirnya terjerumus dalam keadaan yang hina.

''Ujian paling mencabar dalam hidup insan adalah ketika seseorang itu dianugerahkan kedudukan, jawatan, pangkat dan kuasa tetapi ramai yang tewas dan gagal di peringkat ini.

''Ketika manusia mabuk dilambung gelombang kuasa, mereka merasakan diri mereka sahaja yang benar dan betul, mereka beranggapan bahawa mereka sahaja yang bijak dan pandai lalu nasihat dan teguran tidak lagi mahu diterima.

''Malah nasihat dan teguran ditafsirkan secara negatif, disifatkan sebagai usaha jahat yang mahu menjatuhkan mereka daripada berada di tampuk kuasa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) Kali Keempat di sini hari ini.

Menurut Sultan Perak, manusia terlalu kecil untuk berlagak sombong serta bongkak sebaliknya perlu sentiasa mendapat bimbingan daripada guru-guru dan orang tua, selain petunjuk dan hidayat Ilahi.

Titah baginda lagi, setiap pengetahuan yang dikuasai seharusnya menginsafkan diri seseorang itu bahawa masih banyak ilmu yang perlu dipelajari.

Dalam masa sama, baginda mahu Kisdar menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa dan roh para graduannya. ''Graduan Kisdar hendaklah memiliki sifat-sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah, mencerminkan jiwa murni yang telah diasuh dengan pendidikan berteraskan roh Islam.

''Roh Islam itu wajib ada dalam jiwa setiap lulusan Kisdar yang dipancarkan melalui tindakan serta amalan harian dan bukan semata-mata pada nama yang tertera pada sijil, diploma atau ijazah yang dianugerah oleh Kisdar," titah baginda. Pada majlis tersebut, seramai 239 graduan menerima diploma dalam bidang masing-masing.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 26 Julai 2010

Dr.Zambry : Nilai perbuatan pihak maki mufti!

Orang ramai perlu menilai sendiri tingkah laku pemimpin dan penyokong parti politik yang memaki hamun Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hanya disebabkan kesungguhannya mahu menyatukan orang Melayu dan Islam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau yakin rakyat di negeri itu dan di seluruh negara mempunyai pemikiran waras untuk membuat kesimpulan sendiri terhadap perangai sebenar kumpulan itu.

"Salahkah mufti mengajak umat Islam bersatu? Saya melihat sebarang tindakan yang keterlaluan dalam isu itu, rakyat dapat melihat dan menilainya sama ada mereka ini di kalangan orang yang benar-benar memahami Islam atau tidak.

"Lebih penting, apabila ada anjuran untuk mengadakan perpaduan, ini perlu dilihat dengan penuh keinsafan supaya suara perpaduan yang lahir dari ahli agama tidak dilihat dalam konteks politik tetapi melangkaui batas politik, katanya selepas melancarkan Program Anak Angkat anjuran Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan di kediaman Menteri Besar di sini, kelmarin.

Zambry berkata demikian ketika mengulas tindakan penyokong pembangkang menghentam dan memaki hamun Harussani dengan kata-kata kesat dalam blog serta laman web ekoran usaha Mufti Perak itu untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan Islam.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 20 Julai 2010

Raja Nazrin : Kereta digilap pagi petang, kesihatan diri tidak terjaga!

















Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu rakyat melihat kenaikan harga gula baru-baru ini dan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi sebagai titik penghijrahan terhadap amalan pemakanan yang lebih sihat.

Baginda bertitah, pemakanan dan amalan gaya hidup sihat penting kerana ia salah satu daripada komponen negara maju selain dapat mengurangkan perbelanjaan program kesihatan yang semakin meningkat. "Peningkatan harga gula dan bulan Ramadan, semoga dapat dijadikan titik penghijrahan terhadap amalan pemakanan lebih sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam tubuh serta melatih diri untuk makan dan minum secara seimbang, sederhana dan sihat.

"Jika bilangan yang mengalami organ rosak semakin ramai, maka beban tanggungjawab kerajaan dan kakitangan perubatan tentulah akan meningkat," titah baginda merasmikan Klinik Kesihatan Pantai Remis, Manjung di sini hari ini. Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam titahnya, Raja Nazrin turut menegur mereka yang sanggup bersusah payah memastikan hak milik peribadi seperti kereta terjaga dengan baik tetapi tidak mahu melakukan perkara yang sama terhadap kesihatan diri.

"Adalah satu ironi apabila seorang pemuda memiliki karakter yang mengambil berat penyelenggaraan kereta, digilap pagi dan petang, dihantar ke bengkel untuk pemeriksaan setiap tiga bulan sekali, disembur cat baru pada setiap calar kecil, dihiasi pelbagai aksesori, dilindungi dari panas dan embun.

"Sedangkan tubuh badan sendiri, dia seorang perokok, mengambil minuman keras secara keterlaluan, mengambil makanan berlemak dan berminyak serta garam dan gula secara berlebihan, tidurnya lewat, tidak langsung beriadah atau bersenam, tidak kisah kepada kebersihan diri, obesiti serta terlibat dengan kegiatan tidak sihat," titahnya.

Jelas Raja Nazrin, akibat tidak mengambil berat terhadap soal kesihatan bilangan rakyat yang menanggung sakit kronik kini makin bertambah. "Perangkaan terkini Yayasan Jantung Malaysia menunjukkan 44 peratus warga Malaysia berada dalam kategori obesiti, 25 peratus merokok, 33 peratus mengalami tekanan darah tinggi, 15 peratus diabetes sementara 21 peratus kandungan kolesterol yang tinggi.

"Sebanyak 60 peratus warga Malaysia langsung tidak melakukan riadah dan hanya 11 peratus yang melakukan riadah secara berdisiplin untuk memenuhi tahap minimum diperlukan," titahnya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 15 Julai 2010

Harapan tinggi kepada Perhimpunan Melayu Perak!















ESOK (Sabtu) pada pukul 9 pagi, akan berlangsung Perhimpunan Melayu Perak di Dewan Bankuet Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dijadual merasmikan program yang diharap dapat menghimpunkan seluruh orang Melayu negeri itu. Sesuai dengan tema perhimpunan 'Menyemarakkan Semangat Kebangkitan Bangsa Melayu', pemilihan Harussani dilihat mampu menjadi lambang penyatuan orang Melayu yang kini berhadapan dengan krisis perpecahan.

Menurut Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail iaitu pihak yang bertanggungjawab menganjurkan program berkenaan, usaha menghimpunkan orang Melayu itu merupakan kali kedua diadakan. ''Kali pertama perhimpunan yang hampir serupa dianjurkan ialah ketika orang Melayu seolah-olah hilang arah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan banyak kerusi yang sepatutnya menjadi milik Melayu tewas.

''Keadaan orang Melayu ketika itu terumbang-ambing. Tidak wujud satu titik pertemuan untuk dapat menstabilkan keadaan. Sehinggalah beberapa orang Melayu tampil dan mengadakan perhimpunan.

''Pada akhir resolusi, tertubuhlah Kesatuan Melayu Perak yang kemudiannya didaftarkan dengan nama GMP pada Mac 2009," katanya. Hari ini, setelah lebih setahun berlalu, masalah orang Melayu yang sering berpecah akibat perbezaan ideologi politik masih terus berlaku.

Keadaan itu jika dibiarkan, dilihat hanya merugikan bangsa kerana ia memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menuntut pelbagai hak yang selama ini diertikan sebagai milik orang Melayu. Natijahnya, hak istimewa Melayu dalam semua bidang terus dipersoalkan. Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi masih diperkecilkan malah institusi kesultanan dan raja-raja Melayu semakin kerap dipersendakan.

''Kejujuran dan kesudian orang Melayu menerima kaum-kaum lain sebagai rakyat dan sama-sama merasai nikmat kemakmuran dan keamanan negara langsung tidak dihargai. ''Maka perhimpunan ini bertujuan mahu mengingatkan, menyedarkan dan menginsafkan orang Melayu sendiri bahawa kita ada hak dalam Perlembagaan dan hak-hak ini mesti dipelihara sampai bila-bila," katanya.

Untuk memastikan hak-hak tersebut tidak terus diganggu-gugat oleh pihak lain, kata Mohd. Hilmi, orang Melayu sendiri harus sanggup mengetepikan kepentingan diri untuk memastikan kuasa yang ada dapat dikekalkan. ''Usaha-usaha yang sedang dijalankan iaitu mencari titik pertemuan di antara UMNO dan Pas juga dilihat sebagai harapan kepada masa depan bangsa dan seharusnya mendapat maklum balas yang baik," kata beliau lagi.

Hakikatnya, Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak. Perkara inilah yang menjadi paksi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyatnya hidup dalam keadaan harmoni.

''Tetapi kaum-kaum bukan Melayu yang lebih beruntung hasil DEB langsung tidak menghormati matlamat dasar ini dan terus-menerus menidakkan hak dan peluang orang Melayu di tanah air sendiri. ''Oleh yang demikian, GMP mengajak semua orang Melayu tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik untuk bersatu mempertahan dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu," tegasnya.

Apa yang diharapkan Mohd. Hilmi ialah agar perhimpunan kedua yang diadakan di ketika orang Melayu terus bersengketa sesama sendiri ini akan dapat menghasilkan satu ikatan kukuh demi masa depan bangsa itu sendiri. Jika orang Melayu dapat meluangkan sedikit masa untuk sama-sama melontarkan buah fikiran, pandangan dan pendapat masing-masing, tidak mustahil perhimpunan ini bakal mencipta satu lagi sejarah bangsa agar Melayu hari ini tidak dipersalahkan atas kesengsaraan anak cucu nanti.

Sumber : Utusan Malaysia
Warna-warni politik
Torashah

Politik 'ugutan' sama 'manusia tikus'!

UCAPAN Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika merasmikan Mesyuarat Perwakian UMNO Bahagian Lumut yang diketuainya baru-baru ini, mengambil masa yang agak lama, hampir dua jam.

Pelbagai isu dilontarkan daripada sikap 'sesumpah' dan politik 'putar alam' yang dipraktikkan pembangkang terutama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hinggalah kepada masa depan parti keramat Melayu itu. Namun, di sebalik isu-isu semasa yang dibangkitkan, perhatian perwakilan mungkin lebih tertarik dengan peringatan tegasnya terhadap kelompok pemimpin atau penyokong UMNO yang suka 'mengugut'.

Kepada Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, mereka yang mengamalkan politik 'ugutan' tersebut tidak ubah seperti 'manusia-manusia tikus' yang sebenarnya hanya merosakkan parti.

Hakikatnya, apa yang dibangkitkan oleh anak jati Pangkor ini sebenarnya bukan suatu isu baru atau perkara yang pelik sekarang. Banyak pihak terutama yang merasakan mereka mampu menentukan kedudukan sesebuah parti atau kerajaan negeri, sentiasa mencari peluang mendapatkan sesuatu demi kepentingan diri.

Tiada apa yang menghairankan kerana ini juga adalah ragam manusia. Cuma agak menyedihkan, apabila kita sendiri terus membiarkan mereka ini diangkat sebagai pemimpin. Sedangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir. Silap percaturan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menjadi sejarah.

Justeru, peringatan Zambry bahawa beliau tidak gentar berdepan dengan manusia-manusia tikus seumpama itu menampakkan perubahan melawan arus. Pada ketika ramai mengharapkan sokongan semata-mata untuk mengekalkan kuasa yang ada, Zambry membiarkan takdir menentukan masa depan politiknya.

Mesej yang ingin disampaikan juga mudah - tiada erti terus menerajui negeri jika terpaksa tunduk kepada desakan-desakan tersebut. Sedangkan janji setiap kali turun padang berjumpa rakyat adalah untuk membantu mereka.

''Jangan jadikan masa ini sebagai ugutan untuk menekan saya sebagai Menteri Besar, kalau tidak bagi (apa diminta), tidak akan sokong saya. ''Kalau begini caranya ugut saya, dipersilakan. Saya tidak pernah gentar berhadapan dengan manusia-manusia tikus ini," tegasnya.

Di Perak, ada beberapa pemimpin walaupun telah lama berkhidmat tetapi kesan perkhidmatannya tidaklah seberapa. Mereka ini ada kalanya bersikap 'lebih sudu dari kuah' selain sentiasa mengharapkan 'bulan dan bintang'.

'Napolean-napolean kecil' ini juga sebenarnya tidak mudah mengaku kalah. Mereka hebat mengatur strategi untuk kekal 'berkuasa' tetapi realitinya gagal menambat hati rakyat yang kesusahan. Memetik kata-kata diakhir ucapannya, ''jangan lupa bahawa Kerajaan Negeri Perak ini adalah kerajaan negeri yang ditakdirkan."

Bermakna, beliau sedar setiap tindak tanduknya sentiasa diperhatikan rakyat dan dalam masa sama, Tuhan juga sedang menguji keikhlasannya memimpin. Jika ini jangkaannya, Zambry tidak perlu takut melakukan apa sahaja yang difikirkan terbaik kerana setiap perbuatan yang baik itu akhirnya akan pasti dibalas dengan baik juga.

Sumber : Utusan Malaysia

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 10 Julai 2010

Pelik tapi benar : Nik Aziz anggap Anwar layak jadi Mursyidul Am!

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau akan menolak jika ada tawaran untuk berada pada jawatan tertinggi dalam teraju pakatan pembangkang. Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih layak untuk berada di jawatan tersebut kerana beliau telah melalui pelbagai cabaran dan 'lulus ujian'."Kalau saya diberi peluang, saya nak beri jawatan saya (Mursyidul Am) kepada Anwar kerana Anwar ini jenis orang yang lalui segala tahap peperiksaan.

"Allahyarham Fadzil Noor telah cadang Anwar masa dia masih hidup lagi, ketika zaman Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Anwar telah lalui pelbagai dugaan fizikal dan moral.''Beliau lepas segala cubaan ini, orang ini paling layak," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11 di sebuah hotel di sini . Turut hadir, Presiden persatuan tersebut, Prof. Dr. Wan Mohtar Wan Yusoff.

Simposium yang bertemakan keseimbangan biologi ke arah kelestarian hayat itu diadakan selama tiga hari bermula semalam dan disertai seramai 250 ahli akademik serta mahasiswa dari seluruh institut pengajian tinggi. Pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 yang berakhir baru-baru ini, perwakilan dari Perlis, Wan Kharizal Wan Hazim mencadangkan Nik Abdul Aziz dilantik sebagai 'Mursyidul Am' bagi pakatan pembangkang kerana kewibawaan dan kejayaannya mentadbir Kelantan selama 20 tahun.

Di dalam hierarki Pas, Mursyidul Am adalah jawatan bukan eksekutif yang tertinggi, berfungsi sebagai penasihat kepada semua perjalanan atau keputusan yang diambil oleh parti itu. Menteri Besar Kelantan itu dikatakan wajar diberi kedudukan yang lebih tinggi kerana kepimpinannya diterima pelbagai pihak dalam komponen pakatan pembangkang.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut menegaskan cadangan itu tidak pernah dibincangkan malah mempertikaikan laporan media kerana tersalah tafsir kenyataan Wan Kharizal.!

Pelik..pelik..macamanalah Anwar yang menolak untuk menegakkan negara Islam di Malaysia boleh dijadikan rujukan oleh Nik Aziz untuk menjadi " Mursyidul Am " Pakatan Haram..!!!

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 5 Julai 2010

Melayu Tanjong jangan dijadikan jeruk ‘pala dan asam’!

KALAU ke Pulau Pinang, nasi kandar sudah menjadi satu kemestian. Dari Kuala Lumpur, ada yang sanggup mencari nasi kandar Line Clear di Jalan Penang. Tetapi sebagai buah tangan untuk dibawa pulang, jeruk buah menjadi pilihan utama.

Di Pasar Chowrasta, Jalan Penang atau sebelum melangkah masuk ke feri di Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, pelbagai jenis jeruk dijual. Tak kiralah siapa yang proses dan jual jeruk itu, tetapi biasanya orang akan bawa pulang sebagai oleh-oleh. Padahal, jeruk ini boleh didapati di mana-mana sahaja. Di daerah Balik Pulau, banyak buah pala ditanam dan di situ ada pengusaha jeruk.

Jeruk terutama buah pala memang popular di Pulau Pinang. Ada juga ‘asam’ lain. Di Pulau Pinang, macam-macam asam ada termasuk asam gelugur (dijadikan asam keping untuk kuah laksa dan asam pedas), asam jawa, asam ko, malahan belimbing pun disebut sebagai asam sama ada belimbing besi atau belimbing buluh.

Tetapi asam yang ingin disentuh pada minggu ini bukan asam yang dibuat jeruk atau ‘ikan di laut asam di darat, bertemu juga dalam belanga’ tetapi Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong. Sebelum ini ‘pala’ dah jadi jeruk apabila Kampung Buah Pala, sebuah perkampungan orang India yang menternak lembu terpaksa ‘dirobohkan’ demi pembangunan.

Bagaimanapun nasib mereka agak baik. Walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman yang dikatakan sudah diteroka sejak 200 tahun itu tetapi pampasan yang diterima lebih melegakan. Khabarnya mereka mendapat rumah teres dua tingkat yang dianggarkan bernilai RM500,000.

Sebaliknya di Kampung Jalan Pokok Asam, yang kebanyakannya nelayan dan ‘orang lama’, pampasan yang dikatakan bakal diterima hanyalah RM75,000. Dengan suasana selesa di sebuah perkampungan yang dinikmati selama ini, tiba-tiba kehidupan penduduk Kampung Jalan Pokok Asam yang berusia hampir 100 tahun itu akan berubah.

Belum pasti di mana mereka akan tinggal dengan pampasan RM75,000 itu. Tiada lagi suasana anak-anak bermain di kampung. Episod indah itu akan berakhir. Mungkin mereka akan menjadi penghuni di rumah pangsa kos rendah. Terkepung! Tiada lagi kebebasan sebagai orang kampung. Apakah ia sesuai untuk penduduk di situ menjalani kehidupan baru? Sukar untuk meramalkan kehidupan mereka pada masa depan.

Pada masa yang sama apakah tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri dalam menghadapi masalah ini? Kebajikan rakyat seperti ini harus dijaga. Kerajaan perlu berhemah dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah penduduk itu.

Tentunya kerajaan negeri tidak mahu dilihat sebagai ‘menekan’ orang Melayu. Sebelum ini satu persatu isu mengenai masalah Melayu ditonjolkan. Selepas gerai ikan bakar, gerai buah-buahan dan gerai atas pokok dirobohkan, timbul pula isu Kampung Jalan Pokok Asam, yang juga melibatkan orang Melayu.

Sebelum ini ketika berhadapan dengan kritikan berhubung banyak gerai Melayu dirobohkan, kerajaan negeri menafikan. Kerajaan pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan serta risalah yang menyatakan lebih banyak tindakan dikenakan ke atas peniaga bukan Melayu.

Maka sesetengah orang Melayu menerima bulat-bulat kenyataan itu. Mereka mudah lupa seperti kata Dr. Mahathir Mohamad. Lupakah orang Melayu bahawa di Pulau Pinang, jumlah peniaga yang teramai adalah bukan Melayu? Berapa kerat sangat orang Melayu yang berniaga di pulau itu?

Paling ramai ketika bazar Ramadan...itu pun kecoh satu pulau. Kalau masuk pusat beli-belah, memang ramai orang Melayu tetapi sebagai jurujual bukannya peniaga. Jadi fahamilah kira-kira mudah, jangan terlalu asyik dibuai angka itu. Ini bukan soal rasis atau perkauman tetapi kenyataan.

Berbalik kepada kampung Melayu, berapa lama lagi kampung-kampung di sekitar Georgetown (sebelah pulau) seperti di Sungai Pinang, Jalan Perak, Gelugor dan Tanjung Tokong mampu bertahan?

Hakikatnya, lambat laun perkampungan Melayu akan terhakis. Nasib baik ada Koperasi Melayu Pulau Pinang yang membina rumah pangsa untuk orang Melayu. Maka dapatlah mereka bertahan di tengah-tengah pembangunan yang semakin pesat itu. Jika tidak, mereka terpaksa ‘lari’ ke Telok Bahang atau Balik Pulau atau ke Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Mungkin Melayu Pulau Pinang juga bernasib baik kerana masih tinggal di tanah wakaf. Tetapi apakah mereka juga akan mengalami nasib yang sama seperti penduduk di Jalan Pokok Asam? Mungkin yang tinggal hanya tanah kubur dan masjid.

Kampung-kampung Melayu mungkin akhirnya akan menjadi `jeruk’ seperti `pala dan asam’. Apakah Kampung Makam juga akan dimakamkan satu hari nanti? Jika ini berlaku, ia adalah satu episod yang amat menyedihkan bagi orang Melayu.

Semoga tanah-tanah wakaf akan dilindungi dan menjadi tempat orang Melayu terus berteduh di situ. Tetapi pemimpin Melayu yang ada `sedikit kuasa’ termasuk dalam parti politik perlulah melakukan sesuatu untuk mempertahankannya. Ingatlah bahawa pembangunan tidak dapat dielakkan tetapi janganlah sampai kehidupan yang dinikmati selama ini musnah.

Kepada siapa Melayu Pulau Pinang yang merupakan minoriti mahu mengadu nasib? Dengan minoriti yang berpecah kepada Melayu UMNO, Melayu Gerakan, Melayu Pas, Melayu PKR dan Melayu DAP, apakah terbela nasib mereka?

Pemimpin Melayu pula tidak seharusnya bercakaran sesama sendiri. Mereka harus bangkit - walaupun teramat sukar - dengan satu semangat baru. Contohi semangat berpasukan seperti dalam pasukan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung. Lihatlah kebangkitan beberapa pasukan yang menghampiri kemuncak kejohanan.

Paling penting untuk dijadikan contoh bagaimana kesebelasan pemain seperti pasukan Jerman adalah muka baru yang mampu memberi nafas baru kepada pasukan itu.

Renungi kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengenai semangat berpasukan. Kemudian gabungkan pula dengan semangat kesebelasan muka baru pasukan Jerman. Mungkin gabungan semangat dan muka baru ini, Melayu tidak lagi sekadar menjadi tukang sorak di luar padang sambil makan kuaci atau kacang goreng. Jika tidak, mereka hanya sekadar menang sorak kampung tergadai. Ingat juga kata-kata orang Pulau Pinang...Balik Pulau Bayan Lepas, di sana terpelau di sini terlepas!

Hassan Mohd. Noor
Warna-warni politik
Torashah