DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Ahad, 26 September 2010

Khalifah Lim Guan Eng akhirnya mengaku MENIPU!

Selepas pelbagai pendedahan dibuat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akhirnya mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu, kos untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil daripada penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.

"Kerajaan negeri mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang miskin tetapi untuk umat Islam, ia tiada kaitan dengan sumber judi," katanya dalam laman sosial twitter, hari ini.

Beliau menjawab pendedahan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam mengenai sepucuk surat kerajaan negeri yang dihantar kepada Pengarah Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000.

Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob itu mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima oleh kerajaan negeri walaupun sebelum ini dinafikan.

Sebelum ini, sebuah blog, Pisau.net turut mendakwa bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas termasuk masyarakat Islam di negeri itu adalah dari sumber perjudian.

Dalam pada itu, Guan Eng berang dengan pendedahan isu tersebut apabila mempersoalkan kenapa Pemuda UMNO dan beberapa blog sengaja buat 'bising' berhubung isu sumbangan kepada warga emas.

"RM100 kepada warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri tak makan duit itu sebab ia boleh diberi kepada rakyat. Dulu Barisan Nasional (BN) tidak bagi duit masa memerintah, jadi mengapa bising?," soalnya.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 25 September 2010

DAP Zionis Pulau Pinang : Dana dari kelab lumba kuda!

REEZAL Merican Naina Merican (tengah) menunjukkan salinan surat yang membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang mendapatkan dana daripada sumber judi untuk program membiayai miskin tegar pada sidang akhbar di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendedahkan sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Bertarikh 9 Julai 2010, surat itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob, mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

‘‘Kalau sebelum ini kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng bermati-matian menafikan pernah menerima duit hasil perjudian untuk membiayai program mereka, saya cabar kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan berhubung surat ini.

‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gagal menjelaskan pembohongan ini, maka beliau akan dikenang sebagai bapa segala pembohongan. Kalau tidak betul pun, sila tampil beri penjelasan kerana surat ini dikeluarkan oleh pejabat beliau sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Reezal Merican baru-baru ini mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan bahawa wang kerajaan negeri yang dinikmati adalah hasil penjimatan melalui prinsip ketelusan yang diamalkan pentadbirannya selama ini.

Reezal Merican bagaimanapun berkata, isi kandungan surat tersebut jelas bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng dan pemimpin kerajaan negeri berhubung isu itu.

‘‘Kita tidak pernah membuat tuduhan melulu tetapi kita meminta penjelasan kerana kita percaya ia turut melibatkan dana untuk orang Islam. Malah, surat itu menyebut sumbangan (RM500,000) merupakan ‘baki’ dana yang disalurkan, bermakna kelab berkenaan sudah menyalurkan sejumlah dana lain sebelum ini.

‘‘Justeru, sekali lagi kita tuntut penjelasan. Anda (media) perlu bertanya kepada beliau (Guan Eng) sendiri atau tanya kepada kelab (lumba kuda) berkenaan. Kita harap ia akan memberi perspektif baru kepada rakyat yang inginkan kebenaran,” jelasnya.

Menjawab persoalan mengenai pendedahan blog pisau.net yang sebenarnya berkisar soal pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas, Reezal Merican berkata, ia tidak menjadi satu isu kerana program membasmi miskin tegar juga melibatkan masyarakat Islam.

‘‘Saya timbulkan perkara ini kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam mengenai sumber pemberian wang oleh kerajaan negeri. Kalau untuk miskin tegar sekalipun, bukankah ada orang Islam di negeri ini yang mengalami miskin tegar dan perlu dibantu?

‘‘Bagi orang Islam, kalau ia (sumbangan) daripada sumber tidak halal, mereka lebih rela susah daripada menerima sumbangan daripada perjudian kerana ia adalah haram. Lumba kuda ini bukankah satu bentuk perjudian?,” tegasnya.-UM

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 15 September 2010

Tolong jangan lupa...rakyat Malaysia pernah kena ' kencing ' pada 16 September!

Tarikh 16 September memanglah bersejarah.Inilah hari penubuhan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963.

Dalam kemeriahan cuti umum menyambut ulangtahunnya ke 47,Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ingin sampaikan pesanan ini.

Katanya 16 September juga merupakan ulangtahun kedua hari pembohongan terbesar Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada seluruh rakyat negara ini.

Jangan lupa pada 16 September 2008 seluruh negara menunggu dengan penuh debar pakatan pembangkang nak ambilalih Putrajaya menerusi 'pintu belakang' .

Dakwa Anwar sebilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang diperlukan sudah dalam poketnya.

Rakyat antara lain menyaksikan drama lucu beberapa orang kuat PKR dihantar 'mengejar' para Ahli Parlimen BN yang membuat lawatan sambil belajar ke Taiwan.

Senario yang diberi seolah kerajaan BN sudah nak bungkus.Akhirnya habuk pun tarak.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 4 September 2010

NIZAR, BUKTIKAN SEGERA TUDUHAN, ATAU KE MAHKAMAH !

KENYATAAN AKHBAR

UMNO Negeri Perak mendesak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin segera menunjukkan bukti bahawa parti UMNO terlibat mengubahsuai gambar yang memaparkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu.

Dalam kenyataannya yang dipetik dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian Edisi Perak pada 3 September lalu, Nizar secara jelas menuduh UMNO terlibat menukarkan wajahnya yang sedang menyembelih lembu kepada wajah Guan Eng.

Akhbar itu melaporkan, "Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui gambar memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyembelih lembu itu adalah wajahnya yang telah diubah suai dengan teknik superimpose oleh UMNO."

Nizar juga dipetik sebagai berkata, "Saya yakin gambar itu sengaja diubah oleh UMNO dan penyokongnya yang terdesak untuk mendapat sokongan masyarakat dan cuba memburuk-burukkan hubungan PAS dan DAP."

Kenyataan itu dinyatakan oleh Nizar kepada wartawan akhbar Sinar Harian di Masjid Aziziah, Batu 20, Bagan Datoh pada malam 1 September lalu.

Secara jelas, Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak dan ADUN Pasir Panjang telah menamakan parti UMNO sebagai pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak beretika itu.

Oleh itu, UMNO Negeri Perak meminta Nizar segera menunjukkan bukti penglibatan UMNO dalam mengubahsuai gambar itu, atau beliau bersedia diheret ke mahkamah jika enggan atau gagal berbuat demikian.

Perbuatan Nizar yang secara langsung menundingkan jari kepada UMNO dalam isu ini adalah sangat mengelirukan dan merupakan satu tuduhan yang berat terhadap sebuah parti politik berperlembagaan, berperaturan dan bermaruah.

Nizar nampaknya sudah ketandusan modal untuk mengheret Umno dalam polemik, sehinggakan sanggup menuduh parti itu melakukan sesuatu tidak beretika yang lumrah dilakukan oleh cyber-troopher di dalam internet.

Apakah beliau terlalu yakin UMNO melakukan perbuatan itu, atau apakah tidak ada kemungkinan ianya dilakukan sendiri oleh penyokong-penyokong parti pembangkang dari PAS, DAP atau PKR bertujuan mahu menjadikannya sebagai modal untuk memancing sokongan rakyat dan memburuk-burukkan UMNO?

Terlalu banyak gambar yang diubah suai menggunakan teknik superimpose yang tersiar di laman-laman internet, termasuk oleh penyokong parti-parti pembangkang khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-12 lalu sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Tetapi adalah tidak wajar menuduh sesebuah parti politik terlibat secara langsung dalam pembikinannya, sebagaimana dilakukan oleh Nizar terhadap UMNO.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak
Tanjong Malim, 5 September 2010

Warna-warni politik
Torashah

Lagi pakatan lompat parti!

Mat Arop Selamat (tengah) menyerahkan borang kemasukan ahli Umno kepada Dr. Zambry Abd. Kadir sambil diperhatikan ADUN Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin (kiri) ketika majlis rahmat ramadan di Kampung Bayan Baru, Kubu Gajah, Selama, Perak, semalam.

Pakatan pembangkang di negeri ini terus menerima tamparan apabila 756 ahli Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah bertindak keluar daripada parti tersebut untuk menyertai UMNO.

Tindakan ahli Pas daripada 42 cawangan itu diketuai bekas Timbalan Ketua Pas Cawangan Bagan Baru, Mat Arop Selamat, 65, yang menyerahkan borang keahlian kemasukan UMNO kepada Ketua Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Penyerahan borang keahlian yang penuh bermakna itu dibuat pada Majlis Rahmat Ramadan Bersama Menteri Besar di Kampung Bayan Baru, Kubu Gajah, Selama di sini.

Menurut Mat Arop, keputusan keluar daripada Pas itu dibuat dengan kerelaan hati tanpa paksaan atau sogokan daripada mana-mana pihak.

Jelasnya, ahli Pas terlibat memilih untuk menyertai UMNO selepas hilang keyakinan terhadap Pas dan pakatan pembangkang bagi membela nasib dan perjuangan mereka.

“Saya sudah 32 tahun bersama Pas iaitu sejak tahun 1969 lagi dan telah memegang jawatan Timbalan Ketua Pas Cawangan Bagan Baru selama 22 tahun.

“Namun saya dapati parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan asal dan saya sudah hilang kepercayaan. Saya keluar parti ini dengan rela dan bukan sebab mendapat sogokan wang atau apa-apa imbuhan lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mat Arop, kepimpinan Zambry sebagai Menteri Besar yang berwibawa juga mendorongnya untuk beralih arah kepada UMNO.

Ujarnya, Zambry berjaya menyatukan semua pihak tanpa sebarang sengketa.

“Cuba tengok di Pulau Pinang dan Selangor sekarang. Semuanya kelam kabut dan bergolak,” katanya.

Tegasnya, bagi membuktikan perjuangannya bersama UMNO ikhlas, dia bersama bekas ahli Pas yang lain akan mengadakan kempen menarik lebih ramai ahli menyertai UMNO.

Sementara itu, Zambry berkata, tindakan ahli-ahli Pas tersebut yang memilih UMNO menunjukkan parti itu semakin teguh di Perak.

“Apa yang terjadi hari ini menunjukkan perubahan besar di Parlimen Larut. Ia menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) makin teguh dan kita mengalu-alukan mereka ini,” katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Rabu, 1 September 2010

Peringatan Raja Nazrin wajar diberi perhatian serius!

ENTAH untuk ke berapa kali, raja-raja Melayu terus memberikan peringatan dan nasihat kepada orang Melayu serta umat Islam mengenai ancaman yang sedang mereka hadapi.

Terbaru, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.

Pada pandangan baginda, ia berlaku kerana pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.

Walaupun peringatan baginda cukup tegas dan jelas tetapi percayalah, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada sesetengah kelompok pemimpin yang lebih melihat kepada keuntungan politik semata-mata.

Pemimpin berkenaan seolah-olah tidak peduli terhadap apa yang berlaku kepada orang Melayu tetapi sebaliknya lebih menghitung bagaimana hendak meraih sokongan daripada kaum lain.

Akibatnya, orang Melayu dan umat Islam seperti kata Raja Nazrin tenggelam punca. Keadaan ini jika berterusan amat berbahaya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Justeru, pemimpin-pemimpin yang terus ghairah menggadaikan segala-galanya untuk kepentingan politik mereka, perlu memandang serius peringatan Raja Nazrin itu.

Jangan menganggap apa yang dititahkan oleh baginda sekadar satu titah semata-mata dan bukannya satu perintah yang perlu dipatuhi. Apa yang baginda lakukan adalah untuk memberi amaran tentang bahaya yang menanti umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Pertelingkahan akibat ideologi politik berbeza dan ditambah pula dengan permainan politik matlamat menghalalkan cara telah memungkinkan hari demi hari orang Melayu menjadi semakin lemah.

Apa sahaja isu yang cuba dibangkitkan bagi membela nasib mereka, pasti akan mendapat tindak balas segera di mana orang yang memperjuangkannya akan dianggap rasis.

Lebih mendukacitakan, apabila ada pemimpin Melayu yang sanggup ke barisan hadapan untuk mempertahankan tindakan pemimpin bukan Melayu menyampaikan 'tazkirah' di surau.

Pelbagai hujah mereka keluarkan bagi mempertahankan rakan sekutu politik mereka itu, dan dalam masa yang sama tuduhan dilemparkan kepada pihak yang mendedahkan kejadian tersebut.

Sudah jelas kini semakin ramai pemimpin Melayu bersedia menjadi 'pak turut' semata-mata mahu meraih kuasa politik.

Mereka terlupa bahawa seperti mana kata Raja Nazrin pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar.

Jika orang Melayu dan umat Islam terus leka serta lebih selesa untuk menjadi pembela membuta tuli kepada perbuatan yang dianggap melampau oleh bukan Islam, maka percayalah satu hari nanti mereka mungkin ibarat 'menang sorak kampung tergadai'.

Oleh itu, jadikanlah satu demi satu nasihat daripada raja dan sultan sebagai peringatan dan bukannya melihatnya daripada sudut politik yang sempit. Janganlah menjadi si kitol yang sanggup menggadaikan segala-galanya demi mencari kesenangan sementara.

Orang Melayu perlu sedar dan memahami bahaya yang menanti mereka. Ingatlah apabila pencerobohan kecil cuba dipertahankan dengan pelbagai hujah maka, bersedialah untuk berhadapan dengan pencerobohan besar yang tidak mustahil boleh menyebabkan orang Melayu menjadi pelarian di tanah air sendiri seperti mana yang berlaku di Palestin.-UM

Warna-warni politik
Torashah