DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Rabu, 27 Oktober 2010

Isu Pasir di Perak : Tiada tolak ansur - Zambry !


Perak tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa mahupun pelanggaran permit melibatkan aktiviti pengeluaran pasir di negeri ini.

Zambry Abd. Kadir beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Perak ketika mengadakan lawatan ke pejabat berkenaan, kelmarin. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengakui, isu pengeluaran pasir sering kali menjadi masalah memandangkan Perak merupakan sebuah negeri yang luas.

"Mungkin kaedah penguatkuasaan pada hari ini perlu dikaji kembali meskipun Perak pada suatu masa dahulu merupakan sebuah negeri yang terbaik dalam pengurusan pasir.

"Sebagai contoh, untuk tahun ini sahaja, kita telah mengambil tindakan tegas terhadap 97 kes pelanggaran syarat permit melibatkan pembatalan doket bernilai RM65,140. Kesemua kes tangkapan kes di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Syed Mokhtar Syed Iddris di sini, semalam.

Zambry mengulas mengenai laporan Ketua Audit Negara 2009 yang mengatakan terdapat beberapa kesan ancaman alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti pengambilan pasir di negeri ini seperti hakisan dan ketidakstabilan tebing sungai.

Menurut laporan tersebut, kesan ancaman itu berpunca daripada pelaksanaan operasi pengambilan pasir yang tidak mematuhi syarat permit dan kelemahan penguatkuasaan oleh jabatan atau agensi kerajaan.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai cadangan perdebatan antara salah seorang Exco kanan kerajaan negeri iaitu Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pada 1 November ini, Zambry berkata, ia adalah hak Hang Soon untuk melakukannya.

Beliau yang enggan menyatakan persetujuan atau menolak perdebatan itu bagaimanapun mempersoalkan syarat yang ditetapkan Koo Ham iaitu perlu mengesahkan Hang Soon sebagai wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri untuk bersuara.

"Mengapa takut dan perlukan 'lampu hijau' serta pengesahan rasmi daripada kerajaan BN negeri melalui syarat-syarat yang ditetapkan sedangkan selama ini mereka sering kali memanipulasikan orang ramai melalui kenyataan mereka sendiri," tambah Zambry

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 24 Oktober 2010

UMNO, Najib dan mesej!

Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam meninggalkan kesan yang bukan kecil kepada parti itu bahkan kepada masyarakat Melayu.

Awang bersyukur kerana perhimpunan tersebut memperlihatkan UMNO semakin kukuh. Rata-rata perwakilan pulang dengan semangat dan keyakinan baru. Sama ada disedari atau tidak, perpaduan dan penyatuan UMNO kian kental.

Itulah mesej utama daripada perhimpunan kali ini biarpun ketika banyak pihak terutama pembangkang terus mengasak UMNO.

Awang ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak, timbalannya, Muhyiddin Yassin dan para pemimpin serta seluruh perwakilan kerana dapat menjana keyakinan masyarakat Melayu terhadap parti tersebut.

Segala keresahan bahawa UMNO sudah lesu agenda Melayu dan bumiputera kerana terlalu berhati-hati dalam landskap politik terkini, terjawab. Ia sama sekali menyangkal persepsi bahawa kepimpinan UMNO tidak lagi ke hadapan untuk membela kepentingan kaumnya.

Dalam perhimpunan tersebut, seruan agar UMNO terus memperjuangkan untung nasib bangsa, masih kuat bergema dan dominan. Ramai pembahas tidak teragak-agak menyentuh hal tersebut meskipun beberapa kerat pemimpin UMNO mula terikut rentak pembangkang - takut dilabel rasis kononnya.

Yang menjadi kemuncak ialah amanat Presiden. Ramai yang melihat ucapan beliau pada perhimpunan kali ini, terbaik. Beliau dengan lantang dan hujah konkrit, membuktikan komitmen sebagai peneraju UMNO untuk terus membela kepentingan bumiputera.

Jika ada yang menjangka Najib akan mengambil jalan tengah, mereka tersilap. Sebaliknya, beliau telah memberi ledakan untuk membuka mata semua pihak bahawa anak mantan Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein itu jangan diambil mudah.

Naik mendadak semangat Awang. Ucapannya yang menyentuh Perlembagaan, mengejutkan banyak pihak. Beliau memberi peringatan tegas agar semua kaum tidak mempersoalkan hak dan kedudukan orang Melayu. Kedudukan istimewa itu sudah terkunci kemas dan tidak boleh diubah. Mana-mana pihak yang mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen tidak mampu mengubah hak Melayu tanpa kebenaran Majlis Raja- Raja Melayu. Begitu juga kedudukan bukan Melayu termasuk status kerakyatan, sudah terpelihara.

Langkah Najib membangkitkan isu itu adalah suatu keberanian. Nada tegas dan lantang menekankan perkara itu dalam ucapannya turut mencerminkan beliau serius. Ia memberikan mesej yang jelas kepada Melayu supaya jangan terlalu bimbang.

Kepada kaum lain pula, berhentilah mempersoal kontrak sosial.

Awang berharap peringatan Presiden UMNO berhubung Perlembagaan itu setidak-tidaknya meredakan polemik mengenainya. Malah ia tamparan hebat kepada gerakan yang diatur oleh pembangkang dan pihak tertentu untuk menulis semula Perlembagaan.

Seperti biasa, pembangkang bingkas bertindak mengelirukan pemikiran ramai kononnya Najib telah memberikan isyarat yang salah. Hujah yang digunakan ialah jika kedudukan Melayu sudah terjamin maka tiada salahnya orang Melayu menyokong pembangkang dan UMNO tidak lagi relevan.

Pada Awang, jawapannya mudah. Melayu mesti terus menyokong BN terutama UMNO yang berpaksikan Perlembagaan negara kerana kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu akan lebih terjamin. Setakat ini, UMNO sahaja yang terbukti paling komited untuk mempertahan dan menterjemahkannya dalam semua keadaan.

Sedangkan pembangkang terutama DAP dan PKR telah melakukan pelbagai usaha untuk menafikan kepentingan ketiga-tiga tunjang itu dalam Perlembagaan. Untuk apa menyokong parti politik yang matlamat akhirnya diketahui untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik suatu hari nanti.

Awang tidak terkejut dengan apa sahaja putar belit yang dimainkan oleh pembangkang. Itu memang budaya mereka. (Seperti kata wakil Kelantan, Md. Alwi Che Ahmad, usaha pembangkang untuk menumbangkan BN yang diterajui oleh UMNO umpama sejarah Perang Ahzab apabila Nabi Muhammad SAW diperangi satu pakatan besar-besaran dan dahsyat, yang diketuai musyrikin Quraisy.)

Lebih-lebih lagi pembangkang takut UMNO akan memperhebatkan agenda Melayu. Selagi UMNO kental dalam perjuangan untuk orang Melayu, selagi itulah ia sukar digugat kerana akan terus menjadi sandaran utama.

Awang lega sesungguhnya para pemimpin utama UMNO dalam perhimpunan kali ini responsif kepada suara orang Melayu dan ahli UMNO di akar umbi. Agenda Melayu tetap subur biarpun parti itu perlu lebih bijak mengurus aspirasi kaum lain dalam landskap politik lebih mencabar. Ucapan Muhyiddin pada perasmian persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri juga cukup baik dan sendat dengan mesej. (Cuma anehnya, buat pertama kali, ucapan Timbalan Presiden tidak mendapat liputan siaran langsung daripada RTM)

Sebarang kelesuan UMNO dalam pembelaan Melayu akan dihukum oleh orang Melayu. UMNO tidak boleh terperangkap dengan muslihat politik parti pembangkang dan komponen lain dalam BN menerusi konsep sama rata dan keadilan tafsiran politik mereka. Mengapakah UMNO tidak boleh mempertahankan kepentingan Melayu sedangkan parti-parti lain makin agresif melonjakkan perjuangan kaum masing-masing. Untuk kaum Cina sahaja, setidak-tidaknya ada tiga parti utama yang sedang berlumba-lumba iaitu DAP, MCA dan Gerakan.

Maka UMNO mesti menjadi pergerakan politik yang menyakinkan dalam apa keadaan sekalipun. Keyakinan itu semakin dirasakan di bawah kepimpinan Najib. Dalam ucapan penggulungannya semalam, nada Najib lebih pedas dan tajam yang menyerlahkan lagi karisma beliau. Namun Najib perlukan masa dan sudah tentu juga lebih pengertian, untuk memberi impak lebih besar. Janganlah hanya membaca yang tersurat daripada segala tutur kata dan gerak tindaknya. Banyak juga yang tersirat perlu diamati. Awang sentiasa yakin Najib ada cara untuk memperkasa UMNO sambil melakar keharmonian untuk semua kaum. Sejak dulu lagi, UMNO atas sifat kemurahan hati Melayu menjadi penaung yang baik dan selamat buat bukan Melayu. Malah kaum Cina terus menguasai ekonomi negara di bawah kepimpinan UMNO.

Apa pun, percayalah UMNO mempunyai keupayaan untuk terus berkuasa asalkan orang Melayu bersatu dan UMNO terus kuat. Inilah tuntutan sebenar UMNO apatah lagi pada era kritikal ini. Seperti kata Dato' Onn Jaafar pada Kongres Melayu pertama, 4 Mac, 1946. ''Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha'.' Perhimpunan Agung UMNO 2010 sudah memberikan petunjuk dan semboyannya termasuk mempertahankan kerajaan pusat. Ayuh, apa lagi ...

Awang Selamat

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 18 Oktober 2010

Heret Anwar ke mahkamah!

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusannya mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan meliwat kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan tepat.

Ketika bercakap pada sesi dialog di hadapan 63 wakil daripada 22 parti dari 20 negara yang hadir pada program forum antarabangsa hari ini beliau turut menegaskan kes yang melibatkan bekas timbalannya itu bukan satu konspirasi.

Sebaliknya beliau berkata, usaha itu dilakukan secara berhati-hati iaitu dengan bersandarkan kepada fakta serta bukti yang ada kerana ia melibatkan perbicaraan di mahkamah selain turut membabitkan maruah seseorang.

“Sebagai seorang yang rasional mustahil kes Anwar ini hasil daripada konspirasi. Kes Anwar membabitkan institusi kehakiman dan di dalam institusi ini konspirasi sukar dilakukan kerana kita terpaksa berhadapan dengan banyak pihak.

“Kita bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan satu dua orang tetapi lebih 100 orang. Antaranya hakim, pendakwa, polis, saksi-saksi dan mangsa. Ini bukan kerja mudah kerana banyak pihak yang akan terlibat,’’ katanya pada sesi soal jawab itu.

Terdahulu Dr. Mahathir diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-64, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Dr. Mahathir sebelum itu telah ditanya mengenai kes yang melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu oleh salah seorang peserta forum berkenaan.

Sehubungan itu Dr. Mahathir mahu semua pihak perlu berfikir sebelum membuat sebarang tuduhan apatah lagi Anwar di dalam kes terbarunya turut disabitkan tuduhan yang sama.

“Memang kita akui seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah sehinggalah dia disabitkan bersalah oleh mahkamah tetapi dalam kes terbaru Anwar jelas ia sama seperti kesnya yang terdahulu.

“Ini menggambarkan seolah-olah kes ini ada asas kebenarannya. Kes yang terkini disabitkan pada era pemerintahan orang lain dan bukannya zaman pemerintahan saya. Persoalannya mengapa kesnya sama? Tidak mustahil wujud asas-asas kebenaran dalam kes yang melibatkan Anwar itu,’’ katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir ketika menjawab soalan tersebut turut menarik perhatian peserta bahawa sepanjang 22 tahun memimpin negara, beliau tidak pernah sekali mempelawa hakim hadir untuk majlis-majlis rasmi sama ada di kediamannya atau di tempat lain.

Sekiranya ada beliau berkata, ia hanya untuk Ketua Hakim Negara.

“Saya faham kedudukan hakim dan etika yang harus mereka patuhi. Sebagai hakim mereka perlu bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk golongan pemimpin kerana akhirnya mereka yang akan membuat keputusan bagi satu-satu kes,’’ katanya.

Menjawab satu soalan lain, beliau menegaskan, semua negara termasuk kuasa-kuasa besar perlu menghapuskan penggunaan senjata nuklear kerana ia bakal memberi kemusnahan kepada beribu-ribu nyawa manusia dalam sekelip mata.

Beliau berkata, adalah satu perkara yang tidak adil apabila hanya negara tertentu sahaja dilarang memiliki tenaga nuklear sedangkan kuasa-kuasa besar bebas menggunakannya.

“Adakah ini yang kita katakan demokrasi tulen? Bagi saya semua negara mesti dilarang daripada membangun dan menggunakan senjata nuklear kerana ia langsung tidak memberi faedah kepada keamanan dunia sejagat.

“Senjata nuklear hanya akan merosakkan bumi dan akan menyebabkan nyawa manusia terbang umpama tiada harga. Hentikanlah perang, hapuskan senjata nuklear. Insya-Allah dunia akan aman,’’ ujarnya.

Warna-warni politik
Torashah

Majlis Mesra AidilFitri 1 Malaysia, Bandar Puncak Alam.











Ahad, 17 Oktober 2010

Indonesia tidak terpengaruh dengan Anwar!

WARGA Malaysia dan Indonesia yang menyertai perhimpunan perpaduan Malaysia-Indonesia di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.

Kerajaan Indonesia tidak akan terpengaruh dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau cuba mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh dalam isu pertikaian membabitkan negara itu dengan Malaysia.

Menteri Penasihat Kedutaan Besar Indonesia, Djoko Harjanto berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, republik tersebut tidak akan menghalang Anwar untuk berkunjung dan bertemu media di sana tetapi itu tidak bermakna kerajaan Indonesia bersetuju dengan semua pandangannya.

"Siapa sahaja bebas untuk datang dan bertemu media di Indonesia termasuk Ketua Pembangkang (Anwar). Dia bebas untuk menyatakan pandangan tetapi kita tidak akan terpengaruh jika ia berniat untuk menambah lagi kekusutan dalam hubungan antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai pendirian Kerajaan Indonesia berhubung kekerapan Anwar berkunjung ke negara itu bagi bertemu dengan media di sana dan mengambil peluang tersebut untuk memburukkan Malaysia serta kerajaan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu Djoko hadir pada Majlis Perhimpunan Perpaduan Malaysia Indonesia (Malindo) anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang bertujuan menjernihkan hubungan kedua-dua negara di padang Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Mengenai deklarasi hasil daripada perhimpunan tersebut yang diserahkan kepadanya, beliau berkata, deklarasi itu akan dihantar untuk rujukan kerajaan republik itu esok.Sambil menyambut baik deklarasi yang mahu kedua-dua negara mengekalkan hubungan serumpun, beliau berkata, penduduk di Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan rentak kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) dan Laskar Merah Putih.

"Kumpulan yang bertindak melakukan demonstrasi ini hanyalah segelintir sahaja tetapi pihak berkuasa di Indonesia sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka, jadi tidak perlu rakyat di sini mengikut rentak yang sama," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abd. Rahman Abu Bakar dalam ucapannya berkata, perhimpunan Malindo itu bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa hubungan antara Malaysia dan Indonesia kekal erat.

Pada masa yang sama beliau berkata, Malindo juga mahu membuktikan kepada kumpulan Bendera dan Laskar Merah Putih bahawa semua dakwaan yang dilemparkan kononnya warga Indonesia di Malaysia dizalimi adalah tidak benar.

"Sebaliknya, warga Indonesia yang mencari makan di negara ini menikmati kesenangan hidup yang sukar untuk ditemui di tanah air mereka sendiri, mereka bebas mencari rezeki selagi mengikut undang-undang negara ini," katanya.

Warna-warni politik
Torashah..