DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Selasa, 23 November 2010

Masih Sayangkah Pas Pada Pakatan Rakyat!

Untuk mendapatkan kuasa, Pas sanggup menggugurkan penubuhan negara Islam Pas. Pas sanggup berkompromi ataupun bekerjasama dengan DAP dan PKR dengan memperjudikan prinsip perjuangan, semata-mata untuk dapat merasai kerusi empuk Yang Berhormat ataupun Menteri Besar. Merasa tidak bersalah mengata UMNO dan orang-orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan parti komponen terbesar BN iaitu MCA dan MIC, tetapi pada masa yang sama apabila mereka bekerjasama dengan DAP dan PKR semuanya menjadi “ halal “. Dengan kata lain menghalalkan apa yang mereka haramkan sebelum ini. Bagi Pas, UMNO itu terlalu keji manakala DAP dan PKR adalah terlalu baik bagi mereka.

Sudah siang lagi bersuluh. Itulah rasa-rasanya kata-kata perumpamaan yang tepat digunakan untuk Pas ketika ini. Adakah Pas sedar akan kehadiran mereka untuk menceriakan Pakatan Rakyat sebenarnya telah menimbulkan kesangsian dikalangan ahli penyokong Pas itu sendiri. Siapakah yang membenarkan penggabungan itu sehingga menyebabkan Pas kini hilang cengkamam dalam usaha menubuhkan Negara Islam Pas. Adakah arahan dari Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi ataupun Tuan Guru Nik Aziz? Bukankah ketaatan kepada pemimpin khususnya kepada Sultan merupakan salah satu ajaran Islam?

Adakah Pas sedar yang Karpal Singh telah berjaya menguji kekuatan dan ketaatan Pas kepada ajaran Islam. Adakah Pas sedar ini adalah perancangan yang licik oleh Karpal Singh dan rakan-rakan dalam DAP untuk menguji kesetiaan orang melayu kepada Sulatan dan Raja-raja mereka. Pada pemikiran Karpal Singh, Pas hanya mementingkan kuasa pemerintahan berbandingkan agamanya dan Pas boleh pada bila-bila masa saja dijadikan budak suruhan dalam menjayakan agenda DAP.

Apabila ditegur, Pas akan cepat melenting sambil mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa akhbar atau media massa yang lain cuba memperbesarkan isu Karpal Singh ini. Pas akan cuba sedaya upaya untuk menangkis segala dakwaan dan kenyataan dari pihak media seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah. Contoh yang mudah kita boleh lihat dengan apa yang sudah terjadi di negeri Perak sebelum ini.

Walau apapun berlaku, Pas akan tetap mempertahankan Karpal Singh dan DAP kerana bagi mereka DAP adalah “ abang besar “. Kalau hitam kata DAP, maka hitamlah. Kalau putih, maka putihlah. Memanglah benar PAS hanya berkuasa di Kelantan dan Kedah, manakala di dua negeri lain Pas hanya diibaratkan sebagai “ Pak Turut “, menyokong setiap ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh DAP. PKR pula hanyalah penumpang dalam kesemua negeri Pakatan Rakyat. Secara tak langsung DAP telah menjadi kuasa penentu yang berkuasa kepada PKR dan PAS.

Takutkah PAS kepada DAP sehingga sanggup diperbudak-budakkan, diperkotak katikkan supaya terus kekal di dalam Pakatan Rakyat. Sayang sangatkah Pas pada DAP. Adakah Pas lebih takut dan sayangkan DAP daripada Allah S.W.T. Dimanakah sinar penubuhan negara Islam Pas yang dilaung-laungkan selama ini. Adakah ulama-ulama Pas lemah dan terkulai layu selepas di pergunakan oleh DAP tanpa mampu bangkit menentang.

Berkuasa betul DAP sehingga dapat mengunci mulut pemimpin-pemimpin Pas daripada menegur atau berkata sesuatu. Mereka lebih rela mencari kesalahan dalam apa jua yang dilakukan oleh UMNO kerana bagi mereka UMNO adalah sangat keji walaupun mereka tahu ahli-ahli UMNO adalah beragama Islam. Inilah jadinya apabila memperalatkan agama untuk kepentingan politik. Betapa ramai cendiakawan dalam PAS tetapi tak mampu memikirkan kesan kepada PAS. Islam bukan lagi menjadi agenda perjuangan PAS tatkala ini. Mereka hanya mahukan kerusi. Kalau dah gila kuasa beginilah jadinya.

Dan menjadi bertambah parah apabila Penasihat PKR, Anwar Ibrahim pula mengatakan beliau menolak penubuhan negara Islam. Beliau mengumumkan bahawa beliau memilih jalan moderate dimana Pas sebelum ini mengatakan moderate itu adalah sekular iaitu tolak Islam dan tolak ketuanan Melayu ke ketuanan Rakyat. Sanggupkah Pas bekerjasama dengan PKR untuk menubuhkan Negara Islam bilamana Penasihat PKR, Anwar Ibrahim secara terang-terang menolak penubuhan sebuah Negara Islam di Malaysia.

Sanggupkah Pas bekerjasama dengan kumpulan yang anti-Islam iaitu IFC yang mana rata-rata ahlinya adalah dari PKR. Sebab itulah Anwar Ibrahim sanggup mengenepikan cita-cita Pas untuk menubuhkan negara Islam Pas. Bagaimana pula dengan alim ulama dalam PKR. Masih sanggupkah bersama PKR untuk menperjuangkan Islam bilamana ketua anda sendiri yang tolak Islam.

Dalam apa jua hal pun, UMNO konsisten dalam memperjuangkan syiar Islam dibumi Malaysia. Cuma Pas dan PKR sahaja yang tidak tahu menilai dan menghargainya. DAP melalui Lim Kit Siang dan Karpal Singh sejak penubuhannya telah lama menolak Negara Islam. Manakala Anwar selepas bebas untuk membolehkan beliau berpolitik, menukar haluan PKR untuk menolak penubuhan Negara Islam. Jadi dimanakah hala tuju Pas yang sebenarnya? Adakah Pas mahu atau masih setia dengan Pakatan Rakyat?

Masih adakah hari esok buat Pas dengan negara Islamnya. Apa gunanya Pas bekerjasama dengan Pakatan Rakyat kalau semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Dimana letaknya darjat Islam itu sendiri apabila untuk mendapatkan kuasa adalah lebih penting dari mempertahankan penubuhan Negara Islam Pas. Nasihat buat Pas, kembalilah kepangkal jalan. Sama-samalah kita renung dan fikirkan.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 21 November 2010

Berkorbanlah untuk bersatu!

Ajakan Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO agar Pas menyertai Barisan Nasional ditolak mentah-mentah oleh Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas.

Menurut Idris, Pas tidak memerlukan UMNO, kerana Pas akan berusaha untuk memikat ahli-ahli UMNO khususnya dan orang Melayu Islam untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu. Setiausaha Agung PKR menyifatkan ajakan UMNO itu sebagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Sebelum ini pun Presiden Pas pernah mengeluarkan kenyataan meminta UMNO supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada hemat saya, ini bukan soal hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong atau tidak. Ini berkaitan dengan masa depan umat Islam. Pas dan PKR janganlah terlalu yakin untuk mengambil Putrajaya. Jika ditakdir mereka berjaya, saya tidak fikir mereka mampu mendapat majoriti dua pertiga.

Apatah lagi untuk menegakkan negara Islam. Paling hebatnya mereka hanya akan mendapat kelebihan beberapa kerusi. Senarionya mungkin lebih kurang sahaja seperti apa yang berlaku hari ini. Jika UMNO kalah sekalipun, tidaklah sampai kehilangan semua kerusi. Apa pun, kita tunggu dan lihat kekuatan masing-masing nanti.

Cuma, janganlah terlalu sombong dalam menilai kekuatan parti. Setiap parti ada kelebihan dan pengaruh masing-masing. Secara peribadi, saya mengenali kesemua tokoh ini tersebut. Kita bukan bercakap soal siapa menang atau siapa akan kalah dalam pilihan raya.

Pilihan raya hanya alat untuk mendapatkan kuasa dan menjadi parti yang memerintah kerajaan. Siapa yang dipilih oleh rakyat, kita perlu menghormati keputusan tersebut. Apa yang lebih penting adalah masa depan agama, bangsa dan negara yang akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita. Ke syurgakah mereka atau ke neraka ketika di bawah pemerintahan kita, itu yang lebih penting?

Apa guna menang pilihan raya jika maruah agama dan kampung tergadai. Pilihan raya bukanlah segala-galanya dalam kehidupan umat Islam. Di negara-negara maju, jatuh bangun sesebuah parti dalam pilihan raya adalah perkara biasa.

Bezanya kita dengan mereka, kalah atau menang dalam pilihan raya, kedudukan agama dan bangsa mereka tidak terjejas, malah terus gagah dan bermaruah. Tetapi tidak kita pada hari ini, seolah-olah menang mahu jadi arang, kalah jadi abu.

Belum pun apa-apa kita sudah dapat rasakan bagaimana agama dan bangsa kita dipijak-pijak. Apakah ini yang kita mahu? UMNO hanya mempelawa, kalau tidak setuju tidak mengapa. Tolaklah dengan cara baik. Tetapi jangan menyakitkan hati orang dengan kenyataan-kenyataan seperti kapal karamlah, hidung tak mancunglah dan sebagainya. Hebat sangatkah kita?

Secara peribadi saya amat kecewa dengan umat Islam hari ini. Tidakkah kita ini semuanya bersaudara tanpa mengira bangsa dan ideologi politik? Tidakkah kapal yang bocor dan hendak karam itu perlu diselamatkan demi survival umat Islam secara keseluruhan.

Apakah kita tidak belajar daripada kejatuhan empayar-empayar Islam sebelum ini? Akibat dendam kesumat dan perbuatan menyakitkan hati sesama sendiri, kita terus berpecah tiada kesudahan, sehingga ke tahap sanggup menikam sesama sendiri.

Selaku Cina Muslim yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam soal bangsa Melayu, melainkan agama Islam, berbincanglah dahulu pelawaan Ahmad Maslan itu. Tidakkah Islam menganjurkan kita bermesyuarah. Sesuatu kejayaan bermula dengan langkah pertama. Mungkin selepas ini pertemuan boleh diaturkan dengan Perdana Menteri.

Apakah formula dan konsep yang boleh dipersetujui bersama demi masa depan umat Islam? Apakah jawatan yang mungkin boleh ditawarkan kepada Pas. Jika tidakpun jawatan Perdana Menteri, mungkin jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka akan diberikan jawatan penting apabila Pakatan Rakyat ditakdirkan memerintah nanti?

Jika itulah jawapannya, sudah tentu Pas akan diberikan jawatan penting di bawah kerajaan Pulau Pinang. Tetapi adakah ia berlaku? Di manakah kedudukan Pas setelah PR memerintah Pulau Pinang? Begitu juga kedudukan Pas, apabila PKR memerintah Selangor. Apakah mungkin akan diberikan jawatan menteri besar Selangor selepas PRU 13? Jauh panggang dari api.

Dalam PKR hari ini pun masih berantakan untuk merebut jawatan parti. Tujuannya tidak lain, bila menang jawatan dalam parti, peluang untuk memegang jawatan tertinggi peringkat negeri dan negara adalah lebih besar. Sebab itu macam-macam perkara berlaku dalam parti pemilihan parti yang tidak perlu disebut lagi.

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Warna-warni politik
Torashah

Jumlah orang miskin di Selangor membimbangkan!

SHAHRIZAT Abdul Jalil menyampaikan daging korban kepada Pengerusi Surau at-Taufigiah, Ramli Mohd. Lana di Taman Medan Cahaya di Petaling Jaya, semalam.

Kerajaan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sekali lagi digesa meningkatkan bantuan kepada rakyat miskin dan golongan kurang bernasib baik di negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) bimbang golongan itu tidak mendapat pembelaan serta bantuan sewajarnya berdasarkan jumlah peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat ini Kerajaan PKR Selangor hanya membelanjakan RM14.6 juta untuk membantu 8,007 penduduk miskin berbanding RM98.7 juta yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu 35,342 keluarga miskin termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak di negeri itu.

"Kalau kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menampung kebajikan golongan miskin di Selangor, mereka akan berada pada tahap berbahaya kerana tidak mendapat pembelaan.

"Jumlah orang miskin di Selangor amat membimbangkan tetapi pembelaan daripada kerajaan negeri terlalu kecil. Justeru saya minta supaya jumlah bantuan itu ditingkatkan.

"Sewaktu parti pembangkang mengambil alih Selangor, banyak duit ditinggalkan oleh kerajaan BN di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo tetapi anehnya mengapa ia tidak diguna untuk menjaga kebajikan rakyatnya?" katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Majlis Ibadah Qurban di Surau At-Taufiqiah, Taman Medan Cahaya, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Mayang Selangor, Datuk Raja Hanifudin Raja Nong Chik; Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa, ahli-ahli Perkim, Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia, anak-anak yatim serta penduduk sekitar taman tersebut.

Pada majlis itu, Shahrizat menyerahkan sumbangan antaranya daging korban dan kuih kepada 100 orang terdiri daripada saudara baru, ibu tunggal dan anak yatim.

Majlis itu dianjurkan bersama Sekretariat Pembelaan dan Pemerkasaan Wanita Islam (Senada) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perkim dan Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia.

Ditanya mengenai masalah suri rumah sekitar kawasan kediaman kerajaan (kuarters) di Putrajaya untuk mewujudkan pusat jagaan harian kanak-kanak, Shahrizat berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Perbadanan Putrajaya.

Beliau berharap Perbadanan Putrajaya dapat melihat kembali bagaimana untuk membantu suri rumah di kawasan tersebut mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) mengikut kaedah di bawah Akta Pusat Jagaan Kanak-kanak.

Mengenai masih ramai golongan OKU di negara ini yang tidak berdaftar, Shahrizat berkata, JKM sentiasa terbuka untuk urusan pendaftaran mereka.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 20 November 2010

100 protes minta Anwar, Azmin undur!

Kira-kira 100 anggota PKR malam tadi mengadakan protes dan berhimpun di Dataran Shah Alam meminta Penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali supaya keluar daripada parti tersebut.

Protes itu diadakan bermula pukul 8 malam sempena perhimpunan "Rapat Umum Keadilan Selangor bersama Anwar Ibrahim" yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turut dihadiri oleh kedua-dua pemimpin terbabit.

Former Selangor PKR treasurer Bekas bendahari PKR Selangor KS Kottapan yang mengetuai protes itu berkata perhimpunan berkenaan juga diadakan ekoran kegagalan kepimpinan tertinggi PKR menangani aduan membabitkan pemilihan parti oleh beberapa calon kepimpinan di peringkat cabang di Selangor.

"Hari ini kita adakan demonstrasi di hadapan bangunan MBSA adalah untuk memberitahu pemimpin PKR bahawa kita membantah pemilihan di peringkat cabang hingga ke Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Kita turun ramai-ramai dari semua cabang untuk protes bahawa pemilihan kali ini dijalankan dengan begitu kotor," katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada beliau akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu, Kottapan berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana ia membabitkan hal dalaman parti.

Bagaimanapun, beliau akan mengambil tindakan injuksi untuk menghalang pemilihan MPP dijalankan berikutan namanya yang sepatutnya tersenarai untuk merebut jawatan dalam MPP kini sudah hilang daripada senarai yang dimuatkan di laman web rasmi parti berkenaan pada 18 Nov lepas.

Perhimpunan itu turut membabitkan pertikaman lidah antara penyokong Kottapan dengan 40 anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK). Perhimpunan tersebut bagaimanapun dileraikan oleh polis kira-kira setengah jam kemudian.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 13 November 2010

Surat sokongan: Ketua Wanita PKR Selangor pula kena pecat!!!

PR dilanda gelora...masih lagi dengan salah guna kuasa selepas DAP!!!

Beginilah apabila sudah ada kuasa lain ceritanya. Tidak lama dahulu ahli DAP Tee Boon Hock dipecat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana didakwa keluar surat sokongan dapatkan projek…kali ini ahli MPK dari PKR pula, Hamidah Mat Som bakal dikenakan tindakan sama kerana didakwa keluar surat sokongan untuk perniagaan syarikat milik suaminya.

Keputusan untuk memecat Hamidah sudah dibuat oleh mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor. Kini surat pemecatan Hamidah telah disediakan dan masih menunggu untuk ditanda tangan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hal berkenaan diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, Khamis.

Kes Hamidah yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri mula bising apabila Ketua Bahagian MCA Kapar Song Kee Chai membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Selangor terhadapnya.

Hamidah didakwa mengeluarkan sekurang-kurangnya empat surat sokongan bagi membantu syarikat milik suaminya mendapat beberapa kontrak dari MPK.

PKR retak menanti rebah..!!!

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 6 November 2010

MB Azizan tuduh projek landasan elektrik punca banjir!

Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) di beberapa kawasan dalam daerah ini antara faktor yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan itu sehingga menyebabkan banyak taman perumahan ditenggelami air melibatkan lebih 10,000 penghuninya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu, ini kerana limpahan air akibat banjir tidak dapat mengalir kerana di tapak projek tersebut tidak terdapat saluran air yang besar.

"Selain air yang turun ke sini (Kota Setar) kesan daripada banjir di Kubang Pasu dan Padang Terap, satu faktor lagi ialah pembinaan landasan keretapi berkembar di daerah ini kerana pada tahun 2005 pun berlaku banjir tetapi ia tidak teruk sebegini.

"Banyak taman perumahan dan kawasan di sekitar tapak projek berkenaan ditenggelami air, malah ada taman-taman yang dahulu tidak pernah banjir, kali ini habis tenggelam," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir melibatkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan dan wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Antara kawasan dan taman-taman perumahan yang menerima kesan daripada projek berkenaan ialah Taman Rakyat, Taman PKNK, Taman Uda dan Taman Muhibbah manakala kediaman Azizan sendiri di Jalan Sultanah turut dinaiki air.

Sehubungan itu, kata Azizan, pihak yang terlibat dalam projek tersebut iaitu syarikat MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. (MMC-Gamuda) diminta supaya segera membina saluran yang dapat menyalurkan air ke tempat saliran atau sungai untuk mengatasi banjir di kawasan berkenaan.

"Jika syarikat berkenaan tidak berbuat demikian, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) akan diarahkan membuat saluran air di kawasan berkenaan," tambah beliau.

Mengulas mengenai banjir di Kedah secara keseluruhannya, Azizan berkata, pihaknya yakin dalam masa lima atau enam hari lagi, keadaan akan pulih seperti biasa sekiranya tidak ada lagi hujan.

"Ia bergantung kepada keadaan, jika masih hujan, mungkin banjir akan berlarutan," tambah beliau.

Sementara itu : KTM nafi landasan berkembar punca banjir

Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad hari ini menafikan dakwaan bahawa pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir besar di negeri itu.

KTM Berhad berkata, kejadian bencana alam itu tidak langsung disumbangkan oleh Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang sedang dijalankan kerana bencana alam serupa turut melanda negara jiran iaitu Thailand serta Kelantan dan Terengganu.

Dari aspek sistem saliran, pemaju projek iaitu syarikat MMC-Gamuda Joint Venture telah melaksanakannya dan struktur yang dibina adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata KTM Berhad dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan PAS Kedah hari ini mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri itu adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

KTM Berhad berkata, banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis adalah berpunca daripada cuaca buruk luar biasa dan pembukaan empangan yang mana paras airnya berada di tahap bahaya untuk menaikkan paras air sedia ada.

Syarikat pengangkutan itu turut menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit apabila bencana banjir turut menyebabkan berlakunya kerosakan pada struktur dan landasan baru yang sedang dibina.

"Projek yang bermula pada hujung 2008 itu, kini telah mencapai kemajuan 54 peratus secara keseluruhannya, namun disebabkan kejadian banjir luar biasa itu, kerja-kerja projek juga telah tertangguh," kata kenyataan itu.

Perkhidmatan tren KTM Berhad juga terjejas apabila sebanyak 20 perkhidmatan tren menuju ke arah utara terpaksa dibatalkan berikutan bencana alam itu. - bernama

KTM Berhad berharap agar situasi sedia ada akan kembali pulih supaya perkhidmatan tren dapat diteruskan dan perlaksanaan projek dapat disempurnakan mengikut jadual yang akan memberi manfaat kepada penduduk di setiap negeri yang dilaluinya termasuk Kedah.

"KTM Berhad dan pemaju projek akan memantau dari semasa ke semasa (keadaan ini) dan akan memberikan kerjasama serta menghulurkan segala bantuan yang perlu dalam memastikan keselamatan orang ramai dan kemusnahan harta benda dapat diminimumkan," katanya.

Warna-warni politik
Torashah