DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Isnin, 24 Oktober 2011

Tiga beradik jadi anak angkat Menteri Besar Perak!


Nasib tiga beradik miskin yang dibela ibu tiri selepas ditinggalkan ibu kandung terus mendapat pembelaan apabila mereka dijadikan anak angkat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini.

Ooi Seng Wai, 14; Seng Foong, 12, dan Seng Loong, 8, akan menjadi anak angkat beliau yang ke-137 di bawah Program Anak Angkat Menteri Besar Perak yang dikendalikan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Zambry berkata, menerusi program itu, ketiga-tiga adik beradik itu akan menerima bantuan wang saku bulanan sebanyak RM50, di samping bantuan lain seperti kelas tuisyen dan lawatan sambil belajar semasa cuti persekolahan serta bantuan baju raya semasa musim perayaan.

''Pada 20 Jun 2009, saya datang melawat tiga beradik ini selepas mendapat tahu mereka tidak pernah bersekolah dan kita membuat keputusan untuk membantu menghantar mereka ke sekolah.

''Dalam tempoh dua tahun, mereka ini telah banyak meningkat dalam pelajaran walaupun tidak pernah bersekolah. Saya amat bangga dengan pencapaian mereka," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi rumah keluarga tiga beradik itu di Taman Cahaya Bercham, di sini hari ini.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bercham, Tan Swee Kong.

Dalam lawatan itu, Zambry turut mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM10,000 untuk bantuan sewa rumah dan tuisyen kepada tiga beradik itu selepas sumbangan RM5,000 yang diberikan pada 20 Jun 2009 habis dibelanjakan pada Mac lalu.

Pada masa ini, selain sumbangan tersebut yang diuruskan jawatankuasa KRT Bercham, ibu tiri kanak-kanak itu, Wong Kam Yoen, 59, hanya bergantung kepada sumbangan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk persekolahan tiga beradik itu.

Kam Yoen ketika ditemui, melahirkan rasa amat gembira dan terima kasih kerana nasib tiga anak tirinya itu mendapat perhatian Menteri Besar. Tiga beradik itu dijaga oleh Kam Yoen selepas bapa mereka meninggal dunia pada 2009.

Ibu kandung mereka, Wong Soon Leng, 41, yang tidak begitu sihat pula menghilangkan diri dan pulang sekali atau dua kali sahaja dalam tempoh dua tahun.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 18 Oktober 2011

Fitnah: Zambry beri tempoh 24 jam kepada Koo Ham!

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi tempoh 24 jam mulai hari ini untuk Pengerusi DAP Perak , Ngeh Koo Ham untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan media yang dikeluarkan dalam blog pemimpin pembangkang itu yang didakwa memfitnahnya.

Sambil menyifatkan tuduhan melalui kenyataan media dalam blog Ngeh bertarikh 19 Se...ptember lepas merupakan satu fitnah jahat, Zambry menegaskan sekiranyanya Koo Ham tidak berbuat demikian dalam tempoh itu, beliau akan mengambil tindakan undang-undang.

"Mereka (pembangkang) sudah kebankrapan idea dan isu untuk menarik perhatian rakyat sehingga terpaksa membuat fitnah jahat serta menggunakan langkah-langkah jijik. Pakatan pembangkang dalam kecelaruan, mereka begitu terdesak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 19 September lepas, Koo Ham melalui kenyataan media dalam blognya mendakwa sumber dalaman memberitahunya Zambry telah meluluskan keseluruhan 27,401.2 hektar (68,503 ekar) tanah sejak Februari 2009 sehingga Julai tahun ini.

Daripada jumlah itu 24,224.7 hektar (60,561.75 ekar) merupakan tanah industri atau pertanian yang diluluskan pada kadar RM375 seekar.

Zambry mencabar Koo Ham supaya mendedahkan sumber dalaman yang membuat dakwaan yang tidak bertanggungjawab itu serta membuktikan dakwaan itu.

"Selain itu berikan bukti tanah telah diberikan kepada “kroni” saya dan mendedahkan nama mereka serta mendedahkan bagaimana pihak yang dikatakan “kroni" saya itu akan menerima keuntungan berjumlah RM900 juta seperti yang disebut dalam blog berkenaan,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 16 Oktober 2011

Rakyat makin bijak menilai Anwar!


Ribuan hadirin daripada pelbagai NGO dan rakyat pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Perak di Dewan Merdeka, Kuala Kangsar, semalam.


Rakyat semakin bijak menilai Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui perwatakannya yang hanya licik memainkan sentimen rakyat melalui ucapan berkobar-kobar di pentas ceramah tetapi gagal membuktikan kredibiliti sebagai seorang pemimpin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, rakyat negara ini tidak akan selama-lamanya tertipu dengan budaya politik Anwar yang sering mahu dilihat sebagai pemimpin yang unggul tetapi realiti jelas menunjukkan sebaliknya.

''Sebab itu kita selalu kata, jangan menilai manusia ini (Anwar) melalui kata-kata atau ucapannya yang memang begitu sedap didengar, tetapi kita perlu menilai segala perbuatan dan amalannya.

''Memang mudah berjanji apa sahaja untuk mendapat kuasa tetapi rakyat boleh menilai antara kebenaran dan pembohongan," katanya ketika berucap menutup Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Perak di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta para pemimpin komponen BN negeri.

Mohd. Shafie menegaskan, Anwar serta pemimpin pakatan pembangkang gagal menghalang momentum sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya mengotakan janji-janji melalui pelaksanaan dasar yang mengutamakan kepentingan rakyat.

''Perdana Menteri menterjemahkan segala janji dengan mendukung kepentingan rakyat dan formula kejayaan inilah yang semakin menggusarkan pembangkang," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pakatan pembangkang juga tidak dapat menafikan kemampuan kerajaan BN dalam mewujudkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini sehingga mendapat pengiktirafan dunia luar.

Tidak hairanlah, kata beliau, keharmonian tersebut cuba dirosakkan oleh pakatan pembangkang dengan memainkan isu serta sentimen negatif untuk membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

''Sekejap setuju, sekejap tidak setuju dan mereka berbalah sesama sendiri. Cukup jelas mereka tiada kesepakatan sehingga menjadikan perjuangan masing-masing sebagai bahan eksperimen untuk menarik sokongan.

''Kita perlu bertanya, bagaimana mereka ini mahu membina sebuah kerajaan yang kononnya memperjuangkan suara rakyat sekiranya suara pemimpin-pemimpin mereka sendiri tiada kesepakatan?," tegasnya.

Sementara itu, Majlis Penerangan Perdana itu mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri lebih 12,000 orang iaitu jumlah tertinggi yang dicatatkan setakat ini sejak program itu dilancarkan September lalu.

Bertemakan penjelasan isu-isu semasa termasuk Bajet 2012, majlis itu dihadiri rakyat pelbagai lapisan termasuk ahli 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 800 pertubuhan belia sekitar Perak, wakil agensi kerajaan serta komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 8 Oktober 2011

Zambry : BN anggap tiada kawasan 'hitam' di Perak!

BN Perak menganggap tiada kawasan mengundi yang boleh dilabelkan 'hitam' iaitu yang tidak boleh dimenanginya dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga pengerusi BN Perak berkata sama ada 'hitam' atau 'putih' sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bergantung kepada strategi parti di samping usaha dan kerja keras setiap anggota untuk aktiviti masyarakat di situ.

"Sukar katakan kawasan tertentu sebagai 'hitam' sebab ini adalah politik. Kadangkala kawasan yang dianggap 'putih' (peluang cerah untuk menang) boleh bertukar 'hitam' kerana politik adalah sesuatu yang dinamik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan di Ipoh, semalam.

Beliau memberi contoh, dahulu ada yang menjangka BN tidak boleh menang kerusi Parlimen Ipoh Timur sedangkan BN pernah memenanginya, begitu juga bagi kerusi Parlimen Ipoh Barat.

Zambry berkata beliau enggan mempercayai pandangan wujudnya kawasan 'tertutup' kepada BN sehingga mustahil untuk parti itu memenanginya.

Beliau berkata semua komponen BN umpamanya MCA boleh meraih kembali mendapat sokongan di kawasan tradisi yang ditandingi termasuk kawasan yang berpotensi untuk menang berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan di situ.

Katanya MCA di bawah presidennya sekarang, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, adalah parti yang paling aktif menjalankan pelbagai aktiviti dan usaha seperti itu berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat serta menggambarkan tahap penerimaan rakyat terhadap parti itu.

Zambry juga berkata pada prinsipnya persetujuan mengenai cadangan pertukaran kerusi antara parti komponen BN telah selesai tetapi penilaian masih diteruskan dari semasa ke sesama.

Mengenai dakwaan ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS dalam sebuah akhbar semalam bahawa budaya mencantas dan masalah perebutan kerusi hanya berlaku dalam Umno, Zambry menyifatkan kenyataan itu sebagai 'merapu'.

"Cakap merapu, saya tahu mereka (Pakatan Rakyat) di Perak sedang 'berperang' teruk, masing-masing nak berebut kerusi, cuma orang itu (Mohammad Nizar) kata mereka tiada masalah," katanya.- Bernama

Warna-warni politik
Torashah