DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Jumaat, 13 April 2012

Banjir selepas hujan lebat lima jam!

ROSLI Shabudin meredah air untuk ke rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Nyior, Kuala Dipang, Perak, semalam.

KAMPAR 12 April - Kira-kira 1,500 penduduk daripada 657 keluarga terpaksa dipindahkan selepas banjir melanda beberapa daerah sekitar Perak awal pagi ini ekoran hujan lebat lebih lima jam sejak tengah malam tadi.

Paling teruk terjejas adalah kawasan sekitar Kuala Dipang di sini apabila 1,200 penduduk daripada 254 keluarga terpaksa dipindahkan dalam kejadian banjir paling buruk melanda kawasan itu dalam tempoh 30 tahun.

Operasi memindahkan penduduk terbabit dimulakan seawal pukul 7 pagi selepas rumah mereka dinaiki air mencecah lebih tiga meter.

Banjir di Kuala Dipang turut berpunca daripada ban Sungai Kampar di sini pecah sehingga menyebabkan paras air naik mendadak dalam masa singkat sekali gus menyukarkan penduduk menyelamatkan harta benda.

Kawasan terlibat adalah Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Melaya, Kampung Nyior dan Kampung Pulau Bergading.

Ketika ini, semua mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu seramai 767 mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar manakala 378 mangsa lagi ditempatkan di Dewan Pulau Bergading.

Selain di Kampar, sebanyak 403 rumah di sekitar Ijok, Selama dekat sini turut ditenggelami air iaitu 215 rumah di Kampung Sungai Jernih, Kampung Masjid (76) dan Kampung Sangkut (26).

Dua buah rumah yang terletak di Kampung Sungai Jernih turut runtuh dan dihanyutkan arus deras. Bagaimanapun, hanya 39 keluarga di sekitar Ijok dipindahkan di Dewan Orang Ramai Sungai Segar.

Banjir turut dilaporkan berlaku di kawasan Batang Padang, Tapah dekat sini yang mana sebuah jambatan bernilai RM500,000 dihanyutkan.

Seorang pengusaha kedai perabot, Mohd. Yusri Basiran, 44, di Kampung Kuala Dipang memberitahu, kesemua perabot yang diperbuat daripada kayu jati bernilai RM600,000 di kedainya ditenggelami air ekoran kejadian itu.

"Air naik begitu pantas sejak pukul 6 pagi. Mana mungkin saya dan empat pekerja lain mampu menyelamat perabot tersebut dalam masa singkat," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Mohd. Yusri yang baru berniaga di kawasan itu dua tahun lalu memberitahu, dalam tempoh setengah jam, kesemua barang di premisnya ditenggelami air.

Penduduk Kampung Baru, Fauziah Abu Hasan Saari, 29, pula berkata, dia dan rakan serumah Maizura Mior Hashim, 32, seperti terhutang nyawa kepada anak kucing yang baru dibela sejak seminggu lalu.

Katanya, anak kucing tersebut yang diberi nama Etot mengiau dengan nyaring sehingga mengejutkan mereka dari tidur ketika air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 2.30 pagi.

"Saya pergi mendapatkannya dan alangkah terperanjat apabila melihat air ketika itu sudah paras betis. Saya segera mengejutkan Maizura dan keluar rumah menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di SMK Kampar.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 11 April 2012

Menjunjung Kasih, Merafak Sembah... DAULAT TUANKU!


DAULAT TUANKU!

Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 kepada Seri Paduka Baginda Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada Rabu, 11 April 2012 Bersamaan 19 Jamadil Awal 1433.

Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu “Perang” bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu

“Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left. Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua, Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Ikrar Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong

Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara hari ini.

“BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.

DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: “BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.”

Semoga Allah lanjutkan usia DYMM Tuanku berdua untuk memerintah Malaysia dengan jayanya.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Ikhlas dari :

Seluruh warga UMNO Cawangan Kg.Serdang. Sitiawan, Perak.
Torashah..

Rabu, 4 April 2012

Jangan langgar sempadan agama!


Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kecewa kerana garis sempadan menyentuh agama Islam mula dilanggar, malah ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan agama itu melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat dan memperkecilkan aqidah umatnya.

Baginda mahu supaya perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka ini dihentikan dan dicegah secara tegas kerana ia boleh mencetuskan tragedi buruk dalam negara.

"Bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri, kelak nanti terhangus negeri," titah baginda semasa merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut baginda, perkara menyentuh syariat dan aqidah yang disuarakan oleh ulama terutama bagi menasihati umat Islam, kini dipersoalkan dan diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.

"Perbuatan tersebut nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai. Tatasusila menghormati agama lain, tidak memperkecilkan agama lain, tidak mencampuri urusan agama lain adalah merupakan tatasusila yang wajib dipatuhi," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah perkara utama mengenai Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah, sebaliknya ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan lain yang berkaitan bagi memastikan tujuan sebenar peruntukan itu tidak dimanipulasi hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

"Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain, tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam," titah baginda.

Baginda bertitah majoriti umat Islam di negara ini dididik untuk memahami erti kemuliaan agama dan menghargai kesucian Tuhan.

"Kerana itu, umat Islam di negara ini, pada lazimnya, menghindarkan diri daripada membuat ulasan, teguran atau komentar secara terbuka terhadap amalan atau pegangan kepercayaan agama lain, jauh sekali dari mahu campur tangan atau mengulas secara terbuka terhadap amalan, ritual, acara dan hukum hakam agama lain," titah baginda.

Titah Raja Nazrin walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di negara ini.

"Perkataan-perkataan agama Persekutuan, aman dan damai adalah tiga kata kunci yang wajib dijadikan kompas panduan dalam budaya beragama di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum dan kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), memaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak, keistimewaan, kuasa prerogatif raja-raja.

"Islam adalah 'Magna Carta', satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini," titah baginda. - Bernama

Warna-warni politik
Torashah