DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Sabtu, 31 Ogos 2013

Lihat Persamaan Sebagai Asas Kekuatan - DS Dr Zambry Abdul Kadir!


Rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan umur perlu melihat persamaan dalam masing-masing bagi memperkukuhkan teras dan asas kekuatan sebaliknya bukanlah dengan melihat kepada perbezaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata amalan yang hanya memandang perbezaan sesama manusia akhirnya boleh memusnahkan semua pihak.

Justeru, beliau mengajak semua pihak berganding bahu dan bersepakat untuk membina satu negara bangsa dan masa depan yang jauh lebih cerah lagi bermakna.

"Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 negara,saya, mewakili barisan Exco dan pemimpin negeri, menyeru segenap lapisan masyarakat di negeri ini agar mengetepikan segala sengketa, perbezaan politik, agama dan budaya.

“Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Ibarat biduk berlalu, kiambang bertaup, marilah kita berganding bahu, bersatu padu menjunjung aspirasi dan ekspektasi rakyat.

“Mempertahankan keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan kedaulatan negara tercinta ini agar segala pencapaian dan kejayaan yang tercapai sekian lama, yang kita kecapi dan nikmati bersama, tidak dijaja, diperjudi mahupun dijajah untuk sedikit keuntungan di dunia oleh sesiapa pun, buat selama-lamanya,” katanya dalam perutusan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-56 Peringkat Negeri Perak.

Zambry, dalam masa yang sama turut menasihatkan semua pihak supaya mengambil iktibar dari konflik yang sedang meruntun, membelenggu dan membakar negara-negara yang bergolak, untuk mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di negeri ini.

Katanya, pada zaman ini, negara menerima pelbagai ancaman daripada pihak yang tidak senang dengan kemakmuran dan keamanan yang dinikmati negara.

Beliau menambah, selain ancaman bersenjata seperti yang berlaku dalam pencerobohan di Lahad Datu, negara juga menghadapi ancaman melalui media baru seperti laman sosial, blog dan emel.

“Kalau dulu, elemen-elemen dakyah subversif hadir dalam bentuk helaian kertas, makalah, risalah, buku dan akhbar, kini media baru membuka ruang yang lebih luas kepada penyebaran bahan-bahan merbahaya ini.

“Sayang sekali media baru lebih terkenal di negara kita sebagai medan untuk memecah belahkan rakyat, sedangkan media baru amat besar potensinya untuk menjadi platform kepada pengukuhan perpaduan dan kesatuan rakyat,” kata Dr Zambry.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak mengambil kesempatan sambutan Hari Kemerdekaan kali ini dengan menghantar `tweet’ atau `posting’ yang positif, yang mengajak kepada mempertahankan kedaulatan negara dengan menjunjung Perlembagaan, bukannya menghantar mesej yang mencerca kerajaan, menghasut rakyat untuk turun ke jalanan atau menghina peribadi orang lain.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 30 Ogos 2013

Perutusan YAB PM @NajibRazak Hari Merdeka ke-56 2013!


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.

2. Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, MalaysiaKu Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.

Saudara dan Saudari,

3. Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

4. Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambung sampai sekarang.

5. Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri halatuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saudara dan Saudari,

6. Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.

7. Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

Saudara dan Saudari,

8. Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

9. Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jatidiri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.

10. Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.

11. Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

12. Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jatidiri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.

Saudara dan Saudari,

13. Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

14. Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

15. Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak Kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

16. Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-56.

Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 29 Ogos 2013

Tindakan Ngeh Keterlaluan - DS Dr Zambry Abdul Kadir!


"Tentu beliau ada niat lain kerana asyik mengulangi pertikaian yang sama". Demikian kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika mengulas tentang tindakan Adun Sitiawan, Ngeh Khoo Ham yang tidak habis-habis mengulangi pertikaian yang sama sepanjang Persidangan Dun berlangsung.

Menurut Zambry, pemimpin tertinggi DAP Perak itu telah beberapa kali menuduh beliau terlibat dalam skandal terbesar melibatkan tanah seluas 120 ribu hektar. Beliau menambah, Ngeh juga dilihat bersikap keterlaluan kerana menggunakan bahasa yang agak kasar ketika membuat tuduhan berkenaan.

"Saya menjelaskan kepada Ngeh, walaupun beliau telah beberapa kali menuduh bahawa ini adalah skandal terbesar 120 ribu hektar tanah.

"Saya kata sebagai kawan, dia tidak sepatutnya berkata begitu malah Ngeh perlu ada segala bukti yang menunjukkan saya telah pun menyalahgunakan atau saya telah merompak tanah rakyat untuk diberikan kepada kroni saya.

"Sudahlah membuat tuduhan keatas saya, tetapi dengan menggunakan bahasa yang keterlaluan,"katanya pada sidang media selepas Persidangan DUN hari ini.

Disebabkan tindakan Ngeh yang sedemikian rupa, Zambry lantas mengambil initiatif untuk bertanya kepada pemimpin pembangkang itu diluar dewan.

"Saya tanya dia skandal apa, kemudian, saya kata pada dia, you pernah jadi kerajaan sepatutnya you tahu tanah-tanah yang kita beri kelulusan termasuklah tanah pekuburan, tanah untuk masjid, tokong, rumah ibadat, sekolah SUWA,SJKT, SAR dan sebagainya termasuk juga tanah yang diberi untuk pertanian.

"Dia nak saya senaraikan semua... saya kata tak apalah kalau dia siasat perkara ini boleh buat, malah, kita tidak ada masalah sekiranya dia tahu tentang status tanah ini.

"Apa yang menjadi masalahnya adalah, Ngeh ini asyik mengulang-ulang perkara yang sama. Kononnya ia satu kerja yang korupsi, melibatkan kroni dan sebagainya.

"Saya tak tahu ini adalah cubaan untuk mengaburi mata rakyat atau tidak, sebab itu saya tegur dia diluar dewan.Saya tidak mahu buang masa di dalam untuk perkara yang seperti ini.

Menurut Zambry lagi, beliau sememangnya faham perasaan Ngeh apabila dirinya dituduh mendapat tanah 10 ribu ekar. Bagaimanapun katanya, apa yang cuba Ngeh lakukan adalah sesuatu yang amat keterlaluan.

"Sepanjang persidangan ini berlangsung sebagai MB, saya tak boleh nak jawab tuduhan dia kerana saya mahu fokus kepada isu atau masalah rakyat tetapi dia terus mendesak saya,"ujarnya lagi.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 26 Ogos 2013

Semua Adun Disarankan Fokus Kepada Tanggungjawab Masing Masing - Raja Dr Nazrin Shah.


Kesemua Adun sama ada dikalangan pemimpin Barisan Nasional mahupun pakatan pembangkang disarankan lebih fokus untuk memenuhi amanat serta tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika bertitah mahu semua pemimpin memberi tumpuan untuk.memenuhi harapan, amanah serta melaksanakan tanggungjawab secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti berikutan musim berkempen sudahpun berakhir.

Menurut tuanku ketika memulakan titah perasmian sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 hari ini, semua wakil rakyat juga tidak harus memusnahkan harapan rakyat yang telah memilih mereka sebagai pemimpin.

"Beta melahirkan rasa gembira kerana proses demokrasi memilih wakil rakyat yang disusuli dengan pembentukan kerajaan telah berlansung secara aman dan teratur.

Tuanku, ketika bertitah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang telah diperkenankan dilantik Menteri Besar berikutan kejayaan Barisan Nasional menguasai 31 kerusi untuk membentuk kerajaan berbanding Pakatan Rakyat 28 kerusi.

“Beta turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, merangkumi SPR, anggota perkhidmatan awam, PDRM, ATM, pihak media, parti-parti politik, dan rakyat jelata keseluruhannya yang telah memperlihatkan sikap bertanggung jawab yang tinggi.

"Di atas sikap tanggungjawab itulah yang membolehkan pilihan raya berjalan lancar tanpa menjejaskan rutin harian kehidupan rakyat, juga membolehkan urus tadbir negeri turus berfungsi secara normal.

Ia meyakinkan Beta bahawa rakyat semakin bijak menggunakan hak untuk memilih Kerajaan, ia menyakinkan Beta bahawa rakyat semakin matang menerima keputusan pilihan raya berlandaskan semangat demokrasi,” titahnya.

Titah baginda lagi pilihan raya pada 5 Mei lalu memperlihatkan peningkatan sebayak 17 peratus pengundi di Perak dengan 1.4 juta rakyat keluar mengundi berbanding 1.7 juta pada pilihan raya 2008.

Peratusan pengundi juga telah menunjukkan satu tanda positif apabila mereka yang keluar mengundi meningkat ke 82 peratus berbanding hanya 72 peratus pada 2008, titahnya.

“Ini adalah bukti keyakinan rakyat untuk menggunaka hak yang diberikan kepada mereka untuk memilih Kerajaan, di samping mencerminkan kepercayaan rakuat bahawa demokrasi diamalkan di negar ini.

"Petanda positi ini perlu terus ditingkatkan dengan memberi perhatian kepada perkara-perkara yang mencetus kecurigaan.

Disamping itu, wakil rakyat perlu merintis langkah-langkah pembetulan, menanggani sebarang keraguan demi menjamin proses pilihan raya dilansungkan secara berintergriti, dan demi memastikan terjaminya hak asasi rakuat menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara,” titah Baginda.


























Warna-warni politik
Torashah

Amaran Kepada Adun Jangan Ingkar Peraturan Dewan - Speaker Dun Perak!


Speaker Dun Perak, Datuk SK Devamany mengingatkan semua ahli-ahli dewan negeri supaya tidak mengingkari peraturan perlembagaan serta undang-undang perintah tetap. Menurut beliau, adun-adun sama ada di sebelah kerajaan mahupun pembangkang tidak seharusnya mengambil peraturan mengikut cara sendiri.

Sebaliknya tambah beliau, kesemua adun perlu mematuhi undang-undang berkenaan serta membincangkan isu rakyat dalam saluran yang betul.

"Apa gunanya dewan kalau mereka bincang dan jawab di facebook. Ini adalah peraturan perlembagaan negeri, jadi jangan langgar peraturan.

"Jangan ambil peraturan mengikut cara sendiri. Kita ada perlembagaan dan perintah tetap, patuhlah kepada kedua-duanya.

"Mereka adalah ahli dewan yang dilantik dan dipilih dalam pilihanraya jadi saya minta ahli-ahli dewan supaya mengikut peratutan dalam dua buku ini.

Devamany menambah, sekiranya semua manusia mengikut cara sendiri dalan melakulan apa-apa perkara maka apa gunanya sistem yang dibuat. Katanya, proses demokrasi di negara ini sentiasa wujud malah, pemimpin mempunyai saluran tertentu untuk bahaskan sesuatu isu mengikut undang-undang negeri.

"Kita ada peraturan perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi jadi jangan ingkar peraturan dewan.

"Kalau mereka buat juga maka saya terpaksa bawa mereka ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,"katanya.

Devamany turut meminta ahli-ahli Dun supaya tidak cabar-mencabar ketika proses perbahasan dijalankan.

"Saya minta silaturrahim dewan dapat diutuhkan. Keharmonian dewan dapat dikukuhkan.

Speaker Dun Perak, Datuk SK Devamany mengingatkan semua ahli-ahli dewan negeri supaya tidak mengingkari peraturan perlembagaan serta undang-undang perintah tetap.

Menurut beliau, adun-adun sama ada di sebelah kerajaan mahupun pembangkang tidak seharusnya mengambil peraturan mengikut cara sendiri.

Sebaliknya tambah beliau, kesemua adun perlu mematuhi undang-undang berkenaan serta membincangkan isu rakyat dalam saluran yang betul.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 24 Ogos 2013

Rakyat Perlu Berkerjasama dengan Polis Bantu Kurangkan Kadar Jenayah - Dr Zambry Abd Kadir!


Rakyat Perak dinasihatkan agar bekerjasama dengan pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah yang semakin berleluasa di negara ini. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata berikutan peningkatan kadar jenayah yang mendapat liputan meluas media, masyarakat kini diselubungi perasaan takut dan enggan bekerjasama dengan pihak polis.

Menurut beliau, penyertaan dan peranan anggota masyarakat merupakan pendekatan paling penting dalam menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras masalah jenayah yang berleluasa.

“Orang ramai hendaklah bersama-sama dengan pihak polis untuk membanteras masalah jenayah yang kerap berlaku seperti kejadian tembak-menembak serta ragut.

“Dengan kerjasama yang diberikan, pihak polis dapat mengesan suspek dan menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (SADC) serta melancarkan produk keluaran agensi itu di Ipoh, semalam.

Menurut Zambry lagi, setakat ini, beliau sedang menunggu laporan penuh daripada Ketua Polis Perak (CPO) untuk menjelaskan keadaan dan status jenayah yang berlaku di negeri itu.

“Saya masih menunggu laporan dan Ketua Polis negeri juga akan berjumpa dengan saya dalam masa terdekat ini untuk beri gambaran sebenarnya berkaitan keadaan yang berlaku,” ujarnya lagi.

Beliau turut berharap agar pelbagai langkah dan pendekatan yang diambil kerajaaan dengan kerjasama orang dapat mengekalkan suasana aman di negara ini .

“Orang ramai harus berganding bahu dengan pihak berkuasa dalam membantu mereka menjalankan tugas untuk memelihara keamanan dan kemakmuran negeri dan negara ini,” katanya lagi.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 23 Ogos 2013

DAPig Kor Ming cauvinis, rasis?


Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir membidas Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming kerana bersikap amat cauvinis dan rasis apabila menuduhnya cuba membalas dendam terhadap kaum Cina di negeri itu.

Zambry berkata, kenyataan Kor Ming bahawa beliau mengutip semula cukai tanah ke atas sembilan sekolah sumbangan wang awam (Suwa) yang telah dikecualikan seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini amat keterlaluan dan langsung tidak bertanggungjawab.

“Macam mana dia boleh menuduh saya anti dan mahu balas dendam kepada orang Cina kerana tidak sokong Barisan Nasional (BN). Dia telah tunjukkan dia seorang yang rasis. Saya tidak pernah terfikir begitu pun.

“Isu ini tidak sepatutnya dimainkan dalam konteks perkauman. Sepatutnya dia tanya saya kenapa kerajaan negeri dahulu beri pelepasan cukai tanah RM60,000 tetapi sekarang tidak beri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Zambry, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaan Kor Ming kerana perlu memeriksa kebenaran cerita tersebut daripada pejabat tanah terlebih dahulu.

Ini kerana katanya, mengikut prosedur, surat cukai tanah akan dihantar oleh pejabat tanah dan pihak sekolah kemudian boleh membuat rayuan atau permohonan bagi mengecualikan bayaran.

Beliau meminta Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang supaya tidak hanya berbangga menjadi popular dalam kalangan satu kaum sahaja tetapi perlu menjadi pemimpin untuk semua kaum.

Zambry juga berkata, beliau bersedia menjawab tuduhan Kor Ming itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin ini.

Dalam satu laporan berita yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini, Kor Ming menuduh Zambry mahu membalas dendam terhadap masyarakat Cina kerana tidak menyokong BN dalam pilihan raya umum lalu apabila menarik balik pengecualian cukai tanah kepada sekolah persendirian Cina di negeri ini.

Kor Ming mendakwa BN memberikan pengecualian cukai tanah itu hanya untuk memancing undi semasa pilihan raya umum lalu.

Warna-warni Politik
Torashah

Rabu, 14 Ogos 2013

Zambry dedah sikap talam dua muka pembangkang?


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mendedahkan sikap talam dua muka pembangkang yang menuduh kononnya wakil rakyat mereka tidak diberi peluang secara demokratik untuk melontarkan soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang memuat naik soalan-soalan lisan di laman-laman sosial kerana kononnya tidak berpeluang berbuat demikian di sidang DUN adalah usaha terdesak untuk mengelirukan serta membangkitkan kemarahan rakyat.

Dalam hubungan itu, Zambry meminta wakil rakyat berkenaan bertanya kepada kepimpinan pakatan pembangkang di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sama ada semua soalan yang dikemukakan wakil rakyat BN dijawab setiap kali sidang DUN berlangsung.

"Saya juga mahu tanya, ketika mereka memerintah selama 11 bulan di Perak, adakah semua soalan wakil rakyat BN dijawab? Kalau betul mereka ini demokratik, kenapa tiada satu pun soalan saya dijawab dalam sidang DUN ketika itu?


"Di Pulau Pinang baru-baru ini misalnya, sesi soal jawab pun tiada langsung. Jadi janganlah hendak berbohong kepada rakyat untuk kata anda demokratik, usah manipulasi fakta semata-mata mahu meraih sokongan,'' katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang memuat naik soalan-soalan lisan yang tidak dijawab dalam sidang DUN melalui laman-laman sosial kerana mendakwa kononnya kesemuanya tidak dijawab dalam sidang berkenaan.

Zambry berkata, pembangkang tidak wajar mengganggap rakyat terlalu naif sehingga tidak dapat memahami prosedur proses perjalanan sidang DUN yang perlu dipatuhi.

Warna-warni politik
Belantan

Sabtu, 10 Ogos 2013

Syukur BN Kekal menang DUN Pasir Panjang - Rashidi Ibrahim!


Adun Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim mengharapkan rakyat akur dengan keputusan Mahkamah Pilihanraya yang menetapkan kemenangan BN di kawasan terbabit.

Katanya, dengan keputusan itu rakyat dapat terima serta akur bagi membolehkan beliau meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Dengan keputusan mahkamah saya berharap dapat teruskan tamggungjawab saya di dun Pasir Panjang.

"Kita akab terus bekerja turun padang untuk bantu rakyat," katanya ketika mengulas selepas mahkamah menetapkan BN kekal menang di Dun Pasir Panjang.

Menurut Rashidi, kemenangan BN bagi kerusi Dun Pasir Panjang pada 5 Mei yang lalu dalam PRU ke13 telah menang dengan majoriti 304 undi sahaja.

Katanya, walaupun penggal yang lalu BN kalah hampir 5000 namun berkat usaha pemimpin serta anggota parti yang laub kerusi dun berkenaan berjaya dirampas.

"Walaupun memenangi kerusi ini sebenarnya kita terpaksa mendapatkan undi lebih dari 5000 tetapi akhirnya kita berjaya memenaginya dengan majoriti 304 undi.

"Walaubagaimanapun dua petisyen telah dihantar oleh pembangkang dan dlm proses demokrasi di negara kita ini, kita akur dan kita ikut kita patuhi segala undang-undang pilihanraya.

"Akhirnya petisyen yang mereka hantar telah ditolak oleh mahkamah dan BN kekal menang.

Rashidi menambah, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan pihak pembangkang mengemukakan petisyen.

Bagaimanapun katanya, pengurus pilihanraya daerah Pasir Panjang telah memutuskan setiap undi BN merupakan undi yang sah.

Warna-warni politik
Torashah