DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 14 Julai 2012

‘Bercerai-berai kerana dasar Pas tapi UMNO satukan Melayu’?



Berita guru al-Quran, Che Hasnah Che Ahmad, 61, diceraikan suaminya, Yahaya Ibrahim, 78, dikatakan akibat perbezaan politik menggemparkan banyak pihak.

Che Hasnah, guru agama di Kampung Chabang Tiga, Chetok, Pasir Mas, diceraikan suami dengan talak satu di Mahkamah Majistret Pasir Mas Rabu lalu kerana dianggap sesat disebabkan tidak menyokong Pas.

Yahaya kemudian menafikan menceraikan isterinya itu disebabkan perbezaan politik sebaliknya mendakwa Che Hasnah sesat akibat tidak mengamalkan ajaran Islam, malah bersedia rujuk kembali sekiranya Che Hasnah kembali kepada ajaran Islam.

Dakwaan Yahaya itu disanggah Che Hasnah yang turut menolak kesediaan suaminya untuk rujuk kembali.

Ikuti penjelasan Che Hasnah kepada wartawan Utusan Malaysia, di rumahnya semalam mengenai kemelut yang berlaku dan kesediaannya untuk hidup bersendirian selepas ini tanpa suami.

UTUSAN: Boleh beritahu apa sebenarnya yang berlaku?

CHE HASNAH: Bekas suami kuat (taksub) kepada parti Pas. Saya ini asal-asal lagi Barisan Nasional (BN), dia asal Pas. Tetapi jodoh dengan dia, tak mengapa. Selama kenal tak ada apa-apa, kalau dia cakap pasal parti Pas saya senyap, begitu sebaliknya.

Tetapi akhir-akhir ini, dia mungkin dihasut rakan-rakannya dalam Pas. Dua, tiga hari sebelum bercerai dia nampak lain, selepas itu, dia kata awak nak ikut parti saya tak? Kalau tak nak ikut, saya tinggalkan awak. Saya beritahu saya ahli UMNO.

Dia kata tak apalah, dia pun balik ke rumah anaknya. Barang-barangnya di rumah ini pun diminta supaya cucunya datang ambil.

Sebelum ini, saya hadir ke program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dia tidak kisah. Dia tidak marah, senyap sahaja. Tetapi akhir-akhir ini berbeza.

Kenapa tidak ikut permintaan bekas suami supaya sertai Pas?

Saya tak mahu sebab Pas banyak kerenah. Tengok, apa yang Pas buat untuk bantu orang Melayu, tetapi Pas tolong orang Cina. Sekarang di Kelantan, orang Cina yang banyak Pas bantu. Sekarang Nik Aziz (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) banyak beri tanah kepada orang Cina. Sekarang Pas pentingkan orang Cina, tidak pentingkan orang Melayu lebih-lebih lagi orang UMNO.

Bukankah Pas dakwa perjuangkan Islam?

Itu Pas kata, tetapi sebenarnya tidak begitu. Tengok apa yang terjadi, bercerai-berai kerana dasar Pas, kalau dasar UMNO tidak begitu. UMNO satukan orang Melayu dan Islam. Kita pun tahu juga, sebab kita tengok berita di televisyen, tetapi bekas suami tidak tengok berita di televisyen dan surat khabar, yang dia baca hanya Harakah.

Selama 14 tahun kami boleh bersama, tak berbalah, tetapi hanya kebelakangan ini sejak kerap pergi dengar ceramah Pas termasuk di Pejabat Penerangan Pas Kelantan. Mungkin waktu itu dia kena hasut.

Awal perkahwinan dahulu tak ada masalah?

Tak ada masalah, dia baik sangat. Tetapi sekarang sebab parti kami bercerai-berai. Masa mula ambil borang cerai, mahkamah tanya sebab mahu bercerai, dia kata kami tak sehaluan. Semasa depan hakim, dia kata mahu bercerai dan saya pula setuju. Dia pun lafaz cerai.

Bagaimana perasaan ketika itu?

Tidak rasa apa-apa. Dia selalu anggap parti dia lebih Islam dan menjamin syurga. Tetapi pada saya tidak. Kalau amalan baik, parti mana-mana pun Tuhan akan tilik hati kita, kalau baik bolehlah masuk syurga itu pun dengan rahmat Allah.

Sepanjang 14 tahun, macam mana pegangan bekas suami terhadap partinya?

Kuat, kalau sembahyang orang BN dia tak ikut. Sebelum nikah, orang BN meninggal dunia dia tak pergi, lepas bernikah saya kata tak boleh, sekampung kena pergi.

Kalau pergi ke program UMNO, bekas suami ada ikut sama?

Dia tak pergi, tetapi dia tak larang saya hadir program itu.

Macam mana boleh timbul mahu bercerai?

Cerai kerana saya tak ikut parti dia, mungkin kerana dia kena hasut.

Bekas suami kata sedia rujuk semula dengan bersyarat?

Saya tak mahu rujuk, elok seorang sahaja sekarang. Dia hendak beri syarat supaya saya ikut parti dia, saya tak mahu. Saya tak mahu masalah berulang lagi. UMNO pejuang Islam sebenar, yang tolong dan bela orang Melayu.

Bekas suami selalu ke ceramah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Ya, sebab itulah jadi macam itu, tak tahu apa yang Nik Abdul Aziz beritahu.

Apa perancangan selepas ini?

Tak ada apa, mengajar al-Quran sahaja, mula pukul 3 petang, berhenti solat Asar dan sambung lagi sampai pukul 7 petang.

Sedih dengan apa yang berlaku?

Sedih kerana ia berlaku disebabkan parti. Masalah ini berlaku bukan kerana apa, tetapi kerana parti. Dasar Islam apa dalam Pas, saya pun tak tahu. Masalah ini tidak akan berlaku dalam UMNO kerana UMNO satukan orang Melayu. Saya terkilan kerana dia tak sedar-sedar dan tetap menganggap hanya partinya yang Islam.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 9 Julai 2012

A. Sivanesan mungkir janji?



Timbalan Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan MIC Kebangsaan, Datuk R. Ramanan menyelar kegagalan pakatan pembangkang menunaikan janji membantu keluarga mangsa tragedi jambatan runtuh yang meragut tiga murid di Kuala Dipang, Perak, Oktober 2009.

Menurut beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A. Sivanesan yang berlagak 'hero' cuba membantu menyelesaikan masalah keluarga mangsa termasuk memfailkan saman bagi pihak mereka.

Beliau difahamkan, ADUN Sungkai itu telah berjanji memberi guaman percuma kepada keluarga mangsa bagi menuntut ganti rugi, selain mengarahkan keluarga tiga murid terbabit membuat kenyataan akhbar yang berpihak kepada Sivanesan dan pakatan pembangkang.

"Namun apabila Sivanesan telah memfailkan saman tuntutan, beliau kemudiannya mengemukakan satu perjanjian dengan keluarga mangsa.

"Antara perjanjian itu, keluarga mangsa perlu membayar lapan peratus kepadanya bagi yuran guaman," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 26 Oktober 2009, tiga murid terbabit menyertai 298 murid tahun empat, lima dan enam dari seluruh Kinta Selatan mengikuti Perkhemahan 1Malaysia selama empat hari di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan.


Pada November 2009, tiga bapa kepada tiga pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh terbabit memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Menurut Ramanan, apa yang dilakukan Sivanesan itu adalah tidak berperikemanusiaan, sekali gus membuktikan beliau bukan seorang wakil rakyat yang boleh diharapkan.

Jelasnya, tindakan itu juga membuktikan Sivanesan tidak beretika dalam melaksanakan tanggungjawab membela nasib rakyat di kawasan itu.

Beliau menambah, ADUN Sungkai itu turut mempergunakan keluarga mangsa untuk menaikkan agenda politiknya dan pakatan pembangkang semasa kenyataan akhbar dibuat.

"Ia satu tindakan yang tidak beretika dan sangat memalukan kerana sanggup mempergunakan kesusahan seseorang demi agenda politik sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Ramanan berkata, beliau secara peribadi akan membantu keluarga mangsa tersebut bagi menyelesaikan kes mereka.

Sabtu, 7 Julai 2012

Zambry janji selesai masalah laluan membahaya di Seri Manjung!



Masalah penduduk Kampung Datuk Seri Kamaruddin Tambahan, Seri Manjung dekat sini yang terpaksa melalui laluan merbahaya setiap hari bakal berakhir apabila Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berjanji untuk menyelesaikannya.

Penduduk kampung berkenaan berhadapan dengan bahaya manakala sebanyak 14 rumah dilapor mengalami keretakan serius dipercayai disebabkan kenderaan berat yang keluar masuk ke projek bijih besi Vale International (Vale) dan TNB JanaManjung di Teluk Rubiah menggunakan laluan utama di kampung itu.

Ketika meninjau kawasan itu, Zambry berkata kedua-dua pihak telah diminta menggunakan jalan alternatif berhampiran laluan yang diguna sekarang.

"Mereka (Vale dan TNB JanaManjung) diminta menggunakan laluan baru di situ yang jauh daripada perkampungan penduduk. Pejabat Tanah dan Daerah Manjung diminta mengenalpasti tuan punya tanah di laluan alternatif itu bagi tujuan pembesaran jalan.

"Pihak Vale dan TNB JanaManjung juga akan menghantar kakitangan mereka untuk menilai kerosakan yang dialami 14 rumah penduduk di situ dan yakin masalah itu akan selesai dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau dua rumah penduduk yang terlibat, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Ahmad Lotfi Tarmiji, 49, berkata masalah itu berlaku sejak setahun lalu dan menjadi semakin serius sejak projek Vale dilaksanakan.

"Lori-lori berkenaan setiap hari melalui kawasan ini sehinggakan rumah kami retak akibat gegaran.

"Perkakas rumah kami juga rosak kerana gegaran lori-lori itu yang memang kuat kerana mereka menjalankan kerja 24 jam sehari," katanya.

Seorang penduduk, Mohd Daud Yunos, 64, berkata beliau berterima kasih kepada Zambry yang sudi turun padang bagi melihat sendiri masalah yang hadapi penduduk.

Beliau berkata selain menghadapi masalah keretakan, pelajar dari beberapa sekolah turut berdepan dengan risiko kemalangan maut berikutan laluan itu penuh sesak dengan kenderaan berat terutama ketika pergi dan balik dari sekolah.

"Adakalanya, pemandu lori seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna lain di laluan itu. Mereka dilihat memandu secara melulu dan laju sehinggakan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya termasuk pelajar sekolah," katanya. - Bernama

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 6 Jun 2012

Hina Sultan Perak: Jurutera dipenjara, denda maksimum!




Seorang jurutera hari ini dihukum penjara setahun dan denda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui sebuah laman web, tiga tahun lalu.

Keputusan terhadap Chan Hon Keong (gambar), 29, dibuat oleh Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin selepas beliau meneliti fakta kes dan hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Ikmal Hishan berkata, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan melibatkan kepentingan orang ramai.

''Ini satu-satunya kes menghina Sultan Perak yang dibicarakan secara penuh di mahkamah.

''Selepas meneliti dan berpuas hati dengan fakta dan hujah yang dikemukakan oleh kedua- dua pihak, dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda maksimum RM50,000 dan jika tidak bayar, penjara lagi enam bulan,'' katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh yang diwakili peguam bela, Md. Yusuf Idris menggantung pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan tersebut, Ikmal Hishan memerintahkan jumlah jaminan tertuduh ditambah daripada RM6,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, Hon Keong didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet melalui alamat protokol 60.48.49.212 secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komen berbaur lucah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 12.05 tengah malam, 13 Februari 2009 di alamat No. 5, Lorong Arowana Emas 2, Taman Arowana Emas, Permatang Pauh dekat sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Sub Seksyen 233(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara minimum setahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin.-UMO

Warna-warni Politik
Torashah..

Sabtu, 2 Jun 2012

Pas patut hukum Mohammad Nizar Lambai..!!!



Pas dicabar mengambil tindakan tegas ke atas Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bersikap biadab dengan mengeluarkan kenyataan berunsur tohmahan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pembidaan nombor plat WWW 1.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pas wajar mengenakan tindakan disiplin ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu kerana seolah-olah menuduh Sultan Ibrahim menggunakan wang rakyat untuk tujuan peribadi.

Sambil mempersoalkan sikap kepimpinan Pas yang terus membisu dalam isu tersebut, Ahmad Zahid menegaskan, adalah amat memalukan jika parti itu gagal bertindak tegas seolah-olah bersetuju dengan kenyataan bekas Menteri Besar Perak itu.

''Pas kena ingat, kalau parti lain boleh mengambil tindakan tegas ke atas pemimpin celupar seperti Mohammad Nizar, maka Pas juga patut berbuat demikian.

''Jadi, amat memalukan jika Pas tidak mengambil tindakan, seolah- olah bersekongkol dan bersetuju dengan kenyataan Mohammad Nizar itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan wang bantuan baiki rumah Bank Affin Islamic kepada 68 golongan asnaf di Kampung Parit 17 Darat, di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan; Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil dan Ketua Pengurusan Zakat dan Promosi bank tersebut, Puziah Abu Bakar.

Sementara itu, Mohamad Nizar telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak apabila mengeluarkan komen menerusi akaun Twitter kononnya Sultan Johor menyalahguna wang rakyat dalam pembelian nombor plat WWW 1 yang dibida pada harga RM520,000.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui akaun Twitternya @HRHJohor2 menjelaskan bahawa kerabat diraja Johor tidak pernah mengambil satu sen pun duit daripada kerajaan sejak pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Ekoran itu, Polis Johor menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kenyataan Mohammad Nizar mengikut Akta Hasutan 1948 manakala pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu memohon ampun kepada Sultan Ibrahim.

Ahmad Zahid membidas kepimpinan Pas yang seolah-olah lari daripada isu tersebut sedangkan Mohammad Nizar sepatutnya diambil tindakan ekoran kenyataannya itu.

''Saya tidak tahu apa tindakan kerana dia (Mohammad Nizar) parti lain, tetapi paling baik jangan bertanding (dalam pilihan raya). Pas sendiri tahu, kalau dia ada jawatan, lebih banyak kerosakan yang akan dilakukannya," ujar beliau.

Beliau berkata, dalam konteks undang-undang negara, terdapat akta yang boleh digunakan ke atas mana-mana individu yang mempertikaikan hak peribadi sultan.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 13 April 2012

Banjir selepas hujan lebat lima jam!

ROSLI Shabudin meredah air untuk ke rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Nyior, Kuala Dipang, Perak, semalam.

KAMPAR 12 April - Kira-kira 1,500 penduduk daripada 657 keluarga terpaksa dipindahkan selepas banjir melanda beberapa daerah sekitar Perak awal pagi ini ekoran hujan lebat lebih lima jam sejak tengah malam tadi.

Paling teruk terjejas adalah kawasan sekitar Kuala Dipang di sini apabila 1,200 penduduk daripada 254 keluarga terpaksa dipindahkan dalam kejadian banjir paling buruk melanda kawasan itu dalam tempoh 30 tahun.

Operasi memindahkan penduduk terbabit dimulakan seawal pukul 7 pagi selepas rumah mereka dinaiki air mencecah lebih tiga meter.

Banjir di Kuala Dipang turut berpunca daripada ban Sungai Kampar di sini pecah sehingga menyebabkan paras air naik mendadak dalam masa singkat sekali gus menyukarkan penduduk menyelamatkan harta benda.

Kawasan terlibat adalah Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Melaya, Kampung Nyior dan Kampung Pulau Bergading.

Ketika ini, semua mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu seramai 767 mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar manakala 378 mangsa lagi ditempatkan di Dewan Pulau Bergading.

Selain di Kampar, sebanyak 403 rumah di sekitar Ijok, Selama dekat sini turut ditenggelami air iaitu 215 rumah di Kampung Sungai Jernih, Kampung Masjid (76) dan Kampung Sangkut (26).

Dua buah rumah yang terletak di Kampung Sungai Jernih turut runtuh dan dihanyutkan arus deras. Bagaimanapun, hanya 39 keluarga di sekitar Ijok dipindahkan di Dewan Orang Ramai Sungai Segar.

Banjir turut dilaporkan berlaku di kawasan Batang Padang, Tapah dekat sini yang mana sebuah jambatan bernilai RM500,000 dihanyutkan.

Seorang pengusaha kedai perabot, Mohd. Yusri Basiran, 44, di Kampung Kuala Dipang memberitahu, kesemua perabot yang diperbuat daripada kayu jati bernilai RM600,000 di kedainya ditenggelami air ekoran kejadian itu.

"Air naik begitu pantas sejak pukul 6 pagi. Mana mungkin saya dan empat pekerja lain mampu menyelamat perabot tersebut dalam masa singkat," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Mohd. Yusri yang baru berniaga di kawasan itu dua tahun lalu memberitahu, dalam tempoh setengah jam, kesemua barang di premisnya ditenggelami air.

Penduduk Kampung Baru, Fauziah Abu Hasan Saari, 29, pula berkata, dia dan rakan serumah Maizura Mior Hashim, 32, seperti terhutang nyawa kepada anak kucing yang baru dibela sejak seminggu lalu.

Katanya, anak kucing tersebut yang diberi nama Etot mengiau dengan nyaring sehingga mengejutkan mereka dari tidur ketika air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 2.30 pagi.

"Saya pergi mendapatkannya dan alangkah terperanjat apabila melihat air ketika itu sudah paras betis. Saya segera mengejutkan Maizura dan keluar rumah menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di SMK Kampar.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 11 April 2012

Menjunjung Kasih, Merafak Sembah... DAULAT TUANKU!


DAULAT TUANKU!

Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 kepada Seri Paduka Baginda Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada Rabu, 11 April 2012 Bersamaan 19 Jamadil Awal 1433.

Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu “Perang” bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu

“Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left. Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua, Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Ikrar Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong

Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara hari ini.

“BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.

DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: “BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.”

Semoga Allah lanjutkan usia DYMM Tuanku berdua untuk memerintah Malaysia dengan jayanya.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Ikhlas dari :

Seluruh warga UMNO Cawangan Kg.Serdang. Sitiawan, Perak.
Torashah..