DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Jumaat, 3 April 2015

Isu pakaian hitam kecohkan sidang DUN?


IPOH - Seperti dijangka, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini kecoh dengan adegan ‘bertikam lidah’ dan berbalas kenyataan antara penyokong kerajaan dan juga pembangkang.

Kekecohan tersebut berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang yang disifatkan tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah apabila berpakaian serba hitam pada istiadat perasmian sidang DUN semalam.

Perjalanan sidang DUN yang pada awalnya berlangsung tenang, tiba-tiba berubah suasana apabila isu tersebut dibangkitkan oleh Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pada sesi perbahasan usul menjunjung titah perasmian Sultan Perak.

Mohd. Khusairi menyelar tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang itu dan menyifatkannya sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja.

Kelantangan beliau mengkritik tindakan itu telah menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan wakil rakyat pembangkang sehingga Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) bangun bagi mempertahankan kelakuan 'biadab' mereka.


“Saya nak tanya, hari ini berapa orang berkabung? Siapa yang mati? Semua yang pakai hitam itu, bangun, berkabung untuk siapa?

“Kita belum jelas lagi kenapa kita pakai hitam. Kita memang taat pada tuanku,” kata Choo Kiong ketika mencelah.

Tindakan Choo Kiong itu telah membangkitkan kemarahan wakil-wakil rakyat yang menyokong kerajaan, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Shahrul Zaman sebelum ini merupakan seorang yang tenang dan merendah diri dilihat tidak dapat mengawal kekecewaan dan kemarahan beliau berikutan tindakan Choo Kiong mempertahankan tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang itu.

Kedua-dua wakil rakyat tersebut juga dilihat saling cabar-mencabar antara satu sama lain sehingga Speaker DUN, Datuk Seri SK Devamany terpaksa mententeramkan keadaan.


Situasi bertambah buruk apabila kedua-duanya keluar dewan secara serentak, sehingga memaksa wakil-wakil rakyat lain segera menenangkan mereka bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Mohd. Khusairi dalam perbahasannya, menyifatkan tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang itu seolah-olah 'berkabung' di atas keberangkatan Sultan Nazrin ke istiadat perasmian sidang DUN buat pertama kali sebagai seorang Sultan.

“Selain tidak matang dan tidak rasional, tindakan tersebut menunjukkan sikap derhaka, biadab, tidak sensitif, tidak menghormati seorang sultan serta institusi raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Tindakan tersebut bukannya secara tidak sengaja tetapi dirancang. Mereka pakai tali leher hitam, baju Melayu hitam, sut hitam dan ada yang tidak bersongkok, ini dirancang untuk memalukan Sultan kita,” jelas beliau.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, 21 Februari 2015

Isteri Solat Di Sebelah Mayat Suami Yang Kemudian Dikebumikan Cara Kristian?


Siapakah wanita dalam gambar yang viral di bawah yang dilihat khusyuk melaksanakan perintah Allah SWT tetapi di sebelahnya terdapat sebuah keranda dengan bunga berbentuk salib di hadapannya.

Keranda itu sebenarnya menempatkan jasad artis Indonesia, Rinto Harahap yang meninggal dunia pada 9 Februari lalu di Singapura selepas menderita sakit kanser tulang dan angin ahmar.

Mendiang yang beragama Kristian menikahi wanita muslim bernama Lily Kuslolita.

Seperti yang kita faham, Indonesia membenarkan perkahwinan antara Muslim dan Kristian (yang ditafsir sebagai ahli kitab di sana) tanpa mana-mana pasangan perlu menukar agama masing-masing.

Wanita bertelekung yang sembahyang di sebelah Rinto adalah isterinya itu.

Meninggal dunia pada usia 65 tahun, gambar di atas diambil sebelum mendiang dibawa ke tanah perkuburan bagi disemadikan.

Mendiang merupakan seorang daripada anggota kumpulan pop The Mercy’s yang terkenal di Indonesia dan Malaysia pada 1970-an.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 14 November 2014

Berdepan detik cemas feri tiba-tiba terbakar!

Sebuah feri penumpang yang sedang berlabuh di Jeti Pangkor musnah dalam satu kebakaran di sini hari ini. Kebakaran itu menyebabkan sekitar 60 peratus bahagian feri musnah iaitu melibatkan bahagian bilik jurumudi hingga ke kerusi penumpang bahagian dalam, depan dan luar feri.

PANGKOR- Seorang pekerja sebuah feri penumpang berdepan detik cemas, apabila feri yang sedang berlabuh di Jeti Pulau Pangkor tiba-tiba terbakar.

Pekerja berkenaan sempat menyelamatkan diri dan berlari ke Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor untuk meminta bantuan.

Ketua Operasi, Ahmad Mazlan Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu jam 2.46 petang tadi.


Menurutnya, anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati feri itu sedang terbakar di beberapa bahagian.

“Feri berkenaan terbakar sebanyak 60 peratus melibatkan bahagian bilik jurumudi hingga ke bahagian kerusi penumpang bahagian dalam dan bahagian luar feri penumpang itu.

“Operasi pemadaman selesai jam 4.35 petang dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana ketika itu feri kosong. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 20 Julai 2014

Menghayati keikhlasan seorang raja


Apabila saya membaca titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disiarkan dalam Utusan Malaysia baru-baru ini yang berbunyi "Tegurlah beta: Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan beta.

"Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.''

Mendengar titah ini secara spontan rasa kasih dan taat kepada baginda membanjiri sanubari saya.

Lafaz sebegitu murni inilah yang dihajatkan oleh rakyat daripada seorang sultan untuk memayungi mereka dan negara telah menjadi nyata dan jelas.

Tuanku sultan telah pun bertitah sedemikian, maka sayugialah sekalian rakyat menjunjung kasih kepada keikhlasan yang datang daripada hati baginda untuk memerintah negeri.

Apabila sultan dan rakyat sudah dianugerahkan kebijaksanaan oleh Allah SWT untuk mengerti akan tanggungjawab masing-masing, seperti yang telah berlaku, maka pastilah negara akan berada di dalam keadaan sejahtera dan aman.

Inilah sifat pemimpin yang terpuji dan direstui.

Membaca titah Sultan Nazrin yang berbunyi "Tegurlah beta…", saya lalu teringat kepada beberapa kisah bagaimana junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang sanggup menerima teguran daripada orang di bawahnya mengenai perlakuannya sekiranya perlu:

Pada satu ketika Nabi Muhammad telah ditarik tangannya dengan kasar oleh seorang Arab yang meminta baginda melunaskan hutang, walaupun tarikh untuk membayarnya belum pun tiba. Melihat peristiwa itu, Saidina Umar RA menghunus pedangnya lalu memarahi lelaki Arab itu.

Rasulullah lalu bersabda - "Wahai Umar, sepatutnya engkau menegur aku supaya aku membayar hutangnya, dan menegur dia supaya meminta hutangnya daripadaku dengan cara yang baik."

Kisah ini mengajar kita bagaimana Rasulullah mendidik kita. Di sini kita lihat Rasulullah meraikan teguran.

Pada tahun 6 hijrah, berlakulah perang Khandak di Madinah antara kaum Muslimin yang kecil bilangannya dengan kaum Musyrikin yang sangat besar. Rasullullah tersangat pasti apakah yang harus dilakukan untuk berhadapan dengan musuh yang sebegitu besar.

Maka datang seorang yang bernama Salman Al Farisi kepada Rasullullah memohon untuk memberi pendapatnya supaya dibuat parit sekeliling Kota Madinah sebagai kubu pertahanan.

Rasullullah tidak sombong tetapi telah menerima nasihat Salman Al Farisi itu. Pihak Muslimin akhirnya menang dalam peperangan itu.

Sifat Rasullullah ini yang sanggup menerima nasihat dan pandangan pengikutnya amatlah terpuji dan patut diteladani. Kisah ini ada terdapat di dalam Surah Al-Ahzab.

Saidina Umar pernah ditegur oleh seorang peminum arak. Orang yang melihat keadaan tersebut lalu bertanya: "Wahai Amirul Mukminin, kenapa kau melayani teguran seorang peminum arak?"

Jawab Saidina Umar - "Teguran dia kepadaku adalah benar, walaupun dia di dalam dosa kerana meminum arak."

Betapa mulianya sifat Saidina Umar kerana menerima teguran, walaupun datangnya daripada seorang peminum arak.

Tuanku Sultan Nazrin juga telah menzahirkan sebegini: "Beta amat insaf akan kata-kata yang terkandung dalam sumpah jawatan yang beta telah zahirkan; ia adalah ikrar perjanjian beta dengan Allah SWT.

"Ia adalah amanah dan tanggungjawab yang amat berat; meletakkan beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti.

"Sembah maklumkan kepada beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun atau pun betapa berat untuk lidah mengucapkannya. Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama".

Titah Sultan itu sangatlah dinanti-nantikan dan dihargai rakyat. Institusi raja akan kekal relevan sekiranya inilah ikrar dan sumpah raja-Raja Melayu.

Tuanku Sultan Nazrin Shah juga telah berdoa memohon untuk sentiasa dikurniakan panduan daripada Ilahi dan memohon segala petunjuk dan bimbingan ke jalan yang lurus. Maka bertambahlah junjungan kasih rakyat kepada baginda.

Daulat Dirgahayu Tuanku. Seluruh rakyat mendoakan agar Tuanku kekal bersemayam di atas singgahsana bersama Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak memerintah dan memayungi rakyat dan negara dengan adil dan saksama. Amin.

Oleh :  DATUK PROF. DR. HASHIM YAACOB
PENULIS ialah bekas Naib Canselor,
Universiti Malaya (UM).

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 22 Jun 2014

Menyempurnakan ikrar Amirul Mukminin.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengaminkan doa yang dipimpin oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-159 yang dihadiri bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambri Abd. Kadir dan pembesar-pembesar istana di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-159 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

SEGALA puji milik Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda serta kepada para tabiin dan ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

Mesyuarat Dewan Negara ke-159, merafak sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.

Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada 1528. Kini telah 35 Sultan diangkat untuk bersemayam di takhta pemerintahan. Dalam tempoh 486 tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-34, ditentukan oleh Allah SWT bersemayam di takhta pemerintahan selama 30 tahun, tiga bulan, 25 hari, mencatatkan tempoh bersemayam di takhta pemerintahan, kedua paling lama selepas Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta kerajaan selama 67 tahun, di antara tahun 1653 sehingga 1720.

Mesyuarat Dewan Negara ke-150 bertarikh 6 Mac 2012, adalah mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Dalam titah yang dizahirkan, Almarhum memperingatkan bahawa Institusi Raja akan kekal relevan jika ia terus mendapat penghormatan rakyat.

Almarhum telah memenuhi peranan sebagai seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan. Pengalaman berkhidmat sebagai seorang hakim, telah mencanai minda serta membentuk pemikiran Almarhum. Ketika menimbangkan sesuatu perkara, Almarhum senantiasa memeriksa semua fakta dan menghalusi setiap data sebelum merumuskan sebaik-baik keputusan untuk kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Almarhum dikenali dan diiktiraf sebagai seorang Raja Pemerintah yang amat berpegang kepada prinsip meluhurkan Perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang negara. Almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan. Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati. Semoga roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, demikian juga roh-roh 33 Sultan terdahulu, yang setiap seorang daripada Marhum itu telah menyempurnakan amanah sebagai Amirul Mukminin, dilimpahkan segala ihsan daripada Allah SWT, ditempatkan bersama roh para solihin.

Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah SWT, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah.

Beta bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan petunjuk dan hidayat-Nya juga, ahli-ahli Dewan Negara Perak yang bersidang pada 28 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 28 Mei 2014 Masihi telah mencapai kata sepakat mengamanahkan ke atas diri beta untuk diserahkan tanggungjawab mewarisi takhta pemerintahan.

Mesyuarat Dewan Negara ke-159, pada pagi Jumaat yang dipohon agar dilimpahi berkat dan rahmat Ilahi, adalah mesyuarat pertama yang beta mempengerusikannya atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan. Beta bersyukur ke hadrat Allah atas anugerah ini. Beta menzahirkan penghargaan atas ketetapan sebulat suara ahli-ahli yang hadir dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-158, memberikan kepercayaan dan menyerahkan amanah kepada beta, dilantik sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-35.

Akan beta jadikan pedoman kata-kata yang terkandung dalam ucapan wakil Siswazah Kehormat yang dizahirkan oleh paduka ayahanda beta, ketika masih seorang hakim, dikenali sebagai Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980, yang antara lain memberikan peringatan;

"...sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara. Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat-laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya."

Beta amat insaf akan kata-kata yang terkandung dalam sumpah jawatan yang beta telah zahirkan; ia adalah ikrar perjanjian beta dengan Allah SWT. Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat berat; meletakkan beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti.

Beta mohon mendapat sebaik-baik nasihat dan panduan daripada ahli-ahli Dewan Negara untuk membolehkan beta menyempurnakan amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Sembah maklumkan kepada beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun dan betapa berat untuk lidah mengucapkannya.

Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan beta. Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.

Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama.

Beta amat insaf bahawa daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan baginda. Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat Ilahi, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki dan raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera. Akan beta jadikan pedoman kata peringatan orang tua-tua:

"Bapa kepada raja adalah syariat ajaran Rasul

Ibu kepada raja adalah adat dan undang-undang

Saudara kepada raja adalah segala menteri besar dan kecil

Anak kepada raja adalah segala rakyat jelata

Bahawa raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak

Tidak diutamakan oleh raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata

Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan raja

Menjalankan pemerintahan dengan adil

Memelihara agama - Menjamin keamanan

Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam

Jika raja gagal menjunjung kebenaran ini

Maka hancur musnahlah negara"

Yang lebih utama adalah doa yang beta pohonkan untuk senantiasa dikurniakan panduan daripada Ilahi. Maha suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan ; hamba-Mu yang daif lagi lemah ini, memohon segala petunjuk dan bimbingan, pimpinlah hamba-Mu ini ke jalan yang lurus ; (iaitu) jalan orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. Amin Ya Rabul Alamin.

Warna-warni politik
Torashah

Jangan cemarkan keagungan agama Islam!

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mempengerusikan Persidangan Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187 di Bangunan Kompleks Islam Negeri Perak di Ipoh, Perak, semalam. Turut serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (lima dari kiri).

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Persidangan Ke-187, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh, Perak semalam.

SEGALA puji milik Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187, merafakkan sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, di atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.

Kali terakhir Almarhum bertitah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, dizahirkan semasa berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-117, bertarikh 20 Februari 1997. Antara peringatan Almarhum semasa menzahirkan titah tersebut, dapat dirumuskan kepada tujuh perkara:

Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah badan tertinggi yang diamanahkan sebagai pembuat dasar, penentu matlamat serta pengatur strategi dan keutamaan; oleh itu segala perbincangan dan keputusan Majlis mempunyai kesan besar dan langsung terhadap kedudukan serta kemajuan agama dan masyarakat Islam.

Kedua: Amanah dan tanggungjawab membangun dan memajukan masyarakat Islam perlu dipikul dengan penuh keikhlasan, kesungguhan, berstrategik dan kerelaan.

Ketiga: Kemajuan dan pencapaian ekonomi dan material tidak memberi makna sekiranya umat Islam lemah dari segi iman.

Keempat: Pentingnya pendidikan agama untuk melahirkan umat Islam yang maju, berdaya saing dan bertakwa.

Kelima: Umat Islam perlu bersatu, memiliki kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu, sanggup bekerja kuat dan memiliki disiplin yang tinggi.

Keenam: Perlunya diutamakan pembinaan sahsiah di kalangan umat Islam dengan memberikan perhatian kepada program membina keluarga dan rumah tangga bahagia.

Ketujuh: Pentingnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak memantapkan usaha memajukan tanah-tanah wakaf dan Baitulmal dan Majlis perlu berusaha untuk mendapatkan lebih banyak tanah yang strategik dan berpotensi supaya dapat dimajukan secara komersial. Walaupun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah mangkat, kata-kata yang telah dizahirkan oleh Almarhum 17 tahun lalu, hendaklah terus dijadikan kompas panduan untuk memandu arah haluan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Semoga roh Almarhum dilimpahkan segala ihsan daripada Allah SWT, ditempatkan bersama roh para Solihin.

Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah SWT, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum. Al-Fatihah.

Atas nama peribadi Beta sebagai anakanda kepada Almarhum serta bagi pihak Paduka Bonda Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun dan seluruh anggota keluarga Almarhum, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri Perak, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta pelbagai agensi, institusi, pertubuhan dan individu yang terlibat baik secara tertera dan secara terselindung, mengendalikan urusan pemakaman Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Beta amat tersentuh, menyaksikan begitu ramai kalangan rakyat jelata dari pelbagai lapisan, pegangan agama dan kaum yang datang berduyun-duyun; di kalangan mereka ada yang uzur, berusia tua, bertongkat, dipapah, berkerusi roda, berpakaian lusuh, berjalan kaki mendaki bukit - memanjat tangga istana, tetapi berhati cekal untuk menziarahi dan mendoakan kesejahteraan jenazah Almarhum.

Beta percaya, kebanyakan mereka, tidak pernah menemui Almarhum secara peribadi semasa hayat Almarhum, tetapi secara khusus, mereka mempamerkan semangat kasih setia rakyat kepada batang tubuh seorang raja pemerintah yang telah mangkat; dan secara simboliknya, mereka mempamerkan sifat kesetiaan, mendukung kelangsungan institusi pemerintahan berteraskan raja.

Dalam suasana hiba menghadapi kemangkatan ayahanda Beta, kehadiran rakyat biasa ini, telah menjadikan Balai Rong Seri Istana Iskandariah sebagai bilik darjah pengajian kepada Beta.

Pada ambang Beta dimasyhurkan sebagai seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan, pintu hati Beta dibukakan oleh Allah SWT kepada satu pendidikan yang amat berharga, untuk Beta dapat mengenali hati budi rakyat jelata secara dekat. Kehadiran mereka di Balai Rong Seri, telah menginsafkan Beta akan nilai kasih serta erti kesetiaan rakyat jelata kepada Raja mereka.

Kehadiran mereka telah meningkatkan kesedaran Beta bahawa tanggungjawab utama seorang raja pemerintah itu, adalah untuk memastikan menyempurnakan pemerintahan secara adil, mengambil berat akan hal ehwal rakyat, mempamerkan rasa kasih terhadap rakyat, membela nasib rakyat biasa yang majoriti. Bahawa raja pemerintah itu wajib memberikan setinggi-tinggi perhatian terhadap kehidupan rakyat biasa - rakyat jelata yang merupakan kumpulan majoriti penduduk dalam sesebuah negara.

Titah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 187 ini, merupakan titah sulung yang Beta zahirkan atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

Hubungan langsung Beta dengan Majlis bermula pada 1 Julai 1997, ketika Beta diperkenankan lantikan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak oleh Marhum Al-Maghfur-Lah.

Tanpa disedari, lantikan tersebut merupakan satu latihan yang disediakan oleh Almarhum ayahanda Beta, mempersiapkan diri didik Baginda, untuk pada kemudian hari nanti, mengambil tanggungjawab lebih besar sebagai Ketua Agama Islam di negeri Perak.

Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat berat; meletakkan Beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil di hari kebangkitan; dengan keinsafan dan kesedaran akan peringatan yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab bermaksud;

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" .

Pengalaman bersama ahli-ahli Majlis dan amanah untuk memimpin Majlis, telah memberi ruang memperdekat Beta dengan para ulama dan ilmuwan Islam, satu pendedahan dan pengalaman yang amat berharga.

Demikian perancangan dan wawasan seorang ayahanda kepada anakandanya, yang pada hari ini diamanahkan mewarisi takhta singgahsana seorang Raja Melayu, sekali gus dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Dengan penentuan Ilahi juga, pada pagi ini, titah sulung atas nama seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah berlangsung dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Titah yang dizahirkan pada pagi ini, merupakan titah terakhir Beta atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Beta pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak atas kapasiti seorang Yang Dipertua ketika berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-118 pada 28 Ogos 1997. Ketika menzahirkan titah, Beta telah menyentuh lima perkara utama;

Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak perlu bertindak secara strategik dan berhati-hati supaya tidak timbul kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik Majlis.

Kedua: Perlunya umat Islam memiliki disiplin dan daya ketahanan diri yang kuat terutama dalam mengharungi era globalisasi dan era teknologi maklumat.

Ketiga: Kebimbangan atas masalah gejala sosial yang kian gawat dan perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan kewarasan.

Keempat: Perlu ditingkatkan program-program keagamaan terutama program-program yang melibatkan golongan remaja.

Kelima: Perlunya institusi masjid dimakmurkan serta dihidupkan dengan pelbagai aktiviti, di samping memastikan kebersihan dan keindahan landskap di perkarangan dan kawasan masjid.

Perkara-perkara yang Beta zahirkan semasa pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis, masih relevan dan masih perlu diberikan perhatian. Sehingga persidangan ini, Beta telah mempengerusikan 70 kali Persidangan Majlis.

Beta menzahirkan penghargaan di atas bimbingan dan nasihat yang telah disampaikan kepada Beta oleh ahli-ahli Majlis demikian juga oleh para alim ulama untuk membolehkan Beta menyempurnakan amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan di bahu Beta.

Beta memohon untuk terus mendapat nasihat dan bimbingan daripada para alim ulama, memandu Beta untuk memenuhi amanah yang lebih besar sebagai Amirul Mukminin.

Mempertahankan kemurnian, kesucian serta keagungan syiar Islam adalah amanah serta tanggungjawab besar yang wajib disempurnakan sebaik mungkin dan tidak boleh dikompromikan.

Tanggungjawab tersebut hendaklah disempurnakan secara bijaksana lagi bestari, baik dalam bentuk kata-kata yang diungkapkan begitu juga melalui tindak tanduk yang dilakukan oleh umat Islam, lebih-lebih lagi oleh institusi yang diamanahkan dengan urusan hal ehwal Islam.

Umat Islam dan institusi yang berkaitan wajib memperlihatkan sebaik contoh teladan ketika memenuhi tanggung jawab yang telah diamanahkan dengan melaksanakannya secara amanah, jujur, adil lagi saksama. Umat Islam wajib mencerminkan minda berilmu dan berperibadi mulia.

Imej Islam perlu dicerminkan melalui gerak kerja yang berlandaskan unsur-unsur keinsanan serta sifat-sifat kemanusiaan, bersandarkan hikmah - bersandarkan timbang rasa. Keagungan agama Islam jangan sama sekali dicemarkan kerana adanya tindak tanduk bersifat impulsif lagi ofensif yang didorong naluri; sesungguhnya tindak tanduk sedemikian amat tidak bijaksana.

Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya. Hakikat ini wajib diterima dan amat perlu difahami. Islam bukan sahaja pegangan akidah beragama; Islam adalah addin, budaya dan tata cara adab kehidupan yang lebih menyeluruh. Islam amat mengutamakan keadilan - mementingkan keharmonian - menganjur perdamaian; dan sama sekali tidak membenarkan perlakuan berunsur penindasan.

Untuk itu umat Islam dan institusi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam perlu peka kepada sensitiviti penganut agama lain. Pada masa sama, orang bukan Islam pula wajib memahami serta menghormati sensitiviti umat Islam.

Mereka hendaklah sensitif akan perasaan umat Islam apabila mereka memilih untuk mengupas apatah lagi ketika mereka memilih untuk mengkritik secara terbuka perkara-perkara menyentuh hukum hakam Islam serta seruan Ilahi yang terkandung di dalam al-Quran, begitu juga panduan kehidupan yang terkandung di dalam Sunah Rasul.

Membina keharmonian adalah tanggungjawab kolektif semua warga. Oleh itu perbuatan tidak melanggar batasan dan tidak menyeberangi sempadan antara agama, wajib dihormati oleh setiap warga pada setiap masa.

Seorang Yang Dipertua baru akan dilantik untuk menggantikan Beta. Namun Beta akan terus memantau dan mengikuti secara dekat kegiatan-kegiatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Berikanlah sepenuh kerjasama kepada pengganti Beta.

Semoga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sentiasa mendapat rahmat serta petunjuk Ilahi dan terus mencipta kejayaan lebih gemilang lagi cemerlang.

Warna-warni politik
Belantan

Sabtu, 14 Jun 2014

Hudud : Nik Aziz tidak setuju kenyataan Dyana?


LIM Kit Siang memperkenalkan Dyana Sofya Mohd. Daud kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa mengunjungi bekas Menteri Besar Kelantan itu di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU - "Saya tidak setuju kenyataan awak mengenai hudud." Itu antara kenyataan awal yang keluar dari mulut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bertemu bekas calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud di sini hari ini.

Dyana Sofya hadir mengiringi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang melakukan kunjungan hormat ke atas Nik Abdul Aziz di pejabat beliau di Kompleks Kota Darulnaim.

Dalam pertemuan tersebut, bekas Menteri Besar itu turut menasihatkan Dyana Sofya supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa depan.

Nasihat beliau itu adalah sebagai reaksi kepada tindakan Dyana Sofya yang dilaporkan berkata tidak akan menyokong pelaksanaan hudud ketika berkempen dalam PRK Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Bagaimanapun, butiran lanjut perbualan mereka selepas itu tidak diketahui kerana petugas media diarahkan beredar dengan alasan pertemuan itu sepatutnya diadakan secara tertutup.

Mengulas mengenai pertemuan yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu, Dyana Sofya berkata, beliau memanfaatkan sebaik mungkin ruang yang ada untuk menjelaskan pendiriannya mengenai hudud kepada Nik Abdul Aziz.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya jelaskan kepada beliau saya tidak pernah menolak hudud sebab sebagai orang Islam saya tidak boleh menolak hudud.

"Bagaimanapun pendirian saya sama seperti pendirian parti (DAP)," katanya.

Menurut Dyana Sofya, selain isu hudud, Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat dan panduan berguna untuk beliau terus survive dalam dunia politik seperti perlu mempunyai prinsip dan sering turun padang bertemu masyarakat.

Warna-warni politik
Torashah