DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 23 Oktober 2012

Sekolah 80 tahun ditutup ( SRJK Gandhi, Sitiawan )?


Pemandangan dari luar Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat

SITIAWAN - Nasib seramai 464 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat @( Nama lama - SRJK [Gandhi], Sitiawan ) di sini, masih belum ada kata putus meskipun sekolah itu bakal ditutup bermula 1 Januari tahun depan.

Terdahulu, tapak sekolah itu bakal diambil semula oleh sebuah persatuan yang mendakwa kawasan berkenaan adalah milik mereka.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) sekolah, Akmal Abdul Rahim berkata, ibu bapa telah mengambil kata sepakat memohon penangguhan penutupan sekolah sehingga sekolah baru selesai dibina.

“Kami telah mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan beberapa pegawai pelajaran untuk memohon pihak berkenaan membenarkan anak-anak kami bersekolah di sini sehingga sekolah baru siap.

“Kita akan sama-sama mencari tapak yang sesuai berhampiran kawasan ini untuk membangunkan sekolah baru bagi memberi kemudahan kepada murid di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penerangan dan penjelasan penutupan sekolah itu semalam.

Akmal berkata, saranan yang diberikan pihak berkaitan supaya memindahkan murid-murid di sekolah lain bukan tidak diterima namun, banyak faktor yang perlu difikirkan.

“Jika tukar ke sekolah berhampiran akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk keselamatan kerana keadaan jalan yang sibuk.

“Cadangan menumpang sementara di sekolah lain boleh menjatuhkan moral murid dan guru sekolah ini memandangkan status mereka
yang menumpang,” katanya.

Katanya, PIBG bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk JKKK kampung berhampiran, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Sitiawan,
Pakat, Taman Terus Maju, Perkasa Manjung, Mapim Manjung, Biro Pendidikan Wanita Bahagian Lumut, Persatuan Anak-anak Sabah Manjung dan gandingan 16 taman perumahan telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar untuk tindakan beliau.

Perlu adakan perbincangan terlebih dahulu

SEORANG bapa, G Mahalingan, 40, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu namun, sehingga kini belum ada sebarang penyelesaian.

“Apabila surat terakhir yang dihantar pihak berkaitan supaya mengosongkan kawasan ini sampai, barulah pelbagai alternatif dicari.

“Perkara ini sepatutnya diselesaikan dahulu lagi dan sekarang diharap supaya pihak berkenaan memberi kebenaran untuk kita menggunakan sekolah ini dahulu,” katanya. Zamri Abdullah, 51, berkata, perbincangan harus dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Pihak berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah dan Tanah Manjung harus melakukan perbincangan lebih mendalam mengenai perkara ini.

“Kami sebagai ibu bapa tidak mahu memindahkan anak-anak kami ke sekolah lain kerana faktor keselamatan. Ia juga menjadi beban kepada ibu bapa yang kurang kemampuan,” katanya.

Ibu bapa terikat jadual kerja

SEORANG lagi bapa, Zarrin Ali, 43, berkata, mereka amat berharap supaya sekolah itu dapat dikekalkan sampai bila-bila.

“Sekolah ini mempunyai murid yang ramai dan guru-gurunya juga komited dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Katanya, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan terikat dengan jadual
kerja yang tidak membolehkan mereka keluar sesuka hati.

“Apabila keadaan ini berlaku, kami menghadapi masalah dari segi pengangkutan anak untuk ke sekolah jika perlu dipindahkan,” katanya.

Apa kata pihak Pejabat Pelajaran Daerah

SEMENTARA itu, Pegawai Pelajaran Daerah Manjung, Muhd Suod Mat Thani berkata, pada 2010, sebuah persatuan telah menghantar surat untuk mengambil semula tanah sekolah berkenaan kerana mendakwa milik mereka untuk dimajukan.

“Selepas itu kami membawa perkara ini ke dalam mesyuarat tindakan daerah untuk mencari penyelesaian dan berusaha mencari tapak lain membangunkan sekolah baru.

"Perkara ini juga dibawa ke pengetahuan Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan sebuah tapak baru.

Usaha mencari tapak giat dijalankan namun hasilnya hampa kerana tapak berkenaan berada jauh kira-kira tujuh kilometer dari sini," katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran kemudiannya bersetuju membeli tapak asal sekolah itu daripada pihak berkenaan, namun malangnya mereka tidak bersetuju.

Muhd Suod berkata, pada 1 Oktober lalu pihaknya menerima surat terakhir daripada persatuan itu supaya mengosongkan sekolah dan diberi tempoh sehingga 31 Disember ini.

“Kita menyediakan alternatif untuk memindahkan murid-murid ke dua sekolah berhampiran iaitu SK Kampung Sitiawan dan SK Sri Selamat,” katanya.

“Kami tidak mempunyai kuasa menahan perkara ini, namun akan terus membawa ke peringkat atasan termasuk berjumpa dengan pihak persatuan untuk mendapat penyelesaian sewajarnya,” katanya.-SH

Warna-warni politik
Torashah