DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Khamis, 31 Januari 2013

Kisah bersama MB: Kerenah Pegawai susahkan rakyat!



Pegawai Tadbir Kanan Negeri Perak terutama sekali yang ada kaitannya dengan orang awam hendaklah lebih prihatin dan tidak terlalu protokol sangat untuk bertemu dengan rakyat kerana apa yang dapat diperhatikan sikap acuh tidak acuh segelintir pegawai atasan ini telah menyusahkan orang ramai.

Pernah saya sebagai mewakili sebuah persatuan berhasrat untuk bertemu dengan Menteri Besar (MB) pada pagi 15 Februari 2013 iaitu hari 'MB Bersama Rakyat' untuk menerima aduan orang awam di dalam apa juga masalah mereka yang ditetapkan pada setiap pagi Selasa. Malangnya setelah beberapa kali datang pada hari tersebut untuk bertemu MB tetapi tetap gagal kerana diperkatakan bahawa MB ada hal-hal lain untuk beliau perlu hadiri.

Apa yang amat dikesali adalah sikap pegawai-pegawai yang mewakili MB untuk melayani kami sebagai orang awam yang kebanyakannya adalah orang-orang kampung yang datang dari jauh. Cara dan sikap pegawai berkenaan tidak mencerminkan sebagai seorang penjawat awam yang diharap-harapkan. Setiap individu dilayan dengan agak tidak memuaskan dengan suara yang tinggi dan ada di antara orang awam diherdik kerana mahu jumpa MB dengan masalah remeh-temeh seperti mendapatkan surat sokongan ataupun memohon bantuan kewangan bagi keluarga yang terlalu daif.


Diharapkan pihak pejabat MB dan pejabat Kerajaan Negeri Perak yang lain hendaklah lebih berhati-hati lagi dan menjaga etika sebagai penjawat awam yang menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

Janganlah pandang kami sebelah mata sahaja, mentang-mentanglah kami ini orang kampung yang berpakaian cara kampung serta tidak mempunyai apa-apa, cuma hanya memerlukan bantuan. Sepatutnya orang-orang macam kami ini perlu dilayan sewajarnya dan bukannya dihemburkan dengan kata-kata yang tidak begitu enak didengar di hadapan khalayak ramai yang berada di situ.

Kalaupun tidak dapat membantu hendaklah disampaikan dengan cara yang berkhemah.

Adalah lebih baik di masa-masa akan datang jika pegawai berkenaan tidak dapat mengawalkan perasaan semasa berhadapan dengan orang awam, panggilah orang awam yang datang untuk mengadu hal atau masalah itu di dalam bilik yang tertutup sahaja.

Begitu juga apabila kami hendak ke dewan, tempat perjumpaan MB dengan rakyat yang selalu diadakan di mana tempat itu terletak di bawah sebelah tempat letak kereta bangunan Wisma Negeri Darul Ridzuan, kami tidak dibenarkan menggunakan lif di pejabat itu untuk ke sana kerana ia adalah khas untuk pegawai atasan dan juga staf tertentu sahaja.

Adalah tidak wajar sama sekali lif untuk kemudahan semua orang itu dikhaskan untuk orang tertentu sahaja sedangkan orang-orang awam ada yang uzur dan ada di antaranya terdiri daripada golongan warga emas. Mereka terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk ke tempat perjumpaan dengan MB itu dan perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku.

Aduan Rakyat:
SYED ABDULLAH SYED OSMAN


Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 28 Januari 2013

Kalimah Allah : NGO Selar Sikap Bacul Nik Abduh?



Kenyataan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang masih mempertahankan keputusan rakan di dalam pakatan disifatkan sebagai 'bacul' dalam memperjuangkan Islam.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Mohamad Abduh jelas memperlihatkan parti ini takut untuk memperjuangkan Islam dan sanggup menggadaikannya.

"Kenyataan ini juga menggambarkan bahawa DPP sanggup menggadaikan apa sahaja yang selama ini diperjuangkan oleh oleh mereka semata-mata untuk menjaga hati rakan dalam pakatan terutama dalam isu yang seharusnya dipertahankan oleh mereka.

"Selain itu, kenyataan itu juga boleh menimbulkan kekeliruan terhadap umat Islam. Terutama apabila Majlis Syura Pas membuat keputusan bahawa kalimah Allah hanya boleh untuk umat Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada KLPos di sini hari ini.

Sebelum ini, Nik Mohamad Abduh membuat pengakuan bahawa parti itu tidak boleh memaksa DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menerima keputusan Majlis Syura Ulama berhubung isu kalimah Allah membuktikan Pas bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang.

Menurut Wan Khairul, kenyataan tersebut menunjukkan sayap parti itu 'baculdan dayus' dan langsung tidak memikirkan kesan serta impak kepada masyarakat.

"Sepatutnya kita mengharapkan pendirian tegas dari DPP berhubung isu ini agar rakan-rakan dalan pakatan tidak lagi mempermainkan isu sensitif dan banyak menimbulkan kekeliruan," katanya.-KLpos

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 26 Januari 2013

Pedang Cura Simanja Kini dan Mengapa Orang Melayu Dilarang Derhaka Kepada Sultan!



Alat-alat kebesaran diraja negeri Perak Darul Ridzuan merupakan peralatan yang paling unggul dan amat dihormati kerana usianya yang menjangkau ratusan tahun dan digunakan didalam istiadat pertabalan sesorang Sultan Perak Darul Ridzuan. Kesultanan Melayu Perak diasaskan 485 tahun lalu dan semenjak itu, peralatan berkenaan telah ada malah sebahagian daripadanya berusia lebih lama lagi terutamanya peralatan yang diwarisi dari Kesultanan Melayu Melaka.

Ada juga sesetengah daripada peralatan ini digunakan oleh Sultan dan Raja Perempuan/Raja Pemaisuri dalam sesetengah istiadat atau upacara kebesaran diraja yang lain selain dari Pertabalan. Pedang Cura Simanja Kini, Rantai Bunga Niyur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ular Lidi dan Cop Halilintar merupakan sebahagian alat kebesaran yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka daripada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah.

Manakala alat-alat kebesaran yang lain seperti Puan Naga Taru, Puan Bujur (tepak sireh emas), Keris Warisan Bermata Emas dan Keris Taming Sari merupakan alat kebesaran negeri yang turut dibawa oleh Sultan Perak Pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I semasa pertabalan baginda pada 1528. Baginda merupakan putera kepada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah.

Walau bagaimanapun dikatakan terdapat beberapa peralatan asal yang telah hilang dalam peredaran zaman. Ada beberapa alat lagi ditambah sebagai alat kebesaran dari masa kesemasa seperti Lembing Kerajaan (16), Payung Kerajaan (16) dan Payung Diraja (2).

Hari ini penulis hendak berkongsi maklumat dengan anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini. Mengikut sumber lisan, Pedang Cura Simanja Kini adalah kepunyaan Nila Utama atau Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana atau disebut sebagai Sang Sapurba yang merupakan Raja Palembang dari Bukit Siguntang Mahameru, Palembang. Pedang ini juga telah menyelamatkan Minangkabau dari keganasan ular Saktimuna apabila Sang Sapurba mengarahkan Permasku Mambang menggunakan pedang ini untuk membunuh ular Saktimuna.


Pedang Cura Simanja Kini telah diwarisi oleh putera Sang Sapurba iaitu Sang Nila Utama atau Parameswara dan dipakai oleh Parameswara ketika ditabalkan sebagai Maharaja Melaka pertama bergelar Sultan Iskandar Shah pada tahun 1400. Bermula dari sini, Pedang Cura Simanja Kini menjadi perkakas Kerajaan Melaka sehinggalah kejatuhannya pada 1511. Pedang ini kemudiannya diwarisi oleh putera Sultan Melaka Terakhir iaitu Raja Muzaffar ibni Sultan Mahmud Shah yang kemudiannya bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak Pertama yang memerintah pada tahun 1528 hingga 1549.

Dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Pawang Diraja akan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada baginda Sultan dan baginda akan menyambut dan menghunus Pedang Cura Simanja Kini lalu mengucupnya. Kemudiannya Pedang Cura Simanja Kini di sandang kebahu baginda Sultan. Kaedah ini dikatakan menyerupai perbuatan yang dilakukan oleh Sang Sapurba ketika baginda berwaad dengan Demang Lebar Daun, iaitu mengakui setia dan berikrar memainkan peranan sebagai Raja dan Rakyaat Melayu hingga keanak cucu dan keturunan mereka iaitu kita semua sebagai orang Melayu hingga hari ini.

Mengikut Sejarah Melayu perjanjian berkenan adalah seperti berikut :-

Maka titah Sang Sapurba, 'Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu' Maka sembah Demang Selebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan ; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosapun, janganlah difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak'.

Maka titah Sang Sapurba, 'Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.' Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Janji yang mana itu, Tuanku?' Maka titah Sang Sapurba, 'Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.'

Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.'

Maka titah Sang Sapurba, 'Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.'

Maka bagindapun bersumpah-sumpahan barangsiapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya keatas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Mereka ; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.

Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.

Itulah serba sedikit yang boleh penulis kongsi bersama anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini dan mengapa sebenarnya kita sebagai orang Melayu dilarang menderhaka kepada Sultan dan seorang Sultan pula harus berlaku adil dan saksama kepada rakyatnya. Dari sinilah datangnya ungkapan Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Di Sanggah. Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuan Patik.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 19 Januari 2013

PAS Bagi Tanah Kepada DAP Untuk Apa?



Sehingga saat ini rakyat Kelantan masih bingung dan tercari-cari apa rasionalnya sehingga mendorong Kerajaan PAS Kelantan meluluskan pemilikan tanah pajakan seluas 10,526 ekar di Gua Musang kepada pemimpin Cina DAP dari Perak.

Rakyat pribumi sendiri masih dibelenggu masalah hak milik tanah sekalipun sudah berpuluh tahun membanting tulang meneroka kawasan berkenaan demi sesuap nasi, alih-alih Cina DAP dari luar pula yang sakan meraih laba keuntungan sehingga tahun 2092.

Untuk baki selama 79 tahun lagi dari sekarang hak milik pajakan tanah tersebut terus menjadi milik Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koh Ham dan sepupunya Nga Kor Min melalui syarikat swasta Upaya Padu sdn Bhd yang baru mereka ambil alih baru-baru ini.

Soalnya kenapa dan apa jasa pemimpin DAP Perak itu kepada negeri ini sehinggakan keutamaan pajakan tanah yang luas mata memandang itu hanya dinikmati oleh mereka? Sedangkan sekelumit manfaat daripada mereka untuk menambah baik taraf kehidupan rakyat marhaen negeri ini langsung tak kelihatan.

Padahal bukannya tidak ada syarikat berwibawa dan individu usahawan berkaliber yang terdiri daripada anak Melayu Kelantan yang jika diberi peluang seperti itu tentu sahaja akan memanfaatkannya demi kebaikan negeri dan anak watan sendiri.

Kedua-dua pemimpin DAP Perak itu pula bukannya memiliki latar belakang sebagai usahawan genuine yang berjaya, sebaliknya sekadar pemimpin politik.

Kalau pun PAS begitu terhutang budi mahu membalas jasa dek kerana sokongan DAP kepada perlantikan pemimpin PAS Perak, Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak tidak berapa lama dulu, bukan begini caranya.

Cukup-cukuplah beribu ekar tanah di Perak diluluskan hak milik tanah 999 tanah di sana kepada Cina-Cina DAP, buat apa lagi di beri habuan tanah pajakan berpuluh tahun di Kelantan untuk memuaskan nafsu serakah pemimpin DAP pula.

Dengan keluasan 10,526 ekar tanah di Kelantan itu yang hampir menyamai luas Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya, sekiranya Kerajaan PAS Kelantan mengikut kaedah penganugerahan hak milik tanah mengikut acuan FELDA bermakna sekitar 1,000 buah keluarga bakal beroleh manfaat berupa tanah seluas 10 ekar tiap-tiap keluarga.

Tapi disebabkan kepentingan politik dan dikaburi puncak kuasa yang tidak pasti, akhirnya tanah yang merupakan amanah rakyat itu hanya memberi manfaat kepada beberapa kerat politikus dan kroni pemimpin DAP dalam syarikat itu sahaja.

Lebih menyakitkan hati rakyat bila mana hasil bumi Kelantan berupa kayu kayan balak yang nilainya berjuta-juta ringgit terus mengalir ke tangan orang lain. Bagaikan mengulangi sejarah air mata rakyat di awal dekad 1960-an dan 1970-an dulu di mana hasil bumi negeri di lebih 300,000 ekar tanah menjadi habuan sebuah syarikat milik Cina Singapura juga melalui kaedah pajakan tanah.

Patutlah lebih 90% para peneroka FELDA di serata tanah rancangan seluruh negara begitu alergik dengan PAS, tentunya berkait rapat dengan kebimbangan yang hak milik tanah mereka bakal tergadai atau dipajak kepada Cina DAP atau Cina SIngapura seandainya PAS diberi muka memijak sesuka hati wilayah yang mereka pertahankan.

Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh sahaja mengugut rakyat dengan ancaman tindakan undang-undang dan saman misalnya dalam usaha untuk menutup kebenaran, namun rakyat tidaklah bodoh untuk terus berdiam diri membiarkan saja harta benda negeri dan hasil buminya terus mengalir ke tangan DAP.

Dari Timur ke Barat, dari Utara ke Selatan Kelantan di setiap jajahan negeri ini ada sahaja suara-suara anak Kelantan yang bangkit menuntut jawapan konkrit. Kenapa, mengapa dan untuk apa tanah Kelantan dibiarkan menjadi milik DAP?

Rakyat Kelantan menanti jawapan hari demi hari, namun yang ada cuma jawapan bersimpang siur daripada Kerajaan Negeri yang terus berbelit sambil menegakkan benang yang basah.

Jika beginilah gaya PAS memerintah negeri, sikit-sikit pajak tanah, sikit-sikit tebang balak yang sebahagian besar hasilnya hanya menguntungkan segelintir manusia haprak sahaja, usahlah menangis tak berlagu bila PRU 13 tiba kelak rakyat bangkit membuang PAS jauh terperosok ke dalam longkang.

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 14 Januari 2013

Kalimah Allah : Kenapa Majlis Syura Tidak Arah Presiden PAS Tarik Balik Kenyataan ?



Salam 2 all.

Teman mengalu-alukan keputusan Majlis Syura PAS yang bermesyuarat semalam Ahad 01 Rabi’ul Awal 1434 bersamaan 13 Januari 2013 dan membuat keputusan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh dipakai oleh umat Islam, dan tidak boleh dipakai dalam bentuk bertulis atau bercetak oleh non-Muslim.

Cuma beberapa persoalan yang timbul daripada keputusan ini iaitu:

1. Mengapa larangan hanya kepada penggunaan kalimah ALLAH oleh non-Muslim dalam bentuk tulisan atau bercetak? Bagaimana dengan lisan, adakah ianya dibenarkan. Kalau alasan keputusan Syura adalah kerana kalimah ALLAH hanya khusus untuk Muslim, sudah pasti ianya tidak boleh digunapakai oleh non-Muslim dalam semua bentuk samada bertulis, bercetak mahupun lisan!

2. Mengapa Majlis Syura mengambil masa begitu lama untuk berbincang dan membuat keputusan? Setelah Guaneng mencetuskan isu ini mendesak kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible semasa perayaan krismas 25 Dis 2012, sudah lebih tiga minggu isu ini berlalu.

Sudah banyak bantahan dan protes dibuat oleh umat Melayu-Islam. Sudah berbuih mulut para ulama’, termasuk Majlis Fatwa membuat bantahan terhadap kenyataan Guaneng itu, malah setelah Presiden PAS sendiri membuat kenyataan bersama DAP-PKR bersetuju kalimah ALLAH digunapakai oleh kristian, barulah Majlis Syura’ nak berbincang dan membuat keputusan?

Adakah keputusan ini sekadar cuba mengalih kemarahan umat Melayu-Islam kepada kepimpinan PAS, atau untuk meraih sokongan dan undi umat Melayu-Islam yang semakin merosot kepada pembangkang termasuk PAS?

3. Mengapa Majlis Syura’ tidak menasihatkan dan mengarahkan Presiden PAS supaya menarik balik dan membatalkan persetujuan yang dibuat bersama DAP-PKR untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH?

4. Mengapa Majlis Syura’ tidak menegur dan menasihatkan rakan sekutu PAS iaitu Anwar Ibrahim dan Guaneng supaya menghentikan polemik penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian ini? Dan menasihatkan mereka supaya menarik balik dan membatalkan cadangan itu?

5. Adalah jelas keputusan Presiden PAS bersetuju dan membuat kenyataan bersama Anwar dan Kitsiang membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH dibuat tanpa merujuk kepada para ulama’ dalam PAS dan Majlis Syura PAS. Sedangkan Majlis Syura’ adalah badan tertinggi didalam hiraki kepimpinan PAS yang mempunyai kuasa muktamad dalam hal ehwal dasar dan hala tuju PAS.

Bermakna Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS telah membelakangkan Majlis Syura’ dalam isu yang sangat asas, fundamental dan penting ini. Bukankah ini satu penghinaan kepada Majlis Syura’ dan bercanggah dengan slogan “Kepimpinan Ulama” yang dilaungkan oleh PAS?

Apapun, adalah jelas keputusan Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS bersetuju bersama DAP-PKR untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH jelas kini bercanggah dengan keputusan dan pendirian Majlis Syura’.

Sebab itu teman mencabar Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS supaya menarik balik dan membatalkan persetujuan bersama DAP-PKR membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH tersebut.

Teman juga mencabar Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS supaya menegur dan menasihatkan GuanEng supaya menarik balik desakan untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH. Kalau Guaneng enggan, Presiden dan kepimpinan eksekutif serta Majlis Syura’ PAS tidak ada pilihan selain daripada bermufaraqah dengan DAP-PKR.

Ini bukan soal siasah, ini soal aqidah! Ini bukan soal politik, ini soal iman! Ini bukan soal menang undi, ini soal tauhid! Ini bukan soal menang pilihanraya, ini soal syurga-neraka!

Moga ALLAH memberikan keampunan dan hidayah kepada kita semua. Yang baik datang daripada ALLAH, yang tidak adalah daripada kelemahan teman sendiri!

Aamantu billah summastaqeem!

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
02 Rabi’ul Awal 1434
14 Januari 2013