DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Jumaat, 3 April 2015

Isu pakaian hitam kecohkan sidang DUN?


IPOH - Seperti dijangka, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini kecoh dengan adegan ‘bertikam lidah’ dan berbalas kenyataan antara penyokong kerajaan dan juga pembangkang.

Kekecohan tersebut berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang yang disifatkan tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah apabila berpakaian serba hitam pada istiadat perasmian sidang DUN semalam.

Perjalanan sidang DUN yang pada awalnya berlangsung tenang, tiba-tiba berubah suasana apabila isu tersebut dibangkitkan oleh Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pada sesi perbahasan usul menjunjung titah perasmian Sultan Perak.

Mohd. Khusairi menyelar tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang itu dan menyifatkannya sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja.

Kelantangan beliau mengkritik tindakan itu telah menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan wakil rakyat pembangkang sehingga Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) bangun bagi mempertahankan kelakuan 'biadab' mereka.


“Saya nak tanya, hari ini berapa orang berkabung? Siapa yang mati? Semua yang pakai hitam itu, bangun, berkabung untuk siapa?

“Kita belum jelas lagi kenapa kita pakai hitam. Kita memang taat pada tuanku,” kata Choo Kiong ketika mencelah.

Tindakan Choo Kiong itu telah membangkitkan kemarahan wakil-wakil rakyat yang menyokong kerajaan, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Shahrul Zaman sebelum ini merupakan seorang yang tenang dan merendah diri dilihat tidak dapat mengawal kekecewaan dan kemarahan beliau berikutan tindakan Choo Kiong mempertahankan tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang itu.

Kedua-dua wakil rakyat tersebut juga dilihat saling cabar-mencabar antara satu sama lain sehingga Speaker DUN, Datuk Seri SK Devamany terpaksa mententeramkan keadaan.


Situasi bertambah buruk apabila kedua-duanya keluar dewan secara serentak, sehingga memaksa wakil-wakil rakyat lain segera menenangkan mereka bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Mohd. Khusairi dalam perbahasannya, menyifatkan tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang itu seolah-olah 'berkabung' di atas keberangkatan Sultan Nazrin ke istiadat perasmian sidang DUN buat pertama kali sebagai seorang Sultan.

“Selain tidak matang dan tidak rasional, tindakan tersebut menunjukkan sikap derhaka, biadab, tidak sensitif, tidak menghormati seorang sultan serta institusi raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Tindakan tersebut bukannya secara tidak sengaja tetapi dirancang. Mereka pakai tali leher hitam, baju Melayu hitam, sut hitam dan ada yang tidak bersongkok, ini dirancang untuk memalukan Sultan kita,” jelas beliau.

Suara Politik
Belantan