DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 19 Jun 2010

Roket Patah : 800 ahli DAP Malim Nawar keluar parti!

DAP Perak menerima satu lagi tamparan hebat hari ini apabila seramai 880 ahli DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar mengikut jejak wakil rakyat kawasan itu, Keshvinder Singh keluar dari parti tersebut.

Jika Keshvinder memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas, ahli-ahli DAP itu memilih untuk menyertai Parti Makkal Sakti Malaysia (PMSM) selepas hilang keyakinan terhadap DAP untuk membela nasib mereka.

Penyertaan mereka secara beramai-ramai ke dalam PMSM diumumkan oleh Pengerusi Pemuda Kebangsaan PMSM, N. Ramu pada satu sidang akhbar khas di sebuah restoran di sini hari ini.

Ramu berkata, mereka terdiri daripada 200 ahli DAP Cawangan Batu Putih, Malim Nawar (300), Kampar Estate (180) serta Mambang Di Awan seramai 200 orang dan keahlian mereka dalam PMSM berkuat kuasa hari ini.

Katanya, kesemuanya berbuat demikian kerana yakin PMSM dapat membantu membela nasib mereka selepas berjaya mendapatkan bekalan air bersih dan hak milik tanah kepada penduduk Kampung Batu Putih di sini baru-baru ini.

''Dengan penyertaan mereka ini, saya yakin Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula kerusi DUN Malim Nawar yang dimenangi oleh DAP dengan majoriti hanya 1,362 undi pada Pilihan Raya Umum 2008," katanya.

Menurut Ramu, selain di DUN Malim Nawar, beliau turut menerima banyak permohonan daripada ahli-ahli pakatan pembangkang khususnya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampar dan seluruh Malaysia untuk menyertai PMSM.

''Setakat ini, PMSM mempunyai lebih 16,000 ahli di seluruh Perak dan kini yakin dapat mencapai bilangan keahlian sebanyak 50,000 orang menjelang pilihan raya umum akan datang.

''Kebanyakan ahli terdiri daripada golongan muda dan kami akan berusaha untuk mendaftar mereka sebagai pengundi secepat mungkin," ujar beliau.

Dalam pada itu, Ramu berharap BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dapat membantu PMSM dari segi sumber kewangan.

Katanya, sejak ditubuhkan tahun lepas, parti itu tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada BN walaupun banyak membantu menarik ahli-ahli pakatan pembangkang menyertai BN.

''Sekiranya mendapat pertolongan dari BN, kami yakin boleh menarik lebih ramai ahli dari pakatan pembangkang, khususnya orang India untuk kembali menyokong BN.

''Semua ketua cawangan kami adalah ahli politik sepenuh masa dan jika tanpa bantuan kewangan mereka mampu menarik ramai ahli pembangkang, inikan pula dengan ada pertolongan dari BN," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 15 Jun 2010

ADUN Malim Nawar keluar DAP!

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Perak, Keshvinder Singh umum keluar DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas yang sokong Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa serta-merta.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di sini, sebentar tadi. Keshvinder berkata, beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada DAP kerana kecewa dengan kepimpinan pakatan rakyat di negeri Perak yang terlalu banyak berpolitiking sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan amat tertarik dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 13 Jun 2010

Tiada ADUN BN lompat PKR!


















Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini.

Menurut Zambry, sehingga kini, beliau tidak mendapat sebarang maklumat berkaitan perkara tersebut. Sebaliknya, kata beliau, ADUN BN di negeri ini tiada masalah manakala pentadbiran negeri berjalan dalam keadaan baik. "Saya pun nak tahu siapa yang PKR dakwa ADUN BN nak keluar parti dan sertai parti mereka.

"Saya nak tengok apa yang dia cakap itu betul tak. Biasalah... dia (PKR) kata nak cakap perkara itu supaya wartawan datang pada sidang akhbar," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak di Bangunan UMNO Negeri di sini malam tadi.

Zambry mengulas mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim yang akan mengadakan sidang akhbar di Hotel Hillcity di sini esok mengenai kemungkinan ADUN BN akan keluar parti untuk menyertai parti pembangkang itu.

Menurut beliau, jika ada ADUN BN hendak melompat parti (PKR) itu adalah hak masing-masing dan BN tidak akan menghalang mereka. "PKR juga jangan terkejut jika ada ADUN mereka yang akan lompat ke BN," jelas Zambry.

BN kembali berkuasa di Perak selepas kerajaan pakatan pembangkang dianggotai DAP-Pas-PKR yang memerintah negeri ini selama kira-kira setahun, tumbang berikutan dua wakil rakyat PKR iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu serta ADUN Jelapang (DAP), Datuk Hee Yit Foong keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas dan menyokong BN.

Warna-warni Politik
Torashah

Selasa, 8 Jun 2010

George W. Bush buka akaun Facebook!

Facebook kini menerima seorang lagi ahli baru, iaitu bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush. Beliau menyertai laman web sosial popular itu semalam dan mempunyai lebih 28,000 rakan dalam hanya beberapa jam sahaja penyertaannya.

Perkara pertama yang ditulis di akaun Facebooknya adalah tentang tugas yang dilakukan olehnya selepas meninggalkan pejabat Presiden pada Januari 2009.

“Presiden Bush masih aktif. Beliau telah melawat 20 negeri dan lapan negara selain menyampaikan lebih 65 ceramah, melancarkan Pusat Presiden George W. Bush, menyertai empat persidangan polisi menerusi Institut Bush dan berpasangan dengan bekas Presiden, Bill Clinton dalam menubuhkan Tabung Dana Haiti Clinton Bush,” tulisnya di facebook.com/georgewbush.

Dalam pada itu, pada kenyataan kedua Bush di akaunnya, beliau memuji buku kenangan Spoken From the Heart yang ditulis oleh bekas Wanita Pertama, Laura Bush. Laura Bush turut mempunyai akaun Facebook yang kini mempunyai lebih 16,000 peminat. “Akaun Facebook adalah cara terbaik untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang aktiviti yang dilakukan oleh bekas presiden itu.

“Pejabat kami banyak menerima soalan seperti ‘apa khabar Presiden Bush sekarang?’, ‘apakah aktivitinya selepas bersara?’ dan ‘tolong ucapkan terima kasih kepadanya di atas jasanya selama ini’,” kata jurucakapnya, David Sherzer.

Sementara itu, Bush banyak menerima reaksi positif orang ramai dalam akaunnya walaupun ada juga yang tampil mengkritik secara terbuka. Antara reaksi negatif yang diterimanya seperti: “Anda adalah presiden yang tidak cekap,” tulis Brent Bender.

“Terima kasih kerana menghancurkan ekonomi negara,” tulis Rich Brodsky.

Antara reaksi positif adalah seperti yang ditulis oleh Matt Thullen: “Tuhan akan merahmati anda, terima kasih di atas kepimpinan anda selama ini dan khidmat anda akan sentiasa dirindui”.

Seorang lagi peminatnya Victoria Newton juga menulis, “ Selamat datang ke dunia Facebook dan terima kasih di atas jasa anda selama ini, kami sayangkan anda”. – AFP

Warna-warni Politik
Torashah

Jumaat, 4 Jun 2010

Presiden PPP diminta hormati keputusan PM!

Senator Datuk T. Murugiah mahu Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas menilai dirinya terlebih dahulu dan menghormati keputusan Perdana Menteri yang masih mengekalkan beliau dalam Kabinet.

Katanya, Kayveas sepatutnya menilai peranannya dalam parti dan keberkesanan PPP sebagai komponen Barisan Nasional (BN) sebelum mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

"Apakah niat beliau mengeluarkan kenyataan seperti ini. Jika tidak berpuas hati, beliau seharusnya bersemuka dengan Perdana Menteri sendiri. "Tidak sepatutnya beliau membuat kenyataan terbuka yang menggambarkan seolah-olah tidak wujud persefahaman dalam BN," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kavyeas semalam yang keliru dengan tindakan Perdana Menteri mengekalkan Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas membuat rombakan kecil dalam Kabinet. Menurut Kavyeas, beliau ingin mengetahui atas dasar apa Murugiah dikekalkan walaupun telah dipecat sebagai ahli PPP.

Jelas Murugiah, Kavyeas sepatutnya menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan partinya yang dilanda masalah berpanjangan termasuk ketidakupayaan PPP untuk memenangi beberapa kerusi semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Beliau perlu memperbaiki dirinya yang telah ditolak oleh pengundi di Taiping pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti sebanyak 11,298 undi. Ia merupakan rekod buruk bagi seorang Presiden parti," kata beliau.

Jelas Murugiah, Kavyeas harus bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi peluang kepada wakil PPP untuk berada dalam Kabinet dengan pelantikan Datuk Maglin Dennis D'cruz sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pada masa sama, Murugiah mengucapkan terima kasih kepada Najib yang terus mengekalkannya dalam Kabinet dan beliau akan berusaha menyelesaikan masalah rakyat menerusi portfolio Biro Pengaduan Awam (BPA) yang dipegangnya.

Warna-warni politik
Torashah