TOLAK PAKATAN RAKYAT, MELAYU SELAMAT!

TOLAK PAKATAN RAKYAT, MELAYU SELAMAT!

Isnin, 6 Februari 2012

Sultan Perak ingatkan pemimpin tidak kejar kekayaan peribadi!

SULTAN Azlan Shah bersama Tuanku Bainun beramah mesra bersama rakyat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Parit, semalam.


PARIT 5 Feb. - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini bertitah, kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila barisan kepimpinan lebih mengutamakan agenda untuk kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok tertentu sahaja.

Titah baginda, kekayaan material yang diperoleh secara mendadak lagi mencurigakan merupakan kekayaan palsu yang sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah serta banyak melakukan pembaziran.

"Lalu berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, kadar pengangguran, kadar penghijrahan, kadar penyeludupan dan kadar jenayah yang tinggi, dituruti pula dengan pelbagai penyakit sosial.

"Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, perbelanjaan keselamatan dan pertahanan negara meningkat dan akibatnya ummah bertambah derita kerana terus terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan," titah baginda pada perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Parit di sini hari ini.

Sultan Azlan bertitah, ummah akan hidup sejahtera dan negara akan makmur jika mempunyai pemimpin yang sentiasa menginsafi tanggungjawab besarnya kepada ummah serta negara dan paling utama kepada Allah.

"Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan dan kepentingan majoriti ummah akan lebih diutamakan.

"Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya pemusatan himpunan kekayaan secara melampau dalam kalangan kumpulan kecil tertentu sehingga mengakibatkan menjelmanya secara mendadak beberapa individu yang terlalu kaya bagai pulau-pulau kecil terapung di tengah lautan kemiskinan," titah baginda.

Titah Sultan Azlan, senario semasa yang sedang berlaku di negara-negara tertentu hendaklah dijadikan peringatan betapa pentingnya bagi umat Islam hari ini mengembalikan keluhuran kepimpinan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda bertitah, Rasulullah memiliki watak dan sifat unggul yang wajib dijadikan ikutan terutamanya dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan.

"Pemerintahan baginda teguh berpegang kepada hukum, menegur setiap kesalahan, mencegah setiap kemungkaran walaupun ia melibatkan saudara, anggota keluarga atau sahabat terdekat. Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda untuk membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga.

"Ketika wafat, baginda tidak meninggalkan kekayaan material untuk diwarisi tetapi yang ditinggalkan oleh baginda adalah ajaran dan amalan baik supaya dijadikan panduan dan pedoman dalam usaha membina kehidupan ummah yang mendapat keredaan, berkat dan rahmat Ilahi," katanya.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Yusuf Husin.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 4 Februari 2012

Hampir 200 Rumah Di Seri Manjung Dilanda Ribut, Kejadian Terburuk Dalam Tempoh Setahun!


”Habis semua perabot dan barangan elektrik dalam rumah rosak di basahi air. Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana keluarga dan penduduk kampung tidak mengalami sebarang kecederaan.

”Harta boleh dicari.. tapi kalau ianya melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan hanya Allah sahaja yang mengetahui,” kata Asri Mohd Chor, 52, salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut di Taman Perumahan Fasa 3A Seri Manjung, dekat Lumut, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, sebanyak 119 buah rumah mengalami kerosakan bumbung selain peralatan perabot serta elektrik selepas di basahi air hujan dalam kejadian kira-kira 6.15 petang semalam.

Kejadian itu merupakan paling buruk berlaku sejak setahun lalu, di mana sebanyak lima kejadian ribut dilaporkan berlaku di situ termasuk pada Julai tahun lalu yang melibatkan sebanyak 52 buah rumah penduduk di kawasan perumahan yang sama.

Seorang lagi mangsa, Shaari Zaini, 42, berkata selain mengalami kerosakan di bahagian bumbung rumah, cermin belakang kereta jenis Kancil yang diletak di depan rumah turut pecah akibat terkena serpihan atap yang berterbangan dalam kejadian tersebut.

”Selain cermin kereta, beberapa keping cermin tingkap rumah turut pecah selepas dilanggar serpihan sampah sarap yang berterbangan itu.

”Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada seorang pun ahli keluarga cedera akibat kaca tingkap yang pecah itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Rashidi Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, hampir 200 buah rumah penduduk di Taman Perumahan Fasa 3A, Seri Manjung dan Kampung Datuk Seri Kamaruddin (KDSK) terlibat dalam kejadian tersebut.


”Sehingga jam 12 tengahari ini seramai 185 penduduk dari Taman Perumahan Fasa 3A, Seri Manjung dan KDSK (2) dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

“Kebanyakan penduduk mengalami kerosakan bumbung rumah serta peralatan elektrik dan perabot selepas rumah mereka dibasahi air hujan.

“Kita juga telah mengarahkan beberapa kontraktor untuk memperbaiki segera bumbung rumah penduduk bagi mengelakan kerugian lebih besar lagi,” katanya kepada pemberita ketika meninjau tempat kejadian, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Manjung, Anuwar Ismail berkata, pihak JKM sedang bersiap sedia memindahkan penduduk ke pusat perpindahan sementara di Dewan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sekiranya keadaan memerlukan.

“Kita bimbang, hujan atau kejadian sama akan berlaku berikutan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi melaporkan hujan dan angin kencang akan berlaku dalam tempoh sehari dua ni,” katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor turut berada di tempat kejadian dan melawat mangsa kira-kira jam 8 malam semalam dan mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan mengambil tindakan serta merta membantu semua mangsa.

Sumber : Perak Today

Warna-warni politik
Torashah

Salam Maulidur Rasul


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) Al-Ahzab 33:21

Salam Maulidur Rasul dari UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak.

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 29 Januari 2012

50,000 meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Sitiawan!

Najib Tun Razak bersama Rosmah Mansor bermesra dengan Tan Yee Syuen, 3, dan Tan Chang Yuen, 2, ketika mengunjungi keluarga Tan Kiew Siew, 40, dan isteri Chong Lee Chuan, 38, di Taman Sepakat, Kampung Selamat, sebelum menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan, malam tadi. Turut hadir Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan malam ini berjaya apabila dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung pelbagai kaum.

Beliau berkata, ini terbukti apabila setiap pelusuk padang yang luas itu dipenuhi pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perhimpunan terbesar ini (orang tanya) siapa yang bilang (kira)? kita yang bilang... kerana kawasan yang besar ini dipenuhi dengan pengunjung dari empat pelusuk (padang) yang mahu meraikan perayaan ini bersama,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Rais berkata, beliau bangga kerana masyarakat Cina yang hadir bukan sahaja dari Sitiawan malah pelbagai kawasan berhampiran.

Selain itu, katanya, sambutan Tahun Naga mengikut kalendar Cina pada perayaan Tahun Baru perlu dijadikan elemen perpaduan di bawah gagasan 1Malaysia.

“Tahun Naga merupakan simbolik pada tahun ini kerana ia mempunyai kuasa dan sifat yang berbeza dengan makhluk yang lain.

“Naga juga membawa kekuatan, kebahagiaan serta nilai-nilai yang boleh dibanggakan. Ini boleh dijadikan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Rais turut melahirkan perasaan bangganya dengan majlis yang dianjurkan apabila 250 tarian naga dipersembahkan dicatat dalam Malaysia Books of Record.

“Tarian kebudayaan yang dipersembahkan malam ini juga membawa erti perjuangan di Malaysia dan juga di kawasan ini (Lumut),” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pelbagai persembahan lain, antaranya pelancaran gimik, artis dan kumpulan kesenian.

Sementara itu : Warisan, kebudayaan kaum Cina terus dipertahan – kata PM

Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa setiap warisan dan kebudayaan yang membentuk identiti serta jati diri kaum Cina di negara ini akan terus dipelihara.

Perdana Menteri berkata, kepimpinan Barisan Nasional (BN) sejak lima dekad lalu tetap berpegang kepada prinsip menghormati kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang hebat.

Berucap di hadapan 50,000 hadirin pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan dekat sini malam ini, Najib menegaskan, masyarakat Cina di negara ini dianggap cukup istimewa berbanding di negara-negara lain.

“Kita boleh berbangga hari ini bahawa dari segi kesucian kebudayaan Cina, Malaysia paling istimewa, tiada negara lain di Asia Tenggara ini yang memelihara budaya orang Cina, hatta di negara China sekalipun.

“Di China, revolusi budaya telah menyebabkan banyak warisan dan budaya orang Cina dihapuskan atau dirosakkan, tapi di Malaysia sehingga hari ini semuanya kita pelihara,” katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjadikan seni persembahan Chingay sebagai warisan kebudayaan kebangsaan.

Najib berkata, masyarakat Cina terutamanya generasi muda perlu mengetahui bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sama sejak merdeka memelihara kesucian warisan dan budaya kaum itu.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 24 Januari 2012

Sultan Perak meriahkan sambutan Tahun Baru Cina!

SULTAN Azlan Shah menyampaikan angpau kepada kanak-kanak sambil diperhatikan oleh Dr. Zambry Abd Kadir (kanan) pada majlis sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Ipoh, semalam.


Lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri yang didakan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Jalan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Majlis tersebut tambah bermakna dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja MudaMusa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Bercakap kepada pemberita pada majlis tersebut, Zambry melahirkan rasa puas dan gembira dengan kehadiran begitu ramai orang pada majlis rumah terbuka yang diadakan berkenaan.

"Saya lihat orang tidak berhenti-henti datang. Jumlahnya lebih ramai dari dahulu dan ia memang tidak disangka-sangka. Ini menandakan masyarakat kita (Perak) dapat berinteraksi dengan begitu baik sekali dan dapat menyambut perayaan ini (Tahun Baru Cina) bersama-sama.

"Lebih manis, keberangkatan Sultan Perak (Sultan Azlan Shah) dan Raja Permaisuri (Tuanku Bainon) yang berkenan mencemar duli untuk sama-sama merayakan sambutan ini bersama-sama rakyat di sini. Ia sungguh mengharukan kita," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli turut memberi angpau kepada golongan kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, selain dapat menjamu selera di lebih 40 gerai makanan, para pengunjung yang datang hari ini juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan naga.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 22 Januari 2012

DAP dicabar letak calon Melayu di kawasan majoriti Melayu!


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mencabar DAP supaya meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu sekiranya benar-benar ikhlas untuk menjadi parti yang bukan berasaskan kaum.

Beliau berkata, tindak-tanduk serta pendekatan DAP selama ini menggambarkan parti itu tidak mampu keluar daripada kepompong `chauvinistik' dengan hanya tertumpu ke arah kepentingan satu kaum sahaja.

"Mereka cuba nak jadi parti yang bukan berasaskan perkauman, tetapi lihatlah kawasan yang mereka wakili ketika ini, semuanya adalah kawasan majoriti di mana satu kaum sahaja yang tinggi kelompoknya.

"Kalau betul mereka hendakkan Melayu, cuba letak calon Melayu di kawasan majoriti Melayu. Kita tengok sama ada mereka boleh menang atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan komputer dan peralatan sekolah tajaan Sime Bank di Kampung Teluk Kechil di sini semalam.

Zambry berkata, rakyat boleh menilai sikap pemimpin DAP sendiri yang secara terang-terangan mengamalkan sikap perkauman ala apartheid tetapi sehingga kini tidak diambil sebarang tindakan.

"Tiada apa-apa tindakan. Jadi, inikah dikatakan parti yang bukan berasaskan perkauman," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan bahawa ekosistem Pulau Pangkor kini berdepan kemusnahan ekoran aktiviti pembangunan yang pesat, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, tuduhan tersebut tidak berasas.

Beliau menjelaskan, seiring dengan peredaran masa, pembangunan dan mobiliti sosial membabitkan lebih 20,000 penduduk di pulau itu tidak dapat dielakkan.

"Anda tidak boleh mengharapkan Pangkor sama seperti ia pada 30 atau 20 tahun yang lalu apabila tiada hotel, tiada elektrik, tiada kemudahan air dan tiada rumah.

``Atau adakah kita mahu mengatakan bahawa Pangkor harus kekal ke belakang dan penduduknya harus terus hidup dalam kemiskinan,'' tegas beliau.

Beliau menambah, kerajaan Persekutuan juga mengambil perhatian serius berhubung masalah pembuangan sampah di pulau itu dengan meluluskan peruntukan RM10 juta untuk menaiktaraf kawasan pelupusan sampah sedia ada.

Malah katanya, masalah penempatan untuk generasi kedua di pulau itu turut dipandang serius oleh kerajaan apabila peruntukan RM20 juta diluluskan bagi menyediakan perumahan rakyat seperti di Teluk Gedong dekat sini. - UTUSAN

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 19 Januari 2012

Ibarat meludah ke langit - Pok Nik dakwa golongan pemuda Melayu pemalas!


Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa pemuda Melayu negara ini pemalas hasil didikan Umno yang menolak ajaran Islam dalam kehidupan harian sehingga melupakan akhirat.

Menurutnya, sudah tiba masanya perubahan perlu dilakukan kerana apabila manusia lupa akhirat akan muncul sifat pemalas, generasi muda menjadi kacau bilau, kegiatan pecah rumah, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.


“Saya cukup marah orang yang memperbesar-besarkan isu perkauman antara Melayu dan Cina. Islam mengajar kita manusia berasal dari Adam dan Hawa. Semangat rajin masyarakat Cina perlu diterapkan dalam masyarakat Melayu. Budak-budak Melayu kini menjadi pemalas.


Pemalas hasil Umno yang menolak Islam ertinya lupakan akhirat. Ini bahaya dan kita kena perbetulkan semula. Ajaran Islam mesti dimasukkan dalam semua aktiviti kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan rombongan delegasi negara China di pejabatnya di sini, semalam.


Menurutnya, beliau marah kepada golongan sekular yang mengetepikan agama Islam dalam kehidupan sehinggakan khidmat polis diperlukan untuk menjaga rakyat, guru-guru menjaga pelajar dan ibu bapa menjaga anak di rumah.

Katanya, perkara itu sepatutnya tidak berlaku jika masyarakat menjadikan Islam sebagai cara hidup dan meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam setiap perbuatan.

Warna-warni politik
Torashah