DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 31 Ogos 2010

Titah Raja Nazrin : Jangan jatuhkan maruah ummah!

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam di negara ini yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.

Keadaan itu berlaku titah baginda, akibat pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.

Raja Dr. Nazrin bertitah, pemimpin sedemikian mungkin menyimpang daripada prinsip asas Islam yang sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah kerana merelakan agamanya dicemari dan umatnya dihina.

Mengambil contoh penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, titah baginda, ia bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam itu sendiri.

“Pencerobohan besar bermula daripada perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula daripada satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau doa.

“Ia bermula daripada pencerobohan kecil dan jika ketika itu orang Islam masih belum insaf, berdegil dan sombong mempertahankan ego serta memilih untuk bertelagah, mereka sebenarnya memberi petanda yang salah seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat dan institusi Islam,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Peringkat Negeri Perak serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, baginda meminta umat Islam supaya sedar, insaf serta wajib mengambil pengajaran sebelum “nasi menjadi bubur” kerana tiada pihak lain akan bersimpati jika mereka jatuh dan menjadi lemah.

“Masa depan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan mereka sendiri. Selagi kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak boleh meruntuh atau menjatuhkannya,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah, pemimpin wajib mengambil ingatan dan insaf bahawa selagi terdapat kumpulan fakir miskin di dalam negara, mereka masih menghadapi cabaran dan tanggung jawab besar untuk memastikan pengagihan sumber kekayaan negara berlaku secara adil dan saksama.

Malah tegas baginda, kewujudan fakir miskin harus menginsafkan warga yang hidup senang dan mendapat banyak nikmat serta kemudahan untuk tidak bersifat tamak, bernafsu membolot seluruh kekayaan tanpa menghiraukan penderitaan golongan miskin dan susah.

Baginda menyifatkan usaha membantu fakir miskin dan membasmi kemiskinan adalah jihad yang perlu diberi keutamaan pihak terbabit.

Dalam titahnya, baginda memuji langkah MAIPk yang memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada 15,000 fakir miskin di negeri ini termasuk 5,450 orang yang masih memerlukan bantuan bulanan.

Selain itu, baginda menggalakkan badan Islam lain mencontohi langkah Yapeim menyediakan anugerah kecemerlangan untuk warga bukan Islam kerana ia dapat memperlihatkan kemurnian ajaran agama selain memupuk perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 29 Ogos 2010

Palestin: Dr. Mahathir sedia jadi orang tengah redakan konflik!

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau bersedia menjadi orang tengah bagi membantu meredakan ketegangan politik di Palestin andainya kedua-dua puak yang bertelagah iaitu pergerakan Hamas dan Fatah mahu beliau berbuat demikian.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, dalam keadaan sekarang, beliau tidak boleh menjadi orang tengah kerana belum ada persetujuan daripada kedua-dua pergerakan terbabit berhubung perkara tersebut.

"Sekiranya kedua-dua pihak iaitu Hamas dan Fatah bersetuju, barulah saya boleh jadi orang tengah.

"Sekarang saya tidak boleh buat apa-apa kerana ini bukan antara Palestin dan Israel tetapi antara Hamas dan Fatah," katanya kepada pemberita selepas majlis mengibarkan Jalur Gemilang pada kapal Kencana Mermaid 1 (KM-1) di sini ( Lumut,Perak ) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan wakil pemimpin Palestin yang memintanya hadir ke negara mereka sebagai orang tengah dalam usaha meredakan ketegangan politik serta membantu mereka bersatu menghadapi konflik.

Permintaan tersebut disampaikan melalui Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza baru-baru ini.

Pergerakan Fatah dan Hamas bertelagah sekian lama sehingga Hamas mengusir Fatah dari Gaza pada 2007 menyebabkan Israel menyekat laluan ke Gaza, termasuk bantuan kemanusiaan.

Mengenai tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lalu, Dr. Mahathir berkata, ia tidak sepatutnya berlaku.

"Apabila pakatan pembangkang berkuasa, mereka buat macam-macam. Apa yang mereka buat ini dengan berucap dalam surau adalah salah dari segi moral," ujarnya.

Terdahulu, Dr. Mahathir ditemani anak beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum Berhad (Kencana), Datuk Mokhzani menaikkan Jalur Gemilang di atas kapal KM-1 sambil menyanyikan lagu Negaraku.

Kapal KM-1 yang dibina dua tahun lalu dan siap baru-baru ini merupakan kapal gerudi minyak pertama yang direka dan dibina sepenuhnya oleh syarikat Malaysia iaitu Kencana HL Sdn. Bhd.

Kapal yang dibina untuk Petronas Carigali Sdn. Bhd. itu akan memulakan tugas pertamanya di perairan Miri, Sarawak, Selasa ini.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 27 Ogos 2010

Melayu berpecah sejak merdeka!























Kegagalan menguasai ekonomi dan meningkatnya gejala sosial membabitkan masyarakat Melayu adalah disebabkan oleh sikap mereka yang berpecah-belah dan membelakangkan kepentingan Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sikap berpecah-belah itu merupakan punca mengapa ekonomi Melayu gagal berkembang selama ini. Malah katanya, akibat taksub kepada kelompok masing-masing, masyarakat Melayu kini berhadapan dengan masalah sosial yang semakin membimbangkan.

"Saya diberitahu oleh seorang pakar perubatan bahawa setiap 15 minit akan lahir seorang anak haram di negara kita. Kalau beginilah ramai anak haram yang akan lahir, apa akan kita bayangkan pada masyarakat?

"Ini menunjukkan masyarakat yang telah hancur, tidak berakhlak dan tidak bertamadun. Kerana apa? Kerana kita berpecah," katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata, perpecahan yang berlaku menyebabkan orang Melayu tidak mempunyai banyak ruang untuk menumpukan kepada soal pembangunan ummah.

"Kita berpecah sejak mula merdeka sampai sekarang sehingga kita tidak mementingkan soal pembangunan ummah, kita hanya mementingkan soal kelompok, taksub kepada kelompok. "Sedangkan keutamaan-keutamaannya kita tinggalkan, baik dari segi kerajaan, intelektual, ulama apatah lagi orang ramai," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegas Harussani, kedatangan Nuzul al-Quran yang disambut dalam bulan Ramadan diharap dapat menyedarkan masyarakat Melayu dengan perkara-perkara yang membelenggu mereka selama ini.

Beliau berkata, al-Quran bukan bertujuan digunakan bagi kepentingan sesuatu kaum atau kepentingan puak tertentu tetapi merupakan petunjuk kepada seluruh manusia yang mahu menerimanya.

"Dalam al-Quran menyebut ada enam rukun hidup bermasyarakat yang perlu kita ikuti iaitu kita tidak boleh hina-menghina, merendah-rendahkan orang lain, perli-memperli, gelar-mengelar (yang tidak baik), berprasangka buruk dan mengumpat antara satu sama lain," kata beliau.

Dalam masa sama, Harussani turut menyatakan perlunya kerajaan meletakkan kepentingan pelajaran agama itu setaraf dengan pelajaran akademik sebagai langkah awal dalam mencegah keruntuhan akhlak.

"Saya sudah bercakap lama, kita tidak boleh pisahkan pelajaran agama dengan akademik. Kalau pelajaran akademik kita jadikan wajib, kenapa agama kita jadikan sampingan kerana pembangunan orang Islam bergantung kepada pembangunan rohani.

"Kalau soal kerohanian diketepikan, kita maju dari segi material, ada motosikal, ada kereta dikira maju, tetapi itu tidak membawa makna apa-apa kepada kita selain kita makin teruk daripada orang lain," katanya.

Dalam pertemuan itu, Harussani sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan jemu menegur pihak-pihak tertentu jika ia demi kebaikan umat.

"Saya tidak pernah jemu menyampaikan kebenaran. Saya tidak pernah terencat dengan sebab cacian dan makian orang lain. Kerana bagi saya, yang penting perintah Tuhan mesti didahulukan," kata beliau.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 17 Ogos 2010

Zahrain - 'Perlembagaan baru' memang wujud !

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini mengesahkan bahawa beliau mengetahui tentang kewujudan 'perlembagaan baru' yang dibuat oleh pihak tertentu.

Lebih mengejutkan, beliau juga mendakwa bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), semata-mata untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

"Perkara ini memang benar-benar wujud dan ia merupakan idea PKR. Semuanya kerana PKR sedar bahawa sokongan bukan Melayu terhadap pembangkang semakin bertambah dan demi menjamin kelangsungan sokongan itu, Perkara 153 dan Perkara 11 perlu digugurkan.

"Perkara inilah yang menjadi salah satu sebab mengapa saya meninggalkan perjuangan PKR dan memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas. Inilah permainan bahaya PKR yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zahrain berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau mengetahui atau tidak tentang kewujudan 'perlembagaan baru', seperti mana yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria Ahad lalu.

Harussani ketika membuat pendedahan mengejutkan itu berkata, 'perlembagaan baru' itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang.

Mufti Perak itu bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang bertanggungjawab mewujudkan 'perlembagaan baru' berkenaan demi menjaga keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Zahrain memberitahu, perancangan untuk mewujudkan 'perlembagaan baru' itu sudah dimulakan selepas pembangkang berjaya mencatat kemenangan besar dalam PRU Ke-12 lalu.

"Mereka sudah mula berangan bahawa langkah untuk menawan Putrajaya semakin hampir dan selepas cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) untuk membeli wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal, maka perkara ini mula dirancang," katanya.

Dalam pada itu, Zahrain menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya segera mengambil tindakan tegas kerana perbuatan pembangkang mewujudkan 'perlembagaan baru' adalah satu perbuatan menghasut.

Katanya, jika pihak berkuasa lambat bertindak, beliau khuatir tragedi 13 Mei 1969 akan berulang kembali kerana orang Melayu sudah tentu tidak akan membiarkan hak mereka dicabuli.

"Orang Putih dahulu pun sedar tentang bahaya jika Perkara 153 dan Perkara 11 disingkirkan tetapi PKR tidak pernah belajar daripada perkara itu. ''Pada mereka matlamat mengejar kuasa adalah lebih penting berbanding kestabilan negara," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 16 Ogos 2010

Gempar : Harussani dedah kewujudan 'perlembagaan baru'!

Mengejutkan! Sudah ada 'perlembagaan baru' dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kemakmuran negara selama ini.

Perkara tersebut didedahkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya di sini, hari ini.

Menurut Harussani, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

''Saya dimaklumkan sekarang sudah ada perlembagaan baru yang dibuat oleh pihak tertentu.

''Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku Perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu," katanya pada wacana tersebut di sini, hari ini.

Bagaimanapun Harussani ketika ditemui selepas wacana tersebut enggan mengulas lanjut tentang dakwaannya itu.

Selain Harussani, program itu turut disertai Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar dan Naib Pengerusi Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Hafiz Nordin.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula bertindak sebagai perantara program berkenaan.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli GMP, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak dan aktivis Melayu termasuk Tan Sri Jins Shamsuddin hadir pada program anjuran GMP dan GPMS itu.

Pada wacana itu juga, Harussani berkata, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan bangsa itu hilang kewibawaan sehingga kaum lain semakin berani membuat pelbagai tuntutan dan mahu hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.

''Kenapa kita berpecah-belah hanya kerana salah tafsir iaitu melampau dalam berpegang pada syariat Islam.

''Saya menyuruh kita semua bersatu, saya tidak suruh hapuskan parti tetapi saya minta orang Melayu pertahankan Islam dan hak-hak mereka," katanya yang banyak menerima cemuhan daripada penyokong pembangkang kerana mengajak orang Melayu dan Islam bersatu.

Sementara itu, Hafiz yang merupakan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang bimbang dengan nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang sekarang.

Jelas beliau, begitu banyak gerai perniagaan orang Melayu yang didirikan di atas tanah kerajaan dirobohkan tetapi tindakan sama tidak diambil ke atas peniaga bukan Melayu yang berniaga di atas jalan raya.

''Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak membenarkan rumah bernilai RM150,000 ke bawah dibina di tengah bandar. Pulau Pinang kini ke arah menjadi Singapura.

''Jambatan kedua Pulau Pinang yang menjadi kebanggaan kita akan memudahkan pengusiran orang Melayu secara beramai-ramai dari Pulau Pinang," katanya.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO pula meminta orang Melayu menentang habis-habisan 'Abdullah Ibn Saba' yang memecahbelahkan umat Islam di Malaysia sekarang.

''Dalam setiap tamadun manusia mesti ada pengkhianatan yang menghancurkan perpaduan. Kalau zaman Khalifah Usman dan Ali dulu ada Abdullah Ibn Saba yang melaga-lagakan umat Islam, zaman sekarang pun ada 'Abdullah Ibn Saba' yang menyebabkan perpecahan orang Melayu dan Islam di Malaysia," katanya.

Kamarudin pula menyifatkan orang Melayu sebagai lemah jika tidak mampu membalas balik apabila agama dan bangsa mereka dihina.

''Saya hairan kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang mempertikaikan kedudukan Islam dan hak-hak orang Melayu," katanya dalam nada kesal.-UM

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 15 Ogos 2010

ADUN 'tidak dibenar' buat gotong-royong di surau!

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman 'tidak dibenarkan' membuat program gotong-royong memasak bubur lambuk di sebuah surau di Taman Song Choon dekat sini pada 1 Ramadan lalu sedangkan premis itu terletak di dalam kawasan beliau.

Alasan yang diberikan oleh pengerusi surau tersebut adalah kerana ahli politik tidak dibenarkan terlibat dengan surau berkenaan dan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa surau berkenaan.

Namun, yang menariknya, pada tarikh tersebut juga, pengerusi surau itu menjemput Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menyampaikan 'tazkirah'nya di situ.

Hamidah ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut berkata, beliau berasa kesal kerana 'tidak dibenarkan' mengadakan program memasak bubur lambuk di surau tersebut pada hari pertama umat Islam berpuasa.

Katanya, semasa permohonan dibuat, pengerusi surau berkenaan memberikan alasan perlu mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu sebelum dapat memberi keputusan.

"Dia (pengerusi surau itu) janji hendak hubungi saya balik tetapi tiada apa-apa selepas dua hari.

"Persoalannya, ia begitu negatif sejak awal lagi. Selepas isu itu masuk dalam blog, barulah program saya diluluskan 8 September ini, itu pun dekat hari raya," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Hamidah, beliau tidak mempunyai masalah dengan pengerusi surau tersebut yang merupakan penyokong Pas dan individu yang menjadi pencadang kepada calon yang bertanding menentang beliau di DUN Sungai Rapat pada Pilihan Raya Umum lalu.

"Saya rasa kesal, mereka selalu tunjukkan imej kita, kalau UMNO semua tidak betul tetapi kalau Pas semuanya betul," katanya.

Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya pernah dihalang mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul di surau tersebut dan hanya dibenarkan selepas campur tangan Majlis Agama Islam Perak.

"Itu pun, mereka kunci pagar dan tuduh saya menceroboh surau berkenaan. Walhal, saya berusaha mendapatkan peruntukan RM250,000 untuk ubah suai surau itu sebelum ini," katanya.

Beliau juga mendakwa, di Perak sekarang terdapat dua pemimpin bukan Islam dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memakai baju Melayu dan bersongkok menyertai moreh di surau-surau untuk memenangi hati orang Melayu.

"Sekarang ini, orang bukan Islam pun mempolitikkan agama Islam dan apa yang menyedihkan, puak-puak Pas reda dan merelakannya," tegas beliau.- UM

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 9 Ogos 2010

Peniaga Melayu Pulau Pinang terus ditindas!

WALAUPUN peniaga dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang semalam tidak ramai, tetapi mereka telah menunjukkan bantahan terhadap tindakan kerajaan negeri kerana tidak membenarkan Bazar Ramadan diadakan di kompleks itu.

Peniaga-peniaga Melayu Pulau Pinang cukup tertekan dan kecewa dengan tindak-tanduk kerajaan negeri sejak dua tahun lalu. Rakyat Malaysia dapat menyaksikan satu lagi penindasan secara terang-terangan dilakukan di Pulau Pinang.

Paling jelas ialah tindakan kerajaan negeri itu yang dilihat mengancam periuk nasi peniaga-peniaga Melayu. Pemerintah Pulau Mutiara itu tidak dapat lagi menyembunyikan dasar diskriminasi terhadap peniaga-peniaga Melayu.

Kita dimaklumkan bahawa tindakan tidak membenarkan berniaga itu dibuat kerana peniaga Melayu didakwa gagal membuat bayaran sewa. Namun cerita sebaliknya pula dilaporkan bayaran telah dibuat.

Seperti biasa masalah teknikal sebegini yang nampaknya tiada tolak ansur dalam dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang. Apa sahaja ruang dan peluang untuk menafikan penglibatan Melayu dalam perniagaan kecil cuba dinafikan dengan menggunakan undang-undang.

Undang-undang adalah ciptaan manusia dan boleh dipinda. Tetapi lebih berharga jika dasar tolak ansur demi memakmurkan ekonomi semua kaum diberi keutamaan. Jika ini dapat dilaksanakan, tidaklah timbul tanggapan setelah kerajaan negeri merobohkan gerai-gerai orang Melayu, kali ini mereka cuba halang pula peniaga-peniaga Melayu untuk mencari rezeki di bulan Ramadan.

Sebab itu, orang ramai akan mempersoalkan apa tujuan sebenar kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP bertindak menjurus kepada penindasan kepada peniaga Melayu terutamanya yang berniaga di tempat strategik di negeri itu.

Tindakan menghalang berniaga di Bazar Ramadan di tingkat tiga Komtar menunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP seolah-olah menyimpan sikap perkauman yang tebal. DAP akan dituduh mempunyai dendam kesumat kepada orang Melayu? DAP akan dituduh parti yang baharu sedikit diberi kuasa tetapi sudah melakukan bermacam-macam tindakan menyusahkan orang Melayu.

Kita tidak tahu bagaimana nasib orang Melayu dan bumiputera jika DAP dan rakan sekutunya dapat memerintah Kerajaan Pusat.

Kebetulan atau sudah dirancang, nampaknya bermula tahun lalu kerajaan negeri itu seolah-olah mahu terus mengganggu perniagaan orang Melayu. Pada tahun lepas, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menghentikan pengeluaran lesen sementara bagi bazar tersebut yang telah wujud sejak 25 tahun lalu atas alasan mengganggu lalu lintas.

Tetapi tidakkah tindakan itu dilihat berat sebelah, apabila MPPP hanya 'menutup sebelah mata' membiarkan ratusan penjaja haram berniaga di kaki lima di Georgetown sehingga menyebabkan juga kesesakan lalu lintas?

Golongan peniaga tidak sepatutnya terlibat dalam politik sempit. Tetapi kita telah ditunjukkan belang sebenar apabila DAP memerintah - hendak dapat ruang berniaga pun susah.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 5 Ogos 2010

Yeop Lambai : Nizar akan bawa 'saman ekor' ke Dewan Rakyat!
















Adakah ini disebabkan Nizar fobia dengan "saman ekor" ataupun terlalu banyak melambai-lambai sehingga berlaku kemalangan.


Anggota parlimen Bukit Gantang Mohammad Nizar Lambai berkata beliau akan membangkitkan isu saman ekor dalam Dewan Rakyat kerana telah menimbulkan banyak masalah kepada orang ramai.

Beliau berkata tindakan polis menguatkuasakan saman ekor bercanggah dengan undang-undang kerana pemilik kenderaan hanya boleh didakwa dan didapati bersalah di mahkamah dan bukannya diminta terus membayar saman. ( ya lah..sebab dah selalu keluar masuk mahkamah kan..).

"Pengeluaran saman itu agak samar...saya akan membawa perkara ini ke Dewan Rakyat dan minta ia diberhentikan serta-merta kerana ia satu penganiayaan," katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Ketua Trafik Persekutuan Datuk Abdul Aziz Yusof mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak merancang untuk mengkaji semula saman ekor berikutan rungutan orang ramai yang mendakwa tidak menerima notis saman.

Abdul Aziz berkata, dakwaan itu timbul akibat mereka tidak mengemas kini alamat masing-masing.

Komen : Yeop Nizar, ko pernah kena " saman ekor " ke!..cuba cakap yang sebenonya..! Jangan dok melambai aje..dah meluat orang Perak nengoknya..!!!

Torashah..

Selasa, 3 Ogos 2010

Nizar lambai kena kad merah : Ganesan gantung Nizar dari DUN Perak!

KETUA pembangkang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (tengah) berjalan keluar setelah diarahkan meninggalkan dewan oleh Speaker ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di Ipoh.

Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini digantung dari persidangan dewan undangan negeri Perak selepas mengengkari arahan speaker, Datuk R Ganesan supaya duduk.

Ketika membahaskan rang undang-undang usul perbekalan tambahan RM80 juta, masa yang diperuntukkan untuk Nizar selama 15 minit telah berakhir. Namun beliau terus berucap dalam nada yang kuat apabila pembesar suaranya dipadamkan.Sebelum itu, Nizar terus tidak mempedulikan arahan Ganesan agar beliau dirujuk sebagai ‘Yang Yang Dipertua.’

Nizar: Terima kasih Datuk Ganesan...

Ganesan: Saya telah beri peluang untuk bahas. Tetapi jika ini berterusan saya akan ambil tindakan. Meskipun nama saya Ganesan, di Dewan ini, jawatan saya adalah Tuan Yang Dipertua.
Nizar: Terima kasih Datuk Ganesan...

Ganesan: Saya beri awak peluang terakhir!

Nizar: Terima kasih Yang berhormat...[meneruskan ucapan]

Dalam ucapannya, Nizar mendakwa RM50,000 digunakan oleh Zambry untuk diagihkan kepada cawangan MCA di Perak. Wang rakyat katanya, digunakan untuk tujuan parti.

Rakannya dari DAP, Nga Kor Ming (Pantai Remis) yang marah dengan pendedahan itu kemudian melabelkan Zambry sebagai ‘pelacur politik’ yang kemudiannya sekali lagi mengamatkan dewan.

Nizar juga melemparkan tuduhan ‘pengecut’ ke atas BN kerana tidak membenarkan media menjalankan tugas kerana mematikan talian internet.Apabila masa 15 minit yang diperuntukkan berakhir, pembesar suara Nizar dipadamkan, namun beliau terus berucap dengan meninggikan suaranya.

Khusaisi Abdul Talib (BN-Slim River) kemudian mula berucap dan dewan menyaksikan dua ADUN berucap pada masa yang sama.Nizar tidak menghiraukan arahan Ganesan supaya duduk dan tindakan itu memaksa beliau diarahkan keluar dewan.

Namun Nizar enggan berbuat demikian. Bentara hanya berdiri di sebelahnya dan tidak cuba mengeluarkan menteri besar yang disingkirkan itu secara paksa.

ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari kemudian mencadangkan Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang, digantung sebagai ahli Dewan dan cadangan itu disokong semua ADUN BN. Selepas pertikaman lidah kira-kira 30 minit, Nizar dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain mengambil keputusan meninggalkan dewan.

Sebelum itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sempat membentang usul perbekalan tambahan RM80 juta daripada kumpulan wang disatukan untuk perkhidmatan bagi bacaan pertama.Usul itu disokong ADUN Sg Rapat, Datuk Hamidah Osman.

bersambung...

Warna-warni politik

Torashah

Nizar lambai buat hal : Sidang DUN Perak kecoh lagi!

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berjalan lancar hari ini walaupun berlaku sedikit kekecohan apabila ada beberapa orang yang tidak mempunyai pas kebenaran masuk cuba melepasi kawalan polis.

Polis telah mengadakan kawalan di sekitar laluan masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan sejak awal pagi tadi.

Persidangan bermula pada 10 pagi.

Semua ADUN Pakatan Rakyat memasuki dewan dengan diketuai Menteri Besar yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Mereka mula memasuki DUN di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, sejak jam 9.40 pagi ini. Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan ADUN BN serta Bebas mula tiba pada jam 9.45 pagi dan menunggu di tempat masing-masing.

Speaker Datuk R Ganesan masuk sejurus sebelum persidangan bermula.

Dua persidangan dewan itu sebelum ini agak kecoh.

Ganesan kemudiannya mengumumkan beberapa peraturan baru yang dikuatkuasakan pada sidang dewan kali ini. Antaranya, gambar tidak dibenar dirakamkan, telefon bimbit juga tidak boleh dibawa masuk. Ganesan juga mengingkat semua ADUN bahawa mereka perlu menghormati keputusannya selaku yang dipertua dan menghormati segala etika dan tatasusila dewan ketika berdebat.

ADUN Pangkalan Hulu, Tan Sri Mohd Tajol Rosli, mengemuka soalan pertama pada persidangan kali ini yang menyentuh soal defisit dalam bajet negeri tahun ini.

Zambry menjawab bahawa Bajet 2010 menganggarkan defisit sekitar RM23 juta tetapi ia tidak bermakna kerajaan negeri tiada wang kerana Perak masih mempunyai rizab RM847 juta dalam bentuk saham dan simpanan tetap.

Beliau berkata, rizab tinggi adalah petunjuk baik mengenai ekonomi negeri tetapi kerajaan Perak tetap berhemah berbelanja. "Namun, usul perbekalan tambahan RM80 juta tidak kena mengena dengan rizab," katanya. Ketika itu, Ganesan mengesan Nga Kor Ming (Pantai Remis) menggunakan kamera. Beliau kemudiannya mengarahkan bentara untuk merampas kamera berkenaan.

Rakan-rakannya dari DAP, Ngeh Koo Ham, Thomas Su dan beberapa yang lain kemudian tampil dan mula bertengkar. Bagaimanapun perkara itu berjaya diselesaikan dengan kamera berkenaan tidak dirampas.

Selang beberapa minit kemudian, perwakilan Pakatan Rakyat mula menganggu jawapan Zambry dan ADUN BN pula membalas - menjadikan sidang kecoh seketika dengan pertikaman lidah kedua-dua pihak.

Pertengkaran juga berlaku apabila ADUN Pakatan dengan sengaja merujuk speaker sebagai ‘pengerusi’ atau ‘Datuk Ganesan’ kerana tidak mengiktiraf kedudukan kerajaan negeri yang ‘dirampas’ itu.

“Saya adalah speaker. Apabila berada di dewan ini, sila gunakan gelaran itu. Jika tidak saya akan ambil tindakan,” kata Ganesan. Nga membalas bahawa Ganesan perlu menunggu keputusan mahkamah sebelum mendakwa jawatan itu miliknya, merujuk kepada perbicaraan kes tersebut.

"Okay," kata Ganesan kerana tidak mahu sidang terganggu. Zambry turut menafikan dakwaan Nga, kononnya bahawa Perak adalah negeri miskin kerana sehingga Julai lalu jumlah miskin tegar di negeri itu hanya seramai 764 keluarga. Beliau juga memberi amaran kepada Nga agar tidak memanipulasikan perangkaan itu dan membuat tuduhan palsu di media.

bersambung...!

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 1 Ogos 2010

Pembunuhan Mistri Ahli Majlis Manjung!


Sungguh menakut dan mengerikan.!!!

Dihumban dalam perigi!

Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang juga Ketua MCA cawangan Changkat Keruing, Lim Ting Peng, 49, ditemui mati dibunuh dalam perigi di ladang ternakan ayam miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing, Manjung hari ini.

Mayat mangsa ditemui anak lelakinya, Tommy Lim, 18, yang turut serta dalam operasi mencari bapanya yang hilang sejak malam tadi. Mangsa yang baru lima hari dilantik sebagai ahli MPM tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum ahli keluarganya bertindak membuat laporan polis semalam.

Selain melaporkan kejadian itu kepada polis, ahli keluarganya mencari mangsa sehinggalah mayatnya ditemui dalam perigi sedalam 5 meter di ladang ternakan ayam itu. Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 8 pagi.

“Polis yang dimaklumkan tentang penemuan mayat tersebut kemudian bergegas ke tempat kejadian. “Siasatan awal mendapati, terdapat kesan-kesan darah pada pondok berhampiran perigi di dalam kawasan ladang ternakan ayam tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohd. Jamil, sebuah kenderaan pacuan empat roda milik mangsa dan dua pekerja warga Myanmar yang ditugaskan menjaga ladang ternakan ayam itu sehingga kini gagal dikesan. Sementara itu, isteri mangsa, Ling Mooi Kooi, 48, berkata, suaminya keluar rumah kira-kira pukul 5 petang semalam untuk bertemu dua pekerjanya yang mahu meminjam duit daripadanya.

“Salah seorang pekerja telah telefon suami saya ajak keluar sebab beritahu hendak pinjam duit sebanyak RM1,000,” katanya. Setelah pukul 10 malam, katanya, Ting Peng tidak pulang-pulang menyebabkan dia cuba menghubungi suaminya menerusi telefon bimbit namun tidak berjawab.

Menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku, dia mengajak anak lelakinya, Tommy ke ladang ternakan bersama penduduk sebelum menemui mayat suaminya dalam sebuah perigi di situ.

Warna-warni politik
Torashah