Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam di negara ini yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.
Keadaan itu berlaku titah baginda, akibat pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.
Raja Dr. Nazrin bertitah, pemimpin sedemikian mungkin menyimpang daripada prinsip asas Islam yang sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah kerana merelakan agamanya dicemari dan umatnya dihina.
Mengambil contoh penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, titah baginda, ia bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam itu sendiri.
“Pencerobohan besar bermula daripada perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula daripada satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau doa.
“Ia bermula daripada pencerobohan kecil dan jika ketika itu orang Islam masih belum insaf, berdegil dan sombong mempertahankan ego serta memilih untuk bertelagah, mereka sebenarnya memberi petanda yang salah seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat dan institusi Islam,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Peringkat Negeri Perak serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, baginda meminta umat Islam supaya sedar, insaf serta wajib mengambil pengajaran sebelum “nasi menjadi bubur” kerana tiada pihak lain akan bersimpati jika mereka jatuh dan menjadi lemah.
“Masa depan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan mereka sendiri. Selagi kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak boleh meruntuh atau menjatuhkannya,” titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah, pemimpin wajib mengambil ingatan dan insaf bahawa selagi terdapat kumpulan fakir miskin di dalam negara, mereka masih menghadapi cabaran dan tanggung jawab besar untuk memastikan pengagihan sumber kekayaan negara berlaku secara adil dan saksama.
Malah tegas baginda, kewujudan fakir miskin harus menginsafkan warga yang hidup senang dan mendapat banyak nikmat serta kemudahan untuk tidak bersifat tamak, bernafsu membolot seluruh kekayaan tanpa menghiraukan penderitaan golongan miskin dan susah.
Baginda menyifatkan usaha membantu fakir miskin dan membasmi kemiskinan adalah jihad yang perlu diberi keutamaan pihak terbabit.
Dalam titahnya, baginda memuji langkah MAIPk yang memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada 15,000 fakir miskin di negeri ini termasuk 5,450 orang yang masih memerlukan bantuan bulanan.
Selain itu, baginda menggalakkan badan Islam lain mencontohi langkah Yapeim menyediakan anugerah kecemerlangan untuk warga bukan Islam kerana ia dapat memperlihatkan kemurnian ajaran agama selain memupuk perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan