DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Ahad, 29 Ogos 2010

Palestin: Dr. Mahathir sedia jadi orang tengah redakan konflik!

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau bersedia menjadi orang tengah bagi membantu meredakan ketegangan politik di Palestin andainya kedua-dua puak yang bertelagah iaitu pergerakan Hamas dan Fatah mahu beliau berbuat demikian.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, dalam keadaan sekarang, beliau tidak boleh menjadi orang tengah kerana belum ada persetujuan daripada kedua-dua pergerakan terbabit berhubung perkara tersebut.

"Sekiranya kedua-dua pihak iaitu Hamas dan Fatah bersetuju, barulah saya boleh jadi orang tengah.

"Sekarang saya tidak boleh buat apa-apa kerana ini bukan antara Palestin dan Israel tetapi antara Hamas dan Fatah," katanya kepada pemberita selepas majlis mengibarkan Jalur Gemilang pada kapal Kencana Mermaid 1 (KM-1) di sini ( Lumut,Perak ) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan wakil pemimpin Palestin yang memintanya hadir ke negara mereka sebagai orang tengah dalam usaha meredakan ketegangan politik serta membantu mereka bersatu menghadapi konflik.

Permintaan tersebut disampaikan melalui Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza baru-baru ini.

Pergerakan Fatah dan Hamas bertelagah sekian lama sehingga Hamas mengusir Fatah dari Gaza pada 2007 menyebabkan Israel menyekat laluan ke Gaza, termasuk bantuan kemanusiaan.

Mengenai tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lalu, Dr. Mahathir berkata, ia tidak sepatutnya berlaku.

"Apabila pakatan pembangkang berkuasa, mereka buat macam-macam. Apa yang mereka buat ini dengan berucap dalam surau adalah salah dari segi moral," ujarnya.

Terdahulu, Dr. Mahathir ditemani anak beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum Berhad (Kencana), Datuk Mokhzani menaikkan Jalur Gemilang di atas kapal KM-1 sambil menyanyikan lagu Negaraku.

Kapal KM-1 yang dibina dua tahun lalu dan siap baru-baru ini merupakan kapal gerudi minyak pertama yang direka dan dibina sepenuhnya oleh syarikat Malaysia iaitu Kencana HL Sdn. Bhd.

Kapal yang dibina untuk Petronas Carigali Sdn. Bhd. itu akan memulakan tugas pertamanya di perairan Miri, Sarawak, Selasa ini.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: