DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 25 Ogos 2009

Pimpinan Pas Kedah jangan hipokrit!


RAMADAN menuntut umat Islam supaya tidak bersikap berpura-pura, hipokrit, "mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih."

Justeru, kenapa balasan pahala puasa akan dibalas oleh Allah SWT memandangkan perilaku puasa, rahsia puasa, hanya antara Allah dan orang yang melakukannya.
Walhal ibadat-ibadat lain dapat dilihat dengan mata kasar, namun puasa mendidik umat Islam, supaya bersikap telus, benar dan ikhlas, lagi jujur dalam tindakan, kata-kata mahupun perbuatan.

Maka selaras dengan mauduk puasa, penulis cukup hairan dengan sikap Pas Kedah.
Apabila Radzi Salleh mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN berstatus bebas, maka segala keburukan beliau, bermula dengan tuntutan perjalanan yang tidak masuk akal, masalah disiplin sehingga dilihat sebagai satu liabiliti kepada kerajaan Pas di Kedah mula diungkit dan disebarkan.

Persoalannya, kenapa semasa beliau masih ahli PKR dan menjawat jawatan Exco Pelancongan, Sumber Manusia Negeri, salah laku sebegini didiamkan oleh pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas?

Ini menampakkan watak sebenar Islamisasi Pas. Jika orang berkenaan masih dalam saf perjuangan mereka, walau berbuat salah yang besar sekalipun maka akan didiamkan. Sebaliknya jika sudah keluar daripada jemaah mereka, maka akan dibesar-besarkanlah kesalahan tersebut.

Ini mengundang persoalan etika yang cukup besar, bahawa dalam konteks pentadbiran sama ada orang itu sanak-saudara, kawan ataupun teman gabungan, maka jika bersalah, berbuat sesuatu yang salah dan dilihat atau dipersepsikan membuat sesuatu yang salah - sepatutnya tindakan wajar segera diambil.

Dalam hal ini kenapa sirah Rasulullah SAW tidak mahu diikuti. Panduan ikutan telah ditunjukkan oleh Baginda apabila bersabda: "Jika yang mencuri itu Fatimah puteriku, nescaya akan ku potong tangannya." Inilah konsep pentadbiran adil lagi berhikmah.

Namun tampak jelas, politik hipokrit terus menjangkiti saf pimpinan Pas di Kedah.
Lihatlah betapa rakusnya Speaker DUN Datuk Dr. Mohd Isa Ismail yang terus menghantar notis pengosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya kerana tidak mahu egonya jatuh disebabkan ketidakhadiran ADUN Kota Siputeh, Abu Hassan Sharif, sebanyak dua kali dalam sidang DUN, walhal untuk kali kedua, sijil sakit telah pun dihantar.

Suatu ketika dahulu Speaker yang sama, menghantar makluman yang lebih kurang sama kepada SPR, berhubung isu kemuflisan ADUN Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, tanpa terlebih dahulu menunggu "arahan dan perintah mahkamah" berhubung status itu.
Bukan pimpinan Pas tidak faham, proses mahkamah jika dijatuhkan hukuman, masih ada proses rayuan.

Akibat kegelutan dan keghairahan mahu menunjukkan kuasa, maka kebajikan rakyat terabai, sebaliknya kerusi DUN yang mahu diintai. Sama juga sifat tipikal Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas, merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, yang dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas di Permatang Pasir. Sebagai pengundi di Parlimen Pokok Sena, penulis berasa hairan dengan sikapnya. Beliau boleh berada di dalam banyak majlis, dalam banyak keadaan bersama pimpinan PKR misalnya Anwar Ibrahim.

Beliau begitu sibuk memperkatakan perihal peribadi calon Rohaizat Osman, beliau sibuk berkomentar tentang sikap dan masalah salah laku Radzi. Namun yang lebih menghairankan penulis, beliau tidak pun sibuk bersama pengundi dan rakyat di Pokok Sena, tatkala banjir, ribut yang melanda baru-baru ini.

Beliau lebih sibuk memperkatakan tentang banyak perkara. Tentang hal dunia, ISA, kepincangan pentadbiran negara, walhal kepincangan dan kelemahan khidmat beliau di kawasan yang beliau wakili bersama rakan-rakan Pas yang lain tidak beliau endahkan. Masih banyak isu kemiskinan, pembelaan kebajikan rakyat, hala tuju kemajuan ekonomi, peluang perniagaan, pengangguran di kawasan beliau.

Bila penulis mengajaknya berbincang dan berdebat berhubung isu-isu dasar di Parlimen Pokok Sena, pelawaan diperlekehkan hanya kerana jawatan beliau yang cukup tinggi dalam Pas.
Sedangkan isu yang mahu dibicarakan adalah antara pengundi dan beliau sebagai Ahli Parlimen di satu kawasan yang beliau wakili.

Islam tidak mengajar umatnya bersikap hipokrit dan bongkak. Islam menuntut umatnya melakukan dakwah, kebaikan di kalangan keluarga sendiri terlebih dahulu, jiran, masyarakat sekitar, kampung, negeri barulah negara. Jika prinsip ini dilaksanakan tentulah pentadbiran Pas di Kedah dan sikap pimpinan Pas negeri itu tidak akan haru-biru jadinya.

Justeru pesan penulis kepada pimpinan Pas di Kedah, "jangan kuman di seberang lautan boleh nampak dan kelihatan, namun gajah di depan mata, dipandang pun tidak". Sebagai kerajaan yang diberi mandat, selesaikan dulu keperluan rakyat Kedah, pengundi setempat daripada mahu berlagak menjadi hero negara. Walhal pengundi terabai, aspek sosioekonomi terbengkalai dan segala janji manis pilihan raya dulu kini ibarat bangkai. -UM
Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 11 Ogos 2009

Politik emosi hancurkan negara !

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah cubaan pihak tertentu mewujudkan budaya emosi, sentimen dan hawa nafsu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati perlu segera dibendung bagi mengelakkan negara berdepan bahaya.

Baginda bertitah, golongan seperti itu juga hanya menghormati undang-undang apabila kemenangan berpihak kepada diri atau kumpulan dan sebaliknya berlaku apabila keputusan berpihak kepada lawan.

"Keadaan itu jika tidak dibendung secara berkesan akan meruntuhkan budaya negara secara sivil untuk diambil alih oleh kaedah negara yang mengamalkan budaya hukum rimba iaitu membolehkan yang lemah menjadi makanan kepada yang kuat.

"Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama dalam negara ini dan ia harus dijadikan panduan dan rujukan semua pihak jika mahukan keharmonian antara rakyat terus dipupuk," titah baginda pada perasmian Istiadat Konvokesyen Ke-48 Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Hadir sama, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Konvokesyen pada tahun ini menyaksikan 6,863 graduan menerima ijazah. Pada majlis itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kemanusiaan atas jasanya yang berjaya menzahirkan pendekatan Islam Hadhari dan menyuburkan pembangunan modal insan di Malaysia.

Fatiha Senom, 24, dan Lim Chee Wei, 23, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Inggeris) dan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan pula menerima Anugerah Pelajaran Diraja 2008/2009 UM. Sultan Azlan Shah yang juga Canselor universiti itu bertitah, graduan perlu membuat penakrifan bijaksana mengenai perkembangan dalam negara kerana banyak tindak tanduk politik sekarang ada niat tersirat.

Baginda mahu suasana pembelajaran tidak dikorbankan sehingga negara huru-hara dan akhirnya rakyat menderita. "Kedaulatan undang-undang ialah istilah lumrah, mudah disebut dan enak didengar. Kadangkala istilah kedaulatan undang-undang diberi takrifan mengandungi unsur emosi untuk menyesuaikan dengan kehendak sesuatu pihak, bukannya takrifan yang adil," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 9 Ogos 2009

Jangan cabuli wasiat!

TITAH Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini yang menggariskan tujuh wasiat raja-raja Melayu merupakan peringatan kepada orang Melayu supaya tidak mengambil mudah akan hak dan keistimewaan mereka.

Walaupun hak itu terjamin dalam Perlembagaan namun ia boleh hilang jika orang Melayu sendiri mula mengambil mudah dan menganggap ia tidak perlu dipertahankan.

Wasiat itu juga bukan bertujuan menidakkan atau mengetepikan hak kaum lain. Tetapi ia merupakan pengiktirafan terhadap kedudukan orang Melayu dan keistimewaan mereka seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ia juga sebagai peringatan bahawa ketika raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan sebagai tanda persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan hak-hak orang Melayu tetap dipelihara.

Malah, titah Raja Nazrin itu juga tepat pada masanya kerana ia bukan sahaja menjelang sambutan kemerdekaan negara tetapi juga ketika sebahagian daripada orang Melayu mula hanyut dan saling berbalah sesama sendiri.

Apa yang dibangkitkan oleh Raja Nazrin lebih kepada membentuk penyatuan Melayu. Telah terbukti melalui sejarah, apabila Melayu bersatu ia membawa kepada kestabilan dan mampu mencapai sesuatu yang lebih besar.

Apabila Melayu bersatu pada 1946 untuk membentuk UMNO, hasilnya ialah kemerdekaan negara pada 1957 yang dikongsi bersama MCA dan MIC. Ia turut membuktikan bahawa penyatuan Melayu tidak pernah mengetepikan kaum lain. Malah ia membawa manfaat yang jauh lebih besar kepada setiap rakyat.

Raja Nazrin bertitah dan mengungkap semula tujuh wasiat itu kerana kebimbangan terdapat Melayu yang mula lupa pada akar umbi mereka. Golongan ini membiarkan diri mereka diperalat hingga sanggup melihat kaum dan agama mereka dipermainkan.

Sebab itu, jika wasiat itu tidak dijaga dan dipertahan, dikhuatiri lama-kelamaan bukan sahaja orangnya, malah perkataan Melayu itu sendiri akan lenyap begitu sahaja. Ini bukan soal membangkitkan isu perkauman. Tetapi usaha untuk memastikan kepentingan sesuatu kaum itu terjaga.

Bagi kaum Cina dan India sendiri, mereka tentunya tidak mahu bahasa, budaya dan adat resam mereka lenyap di bumi Malaysia. Itu merupakan antara prinsip dan dasar yang diperjuangkan oleh parti seperti MCA, MIC, Gerakan dan DAP.

Atas dasar tolak ansur dan saling menghormati, kaum lain bebas memperjuangkan hak mereka.
Sebab itu walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, namun sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dibenarkan.

Begitu juga dengan amalan agama, budaya dan adat resam tidak ada halangan untuk kaum lain mengamalkannya walaupun Islam merupakan agama rasmi. Walaupun hak dan keistimewaan orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan namun kaum lain tidak pernah dihalang dalam apa juga bidang sama ada ekonomi, sosial mahupun politik.

Perlu diingat apabila raja-raja Melayu bercakap mengenai penting usaha mempertahankan hak dan keistimewaan itu, ia bukan bertujuan menindas kaum lain. Tetapi lebih kepada untuk mempertahankan kuasa dan kepentingan orang Melayu. Hak itu disertai pula dengan beberapa dasar kerajaan yang dikatakan memihak kepada orang Melayu tidak pernah menjadikan kaum lain lebih lemah atau ketinggalan.

Daripada segi politik, kaum Melayu, Cina dan India bersama-sama dalam Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Persekutuan sejak lebih 52 tahun lalu. Melalui perkongsian politik secara sama rata ini, kepentingan setiap kaum dibincangkan secara bersama. Apa juga polisi termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan atas persetujuan bersama.

Daripada segi ekonomi, walaupun DEB lebih untuk membantu Melayu berjaya dalam ekonomi, ia tidak pula menjadikan kaum lain lebih miskin. Malah, kejayaan yang dikecapi Melayu dalam bidang ekonomi turut melonjak kedudukan ekonomi kaum lain terutama Cina.

Perkara yang sama juga turut dicapai dalam kontrak sosial yang dimeterai antara pemimpin-pemimpin terdahulu ketika mahu menuntut kemerdekaan negara. Pemimpin MIC, Tun V.T. Sambanthan sendiri merakamkan penghargaan terhadap semangat orang Melayu yang ditunjangi UMNO dalam membincangkan isu-isu berkaitan kewarganegaraan.

Bagi Sambanthan, walaupun UMNO mempunyai 88 peratus sokongan daripada pengundi pada pilihan raya umum 1955, namun parti Melayu itu tidak bersikap bongkak. Sebaliknya ia menerima dan menimbangkan permintaan MIC dan MCA berhubung taraf kerakyatan.
Malah pengasas MCA, Tun Tan Siew Sin turut menyatakan kekaguman dengan kemuliaan dan sikap bertolak-ansur pemimpin-pemimpin UMNO.

Walaupun isu yang disentuh ketika itu penting, getir dan sensitif kerana membabitkan hak orang Melayu, namun pemimpin UMNO tetap bertolak-ansur dan berpandangan jauh.
Sebab itu wasiat raja-raja Melayu dan kontrak sosial ini tidak perlu dipertikaikan. Hasilnya jelas terlihat pada hari ini. Jika tidak kerana persefahaman yang dicapai pemimpin dahulu, tidak mungkin generasi hari ini dapat menikmati apa yang ada sekarang.

Jika tidak ada kefahaman itu, kemungkinan pada masa ini negara kita berantakan akibat pertelingkahan kaum. Ini pernah berlaku pada 1969 apabila ada pihak menjadi angkuh setelah memenangi beberapa kerusi dalam pilihan raya hingga membangkitkan isu-isu sensitif yang membawa kepada perbalahan kaum. Sebab itu apabila Raja Nazrin mengingatkan wasiat yang dibuat pada tahun 1957 itu, ia bukan untuk kepentingan Melayu semata-mata.

Baginda sebaliknya mahu mengingatkan rakyat negara ini secara keseluruhannya betapa pentingnya menghormati hak setiap kaum seperti yang telah diperakui sejak lebih 50 tahun lalu.
Orang Melayu walaupun merupakan penduduk jati tidak pernah menghalang atau iri hati, jauh sekali mempunyai hasad dengki dengan kejayaan orang Cina dalam bidang ekonomi. Sebab itu jika kita lihat di bandar-bandar kecil kejayaan ekonomi orang Cina banyak disokong oleh Melayu.

Orang Melayu tidak kisah membeli-belah atau menjual hasil mahsul mereka kepada Cina. Biarpun akhirnya tauke Cina yang menjadi kaya raya dan Melayu kekal papa kedana, mereka tidak pernah memberontak atau membantah. Sampai hari ini, di kawasan yang hampir 100 peratus didiami Melayu, ekonominya tetap dikuasai bukan Melayu.

Jika tidak kerana wujud toleransi dan persefahaman, keadaan ini sudah tentu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati. Untuk memastikan keadaan yang dikecapi hari ini berterusan maka kontrak sosial yang telah dipersetujui perlu dihormati. Wasiat raja-raja Melayu ketika menurunkan tanda tangan sebagai tanda setuju terhadap pembentukan Perlembagaan Persekutuan jangan dicabuli.

Sikap angkuh, sombong dan menganggap semua itu sebagai fakta sejarah yang tidak relevan hanya akan mengundang suasana tidak harmoni. Seperti titah Raja Nazrin, dalam persekitaran menyambut ulang tahun kemerdekaan negara bangsa, sewajarnya fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan dipastikan tidak terpadam dari sejarah.-UM

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 6 Ogos 2009

Rakyat diingatkan 7 wasiat Raja-raja Melayu!

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah :

# Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

# Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

# Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

# Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

# Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;

# Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;

# Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.

(Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi, sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas yang bermula Selasa lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

Menurut baginda, wasiat sembilan Raja Melayu terdiri dari empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

“Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).
Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

“Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah,” titah baginda.

Mengenai Syed Hussein Alatas, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 23 Jan 2007, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Allahyarham sering membangkitkan mengenai kejijikan rasuah, dan dihuraikannya dalam buku tulisan beliau “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.” “Walaupun ianya kotor dan jijik, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya, malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas dari undang-undang dan hukum dunia,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memeranginya ada kalanya bergema lebih nyaring daripada kalangan mereka yang tidak bebas daripada melakukannya.

“Lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur dan rakyat melarat,” titah baginda.
Baginda bertitah rasuah berlaku di mana-mana termasuk di istana, dalam sektor awam, swasta, organisasi politik, malah dalam badan-badan agama, kerana rasuah merupakan candu yang mengasyikkan dan yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah.

“Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram,” titah Raja Nazrin Shah.

Menurut baginda, rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.-UM

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 3 Ogos 2009

Tidak sedarkah Melayu sedang dihina?

SEKALI lagi segelintir orang Melayu menjadi 'kuda tunggangan' pihak tertentu. Sekali lagi Melayu ditipu kerana mahu memenuhi perjuangan kaum lain.

Pada Februari lalu, kita dapat saksikan bagaimana orang Melayu yang menjadi penyokong fanatik pakatan pembangkang di Perak sanggup tunjuk perasaan dan baring di tengah jalan depan Istana Kuala Kangsar.

Dulu mereka tunjuk perasaan sebab mahu mengganggu majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru. Mereka lupa kerajaan pimpinan bekas menteri besar daripada Pas dan 'dikawal' oleh DAP itu sudah hilang kuasa.

Sabtu lalu, orang Melayu yang beria-ia mahu ISA dimansuhkan melakukan huru-hara di ibu kota Kuala Lumpur. Mereka lupa pihak yang mahu ISA dimansuhkan itu adalah perjuangan pertubuhan haram Hindraf.

Orang Melayu perlu buka mata dan pasang telinga. Kalau benar pakatan menolak ISA itu adalah suara semua kaum, ke mana kaum-kaum lain dalam demonstrasi Sabtu lalu? Hakikatnya, majoriti yang terkena gas dan cecair pemedih mata adalah orang Melayu. Lebih 90 peratus daripada 589 orang yang ditahan juga adalah Melayu.

Ke mana perginya penyokong DAP dan PKR daripada kaum Cina dan India? Adakah mereka mempunyai strategi lain dan demonstrasi jalanan bukan cara mereka? Sebelum ini mereka yang berapi-api melaungkan slogan hapuskan ISA. Nampaknya penyokong Pas sahaja yang dijadikan 'kambing hitam.' Imej Melayu yang berkupiah putih, berjubah dan berserban diperlihat sebagai orang yang ganas dan kurang bertamadun.

Tiada siapa yang suka imej yang memburukkan orang Melayu dan Islam. Jelas ada yang tidak kena. Adakah orang Melayu sedar akan hal ini? Kejadian dua kali orang Melayu 'bertempur' dengan pasukan polis pada tahun ini wajar membuka akal fikiran kita. Bodohkah Melayu atau bijaknya mainan politik bukan Melayu? Cuba fikir, akhirnya siapa yang untung dan siapa yang rugi?

Kita belum temui cadangan pihak pakatan rakyat untuk mengadakan demonstrasi mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan yang cuba diganggu-gugat oleh bukan Melayu. Sebaliknya perkara yang boleh memberi keuntungan kepada bukan Melayu dalam jangka masa panjang yang beria-ia disokong.

Kempen pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah usaha kuat DAP. Gerakan hapuskan ISA adalah kempen Hindraf. Tetapi majoriti peserta tunjuk perasaan yang menyusahkan rakyat itu ialah Melayu. Jika dikatakan maruah dan martabat orang Melayu sekarang semakin diganggu gugat dan dicabar, mungkin penyokong pembangkang enggan menerimanya.

Mereka tidak akan percaya maruah Melayu dihina dan diperkudakan. Mereka tak mudah menerima penerangan bahawa banyak cara halus sedang dilakukan untuk menjatuhkan maruah pemimpin dan orang Melayu. Terpulang kepada orang Melayu sendiri sama ada mahu bangkit atau relakan diri dipijak oleh orang lain. - UM

Warna-warni politik
Torashah