DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Selasa, 25 Ogos 2009

Pimpinan Pas Kedah jangan hipokrit!


RAMADAN menuntut umat Islam supaya tidak bersikap berpura-pura, hipokrit, "mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih."

Justeru, kenapa balasan pahala puasa akan dibalas oleh Allah SWT memandangkan perilaku puasa, rahsia puasa, hanya antara Allah dan orang yang melakukannya.
Walhal ibadat-ibadat lain dapat dilihat dengan mata kasar, namun puasa mendidik umat Islam, supaya bersikap telus, benar dan ikhlas, lagi jujur dalam tindakan, kata-kata mahupun perbuatan.

Maka selaras dengan mauduk puasa, penulis cukup hairan dengan sikap Pas Kedah.
Apabila Radzi Salleh mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN berstatus bebas, maka segala keburukan beliau, bermula dengan tuntutan perjalanan yang tidak masuk akal, masalah disiplin sehingga dilihat sebagai satu liabiliti kepada kerajaan Pas di Kedah mula diungkit dan disebarkan.

Persoalannya, kenapa semasa beliau masih ahli PKR dan menjawat jawatan Exco Pelancongan, Sumber Manusia Negeri, salah laku sebegini didiamkan oleh pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas?

Ini menampakkan watak sebenar Islamisasi Pas. Jika orang berkenaan masih dalam saf perjuangan mereka, walau berbuat salah yang besar sekalipun maka akan didiamkan. Sebaliknya jika sudah keluar daripada jemaah mereka, maka akan dibesar-besarkanlah kesalahan tersebut.

Ini mengundang persoalan etika yang cukup besar, bahawa dalam konteks pentadbiran sama ada orang itu sanak-saudara, kawan ataupun teman gabungan, maka jika bersalah, berbuat sesuatu yang salah dan dilihat atau dipersepsikan membuat sesuatu yang salah - sepatutnya tindakan wajar segera diambil.

Dalam hal ini kenapa sirah Rasulullah SAW tidak mahu diikuti. Panduan ikutan telah ditunjukkan oleh Baginda apabila bersabda: "Jika yang mencuri itu Fatimah puteriku, nescaya akan ku potong tangannya." Inilah konsep pentadbiran adil lagi berhikmah.

Namun tampak jelas, politik hipokrit terus menjangkiti saf pimpinan Pas di Kedah.
Lihatlah betapa rakusnya Speaker DUN Datuk Dr. Mohd Isa Ismail yang terus menghantar notis pengosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya kerana tidak mahu egonya jatuh disebabkan ketidakhadiran ADUN Kota Siputeh, Abu Hassan Sharif, sebanyak dua kali dalam sidang DUN, walhal untuk kali kedua, sijil sakit telah pun dihantar.

Suatu ketika dahulu Speaker yang sama, menghantar makluman yang lebih kurang sama kepada SPR, berhubung isu kemuflisan ADUN Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, tanpa terlebih dahulu menunggu "arahan dan perintah mahkamah" berhubung status itu.
Bukan pimpinan Pas tidak faham, proses mahkamah jika dijatuhkan hukuman, masih ada proses rayuan.

Akibat kegelutan dan keghairahan mahu menunjukkan kuasa, maka kebajikan rakyat terabai, sebaliknya kerusi DUN yang mahu diintai. Sama juga sifat tipikal Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas, merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, yang dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas di Permatang Pasir. Sebagai pengundi di Parlimen Pokok Sena, penulis berasa hairan dengan sikapnya. Beliau boleh berada di dalam banyak majlis, dalam banyak keadaan bersama pimpinan PKR misalnya Anwar Ibrahim.

Beliau begitu sibuk memperkatakan perihal peribadi calon Rohaizat Osman, beliau sibuk berkomentar tentang sikap dan masalah salah laku Radzi. Namun yang lebih menghairankan penulis, beliau tidak pun sibuk bersama pengundi dan rakyat di Pokok Sena, tatkala banjir, ribut yang melanda baru-baru ini.

Beliau lebih sibuk memperkatakan tentang banyak perkara. Tentang hal dunia, ISA, kepincangan pentadbiran negara, walhal kepincangan dan kelemahan khidmat beliau di kawasan yang beliau wakili bersama rakan-rakan Pas yang lain tidak beliau endahkan. Masih banyak isu kemiskinan, pembelaan kebajikan rakyat, hala tuju kemajuan ekonomi, peluang perniagaan, pengangguran di kawasan beliau.

Bila penulis mengajaknya berbincang dan berdebat berhubung isu-isu dasar di Parlimen Pokok Sena, pelawaan diperlekehkan hanya kerana jawatan beliau yang cukup tinggi dalam Pas.
Sedangkan isu yang mahu dibicarakan adalah antara pengundi dan beliau sebagai Ahli Parlimen di satu kawasan yang beliau wakili.

Islam tidak mengajar umatnya bersikap hipokrit dan bongkak. Islam menuntut umatnya melakukan dakwah, kebaikan di kalangan keluarga sendiri terlebih dahulu, jiran, masyarakat sekitar, kampung, negeri barulah negara. Jika prinsip ini dilaksanakan tentulah pentadbiran Pas di Kedah dan sikap pimpinan Pas negeri itu tidak akan haru-biru jadinya.

Justeru pesan penulis kepada pimpinan Pas di Kedah, "jangan kuman di seberang lautan boleh nampak dan kelihatan, namun gajah di depan mata, dipandang pun tidak". Sebagai kerajaan yang diberi mandat, selesaikan dulu keperluan rakyat Kedah, pengundi setempat daripada mahu berlagak menjadi hero negara. Walhal pengundi terabai, aspek sosioekonomi terbengkalai dan segala janji manis pilihan raya dulu kini ibarat bangkai. -UM
Warna-warni politik
Torashah

2 ulasan:

cicitHJHASSANu berkata...

tahniah!!!kampung anda termasuk dalam senarai kuil terbanyak...

PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT ADUN PASIR PANJANG berkata...

Tinggalkanlah UMNO...Masuk PAS.