DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 14 Julai 2012

‘Bercerai-berai kerana dasar Pas tapi UMNO satukan Melayu’?



Berita guru al-Quran, Che Hasnah Che Ahmad, 61, diceraikan suaminya, Yahaya Ibrahim, 78, dikatakan akibat perbezaan politik menggemparkan banyak pihak.

Che Hasnah, guru agama di Kampung Chabang Tiga, Chetok, Pasir Mas, diceraikan suami dengan talak satu di Mahkamah Majistret Pasir Mas Rabu lalu kerana dianggap sesat disebabkan tidak menyokong Pas.

Yahaya kemudian menafikan menceraikan isterinya itu disebabkan perbezaan politik sebaliknya mendakwa Che Hasnah sesat akibat tidak mengamalkan ajaran Islam, malah bersedia rujuk kembali sekiranya Che Hasnah kembali kepada ajaran Islam.

Dakwaan Yahaya itu disanggah Che Hasnah yang turut menolak kesediaan suaminya untuk rujuk kembali.

Ikuti penjelasan Che Hasnah kepada wartawan Utusan Malaysia, di rumahnya semalam mengenai kemelut yang berlaku dan kesediaannya untuk hidup bersendirian selepas ini tanpa suami.

UTUSAN: Boleh beritahu apa sebenarnya yang berlaku?

CHE HASNAH: Bekas suami kuat (taksub) kepada parti Pas. Saya ini asal-asal lagi Barisan Nasional (BN), dia asal Pas. Tetapi jodoh dengan dia, tak mengapa. Selama kenal tak ada apa-apa, kalau dia cakap pasal parti Pas saya senyap, begitu sebaliknya.

Tetapi akhir-akhir ini, dia mungkin dihasut rakan-rakannya dalam Pas. Dua, tiga hari sebelum bercerai dia nampak lain, selepas itu, dia kata awak nak ikut parti saya tak? Kalau tak nak ikut, saya tinggalkan awak. Saya beritahu saya ahli UMNO.

Dia kata tak apalah, dia pun balik ke rumah anaknya. Barang-barangnya di rumah ini pun diminta supaya cucunya datang ambil.

Sebelum ini, saya hadir ke program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dia tidak kisah. Dia tidak marah, senyap sahaja. Tetapi akhir-akhir ini berbeza.

Kenapa tidak ikut permintaan bekas suami supaya sertai Pas?

Saya tak mahu sebab Pas banyak kerenah. Tengok, apa yang Pas buat untuk bantu orang Melayu, tetapi Pas tolong orang Cina. Sekarang di Kelantan, orang Cina yang banyak Pas bantu. Sekarang Nik Aziz (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) banyak beri tanah kepada orang Cina. Sekarang Pas pentingkan orang Cina, tidak pentingkan orang Melayu lebih-lebih lagi orang UMNO.

Bukankah Pas dakwa perjuangkan Islam?

Itu Pas kata, tetapi sebenarnya tidak begitu. Tengok apa yang terjadi, bercerai-berai kerana dasar Pas, kalau dasar UMNO tidak begitu. UMNO satukan orang Melayu dan Islam. Kita pun tahu juga, sebab kita tengok berita di televisyen, tetapi bekas suami tidak tengok berita di televisyen dan surat khabar, yang dia baca hanya Harakah.

Selama 14 tahun kami boleh bersama, tak berbalah, tetapi hanya kebelakangan ini sejak kerap pergi dengar ceramah Pas termasuk di Pejabat Penerangan Pas Kelantan. Mungkin waktu itu dia kena hasut.

Awal perkahwinan dahulu tak ada masalah?

Tak ada masalah, dia baik sangat. Tetapi sekarang sebab parti kami bercerai-berai. Masa mula ambil borang cerai, mahkamah tanya sebab mahu bercerai, dia kata kami tak sehaluan. Semasa depan hakim, dia kata mahu bercerai dan saya pula setuju. Dia pun lafaz cerai.

Bagaimana perasaan ketika itu?

Tidak rasa apa-apa. Dia selalu anggap parti dia lebih Islam dan menjamin syurga. Tetapi pada saya tidak. Kalau amalan baik, parti mana-mana pun Tuhan akan tilik hati kita, kalau baik bolehlah masuk syurga itu pun dengan rahmat Allah.

Sepanjang 14 tahun, macam mana pegangan bekas suami terhadap partinya?

Kuat, kalau sembahyang orang BN dia tak ikut. Sebelum nikah, orang BN meninggal dunia dia tak pergi, lepas bernikah saya kata tak boleh, sekampung kena pergi.

Kalau pergi ke program UMNO, bekas suami ada ikut sama?

Dia tak pergi, tetapi dia tak larang saya hadir program itu.

Macam mana boleh timbul mahu bercerai?

Cerai kerana saya tak ikut parti dia, mungkin kerana dia kena hasut.

Bekas suami kata sedia rujuk semula dengan bersyarat?

Saya tak mahu rujuk, elok seorang sahaja sekarang. Dia hendak beri syarat supaya saya ikut parti dia, saya tak mahu. Saya tak mahu masalah berulang lagi. UMNO pejuang Islam sebenar, yang tolong dan bela orang Melayu.

Bekas suami selalu ke ceramah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Ya, sebab itulah jadi macam itu, tak tahu apa yang Nik Abdul Aziz beritahu.

Apa perancangan selepas ini?

Tak ada apa, mengajar al-Quran sahaja, mula pukul 3 petang, berhenti solat Asar dan sambung lagi sampai pukul 7 petang.

Sedih dengan apa yang berlaku?

Sedih kerana ia berlaku disebabkan parti. Masalah ini berlaku bukan kerana apa, tetapi kerana parti. Dasar Islam apa dalam Pas, saya pun tak tahu. Masalah ini tidak akan berlaku dalam UMNO kerana UMNO satukan orang Melayu. Saya terkilan kerana dia tak sedar-sedar dan tetap menganggap hanya partinya yang Islam.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 9 Julai 2012

A. Sivanesan mungkir janji?



Timbalan Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan MIC Kebangsaan, Datuk R. Ramanan menyelar kegagalan pakatan pembangkang menunaikan janji membantu keluarga mangsa tragedi jambatan runtuh yang meragut tiga murid di Kuala Dipang, Perak, Oktober 2009.

Menurut beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A. Sivanesan yang berlagak 'hero' cuba membantu menyelesaikan masalah keluarga mangsa termasuk memfailkan saman bagi pihak mereka.

Beliau difahamkan, ADUN Sungkai itu telah berjanji memberi guaman percuma kepada keluarga mangsa bagi menuntut ganti rugi, selain mengarahkan keluarga tiga murid terbabit membuat kenyataan akhbar yang berpihak kepada Sivanesan dan pakatan pembangkang.

"Namun apabila Sivanesan telah memfailkan saman tuntutan, beliau kemudiannya mengemukakan satu perjanjian dengan keluarga mangsa.

"Antara perjanjian itu, keluarga mangsa perlu membayar lapan peratus kepadanya bagi yuran guaman," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 26 Oktober 2009, tiga murid terbabit menyertai 298 murid tahun empat, lima dan enam dari seluruh Kinta Selatan mengikuti Perkhemahan 1Malaysia selama empat hari di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan.


Pada November 2009, tiga bapa kepada tiga pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh terbabit memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Menurut Ramanan, apa yang dilakukan Sivanesan itu adalah tidak berperikemanusiaan, sekali gus membuktikan beliau bukan seorang wakil rakyat yang boleh diharapkan.

Jelasnya, tindakan itu juga membuktikan Sivanesan tidak beretika dalam melaksanakan tanggungjawab membela nasib rakyat di kawasan itu.

Beliau menambah, ADUN Sungkai itu turut mempergunakan keluarga mangsa untuk menaikkan agenda politiknya dan pakatan pembangkang semasa kenyataan akhbar dibuat.

"Ia satu tindakan yang tidak beretika dan sangat memalukan kerana sanggup mempergunakan kesusahan seseorang demi agenda politik sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Ramanan berkata, beliau secara peribadi akan membantu keluarga mangsa tersebut bagi menyelesaikan kes mereka.

Sabtu, 7 Julai 2012

Zambry janji selesai masalah laluan membahaya di Seri Manjung!



Masalah penduduk Kampung Datuk Seri Kamaruddin Tambahan, Seri Manjung dekat sini yang terpaksa melalui laluan merbahaya setiap hari bakal berakhir apabila Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berjanji untuk menyelesaikannya.

Penduduk kampung berkenaan berhadapan dengan bahaya manakala sebanyak 14 rumah dilapor mengalami keretakan serius dipercayai disebabkan kenderaan berat yang keluar masuk ke projek bijih besi Vale International (Vale) dan TNB JanaManjung di Teluk Rubiah menggunakan laluan utama di kampung itu.

Ketika meninjau kawasan itu, Zambry berkata kedua-dua pihak telah diminta menggunakan jalan alternatif berhampiran laluan yang diguna sekarang.

"Mereka (Vale dan TNB JanaManjung) diminta menggunakan laluan baru di situ yang jauh daripada perkampungan penduduk. Pejabat Tanah dan Daerah Manjung diminta mengenalpasti tuan punya tanah di laluan alternatif itu bagi tujuan pembesaran jalan.

"Pihak Vale dan TNB JanaManjung juga akan menghantar kakitangan mereka untuk menilai kerosakan yang dialami 14 rumah penduduk di situ dan yakin masalah itu akan selesai dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau dua rumah penduduk yang terlibat, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Ahmad Lotfi Tarmiji, 49, berkata masalah itu berlaku sejak setahun lalu dan menjadi semakin serius sejak projek Vale dilaksanakan.

"Lori-lori berkenaan setiap hari melalui kawasan ini sehinggakan rumah kami retak akibat gegaran.

"Perkakas rumah kami juga rosak kerana gegaran lori-lori itu yang memang kuat kerana mereka menjalankan kerja 24 jam sehari," katanya.

Seorang penduduk, Mohd Daud Yunos, 64, berkata beliau berterima kasih kepada Zambry yang sudi turun padang bagi melihat sendiri masalah yang hadapi penduduk.

Beliau berkata selain menghadapi masalah keretakan, pelajar dari beberapa sekolah turut berdepan dengan risiko kemalangan maut berikutan laluan itu penuh sesak dengan kenderaan berat terutama ketika pergi dan balik dari sekolah.

"Adakalanya, pemandu lori seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna lain di laluan itu. Mereka dilihat memandu secara melulu dan laju sehinggakan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya termasuk pelajar sekolah," katanya. - Bernama

Warna-warni politik
Torashah