DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Ahad, 15 Ogos 2010

ADUN 'tidak dibenar' buat gotong-royong di surau!

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman 'tidak dibenarkan' membuat program gotong-royong memasak bubur lambuk di sebuah surau di Taman Song Choon dekat sini pada 1 Ramadan lalu sedangkan premis itu terletak di dalam kawasan beliau.

Alasan yang diberikan oleh pengerusi surau tersebut adalah kerana ahli politik tidak dibenarkan terlibat dengan surau berkenaan dan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa surau berkenaan.

Namun, yang menariknya, pada tarikh tersebut juga, pengerusi surau itu menjemput Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menyampaikan 'tazkirah'nya di situ.

Hamidah ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut berkata, beliau berasa kesal kerana 'tidak dibenarkan' mengadakan program memasak bubur lambuk di surau tersebut pada hari pertama umat Islam berpuasa.

Katanya, semasa permohonan dibuat, pengerusi surau berkenaan memberikan alasan perlu mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu sebelum dapat memberi keputusan.

"Dia (pengerusi surau itu) janji hendak hubungi saya balik tetapi tiada apa-apa selepas dua hari.

"Persoalannya, ia begitu negatif sejak awal lagi. Selepas isu itu masuk dalam blog, barulah program saya diluluskan 8 September ini, itu pun dekat hari raya," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Hamidah, beliau tidak mempunyai masalah dengan pengerusi surau tersebut yang merupakan penyokong Pas dan individu yang menjadi pencadang kepada calon yang bertanding menentang beliau di DUN Sungai Rapat pada Pilihan Raya Umum lalu.

"Saya rasa kesal, mereka selalu tunjukkan imej kita, kalau UMNO semua tidak betul tetapi kalau Pas semuanya betul," katanya.

Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya pernah dihalang mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul di surau tersebut dan hanya dibenarkan selepas campur tangan Majlis Agama Islam Perak.

"Itu pun, mereka kunci pagar dan tuduh saya menceroboh surau berkenaan. Walhal, saya berusaha mendapatkan peruntukan RM250,000 untuk ubah suai surau itu sebelum ini," katanya.

Beliau juga mendakwa, di Perak sekarang terdapat dua pemimpin bukan Islam dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memakai baju Melayu dan bersongkok menyertai moreh di surau-surau untuk memenangi hati orang Melayu.

"Sekarang ini, orang bukan Islam pun mempolitikkan agama Islam dan apa yang menyedihkan, puak-puak Pas reda dan merelakannya," tegas beliau.- UM

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: