DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Rabu, 1 September 2010

Peringatan Raja Nazrin wajar diberi perhatian serius!

ENTAH untuk ke berapa kali, raja-raja Melayu terus memberikan peringatan dan nasihat kepada orang Melayu serta umat Islam mengenai ancaman yang sedang mereka hadapi.

Terbaru, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.

Pada pandangan baginda, ia berlaku kerana pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.

Walaupun peringatan baginda cukup tegas dan jelas tetapi percayalah, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada sesetengah kelompok pemimpin yang lebih melihat kepada keuntungan politik semata-mata.

Pemimpin berkenaan seolah-olah tidak peduli terhadap apa yang berlaku kepada orang Melayu tetapi sebaliknya lebih menghitung bagaimana hendak meraih sokongan daripada kaum lain.

Akibatnya, orang Melayu dan umat Islam seperti kata Raja Nazrin tenggelam punca. Keadaan ini jika berterusan amat berbahaya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Justeru, pemimpin-pemimpin yang terus ghairah menggadaikan segala-galanya untuk kepentingan politik mereka, perlu memandang serius peringatan Raja Nazrin itu.

Jangan menganggap apa yang dititahkan oleh baginda sekadar satu titah semata-mata dan bukannya satu perintah yang perlu dipatuhi. Apa yang baginda lakukan adalah untuk memberi amaran tentang bahaya yang menanti umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Pertelingkahan akibat ideologi politik berbeza dan ditambah pula dengan permainan politik matlamat menghalalkan cara telah memungkinkan hari demi hari orang Melayu menjadi semakin lemah.

Apa sahaja isu yang cuba dibangkitkan bagi membela nasib mereka, pasti akan mendapat tindak balas segera di mana orang yang memperjuangkannya akan dianggap rasis.

Lebih mendukacitakan, apabila ada pemimpin Melayu yang sanggup ke barisan hadapan untuk mempertahankan tindakan pemimpin bukan Melayu menyampaikan 'tazkirah' di surau.

Pelbagai hujah mereka keluarkan bagi mempertahankan rakan sekutu politik mereka itu, dan dalam masa yang sama tuduhan dilemparkan kepada pihak yang mendedahkan kejadian tersebut.

Sudah jelas kini semakin ramai pemimpin Melayu bersedia menjadi 'pak turut' semata-mata mahu meraih kuasa politik.

Mereka terlupa bahawa seperti mana kata Raja Nazrin pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar.

Jika orang Melayu dan umat Islam terus leka serta lebih selesa untuk menjadi pembela membuta tuli kepada perbuatan yang dianggap melampau oleh bukan Islam, maka percayalah satu hari nanti mereka mungkin ibarat 'menang sorak kampung tergadai'.

Oleh itu, jadikanlah satu demi satu nasihat daripada raja dan sultan sebagai peringatan dan bukannya melihatnya daripada sudut politik yang sempit. Janganlah menjadi si kitol yang sanggup menggadaikan segala-galanya demi mencari kesenangan sementara.

Orang Melayu perlu sedar dan memahami bahaya yang menanti mereka. Ingatlah apabila pencerobohan kecil cuba dipertahankan dengan pelbagai hujah maka, bersedialah untuk berhadapan dengan pencerobohan besar yang tidak mustahil boleh menyebabkan orang Melayu menjadi pelarian di tanah air sendiri seperti mana yang berlaku di Palestin.-UM

Warna-warni politik
Torashah

2 ulasan:

Unknown berkata...

Ampun tuanku, mohon rakyat sembah derhaka, rakyat menurut ajaran Islam, bukan adat melayu. Daulat Tuanku!

torashah berkata...

Agak malang bila orang Melayu tak mengaku akan keturunannya?