DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 4 September 2010

NIZAR, BUKTIKAN SEGERA TUDUHAN, ATAU KE MAHKAMAH !

KENYATAAN AKHBAR

UMNO Negeri Perak mendesak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin segera menunjukkan bukti bahawa parti UMNO terlibat mengubahsuai gambar yang memaparkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu.

Dalam kenyataannya yang dipetik dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian Edisi Perak pada 3 September lalu, Nizar secara jelas menuduh UMNO terlibat menukarkan wajahnya yang sedang menyembelih lembu kepada wajah Guan Eng.

Akhbar itu melaporkan, "Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui gambar memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyembelih lembu itu adalah wajahnya yang telah diubah suai dengan teknik superimpose oleh UMNO."

Nizar juga dipetik sebagai berkata, "Saya yakin gambar itu sengaja diubah oleh UMNO dan penyokongnya yang terdesak untuk mendapat sokongan masyarakat dan cuba memburuk-burukkan hubungan PAS dan DAP."

Kenyataan itu dinyatakan oleh Nizar kepada wartawan akhbar Sinar Harian di Masjid Aziziah, Batu 20, Bagan Datoh pada malam 1 September lalu.

Secara jelas, Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak dan ADUN Pasir Panjang telah menamakan parti UMNO sebagai pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak beretika itu.

Oleh itu, UMNO Negeri Perak meminta Nizar segera menunjukkan bukti penglibatan UMNO dalam mengubahsuai gambar itu, atau beliau bersedia diheret ke mahkamah jika enggan atau gagal berbuat demikian.

Perbuatan Nizar yang secara langsung menundingkan jari kepada UMNO dalam isu ini adalah sangat mengelirukan dan merupakan satu tuduhan yang berat terhadap sebuah parti politik berperlembagaan, berperaturan dan bermaruah.

Nizar nampaknya sudah ketandusan modal untuk mengheret Umno dalam polemik, sehinggakan sanggup menuduh parti itu melakukan sesuatu tidak beretika yang lumrah dilakukan oleh cyber-troopher di dalam internet.

Apakah beliau terlalu yakin UMNO melakukan perbuatan itu, atau apakah tidak ada kemungkinan ianya dilakukan sendiri oleh penyokong-penyokong parti pembangkang dari PAS, DAP atau PKR bertujuan mahu menjadikannya sebagai modal untuk memancing sokongan rakyat dan memburuk-burukkan UMNO?

Terlalu banyak gambar yang diubah suai menggunakan teknik superimpose yang tersiar di laman-laman internet, termasuk oleh penyokong parti-parti pembangkang khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-12 lalu sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Tetapi adalah tidak wajar menuduh sesebuah parti politik terlibat secara langsung dalam pembikinannya, sebagaimana dilakukan oleh Nizar terhadap UMNO.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak
Tanjong Malim, 5 September 2010

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: