Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengaminkan doa yang dipimpin oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-159 yang dihadiri bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambri Abd. Kadir dan pembesar-pembesar istana di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.
Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-159 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.
SEGALA puji milik Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda serta kepada para tabiin dan ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
Mesyuarat Dewan Negara ke-159, merafak sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.
Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada 1528. Kini telah 35 Sultan diangkat untuk bersemayam di takhta pemerintahan. Dalam tempoh 486 tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-34, ditentukan oleh Allah SWT bersemayam di takhta pemerintahan selama 30 tahun, tiga bulan, 25 hari, mencatatkan tempoh bersemayam di takhta pemerintahan, kedua paling lama selepas Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta kerajaan selama 67 tahun, di antara tahun 1653 sehingga 1720.
Mesyuarat Dewan Negara ke-150 bertarikh 6 Mac 2012, adalah mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Dalam titah yang dizahirkan, Almarhum memperingatkan bahawa Institusi Raja akan kekal relevan jika ia terus mendapat penghormatan rakyat.
Almarhum telah memenuhi peranan sebagai seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan. Pengalaman berkhidmat sebagai seorang hakim, telah mencanai minda serta membentuk pemikiran Almarhum. Ketika menimbangkan sesuatu perkara, Almarhum senantiasa memeriksa semua fakta dan menghalusi setiap data sebelum merumuskan sebaik-baik keputusan untuk kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Almarhum dikenali dan diiktiraf sebagai seorang Raja Pemerintah yang amat berpegang kepada prinsip meluhurkan Perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang negara. Almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan. Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati. Semoga roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, demikian juga roh-roh 33 Sultan terdahulu, yang setiap seorang daripada Marhum itu telah menyempurnakan amanah sebagai Amirul Mukminin, dilimpahkan segala ihsan daripada Allah SWT, ditempatkan bersama roh para solihin.
Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah SWT, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah.
Beta bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan petunjuk dan hidayat-Nya juga, ahli-ahli Dewan Negara Perak yang bersidang pada 28 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 28 Mei 2014 Masihi telah mencapai kata sepakat mengamanahkan ke atas diri beta untuk diserahkan tanggungjawab mewarisi takhta pemerintahan.
Mesyuarat Dewan Negara ke-159, pada pagi Jumaat yang dipohon agar dilimpahi berkat dan rahmat Ilahi, adalah mesyuarat pertama yang beta mempengerusikannya atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan. Beta bersyukur ke hadrat Allah atas anugerah ini. Beta menzahirkan penghargaan atas ketetapan sebulat suara ahli-ahli yang hadir dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-158, memberikan kepercayaan dan menyerahkan amanah kepada beta, dilantik sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-35.
Akan beta jadikan pedoman kata-kata yang terkandung dalam ucapan wakil Siswazah Kehormat yang dizahirkan oleh paduka ayahanda beta, ketika masih seorang hakim, dikenali sebagai Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980, yang antara lain memberikan peringatan;
"...sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara. Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat-laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya."
Beta amat insaf akan kata-kata yang terkandung dalam sumpah jawatan yang beta telah zahirkan; ia adalah ikrar perjanjian beta dengan Allah SWT. Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat berat; meletakkan beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti.
Beta mohon mendapat sebaik-baik nasihat dan panduan daripada ahli-ahli Dewan Negara untuk membolehkan beta menyempurnakan amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Sembah maklumkan kepada beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun dan betapa berat untuk lidah mengucapkannya.
Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan beta. Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.
Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama.
Beta amat insaf bahawa daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan baginda. Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat Ilahi, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki dan raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera. Akan beta jadikan pedoman kata peringatan orang tua-tua:
"Bapa kepada raja adalah syariat ajaran Rasul
Ibu kepada raja adalah adat dan undang-undang
Saudara kepada raja adalah segala menteri besar dan kecil
Anak kepada raja adalah segala rakyat jelata
Bahawa raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak
Tidak diutamakan oleh raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata
Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan raja
Menjalankan pemerintahan dengan adil
Memelihara agama - Menjamin keamanan
Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam
Jika raja gagal menjunjung kebenaran ini
Maka hancur musnahlah negara"
Yang lebih utama adalah doa yang beta pohonkan untuk senantiasa dikurniakan panduan daripada Ilahi. Maha suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan ; hamba-Mu yang daif lagi lemah ini, memohon segala petunjuk dan bimbingan, pimpinlah hamba-Mu ini ke jalan yang lurus ; (iaitu) jalan orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. Amin Ya Rabul Alamin.
Warna-warni politik
Torashah
1 ulasan:
saya mengucapkan banyak terimakasih kepada KI HADAK yang telah menolong saya dalam kesulitan,ini tidak pernah terfikirkan dari benak saya kalau nomor yang saya pasang bisa tembus dan ALHAMDULILLAH kini saya sekeluarga sudah bisa melunasi semua hutang2 kami,sebenarnya saya bukan penggemar togel tapi apa boleh buat kondisi yang tidak memunkinkan dan akhirnya saya minta tolong sama KI HADAK dan dengan senang hati beliau mau membantu saya..,ALHAMDULIL LAH nomor yang dikasi KI semuanya bener2 terbukti tembus dan baru kali ini saya menemukan dukun yang jujur,jangan anda takut untuk menhubungiya jika anda ingin mendapatkan nomor yang betul2 tembus seperti saya,silahkan hubungi KI HADAK DI 085=259=457=111 ingat kesempat tidak akan datang untuk yang kedua kalinya dan perlu anda ketahui kalau banyak dukun yang tercantum dalam internet,itu jangan dipercaya kalau bukan nama KI HADAK
Catat Ulasan