DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Ahad, 8 Jun 2014

Gaya Pas meraikan pembuli?


Sudah seminggu Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan berakhir. Ahli Parlimen pun sudah memulakan khidmat baktinya selaku wakil rakyat, yang sebenarnya bukan tugas asing bagi Datuk Mah Siew Keong.

Seperti dijanjikan, rahmat pilihan raya kecil ini kepada penduduk Teluk Intan ialah tidak lama lagi akan mendapat seorang menteri. Seiring waktu berlalu, orang sudah semakin melupakan gegak-gempita pilihan raya kecil itu. Hidup kena diteruskan. Takkan mahu terus berpolitik.

Tetapi yang terus dipertontonkan, DAP parti yang menyertai pilihan raya itu masih angkuh, tetap dengan perangai masa lalu. Rakan sekutu dan sebantal mereka, Pas dijadikan alasan kekalahan parti berlambang roket ini.

DAP seperti tidak percaya. Orang Cina yang beberapa tahun ini solid menyokong mereka tetapi kali ini DAP kehilangan 7,313 majoriti undi yang diperoleh oleh mendiang Seah Leong Peng pada Pilihan Raya Umum 2013.


Benar, BN hanya berjaya merampas Parlimen Teluk Intan dengan majoriti tipis 238 undi, tetapi realitinya DAP kehilangan banyak undi. Mungkin sebab itu mereka cuba menutupi hakikat tersebut dengan mencari-cari 'kambing hitam.' Maka, yang mudah untuk menjadi sasaran ialah Pas.

Pas yang sanggup membujur lalu melintang patah mempertahankan kesepakatan pakatan pembangkang, sudahnya hanya menjadi bahan ejekan. Pemimpin DAP dengan rakus menyalahkan hudud Pas sebagai punca calon uji kaji, Dyana Sofya Mohd. Daud kalah.

Jika semasa mencalonkan Dyana Sofya mereka begitu arogan akan menang dengan undi lebih besar, kini DAP seperti tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri. Alih-alih, rakan yang bertungkus-lumus membantu dijadikan bahan belasahan pula. Kasihan.

Apakah perasaan ahli-ahli Pas yang siang dan malam berkempen demi kemenangan calon DAP ini? Mungkin mereka sama sekali tidak menduga akhirnya akan dilayan sebegitu rupa.

Ingatan demi ingatan sudah diberikan malah senario terburuk juga telah dibayangkan jika parti ini berkuasa. Belum pun berkuasa penuh sudah mempertontonkan keangkuhan, apalah sangat yang boleh diharapkan kelak. Pas jugalah sebenarnya yang meletakkan parti ini dalam singgahsana kuasa.

Kehilangan

Akan belajarkah Pas daripada semua peristiwa ini? Jawapannya mudah ditelah.

Kepimpinan tertinggi Pas seperti kehilangan tenaga setiap kali berdepan dengan sekutu yang satu ini, sedangkan parti itu mempunyai begitu banyak ulama dan cerdik pandai. Entah apa jampi DAP yang begitu mudah dapat menakluk dan menundukkan panglima-panglima Pas yang gagah perkasa itu.


Di depan mahupun belakang DAP, pertahanan Pas begitu rapuh. Di depan dan belakang, Pas selalu mengalah sehingga mengorbankan apa yang menjadi dasar perjuangan parti.

Dulu Karpal Singh mencipta ketakutan dengan kata-kata 'langkah mayat saya dulu.' Kini anaknya, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong cuba membajai gambaran buruk tentang hudud dengan dakwaan ia menjadi antara punca kekalahan pakatan pembangkang dalam pilihan raya.

Yang Dipertua Pas Kawasan Puchong, Muhammad Sufyan Ismail yang mungkin sudah biasa dengan tingkah laku Gobind dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menyindir: "Amat malang sebuah parti yang sudah dianggap kuat dan berpengaruh dikatakan kalah, kerana suatu isu yang tiada hubung kait dengan kawasan berlakunya pilihan raya tersebut."

Dulu pakatan pembangkang mendendangkan alunan "kita meraikan perbezaan pendapat" apabila sesama anggota pakatan pembangkang bersilang pandangan. Kemudian mereka mencipta "semua bersetuju untuk semua pihak berhak tidak bersetuju" apabila dalam soal ideologi pun gagal mencapai kata sepakat.


Pas pun lalai dengan perjuangan sebenar kerana jargon-jargon indah itu dan demi gula-gula kuasa ke Putrajaya yang didendangkan oleh sekutu mereka.

Kini, setelah banyak peristiwa yang sama sekali tidak menguntungkan Pas bahkan umat Islam dan orang Melayu, parti ini terus merelakan dirinya dibuli. Suara marah-marah dan kecewa hanya kedengaran dalam kalangan pemimpin akar umbi. Pemimpin yang di atas senyap.

Jangan nanti dicipta pula dendangan baharu "kita meraikan pembuli" demi kepentingan tahaluf siyasi antara Pas, DAP dan PKR. Yang ini tidak mustahil boleh berlaku kerana sebelum ini jargon-jargon aneh begitu banyak dicipta demi menggapai kuasa di Putrajaya.


Pas seharusnya bersikap tegas. Parti ini tidak boleh berterusan membiarkan diri diperlekeh apatah lagi dibuli. Yang seharusnya diperbetulkan terlebih dahulu ialah asas perjuangan parti ini. Terus tegak dan pertahankan. Jangan sekali-kali berganjak.

Tapi kalau dasar parti pun boleh diubah-ubah bagi memenuhi selera dan kepentingan semasa, bagaimana mungkin orang lain, walaupun sekutu akan menghormati mereka. Dalam keadaan seperti ini, sekutu membuli pun Pas meraikannya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: