DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 7 Jun 2014

Yammy nafi bantu anak berkempen?


Yammy Samat menyerahkan kepada UMNO untuk menentukan kedudukannya sebagai ahli parti itu namun menafikan dakwaan membantu kempen anaknya, Dyana Sofya Mohd. Daud, calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak pernah membantu DAP berkempen seperti yang didakwa sebaliknya hanya menemani anaknya atas faktor keselamatan, itu pun hanya pada beberapa ketika menemui pengundi di pasar malam dan pasar pagi.

Katanya, beliau tidak pernah naik pentas untuk berceramah malah DAP sendiri tidak membenarkan beliau berbuat demikian.

“Saya hanya beberapa kali mengiringi anak saya ketika dia berceramah. Saya mengiringi Dyana semata-mata atas sebab saya ibunya yang bimbangkan keselamatannya, apatah lagi anak saya perempuan. “Saya cuma duduk di tepi pentas melihat anak saya berceramah.

Bukan semua program dia saya ikut serta. Saya hanya menemaninya pada program ceramah di kawasan pengundi Melayu kerana bimbangkan keselamatannya, itu sahaja, bukannya berkempen dari rumah ke rumah meminta pengundi memilih anak saya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau mengulas laporan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata, parti itu meminta beliau menyerahkan surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari kerana didakwa berkempen untuk Dyana Sofya.

Malah Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub turut mendesak supaya Yammy dipecat daripada UMNO sekiranya didapati benar berkempen untuk DAP.

Tambah Yammy, setakat ini beliau belum menerima apa-apa surat meminta penjelasan daripada UMNO dan hanya akan membuat keputusan sama ada akan menjawabnya setelah meneliti tuduhan yang dikenakan terhadap beliau.

Namun selepas itu, katanya, terserah kepada UMNO untuk membuat keputusan sama ada beliau masih layak untuk menjadi ahli parti berkenaan.

“Setelah menerima surat meminta tunjuk sebab nanti barulah saya akan membuat keputusan untuk menjawabnya atau pun berdiam diri.

“Namun saya tidak melanggar disiplin parti kerana saya tidak membantu anak saya berkempen. Jadi terpulang kepada UMNO untuk menentukannya. Jika dipecat sekali pun saya reda, lagipun saya tiada jawatan di dalam UMNO, saya cuma ahli biasa.

“Jika tidak lagi menjadi ahli UMNO, saya tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti. Saya sudah tua, sudah berumur 60 tahun, saya tidak mahu melompat-lompat parti, saya mahu menumpukan perhatian pada keluarga," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: