Raja Dr. Nazrin Shah bersama Tunku Zara (kanan), Raja Dihilir Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua dari kiri) dan Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) pada Majlis Kesyukuran Sempena 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak, semalam.
TITAH Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Sempena Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, semalam.
MAHA Suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan; yang memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki; Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki; di tangan Engkau segala kebajikan; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh kegelapan. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
Alhamdulillah, dengan rahmat dan inayat dari Allah SWT, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, hari ini genap 30 tahun bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan raja pemerintah kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.
Majlis kesyukuran yang dilangsungkan pada pagi ini, adalah atas titah baginda supaya dapat dizahirkan apresiasi baginda kepada seluruh rakyat yang telah membuktikan kesetiaan dalam tempoh 30 tahun pemerintahan baginda.
Baginda bersama Tuanku Permaisuri amat ralat tidak dapat bersama di majlis ini. Baginda berdua menyampaikan salam kepada semua hadirin dan menzahirkan terima kasih di atas perutusan ucap selamat serta doa berterusan daripada rakyat jelata ke atas kesejahteraan baginda berdua.
Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528. Sultan Muzaffar Shah bersemayam selama 21 tahun di takhta pemerintahan. Seramai 34 Sultan bersemayam di takhta pemerintahan dalam tempoh 486 tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak. Dengan penentuan Ilahi, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mula bersemayam di takhta pemerintahan pada 3 Februari 1984. Baginda ialah Sultan Perak kedua paling lama berada di takhta pemerintahan, selepas Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun di antara tahun 1653 sehingga tahun 1720.
Setiap Sultan telah menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin. Ketika kita di majlis ini mengangkat kalimah kesyukuran kepada Ilahi, sempena genapnya 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, amatlah wajar untuk kita turut menghargai khidmat bakti yang telah diabadikan kepada negeri dan rakyat oleh 33 Sultan terdahulu.
Semoga khidmat bakti kesemua 33 Marhum yang telah kembali ke Rahmatullah, diterima sebagai amal soleh dan diberikan ganjaran sewajarnya kepada roh setiap seorang dari Marhum tersebut. Sama-samalah di Majlis ini, kita menghargai khidmat bakti Marhum-Marhum tersebut dengan membacakan Suratul Fatihah, semoga apa juga ganjaran darinya disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah.
Meskipun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika ini masih dinasihatkan oleh pakar-pakar perubatan untuk beristirehat, namun baginda tetap mengikuti perkembangan yang sedang berlaku; malah keadaan semasa rakyat jelata senantiasa berada dalam pemikiran baginda. Sempena ulang tahun 30 pemerintahan, baginda telah menitahkan supaya dizahirkan tujuh peringatan berikut:
Pertama: Berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan sifat-sifat tawaduk, kemanusiaan, serta kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi.
Kedua: Menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi; setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan selaras dengan maksud ayat 17 Surah Al AnAam;
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada mu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri, dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada mu, maka Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu"
Ketiga: Pangkat dan jawatan adalah anugerah Ilahi dan hendaklah dipenuhi dengan penuh amanah, senantiasa mengingati akauntabiliti kepada rakyat begitu juga akauntabiliti ketika diadili di mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar selaras dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 9 Surah Ali Imran bermaksud;
Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya". Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji".
Keempat: Negeri Perak dan negara Malaysia telah dilimpahkan dengan nikmat kekayaan sumber dan hendaklah diuruskan secara cekap, jujur, telus lagi berintegriti, menjauhi amalan-amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negeri dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan.
Kelima: Perpaduan rakyat hendaklah sentiasa diutamakan dan tidak boleh dikompromikan. Perpaduan rakyat adalah asas kekuatan negara yang telah memungkinkan kemerdekaan dicapai, ancaman komunis dimusnahkan, kemajuan dicipta serta kemerdekaan tanah air dapat dipertahankan. Bahawa rakyat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
Kepelbagaian tersebut adalah aset negara jika rakyat berjaya dibimbing untuk berfikiran rasional, mengamalkan sikap saling memahami - saling menghormati, serta tidak mudah dipengaruhi dengan sentimen yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang berfikiran sempit lalu memilih untuk mengadu domba rakyat untuk berkonflik secara mensensasikan isu-isu agama, kaum, budaya dan bahasa. Baginda yakin majoriti rakyat bersifat rasional lagi bertanggungjawab; bahawa majoriti rakyat menghargai suasana hidup yang aman, harmoni lagi rukun.
Keenam: Mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang (rule of law). Undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil - secara saksama, malah dipastikan kelihatan dilaksanakan secara adil - secara saksama, tanpa prejudis - tanpa diskriminasi melalui amalan kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan berlandaskan prinsip tanpa gentar - tanpa pilih kasih (without fear or favour).
Ketujuh: Takhta pemerintahan menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan, berfungsi sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Raja Pemerintah wajib mengamalkan dan mempamerkan sifat tidak memihak - tidak partisan - tidak berkepentingan demi menjamin berlakunya keadilan, membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi - berakarkan doktrin pengasingan kuasa.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Mamanda Menteri Besar, kesemua Raja Bergelar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Negeri, kakitangan perkhidmatan awam, anggota tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, guru-guru, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, para ulama, penghulu, imam dan pegawai Masjid, pihak swasta, badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan, badan-badan sukan serta seluruh rakyat baginda yang telah melaksanakan pelbagai peranan untuk membangunkan negeri. Kepada rakyat baginda yang terdiri daripada kaum Cina, baginda bersama Tuanku Permaisuri mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu (Gong Xi Fa Cai)
Baginda menyeru agar rakyat terus bersatu, hidup dalam semangat muhibah, rukun dan harmoni, membantu membina sebuah negara Malaysia yang maju lagi makmur, rakyatnya kukuh berpadu dan cekal bersatu. Baginda mendoakan agar terbina sebuah negara dan warga yang mendapat rahmat Ilahi seperti yang digambarkan dalam ayat 15 Sura Saba bermaksud;
Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka ia itu dua buah kebun di sebelah kanan dan kiri; Makanlah oleh mu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhan mu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya! (Negeri mu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun"
Sempena Majlis kesyukuran memperingati 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar taat setia, sedia menjunjung titah - sedia melaksanakan perintah Paduka Seri Ayahanda, berlandaskan hukum - bersendikan adat; dan akan sama-sama memelihara kemuliaan dan nama baik institusi kesultanan Melayu Perak demi memastikan tradisi negeri bersultan - rakyat beraja yang merupakan identiti sistem berkerajaan di bumi ini terus mendapat pengiktirafan dan penerimaan rakyat.
Ya-Wahid, Ya-Ghaffar, Ya-Latif, Ya-Qayyum, hamba-Mu memanjatkan doa agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik - dilimpahkan hidayah, senantiasa mendapat rahmat dan lindungan Ilahi.
Warna-warni Politik
Torashah