DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Khamis, 22 April 2010

Patuhi titah Sultan Perak.

KEMELUT pelantikan Menteri Besar Perak yang berlaku pada tahun 2008 dan 2009 meninggalkan sejarah pahit dalam institusi raja-raja Melayu.

Biarpun pahit untuk ditelan, namun itulah yang berlaku apabila sekumpulan pihak tertentu mahu menyeret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah kerana tidak puas hati dengan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Tindakan itu adalah yang pertama kali berlaku dalam sejarah pemerintahan Raja- Raja Melayu sejak ratusan tahun yang lampau di bumi Tanah Melayu (kini dikenali dengan nama Malaysia).

Justeru, tidak hairanlah ketika Sultan Azlan Shah bertitah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak Darul Ridzuan sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-82 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada 19 April lalu, baginda sekali lagi mengingatkan rakyat agar tidak mencabar tujuh wasiat yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ucapan penuh baginda yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia terbitan 20 April 2010 menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah memaktubkan fasal-fasal tertentu yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan dibenarkan berkuat kuasa. Titah baginda turut menyentuh tentang tujuh wasiat yang diminta agar tidak dicabar secara keterlaluan.

Mengulas perkara tersebut, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Khairul Anwar Rahmat berkata, beliau perasan Sultan Azlan Shah telah beberapa kali mengingatkan perkara tersebut dan ia disebut berulang kali kerana kebimbangan baginda yang mendalam terhadap trend semasa yang menyaksikan rakyat semakin tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Raja- Raja Melayu.

Menurutnya, tujuh wasiat yang disebut oleh Sultan Azlan Shah memang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Perkataan wasiat membawa satu konotasi yang berat dan dalam ajaran Islam, ia wajib dipatuhi.

"Baginda menekankan tujuh wasiat itu di dalam titahnya agar rakyat faham bahawa formula tersebut yang diguna pakai selama hari ini telah menjadi gagasan yang menjamin kestabilan dan keharmonian negara. "Sebab itulah, baginda mengingatkan supaya ia jangan sesekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Khairul Anwar berkata, antara tujuh wasiat tersebut, terdapat tiga perkara yang kini sering menjadi bahan perbahasan iaitu berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu.

"Kenapa tiga perkara itu paling kerap dibahaskan? Ia kerana puak-puak yang ingin menggugat kestabilan negeri atau negara tahu bahawa jika tiga perkara itu dapat digoyah, maka mereka akan lebih mudah menguasai tampuk pemerintahan negeri atau negara.

"Sedangkan, Raja-Raja Melayu telah berjanji, berikrar dan bersumpah untuk melindungi tiga perkara itu termasuk empat wasiat yang lain sejak Perlembagaan Persekutuan dibentuk," ujarnya.

Menurutnya, walaupun ingatan itu disampaikan dalam bentuk ucapan dan bernada lembut, namun hakikatnya ia adalah satu ingatan yang keras memandangkan wujudnya perbuatan menghina dan memperkecilkan institusi-institusi perundangan, institusi Raja- Raja Melayu dan badan-badan penguatkuasaan undang-undang.

"Ingatan baginda itu adalah untuk kebaikan semua pihak dan ia bertujuan mahu menjaga keutuhan, keharmonian dan kestabilan politik negeri dan negara. Apa yang dilakukan ini adalah untuk kesejahteraan rakyat, bukannya untuk melindungi kepentingan pihak tertentu," tambahnya.

Beliau berkata, tidak ada sebuah negara pun di dunia ini yang stabil, makmur dan aman jika bangsa teras tidak mendapat kedudukan yang sewajarnya. Katanya, bangsa teras di Malaysia adalah kaum Melayu dan merekalah yang bertanggungjawab memayungi bangsa-bangsa lain.

"Tetapi jika kaum Melayu diperlekehkan, tentulah akan timbul pemberontakan kerana mereka telah dinafikan hak sebagai bangsa teras. Jika kaum Melayu stabil dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kemudahan asas, sudah tentulah mereka akan bermurah hati berkongsi kemakmuran negara dengan bangsa lain.

"Contoh mudah, jika tuan rumah berada dalam keadaan kusut masai kerana ekonomi tidak stabil, hidup melarat dan banyak masalah lain, tentulah dia tidak mahu menerima tetamu datang ke rumah," ujarnya.

Menjawab apakah yang dimaksudkan dengan tetamu, Khairul Anwar menjelaskan, bangsa teras adalah tuan rumah manakala bangsa-bangsa lain merupakan tetamu. "Namun, apa yang kita risau sekarang adalah bangsa-bangsa lain tidak mahu dipayungi oleh kaum Melayu.

"Ia berlaku kerana mereka buta sejarah. Mereka enggan memahami dan mengiktiraf dokumen-dokumen sejarah dan sebab itulah, mereka mahu dokumen itu dan mata pelajaran Sejarah di sekolah dihapuskan," katanya. Pada hal, katanya, apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan itu telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Cina dan India dahulu.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa jika ada sesiapa yang mahu menggugat Perlembagaan Persekutuan, maka bersedialah untuk menanggung risiko termasuk dikenakan tindakan undang-undang. "Memang ada peruntukan di dalam undang-undang yang membolehkan mereka yang derhaka kepada Raja-Raja Melayu dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Melihat situasi sekarang, memang sukar diterima oleh akal fikiran kita yang rasional bahawa terdapat sekumpulan orang Melayu terjebak dan terperangkap dalam permainan politik puak-puak tertentu sehingga sanggup bersikap kurang ajar terhadap Raja-Raja Melayu. Lebih malang, apabila mereka melakukannya demi mempertahankan kuasa dan pengaruh politik sempit yang melampai batas.

Memang sedih melihat ada sekumpulan manusia yang lahir sebagai orang Melayu sanggup mengadakan demonstrasi dan 'bergadai nyawa' dengan berbaring di jalan raya bagi menghalang kenderaan yang membawa Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang ketika itu dalam perjalanan menghadiri majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak yang baru pada tahun lalu di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Hakikatnya, tindakan keterlaluan itu bukanlah sesuatu yang biasa dalam adab susila budaya Melayu.

DAULAT TUANKU!

Warna-warni Politik
Torashah

P94 Hulu Selangor : Ramai lagi akan keluar PKR - Zambry

Lebih ramai pemimpin serta ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini akan mengikut jejak dua pemimpin wanitanya keluar daripada parti itu untuk menyertai UMNO, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, tindakan itu diambil kerana pemimpin PKR kini sudah hilang kepercayaan terhadap parti tersebut sebaliknya yakin konsep dibawa Barisan Nasional (BN).

"Saya tahu ada ramai lagi yang hendak keluar (dari PKR) tetapi mungkin masa yang akan menentukan. "Saya ucap terima kasih kepada mereka kerana telah sedar dan kita patut alu-alukan mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ketua Penerangan Wanita PKR negeri, Suraya Sulaiman dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR negeri, Roshanita Mohd. Basir yang keluar parti itu dan menyertai UMNO semalam.

Dalam pada itu, diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali lagi melabelkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat negara, Zambry berkata;

"Saya yakin apa disebut oleh Timbalan Perdana Menteri itu ada asasnya kerana jika tidak, takkan beliau hendak sebut begitu."

Jom Pakat Keluar Ramai-ramai!

BN Mampu Berubah. Sayangi Selangor, Yakini Barisan NAsional ( BN )

Warna-warni Politik
Torashah

Selasa, 20 April 2010

Jangan hina dewan - Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengingatkan semua wakil rakyat di negeri ini supaya tidak menghina dan mencemari Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan perbuatan yang memalukan.

Baginda bertitah, sebagai institusi perundangan negara, adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang menjejaskan martabat Dewan. Sebaliknya titah baginda, wakil rakyat yang dipilih sebagai penggubal undang-undang seharusnya beradab dan beretika semasa berada di dalam Dewan sejajar dengan panggilan 'Yang Berhormat.'

"Ahli kepada Dewan-Dewan tersebut dirujuk sebagai Yang Berhormat. Amatlah memalukan jika prosiding Dewan-Dewan berkenaan berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat.

"Adalah satu penghinaan kepada Dewan-Dewan tersebut jika ahli-ahlinya membawa kertas bertulis kata-kata yang merendah dan menghina antara satu sama lain. "Untuk itu, perilaku ahli kepada Dewan-Dewan tersebut hendaklah menghormati kemuliaan Dewan-Dewan berkenaan dan mencerminkan sifat seorang yang telah diberi pengiktirafan dengan panggilan Yang Berhormat," titah baginda.

Sultan Perak bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Ke-82 di sini hari ini. Dalam pada itu, titah baginda, semua rakyat perlu mempunyai jati diri dan kesetiaan untuk mempertahankan maruah negara tanpa membenarkan campur tangan pihak luar.

Baginda bertitah, perasaan kekitaan yang ekstrem dan melampau hanya akan menyebabkan seseorang bertindak mengikut emosi sehingga hilang pemikiran rasional. "Lebih membahayakan kegiatan menghina negara sendiri dilakukan tanpa segan silu di forum-forum antarabangsa seolah-olah menjemput campur tangan pihak luar dalam urusan negara sendiri.

"Warga yang mempunyai jati diri dan kesetiaan kepada negara bangsanya hendaklah mempunyai kekuatan pendirian untuk mempertahankan maruah negara tanpa sama sekali membenarkan campur tangan pihak luar," titah baginda. Sultan Azlan Shah juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mencabar tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjadi teras kewujudan Perlembagaan Negara.

Titah baginda, ketujuh-tujuh wasiat tersebut yang berteraskan Melayu telah diamanahkan oleh sembilan raja-raja Melayu ketika memberi perkenan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Sehubungan itu titah baginda, Perlembagaan Persekutuan yang digubal dengan memaktubkan fasal tertentu memerlukan keizinan dan perkenan Majlis Raja-Raja sebelum ia dikuatkuasakan. Formula itu yang selama ini menjadi gagasan menjamin kestabilan negara, titah baginda, jangan sama sekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan .

"Perbuatan demikian dikhuatiri akan menjemput kepada risiko besar yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan antara agama. ''Kegiatan dan usaha untuk mendapat pengaruh politik perlu ada etika dan batasan," titah baginda.

DAULAT TUANKU!

Warna-warni Politik

Torashah

Isnin, 19 April 2010

Daulat Tuanku!


Patik dan seluruh warga negeri Perak Darul Ridzuan di perantauan menjunjung kasih kebawah duli dan mengucapkan selamat menyambut ulangtahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kami mendoakan semuga Allah s.w.t menganugerahkan kesihatan ke bawah duli Tuanku sekeluarga. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 15 April 2010

Wajar Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama ditukar nama!

NAMA Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama yang ditubuhkan baru-baru ini adalah untuk mempromosikan keharmonian dan persefahaman antara penganut pelbagai agama di negara ini wajar ditukar.

Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama, yang diketuai oleh bekas Anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Ilani Ishak, juga bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama.

Jadi hal-hal semasa termasuk berkaitan dengan pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan boleh dibincangkan oleh jawatankuasa itu. Justeru Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata penubuhan jawatankuasa itu dikatakan tidak menjejaskan status agama masing-masing seperti diperuntukan di bawah Perlembagaan.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh Jabatan Perpaduan Negara, Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Allied Coordinating Comitte for Islamic NGOs (ACCIN), ahli akademik serta wakil dari Sabah dan Sarawak.

Tetapi bagi pihak mufti, tokoh agama dan pertubuhan Melayu - penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama itu telah menimbulkan kontroversi sebagai mana yang berlaku tentangan umat Islam terhadap Suruhanjaya Antara Agama. Ada pihak mendakwa penubuhan itu mungkin sebagai reaksi kerajaan ekoran isu serta beberapa kejadian tidak menyenangkan berkenaan penggunaan kalimah Allah pada awal tahun ini.

Keputusan ini juga dianggap tidak menguntungkan, sebaliknya menimbulkan kemarahan orang Islam di negara ini. Peningkatan bantahan di kalangan orang Melayu sekarang menunjukkan umat Islam belum bersedia untuk membincangkan isu-isu yang boleh disalah guna untuk menggugat kedudukan agama rasmi negara.

Mereka bimbang dengan status agama Islam pada masa depan apabila ia boleh dibincangkan di peringkat pelbagai agama dan dibimbangi akan wujud pelbagai tuntutan di kalangan penganut agama lain. Hati-hatilah dengan taktik halus pihak tertentu untuk meminggirkan Islam sebagai agama rasmi serta membelakangkan Majlis Raja-Raja.

Denyut rasa bimbang orang Melayu terhadap kewujudan jawatankuasa itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. Langkah yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk meletakkan Islam setaraf dengan agama lain wajar dielakkan. Meskipun begitu kita harus faham bahawa masalah kekeliruan melibatkan kaum dan agama perlu diselesaikan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga menggugat perpaduan antara kaum.

Mungkin pengumuman menukarkan nama Jawatankuasa Perhubungan Antara "Agama" kepada perkataan "Kaum" yang dicadangkan oleh mufti-mufti negeri yang bertemu di Putrajaya semalam mampu membuka jalan penyelesaian dan tidak mengelirukan orang ramai.
Sekadar mengingatkan semua pihak dalam jawatankuasa khas itu bahawa mereka boleh membincangkan apa saja isu semasa asalkan ia tidak menyentuh soal agama yang terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu.

Warna-warni Politik
Torashah

Rabu, 14 April 2010

Perlukah badan antara agama?














AMAT mengejutkan apabila ada pihak yang ingin menubuhkan badan antara agama. Penulis berkongsi kebimbangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana ia bukan medium yang sesuai.

Malah dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.
Jika dahulu ada usaha untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama dan gagal - sekarang ia diwujudkan dengan nama yang lain.

Tetapi hakikatnya ia adalah tetap sama. Ibarat rotan tidak dapat akar pun jadilah. Persoalannya perlukah badan agama atau dengan nama lain sekalipun diwujudkan? Kebimbangan Mufti Perak amat berasas kerana agama lain tidak berhak untuk duduk sama rendah atau sama tinggi dengan agama lain. Ini kerana jelas di dalam al-Quran bahawa agama yang diiktiraf Allah SWT adalah agama Islam.

Jika badan antara agama ini wujud maka seolah-olah Islam tiada bezanya dengan agama lain kerana kedudukannya telah "dicairkan" oleh agama-agama lain. Akhirnya orang akan tersilap pandangan bahawa Islam itu hanya agama seperti mana agama lain, bukannya cara hidup.
Persoalan dasar kepada masalah ini ialah dengan adanya badan antara agama bermakna kedudukan Islam dalam Perlembagaan negara juga turut dipertikai di akhir nanti.

Ini kerana bila badan antara agama wujud maka pertemuan tahunan yang akan diadakan menjadi lapangan orang lain untuk mempersoalkan kedudukan Islam. Walhal kedudukan Islam di sisi Allah SWT tidak boleh dipersoal begitu juga di dalam Perlembagaan.

Pertemuan tahunan akan mewujudkan wacana atau discourse analysis terhadap agama Islam. Seperti yang diutarakan oleh Michel Foucault bahawa setiap wacana adalah cara pemikiran yang boleh dimanifestasikan melalui bahasa.

Jadi untuk mencari "kebenaran" maka mestilah melalui perbincangan yang had-had dibolehkan. Tetapi had-had ini berubah-ubah. Kita lihat bagaimana agama samawi lain yang telah diubah-ubah sehingga mengatakan Nabi Isa anak Tuhan. Ini bermakna had-had yang dahulunya taboo tetapi sekarang dibolehkan. Walhal kebenaran milik Allah.

Wacana ini sekali gus akan mencetuskan anjakan paradigma negatif kepada Islam dan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan. Apatah lagi wacana ini akan tertakluk kepada apa yang disebutkan sebagai neologisme dan protologisme. Kedua-dua konsep ini perlu difahami agar kita faham kenapa pihak-pihak ini beria-ia untuk mewujudkan badan antara agama. Neologisme akan membincangkan sesuatu isu yang sedia wujud dan pada masa yang sama istilah-istilah itu wujud sekali.

Namun begitu dalam wacana teologi ia akan mencadangkan doktrin baru dan juga interpretasi baru. Bukankah bila wujud badan antara agama maka doktrin dan interpretasi baru kepada Islam akan timbul? Sedangkan Islam itu sempurna, yang silap ialah penghayatannya.

Protologisme yang baru diutarakan oleh Mikhail Epstein (2003) menyebutkan bahawa dalam wacana sesetengah istilah akan dicadang dan lama kelamaan ia akan diterima. Ambil contoh perkataan terorisme ia mulanya dicadangkan tetapi sekarang ia diterima sebagai sinonim dengan Islam.

Kita lihat pula beberapa perkataan baru yang dikaitkan dengan Islam contohnya Islamophobia. Kita bimbang bahawa akan diwujudkan istilah-istilah baru melalui wacana-wacana ini. Seterusnya lebih menakutkan pihak-pihak ini akan berlagak kononnya sebagai "juara" kepada Islam untuk mewakili Islam dan menidakkan peranan ulama dan mufti. Atas dasar kebebasan sebagai manusia yang mendewakan manusia.

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 12 April 2010

JK fatwa Perak bantah JK antara agama!

Jawatankuasa Fatwa Perak yang bersidang dari Selasa hingga Khamis lalu membantah penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama yang diluluskan jemaah menteri.

Pengerusinya yang juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata perbincangan mengenai agama Islam tidak memerlukan campur tangan bukan Islam.

Harussani berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi akan wujud tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

Jawatankuasa yang ditubuhkan pada Februari lalu itu diketuai bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak.

Ia bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan.

Sebelum ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) meminta mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata orang ramai tidak perlu bimbang berhubung peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon (kiri) yang bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Antara Agama itu, kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan agama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu berperanan untuk memberi ruang dalam usaha mewujudkan persefahaman dan perpaduan di antara kaum dan agama di negara ini.

Warna-warni Politik
Torashah