DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Rabu, 11 April 2012

Menjunjung Kasih, Merafak Sembah... DAULAT TUANKU!


DAULAT TUANKU!

Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 kepada Seri Paduka Baginda Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada Rabu, 11 April 2012 Bersamaan 19 Jamadil Awal 1433.

Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu “Perang” bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu

“Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left. Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua, Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Ikrar Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong

Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara hari ini.

“BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.

DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: “BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.”

Semoga Allah lanjutkan usia DYMM Tuanku berdua untuk memerintah Malaysia dengan jayanya.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Ikhlas dari :

Seluruh warga UMNO Cawangan Kg.Serdang. Sitiawan, Perak.
Torashah..

Rabu, 4 April 2012

Jangan langgar sempadan agama!


Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kecewa kerana garis sempadan menyentuh agama Islam mula dilanggar, malah ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan agama itu melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat dan memperkecilkan aqidah umatnya.

Baginda mahu supaya perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka ini dihentikan dan dicegah secara tegas kerana ia boleh mencetuskan tragedi buruk dalam negara.

"Bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri, kelak nanti terhangus negeri," titah baginda semasa merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut baginda, perkara menyentuh syariat dan aqidah yang disuarakan oleh ulama terutama bagi menasihati umat Islam, kini dipersoalkan dan diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.

"Perbuatan tersebut nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai. Tatasusila menghormati agama lain, tidak memperkecilkan agama lain, tidak mencampuri urusan agama lain adalah merupakan tatasusila yang wajib dipatuhi," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah perkara utama mengenai Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah, sebaliknya ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan lain yang berkaitan bagi memastikan tujuan sebenar peruntukan itu tidak dimanipulasi hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

"Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain, tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam," titah baginda.

Baginda bertitah majoriti umat Islam di negara ini dididik untuk memahami erti kemuliaan agama dan menghargai kesucian Tuhan.

"Kerana itu, umat Islam di negara ini, pada lazimnya, menghindarkan diri daripada membuat ulasan, teguran atau komentar secara terbuka terhadap amalan atau pegangan kepercayaan agama lain, jauh sekali dari mahu campur tangan atau mengulas secara terbuka terhadap amalan, ritual, acara dan hukum hakam agama lain," titah baginda.

Titah Raja Nazrin walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di negara ini.

"Perkataan-perkataan agama Persekutuan, aman dan damai adalah tiga kata kunci yang wajib dijadikan kompas panduan dalam budaya beragama di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum dan kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), memaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak, keistimewaan, kuasa prerogatif raja-raja.

"Islam adalah 'Magna Carta', satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini," titah baginda. - Bernama

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 31 Mac 2012

Nizar Lambai Tersentak 'Rahsia Tersembunyi' Dibongkar?


Sejak mengambil alih teraju pentadbiran Perak pada 2009, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tidak pernah sunyi daripada serangan bertali arus pihak pembangkang.

Tidak cukup dasar pentadbirannya diserang membabi buta, Zambry turut dicerca malah warna kulitnya dijadikan modal politik, taktik dangkal yang mencetuskan kemarahan rakyat marhaen.

Serangan ke atas Zambry kebelakangan ini dikhabarkan semakin hebat. Ibarat serangan berangkai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu diasak kiri dan kanan – dengan pelbagai cara – terbuka atau secara halus.

Di Perak sahaja, tidak kurang lima blog diwujudkan untuk melancarkan serangan bertubi-tubi secara khusus terhadap Zambry dengan menyebar fakta-fakta songsang mengenai program pembangunan yang diilhamkan di bawah pentadbirannya.

Dikhabarkan juga, wujud kumpulan penyair yang digerakkan di lokasi tumpuan umum sekitar Perak. Berselindung di sebalik imej aktivis alam sekitar, kumpulan ini mengalunkan syair-syair puitis yang sarat dengan mesej menghentam kerajaan pimpinan Zambry.

Sebuah laman web diwujudkan dengan tajuknya seolah-olah mempromosi Pangkor sebagai destinasi pelancongan, tetapi dipenuhi pendedahan berat sebelah mengenai pembangunan di pulau terkemuka itu termasuk di Pulau Matanggor dan Pulau Segadas.

‘‘Semua serangan ini terarah di kawasan Zambry sendiri. Ini tidak berlaku secara kebetulan, pembangkang mahu mencalar imej Menteri Besar ke tahap paling maksimum. Mereka tahu Parlimen Lumut menjadi kawasan tumpuan dalam pilihan raya nanti,” kata seorang veteran UMNO ketika dihubungi.

Tidak hairanlah, projek kilang bijih besi syarikat Brazil, Vale S.A di Teluk Rubiah, Lumut yang dijangka menjana pelaburan mencecah AS$5 bilion (RM14.9 bilion) dijadikan sasaran. Skrip menghentam isu kilang Lynas di Pahang ‘dikitar semula’ untuk menyerang projek ini.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang paling lantang mengkritik projek tersebut mendakwa kerajaan pimpinannya sebelum ini tidak pernah membenarkan syarikat bijih besi itu meneruskan projek berkenaan.

Bagaimanapun, Zambry yang sebelum ini dilihat mengambil pendirian enggan melayan sikap hipokrasi pembangkang dalam isu tersebut, semalam tampil dengan kenyataan yang tentunya membuat Mohammad Nizar tersentak.

Zambry menegaskan, pihaknya bersedia mendeklasifikasikan dokumen-dokumen sulit kerajaan bagi membuktikan Pesuruhjaya Pas itu bersetuju meneruskan projek tersebut ketika menjadi Menteri Besar.

‘‘Bukan amalan kita mendedahkan dokumen sulit tetapi disebabkan ada ahli politik seperti ini yang mahu mengelirukan rakyat, menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkannya. Ini fitnah besar terhadap pentadbiran saya, orang ramai perlu tahu perkara sebenar,” tegas Zambry.

Sebelum ini, blog-blog pembangkang cuba membakar sentimen orang Melayu dengan menuduh Zambry menjual tanah Melayu kepada Vale.Bagaimanapun, usaha itu tampak sia-sia kerana terdapat bukti yang mengesahkan tanah-tanah projek itu merupakan milik individu sejak 1980-an.

Ironinya, ketika para pemimpin pembangkang di Dewan Rakyat bertegang urat leher mengkritik kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) negara, kenapa projek pelaburan bernilai berbilion ringgit yang bakal memberi limpahan manfaat kepada rakyat Perak ini cuba digagalkan?

Juga, kenapa sehingga kini, pembangkang tidak mahu berhujah secara konkrit untuk menafikan keselamatan projek itu yang melalui proses kelulusan amat ketat Jabatan Alam Sekitar bagi laporan Impak Alam Sekitar (EIA)?

Untuk rekod, Vale – syarikat pengeluar bijih besi terbesar dunia sudah bertapak di 38 buah negara termasuk Perancis dan Switzerland – antara negara paling kehadapan sebagai jurucakap global dalam isu-isu penjagaan alam sekitar.

Jika benar projek itu satu ancaman yang cukup dahsyat kepada kesihatan rakyat dan alam sekitar seperti digembar-gemburkan, kenapa pembangkang membenarkan projek ini diteruskan ketika mereka pernah memerintah Perak dahulu? Kenapa fakta ini mahu disembunyikan?

Wajar juga ditanya, kenapa baru sekarang Mohammad Nizar begitu bersungguh-sungguh mempersoalkan projek Vale sedangkan ia diluluskan sudah begitu lama. Malah lebih awal dari projek kilang hasil nadir bumi di Gebeng, Pahang.

Realitinya, semua serangan berangkai ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia seperti plot yang disusun rapi bukan sahaja untuk mencalar populariti Zambry yang kian memuncak, tetapi juga untuk menggugat kedudukan BN secara keseluruhanan di Perak.

Bagai pemerhati politik, gerakan-gerakan ini adalah satu komplot politik untuk menawan Parlimen Lumut – kawasan yang diketahui sangat diidam-idamkan pembangkang setelah hampir merampasnya daripada BN pada pilihan raya umum lalu.

Untuk rekod, BN menang dengan majoriti 298 undi di Parlimen itu dalam pilihan raya umum lalu manakala pembangkang berjaya merampas kerusi DUN Pasir Panjang selain mempertahankan kerusi tradisi mereka di Sitiawan.

Di tengah-tengah tsunami politik yang turut membadai Perak, Zambry mempertahankan kerusi DUN Pangkor dengan majoriti selesa sehingga kemenangannya dikatakan menjadi antara faktor penyelamat BN di Parlimen Lumut.

DUN Pasir Panjang dan Sitiawan kini masing-masing disandang Mohammad Nizar dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham – dua pemimpin yang diketahui paling lantang mengkritik kepimpinan Zambry.

‘‘Pembangkang tiada pilihan, Pangkor perlu diserang habis-habisan, jika tidak menang sekalipun, mereka mahu pastikan setidak-tidaknya majoriti Zambry jatuh merudum dan berharap Lumut jatuh ke tangan pembangkang,” kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.

Namun kata pemerhati tersebut, pembangkang tentunya memerlukan senjata lebih ampuh untuk meruntuhkan kubu kuat BN di Pangkor. Rekod cemerlang Zambry sebagai wakil rakyat sejak 2004 tidak boleh dipandang sebelah mata. Majoriti 5,785 undi yang diperolehinya pada PRU-12 menceritakan hakikat itu.

Pembangkang tentunya juga sedar bahawa tidak mudah untuk memadam rasa bangga rakyat Pangkor yang pertama kali memiliki seorang wakil rakyat bergelar Menteri Besar.

Lihat sahaja kemajuan pesat yang sedang dinikmati rakyat Pangkor ketika ini. Kebanyakannya adalah hasil inisiatif Zambry sendiri yang turut digelar penduduk setempat sebagai ‘arkitek’ pembangunan Pangkor.

Apa pun, Lumut kini umpama di ambang medan perang PRU-13 . BN tentunya menyedari bahawa serangan-serangan ini tidak boleh diambil mudah. Rakyat tidak sepatutnya terus disuap dengan kecelaruan fakta yang dicipta untuk meraih keuntungan politik. Dalam hal ini, rakyat terutamanya penduduk Lumut berhak mengetahui kebenaran.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 30 Mac 2012

AL-FATIHAH - BALASUNGKAWA YTM RAJA ASHMAN


Al-Fatihah. Seluruh rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan berdukacita atas pemergian YTM Raja Kecil Sulong Perak, Dato’ Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang telah mangkat pada hari ini Jumaat 7 Rabiulakhir 1433 bersamaan 30 Mac 2012, jam 1.30 pagi di kediamannya di Jalan Setia Bakti 5, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Jenazah almarhum telahpun dibawa ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan disemadikan di Makam DiRaja Kuala Kangsar selepas Solat Asar petang tadi.


Jenazah Almarhum YAM Tuanku Raja Kechil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ashman Shah, 54 diiringi oleh kaum kerabat dan rakyat jelata menuju Makam DiRaja Kuala Kangsar Perak petang tadi untuk disemadikan.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Amin.

Warna-warni politik
Torshah

Ahad, 18 Mac 2012

Pulang semula hak rakyat!


BERUAS - Tidak salah kerajaan memulangkan semula hasil rakyat kepada rakyat melalui pemberian bantuan bukan bertujuan untuk meraih undi seperti yang didakwa pembangkang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis Sepagi Bersama PM di Beruas, semalam.

“Ini sebenarnya menepati apa yang kita gagaskan iaitu rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Jika pembangkang menuduh kerajaan tidak bertanggungjawab itu tidak benar sama sekali.

“Jika hanya dekat pilihan raya kita berikan pelbagai bantuan semata-mata untuk meraih undi itu menunjukkan kerajaan tidak bertanggungjawab tetapi pendekatan yang kita gunakan amat berbeza,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang yang mengatakan pelbagai bantuan diberi kerajaan dalam usaha menarik perhatian pengundi pada pilihan raya umum nanti.

Dalam nada sama, beliau menasihati rakyat supaya tidak menggadai masa depan mereka dengan terpengaruh kepada pelbagai tohmahan dan janji pembangkang kerana terbukti Umno boleh memberikan kesejahteraan kepada semua.

Katanya, keprihatinan kerajaan selama ini dan pelbagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat menunjukkan kerajaan dapat mengurus tadbir negara dengan cekap.

“Jangan dengar dakyah pembangkang, ataupun dengar boleh tetapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri kerana kita sudah nampak mereka bercelaru pada hari ini.

“Cerita mereka tidak boleh pakai kerana mereka sendiri tidak mampu mengurus tadbir negara dengan baik,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 5 Mac 2012

Tidak wajar Pas kutip BR1M!


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan tindakan Pas meminta ahlinya menyerahkan sebanyak 10 peratus daripada wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima, sebagai perbuatan yang sangat tidak wajar.

Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang melaung-laungkan prinsip negara berkebajikan, Pas sepatutnya menasihatkan golongan miskin menggunakan wang bantuan secara berhemah dan untuk tujuan kebaikan.

“Pas tidak patut memaksa mereka menyerahkan bantuan yang diterima untuk kepentingan parti pula. Buatlah cara lain, kasihanilah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2012 pada Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Beliau mengulas entri blog Taiping Central kelmarin yang mendedahkan surat pekeliling Setiausaha Pas Kawasan Taiping, Razali Ab. Razak mengenai kutipan derma daripada ahli-ahli Pas yang mendapat bantuan BR1M untuk dimasukkan ke dalam tabung pilihan raya.

Surat bertarikh 1 Disember 2011 itu bertajuk ‘Rayuan sumbangan derma one off RM50 atau 10 peratus daripada ganjaran pemberian daripada kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) sebanyak RM500 kepada mereka yang bekerja dan berpencen pada bulan Disember 2011 untuk ‘tabung pilihan raya N16 Kamunting’.

Semalam, Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain tidak menafikan perkara tersebut dan menyatakan ia mungkin sebahagian daripada cara Pas Cawangan Kamunting untuk menggalakkan ahlinya bersedekah.

Abu Bakar turut menegaskan, tidak wujudnya paksaan untuk ahli cawangan itu menyerahkan wang bantuan tersebut.

Menurut Zambry, rakyat perlu menilai perjuangan Pas yang kononnya memperjuangkan konsep negara berkebajikan tetapi tergamak mengambil kesempatan terhadap golongan miskin demi kepentingan politik.

Tindakan Pas Kamunting itu jelas beliau, menunjukkan parti itu dalam keadaan terdesak untuk menghadapi pilihan raya umum sehingga sanggup mengambil wang yang diberikan kerajaan kepada golongan miskin untuk menampung agenda politik.

“Mereka sudah tiada jalan lain. Jadi, mereka gunakan orang miskin yang kita bantu bagi tujuan kepentingan politik mereka dan apabila minta komen, katanya Pas menggalakkan ahlinya bersedekah dan mereka tidak ada rasa bersalah langsung,” katanya.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 6 Februari 2012

Sultan Perak ingatkan pemimpin tidak kejar kekayaan peribadi!

SULTAN Azlan Shah bersama Tuanku Bainun beramah mesra bersama rakyat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Parit, semalam.


PARIT 5 Feb. - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini bertitah, kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila barisan kepimpinan lebih mengutamakan agenda untuk kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok tertentu sahaja.

Titah baginda, kekayaan material yang diperoleh secara mendadak lagi mencurigakan merupakan kekayaan palsu yang sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah serta banyak melakukan pembaziran.

"Lalu berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, kadar pengangguran, kadar penghijrahan, kadar penyeludupan dan kadar jenayah yang tinggi, dituruti pula dengan pelbagai penyakit sosial.

"Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, perbelanjaan keselamatan dan pertahanan negara meningkat dan akibatnya ummah bertambah derita kerana terus terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan," titah baginda pada perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Parit di sini hari ini.

Sultan Azlan bertitah, ummah akan hidup sejahtera dan negara akan makmur jika mempunyai pemimpin yang sentiasa menginsafi tanggungjawab besarnya kepada ummah serta negara dan paling utama kepada Allah.

"Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan dan kepentingan majoriti ummah akan lebih diutamakan.

"Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya pemusatan himpunan kekayaan secara melampau dalam kalangan kumpulan kecil tertentu sehingga mengakibatkan menjelmanya secara mendadak beberapa individu yang terlalu kaya bagai pulau-pulau kecil terapung di tengah lautan kemiskinan," titah baginda.

Titah Sultan Azlan, senario semasa yang sedang berlaku di negara-negara tertentu hendaklah dijadikan peringatan betapa pentingnya bagi umat Islam hari ini mengembalikan keluhuran kepimpinan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda bertitah, Rasulullah memiliki watak dan sifat unggul yang wajib dijadikan ikutan terutamanya dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan.

"Pemerintahan baginda teguh berpegang kepada hukum, menegur setiap kesalahan, mencegah setiap kemungkaran walaupun ia melibatkan saudara, anggota keluarga atau sahabat terdekat. Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda untuk membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga.

"Ketika wafat, baginda tidak meninggalkan kekayaan material untuk diwarisi tetapi yang ditinggalkan oleh baginda adalah ajaran dan amalan baik supaya dijadikan panduan dan pedoman dalam usaha membina kehidupan ummah yang mendapat keredaan, berkat dan rahmat Ilahi," katanya.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Yusuf Husin.

Warna-warni Politik
Torashah