DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 14 Jun 2014

Hudud : Nik Aziz tidak setuju kenyataan Dyana?


LIM Kit Siang memperkenalkan Dyana Sofya Mohd. Daud kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa mengunjungi bekas Menteri Besar Kelantan itu di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU - "Saya tidak setuju kenyataan awak mengenai hudud." Itu antara kenyataan awal yang keluar dari mulut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bertemu bekas calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud di sini hari ini.

Dyana Sofya hadir mengiringi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang melakukan kunjungan hormat ke atas Nik Abdul Aziz di pejabat beliau di Kompleks Kota Darulnaim.

Dalam pertemuan tersebut, bekas Menteri Besar itu turut menasihatkan Dyana Sofya supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa depan.

Nasihat beliau itu adalah sebagai reaksi kepada tindakan Dyana Sofya yang dilaporkan berkata tidak akan menyokong pelaksanaan hudud ketika berkempen dalam PRK Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Bagaimanapun, butiran lanjut perbualan mereka selepas itu tidak diketahui kerana petugas media diarahkan beredar dengan alasan pertemuan itu sepatutnya diadakan secara tertutup.

Mengulas mengenai pertemuan yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu, Dyana Sofya berkata, beliau memanfaatkan sebaik mungkin ruang yang ada untuk menjelaskan pendiriannya mengenai hudud kepada Nik Abdul Aziz.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya jelaskan kepada beliau saya tidak pernah menolak hudud sebab sebagai orang Islam saya tidak boleh menolak hudud.

"Bagaimanapun pendirian saya sama seperti pendirian parti (DAP)," katanya.

Menurut Dyana Sofya, selain isu hudud, Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat dan panduan berguna untuk beliau terus survive dalam dunia politik seperti perlu mempunyai prinsip dan sering turun padang bertemu masyarakat.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 8 Jun 2014

Gaya Pas meraikan pembuli?


Sudah seminggu Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan berakhir. Ahli Parlimen pun sudah memulakan khidmat baktinya selaku wakil rakyat, yang sebenarnya bukan tugas asing bagi Datuk Mah Siew Keong.

Seperti dijanjikan, rahmat pilihan raya kecil ini kepada penduduk Teluk Intan ialah tidak lama lagi akan mendapat seorang menteri. Seiring waktu berlalu, orang sudah semakin melupakan gegak-gempita pilihan raya kecil itu. Hidup kena diteruskan. Takkan mahu terus berpolitik.

Tetapi yang terus dipertontonkan, DAP parti yang menyertai pilihan raya itu masih angkuh, tetap dengan perangai masa lalu. Rakan sekutu dan sebantal mereka, Pas dijadikan alasan kekalahan parti berlambang roket ini.

DAP seperti tidak percaya. Orang Cina yang beberapa tahun ini solid menyokong mereka tetapi kali ini DAP kehilangan 7,313 majoriti undi yang diperoleh oleh mendiang Seah Leong Peng pada Pilihan Raya Umum 2013.


Benar, BN hanya berjaya merampas Parlimen Teluk Intan dengan majoriti tipis 238 undi, tetapi realitinya DAP kehilangan banyak undi. Mungkin sebab itu mereka cuba menutupi hakikat tersebut dengan mencari-cari 'kambing hitam.' Maka, yang mudah untuk menjadi sasaran ialah Pas.

Pas yang sanggup membujur lalu melintang patah mempertahankan kesepakatan pakatan pembangkang, sudahnya hanya menjadi bahan ejekan. Pemimpin DAP dengan rakus menyalahkan hudud Pas sebagai punca calon uji kaji, Dyana Sofya Mohd. Daud kalah.

Jika semasa mencalonkan Dyana Sofya mereka begitu arogan akan menang dengan undi lebih besar, kini DAP seperti tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri. Alih-alih, rakan yang bertungkus-lumus membantu dijadikan bahan belasahan pula. Kasihan.

Apakah perasaan ahli-ahli Pas yang siang dan malam berkempen demi kemenangan calon DAP ini? Mungkin mereka sama sekali tidak menduga akhirnya akan dilayan sebegitu rupa.

Ingatan demi ingatan sudah diberikan malah senario terburuk juga telah dibayangkan jika parti ini berkuasa. Belum pun berkuasa penuh sudah mempertontonkan keangkuhan, apalah sangat yang boleh diharapkan kelak. Pas jugalah sebenarnya yang meletakkan parti ini dalam singgahsana kuasa.

Kehilangan

Akan belajarkah Pas daripada semua peristiwa ini? Jawapannya mudah ditelah.

Kepimpinan tertinggi Pas seperti kehilangan tenaga setiap kali berdepan dengan sekutu yang satu ini, sedangkan parti itu mempunyai begitu banyak ulama dan cerdik pandai. Entah apa jampi DAP yang begitu mudah dapat menakluk dan menundukkan panglima-panglima Pas yang gagah perkasa itu.


Di depan mahupun belakang DAP, pertahanan Pas begitu rapuh. Di depan dan belakang, Pas selalu mengalah sehingga mengorbankan apa yang menjadi dasar perjuangan parti.

Dulu Karpal Singh mencipta ketakutan dengan kata-kata 'langkah mayat saya dulu.' Kini anaknya, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong cuba membajai gambaran buruk tentang hudud dengan dakwaan ia menjadi antara punca kekalahan pakatan pembangkang dalam pilihan raya.

Yang Dipertua Pas Kawasan Puchong, Muhammad Sufyan Ismail yang mungkin sudah biasa dengan tingkah laku Gobind dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menyindir: "Amat malang sebuah parti yang sudah dianggap kuat dan berpengaruh dikatakan kalah, kerana suatu isu yang tiada hubung kait dengan kawasan berlakunya pilihan raya tersebut."

Dulu pakatan pembangkang mendendangkan alunan "kita meraikan perbezaan pendapat" apabila sesama anggota pakatan pembangkang bersilang pandangan. Kemudian mereka mencipta "semua bersetuju untuk semua pihak berhak tidak bersetuju" apabila dalam soal ideologi pun gagal mencapai kata sepakat.


Pas pun lalai dengan perjuangan sebenar kerana jargon-jargon indah itu dan demi gula-gula kuasa ke Putrajaya yang didendangkan oleh sekutu mereka.

Kini, setelah banyak peristiwa yang sama sekali tidak menguntungkan Pas bahkan umat Islam dan orang Melayu, parti ini terus merelakan dirinya dibuli. Suara marah-marah dan kecewa hanya kedengaran dalam kalangan pemimpin akar umbi. Pemimpin yang di atas senyap.

Jangan nanti dicipta pula dendangan baharu "kita meraikan pembuli" demi kepentingan tahaluf siyasi antara Pas, DAP dan PKR. Yang ini tidak mustahil boleh berlaku kerana sebelum ini jargon-jargon aneh begitu banyak dicipta demi menggapai kuasa di Putrajaya.


Pas seharusnya bersikap tegas. Parti ini tidak boleh berterusan membiarkan diri diperlekeh apatah lagi dibuli. Yang seharusnya diperbetulkan terlebih dahulu ialah asas perjuangan parti ini. Terus tegak dan pertahankan. Jangan sekali-kali berganjak.

Tapi kalau dasar parti pun boleh diubah-ubah bagi memenuhi selera dan kepentingan semasa, bagaimana mungkin orang lain, walaupun sekutu akan menghormati mereka. Dalam keadaan seperti ini, sekutu membuli pun Pas meraikannya.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 7 Jun 2014

Yammy nafi bantu anak berkempen?


Yammy Samat menyerahkan kepada UMNO untuk menentukan kedudukannya sebagai ahli parti itu namun menafikan dakwaan membantu kempen anaknya, Dyana Sofya Mohd. Daud, calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak pernah membantu DAP berkempen seperti yang didakwa sebaliknya hanya menemani anaknya atas faktor keselamatan, itu pun hanya pada beberapa ketika menemui pengundi di pasar malam dan pasar pagi.

Katanya, beliau tidak pernah naik pentas untuk berceramah malah DAP sendiri tidak membenarkan beliau berbuat demikian.

“Saya hanya beberapa kali mengiringi anak saya ketika dia berceramah. Saya mengiringi Dyana semata-mata atas sebab saya ibunya yang bimbangkan keselamatannya, apatah lagi anak saya perempuan. “Saya cuma duduk di tepi pentas melihat anak saya berceramah.

Bukan semua program dia saya ikut serta. Saya hanya menemaninya pada program ceramah di kawasan pengundi Melayu kerana bimbangkan keselamatannya, itu sahaja, bukannya berkempen dari rumah ke rumah meminta pengundi memilih anak saya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau mengulas laporan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata, parti itu meminta beliau menyerahkan surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari kerana didakwa berkempen untuk Dyana Sofya.

Malah Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub turut mendesak supaya Yammy dipecat daripada UMNO sekiranya didapati benar berkempen untuk DAP.

Tambah Yammy, setakat ini beliau belum menerima apa-apa surat meminta penjelasan daripada UMNO dan hanya akan membuat keputusan sama ada akan menjawabnya setelah meneliti tuduhan yang dikenakan terhadap beliau.

Namun selepas itu, katanya, terserah kepada UMNO untuk membuat keputusan sama ada beliau masih layak untuk menjadi ahli parti berkenaan.

“Setelah menerima surat meminta tunjuk sebab nanti barulah saya akan membuat keputusan untuk menjawabnya atau pun berdiam diri.

“Namun saya tidak melanggar disiplin parti kerana saya tidak membantu anak saya berkempen. Jadi terpulang kepada UMNO untuk menentukannya. Jika dipecat sekali pun saya reda, lagipun saya tiada jawatan di dalam UMNO, saya cuma ahli biasa.

“Jika tidak lagi menjadi ahli UMNO, saya tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti. Saya sudah tua, sudah berumur 60 tahun, saya tidak mahu melompat-lompat parti, saya mahu menumpukan perhatian pada keluarga," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 6 Jun 2014

Orang Teluk Intan sebenarnya sudah serik dengan DAP?


Sekali mungkin. Dua kali boleh lagi. Namun kali ketiga tidak mungkin sama sekali.

Demikianlah barangkali pertimbangan yang dibuat oleh para pengundi Teluk Intan untuk menolak calon DAP bagi menjadi wakil rakyat mereka kali ini.

Setelah ‘mengetepikan’ bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang juga anak jati Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong pada 2008 untuk memberi kemenangan kepada calon DAP, M. Manogaran dengan majoriti 1,470 undi, dan sekali lagi berbuat demikian pada pilihan raya umum (PRU) tahun lalu untuk mendiang Seah Leong Peng, penduduk pekan kecil ini nampaknya sudah serik memilih DAP.

Bagi warga Teluk Intan termasuk penulis yang membesar di pekan yang berusia lebih 100 tahun ini, tidak ada apa yang hendak dibanggakan selain Menara Condong - yang kalau tidak dibaik pulih dengan segera, mungkin bila-bila masa menyembah bumi.

Dua penggal di bawah DAP, Teluk Intan cukup lesu bahkan boleh sahaja dianggap hampir mati.

DAP tidak pernah loyal atau setia kepada pengundi Teluk Intan. Calon DAP untuk menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen ini silih berganti.

Malah Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran pernah menjadi wakil rakyat ‘sementara’ mengalahkan calon BN sewaktu pilihan raya kecil Teluk Intan pada 1997.

Kawasan Parlimen ini hanya ‘penting’ kepada DAP apabila tiba pilihan raya. Selepas tempoh kempen tamat dan calon DAP menang, kelibat wakil rakyat DAP tidak kelihatan lagi.

Tanyalah penduduk Teluk Intan, apa yang telah dilakukan oleh bekas wakil rakyat mereka daripada DAP. Apa pembangunan yang dibawanya? Apa peluang pekerjaan yang dijananya? Berapa ba-nyak dewan, pusat komuniti atau setidak-tidaknya padang futsal yang dibuka?

Pasti semua menggeleng kepala. Bak kata Datuk Zaini Hassan dalam kolum Cuitnya, ‘elek...’

Menyedari betapa dahaganya penduduk Teluk Intan terhadap pembangunan, Siew Keong mempertaruhkan manifestonya untuk memikat hati pengundi.

Walaupun pembangkang dalam cera-mah-ceramah mereka cuba menggunakan hujah bahawa, ‘pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan memerintah’ atau dalam kata lain ‘memang tanggungjawab kerajaan BN’, hujah itu tidak lagi mampu menawan hati pengundi.

Pembangkang menawarkan untuk menjadi ‘suara rakyat’ namun pengundi Teluk Intan merasakan dua penggal berlalu tanpa peranan itu dimainkan dengan bersungguh-sungguh oleh wakil rakyat mereka daripada DAP.

Isu GST terlalu asing bagi orang Teluk Intan. Apatah lagi isu hak asasi, membuka pintu UiTM untuk kaum lain, lebih-lebih lagi mahu membubarkan RAMD.

Kehidupan mereka belum jauh dari sekitar Menara Condong Teluk Intan dan itulah yang dapat difahami Siew Keong (atau lebih dikenali dengan Mah) sebagai anak jati pekan ini.

Dan janji Kerajaan Pusat untuk melantik beliau sebagai menteri sekiranya memenangi pilihan raya kecil itu umpama air bandung Jam Tinggi yang bukan sahaja menghilangkan dahaga bahkan memberi renjatan dingin terus ke otak.

Inilah masanya! Ada empat tahun sebelum PRU-14 untuk Siew Keong menunaikan janji-janji membawa pembaharuan dan pembangunan ke kawasan Parlimen ini.

Dan penulis yakin ianya tidak mustahil dilaksanakan. Insya-Allah.

Lebih-lebih lagi kawasan Parlimen yang berjiran dengan Teluk Intan juga mempunyai wakil rakyat bertaraf menteri dan timbalan menteri.

Bermula dari Parlimen Bagan Datoh yang di bawah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga ke Teluk Intan yang kini diwakili Siew Keong, mengunjur ke Pasir Salak di bawah Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Tajuddin Abdul Rahman - penduduk Hilir Perak dan Perak Tengah mengharapkan limpahan pembangunan kini mengalir ke kawasan ini.

Inilah masanya. Tidak boleh bertangguh-tangguh lagi!

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 5 Jun 2014

Strategi Zambry dan keangkuhan DAP?


Zambry Abdul Kadir turun padang mengunjungi setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) tidak kira melibatkan ahli UMNO atau Pas pada Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

"Saya tidak mahu terlalu yakin atau dilihat angkuh tetapi insya-Allah, saya mempunyai keyakinan bahawa BN (Barisan Nasional) boleh melakukan kejutan di kerusi Parlimen Teluk Intan."

Itulah kata-kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada penulis tiga minggu sebelum berlangsungnya penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan ketika kami bertemu di kediaman beliau di Ipoh, Perak.

Seperti biasa Zambry boleh diibaratkan seorang pemimpin yang mampu menjadikan sesuatu yang dilihat mustahil menjadi sebaliknya. Itulah yang beliau lakukan dalam pilihan raya kecil kawasan itu kelmarin ketika tiada siapapun menaruh harapan BN akan merampas kerusi Parlimen tersebut.

Begitu juga ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, ketika semua orang merasakan pemerintahan BN akan berakhir di Perak tetapi akan kembali memerintah Selangor, Zambry membiarkan ia menjadi sekadar ramalan apabila memastikan realitinya BN kekal memerintah Perak tetapi tetap gagal menguasai kembali Selangor.

Dalam bahasa mudah, Zambry tidak pernah mengambil peduli apa juga persepsi, analisis atau tafsiran mana-mana juga pihak sebaliknya sebagai seorang pemimpin yang sudah menempuh satu perjalanan menguruskan politik yang cukup getir di Perak, Zambry melaksanakan misi untuk mengekalkan BN di negeri itu dan merampas kerusi Parlimen Teluk Intan melalui taktikal dan pemikiran strategis.

Bagaimanapun kelebihan yang ada kepada Zambry mungkin tidak termasuk dalam percaturan pakatan pembangkang khususnya DAP yang merasakan mereka tidak mempunyai laluan sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.

Bagi DAP, mereka yakin dengan meletakkan sesiapa juga sebagai calon di kerusi itu kemenangan pasti memihak kepada mereka memandangkan mereka percaya rakyat semakin menolak BN.

Justeru Dyana Sofya Mohd. Daud seorang gadis cantik dan berkelulusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dipilih.

Dyana Sofya yang berusia 27 tahun berhadapan dengan calon BN, Datuk Mah Siew Keong, 53 tahun. Walaupun DAP menguar-uarkan Dyana Sofya sebagai yang cantik, bijak dan berani namun ia masih belum mencukupi untuk mengugat keyakinan Zambry untuk terus berjuang bagi memastikan kemenangan BN.

Sebab itulah, penulis diberitahu bagaimana sepanjang kempen Zambry sama sekali tidak pernah menyentuh soal peribadi calon DAP. Mungkin bagi Zambry tindakan mengkritik, menyerang apatah lagi membandingkan calon dalam pilihan raya bukanlah sesuatu tindakan bijak, sebaliknya ia boleh menimbulkan perasaan menyampah dalam kalangan pengundi.

Selain itu, Zambry ternyata tidak ter­gang­gu dengan sikap DAP dan pakatan pembangkang yang gembira berikutan kehadiran ribuan orang dalam majlis ceramah mereka dan begitu bangga dengan personaliti Dyana Sofya yang bak kata orang `sedap mata memandang'.

Secara diam-diam, Menteri Besar Perak itu turun padang bertemu rakyat secara bersemuka, setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) beliau kunjungi, tidak kira tua atau muda, ahli UMNO atau Pas, penyokong DAP mahupun BN, semuanya Menteri Besar Perak itu temui.

Kesungguhan itulah akhirnya meruntuhkan keangkuhan DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang begitu yakin mereka tidak akan menempuh laluan sukar untuk memastikan Dyana Sofya menjadi salah seorang ahli Parlimen termuda penggal ini.

Pendekatan Zambry meranapkan tembok keegoan pembangkang dan memberi isyarat kepada mereka supaya jangan memandang rendah seni politik yang ada kepada Menteri Besar Perak tersebut.

Bagaimanapun Zambry tidak membiarkan beliau keseorangan dalam memastikan kemenangan BN, beliau turut bertanggungjawab mengatur strategi pergerakan jentera BN dan langkah dilihat paling drastik ialah mewujudkan kerjasama erat antara MCA dan Gerakan, khususnya di kawasan Batu 12.

Dalam PRU-13, BN tewas di peti undi ini ketika ia berada di bawah penguasaan Gerakan tetapi dalam PRK Parlimen Teluk Intan, Zambry membuat keputusan ia diambil alih oleh MCA. Langkah itu diterima baik oleh kedua-dua parti dan hasilnya BN menguasai 51.53 peratus undi di situ.

Namun begitu, kejayaan menawan semula kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 238 undi bukanlah sesuatu yang harus diraikan sepanjang masa. Mungkin tanpa pendekatan taktikal Zambry dan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melantik Siew Keong sebagai menteri jika menang dan kesilapan DAP meletakkan calon, sudah pasti BN belum tentu menang di Teluk Intan.

Inilah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, begitu juga BN tidak boleh mendabik dada mengatakan pengundi Cina sudah kembali kepada parti itu hanya berasaskan kepada satu dua peti undi. Jangan lupa di sesetengah peti undi, peratusan keluar mengundi adalah rendah dan ini juga menjadi penyumbang kepada kemenangan BN.

Yang jelas dan perlu diutamakan oleh BN ialah bagaimana hendak memastikan 20,000 pengundi setia BN di Teluk Intan akan terus bersama parti itu, khususnya dalam kalangan pengundi masyarakat Melayu dan India yang sudah membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada BN.

Sementara sokongan daripada kelompok kedua-dua pengundi itu dipertahankan, BN perlu juga terus berusaha menyakinkan sebahagian pengundi Cina untuk turut memihak kepada parti tersebut. Dan dalam soal ini di Perak ia bukan tugas Zambry seorang tetapi semua komponen BN.

Kemenangan di Teluk Intan sebenarnya adalah satu cabaran kepada BN bagaimana hendak mengekalkan penguasaan. Ia memandangkan berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, ramai penyokong pakatan pembangkang membuat keputusan tidak keluar mengundi atas pelbagai faktor termasuk tidak bersetuju dengan pemilihan Dyana Sofya sebagai calon.

"Bagaimanapun ada juga teori yang menyatakan, penyokong pembangkang se­ngaja berbuat demikian dengan hasrat untuk memberi laluan kepada Siew Keong menjadi menteri dan melalui cara itu ia akan membawa limpahan pembangunan di Teluk Intan, setelah semuanya sudah lengkap, mereka akan mengembalikan kerusi itu kepada DAP,'' kata satu sumber kepada penulis ketika dihubungi di Teluk Intan.

Justeru BN tidak boleh begitu gembira sangat dengan kejayaan yang dicapai di kerusi Parlimen berkenaan apatah lagi dengan majoriti 238 undi - satu jumlah lebih kecil berbanding jumlah undi awal iaitu 375 undi.

Namun begitu dalam pilihan raya walaupun satu undi menang tetap menang, kalah tetap kalah, sebagaimana tahun 2004 Pas memerintah Kelantan dengan kelebihan satu kerusi yang mempunyai kelebihan majoriti hanya dua undi.

Apa yang penting ialah bagaimana BN mengubah majoriti kecil menjadi lebih besar dalam pilihan raya seterusnya dan dalam mencapai impian itu singkirkanlah perasaan leka atau sudah berasa kuat serta buanglah strategi lapuk dalam berkempen.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 4 Jun 2014

Isyarat jelas orang Melayu tolak DAP?


Kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan merupakan isyarat jelas rakyat khususnya orang Melayu tidak pernah rela berteduh di bawah telunjuk parti berkenaan.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, cara yang digunakan DAP dengan menjadikan calon Melayu sebagai pertaruhan bagi mendapatkan sokongan orang Melayu bertukar menjadi liabiliti kepada parti tersebut.

"Kekalahan calon wanita muda Melayu DAP di Parlimen Teluk Intan merupakan satu kemenangan kepada umat Islam di negara ini. Setidak-tidaknya calon itu bebas daripada dijadikan boneka perhiasan parti tersebut.

"Pemimpin DAP harus sedar hasrat untuk mendapat sokongan kaum Melayu terhadap parti itu adalah sama seperti ‘angan-angan mat jenin’ malah pengundi Teluk Intan sedar pakatan pembangkang mengalami masalah kepemimpinan dalaman serius sehingga berlaku pertindihan soal dasar dan polisi yang tidak konsisten," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, me­ngulas dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 66.5 peratus antara punca DAP kalah, kata Rahmad, perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan.

"Persoalannya perlukah DAP menuding jari terhadap BN atas kekalahan calon mereka atau perlu menyalahkan diri sendiri serta rakan sekutu mereka yang hanya bermain sandiwara semasa tempoh kempen demi bagi mendapatkan sokongan pengundi semata-mata," katanya.


Dalam pada itu, Rahmad berkata, kejayaan BN di Teluk Intan perlu dijadikan sebagai pemangkin kebangkitan sokongan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kerajaan BN khususnya UMNO perlu bertindak lebih agresif dalam mempertahankan agenda rakyat terutama kaum Melayu di negara ini.

"Mereka juga tidak harus terlalu berlembut serta bertolak-ansur dengan tindak-tanduk melampau pihak pembangkang yang sering memperlekehkan undang-undang mahupun agama Islam dan keharmonian kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, kekalahan DAP di Teluk Intan menunjukkan protes penyokong terhadap kepemimpinan parti tersebut.

"Alasan tidak ramai yang keluar mengundi dan undi rosak me­lebihi jumlah undi majoriti hanya menggambarkan protes daripada penyokong DAP. Ini kerana parti tersebut meletakkan calon luar dan mengetepikan ahli sendiri yang berada di Teluk Intan," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 3 Jun 2014

Sultan bijaksana berjiwa rakyat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani dokumen perisytiharan baginda sebagai Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

PERISYTIHARAN Raja Dr. Nazrin Shah, 58, sebagai Sultan Perak yang ke-35 disambut penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat jelata.

Membawa gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, pelantikan baginda dilihat sebagai penyambung naungan diraja bagi bumi bertuah, Perak Darul Ridzuan.

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan dari Universiti Harvard, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah ini bakal meneruskan legasi ayahandanya sebagai raja yang bijaksana, berpendidikan tinggi dan berjiwa rakyat.

Berbeza dengan negeri-negeri beraja lain di negara ini yang menabalkan anak sebagai pewaris selepas kemangkatan Sultan, pemilihan Raja Pemerintah di Perak agak unik kerana perlu mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak.

Justeru sejurus kemangkatan Sultan Perak ke-34 petang kelmarin, mesyuarat khas Dewan Negara Perak diadakan bagi menentukan pengganti yang akan menerajui takhta pemerintahan negeri.

Keputusan melantik Raja Dr. Nazrin Shah sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas itu yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin.

Istiadat pelantikan dan perisytiharan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 kemudiannya disempurnakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Kuala Kangsar.

Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara pada 2007, dikurniakan seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, 2.

Baginda dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.

Mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah pada galur ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Kedudukan di bawah Raja Kecil Besar ialah Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu.

Pada 1987, apabila Raja Muda, Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.

Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.

Baginda kemudian menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Universiti Harvard.

Sultan Nazrin Shah yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya turut menjadi Felo Kehormat Kolej Worcester, Universiti Oxford.

Tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Universiti Oxford serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam universiti tersebut.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah ialah Felo Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Baginda juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberikan kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007.

Semasa Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah pada 19 April lalu, baginda bertitah bahawa fungsi raja dalam kerajaan adalah memerintah dan bukannya mentadbir. Raja titah baginda, menjadi payung kedaulatan negara, memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

"Institusi raja bukanlah 'cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua' dalam sistem pentadbiran negara. Institusi raja juga bukan hiasan, sebaliknya adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan negara.

"Ini terbukti apabila 10 peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan dengan raja. Ini bermakna Malaysia yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah," titah baginda.

Dan seluruh rakyat jelata khususnya di Perak meyakini Sultan Nazrin Shah akan membawa tenaga kepada institusi raja agar terus bersifat dinamik dalam menghadapi tuntutan dan cabaran semasa.

Daulat Tuanku!

Warna-warni politik
Torashah