DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 19 Mei 2009

Nizar memalukan orang Melayu !

PENDERHAKAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan satu lagi episod yang amat memalukan orang Melayu. Pengisytiharan "mohon derhaka" secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam sejarah Melayu.

Sejak perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang, tidak pernah orang Melayu memohon untuk derhaka. Menurut beberapa kitab historiografi Melayu, sepanjang zaman feudal, hanya dua kali orang Melayu derhaka.

Itu pun tanpa bongkak membuat pengisytiharan terbuka. Sekali oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura dan sekali lagi penderhakaan Hang Jebat di Melaka. Apa pun sebab yang membawa kepada penderhakaan itu, kesannya membawa kepada keruntuhan empayar Melayu. Tindakan Sang Rajuna bersubahat dengan Majapahit menyebabkan kerajaan Temasik runtuh.

Sehingga kini, Singapura terus terlepas ke tangan bukan Melayu. Tindakan Hang Jebat pula membawa kepada perpecahan orang Melayu di Melaka sehingga menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan akhirnya dijajah Portugis. Peristiwa itu membuka kepada episod penjajahan Barat. Sehingga kini, Melaka kehilangan sultan.

Kini, wujud satu lagi penderhakaan oleh orang Melayu. Alasannya bukan sahaja sangat memalukan, malahan memperlihatkan kerakusan dan ketamakan serta membuktikan Nizar tidak sedar diri. Beliau lupa parti yang diwakilinya menang jumlah kerusi paling sedikit tetapi beliau melaung-laungkan bahawa dirinya mendapat mandat majoriti rakyat?

Jika tidak kerana ehsan Sultan Azlan Shah serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Nizar tidak akan merasa menjadi Menteri Besar. Sikap Nizar kononnya Pas mendapat sokongan majoriti sangatlah memalukan. Sultan berkuasa untuk melantik Menteri Besar. Jika kabur bahasa undang-undang sekalipun, daripada segi adab, Nizar memberi gambaran betapa biadapnya orang Melayu terhadap Sultan.

Penulis yakin, insiden Nizar menderhaka akan terpahat sebagai sesuatu yang sangat memalukan dalam sejarah orang Melayu. Segala ciri kesantunan, kerendahan hati dan tatasusila Melayu yang menjadi kebanggaan bangsa sudah dipalit arang.

Alasan penderhakaan Sang Rajuna dan Hang Jebat kini telah dirasionalkan oleh orang Melayu. Tetapi penderhakaan Nizar tetap tidak akan diterima oleh orang Melayu sehingga akhir zaman.

Sedarlah Nizar, Allah telah mentakdirkan sedemikian. Apabila Allah menarik balik rezeki itu, anggaplah Dia memberi kesempatan untuk bermuhasabah dan jika perlu, bertaubat.

Sepanjang 11 bulan berkuasa, Nizar banyak melukakan hati Sultan dan orang Melayu. Beliau terikut-ikut dengan rentak biadab sahabat-sahabat yang tidak berkenaan dengan perjanjian Bukit Siguntang itu.


Warna-warni politik
Torashah


Tiada ulasan: