DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Khamis, 15 Julai 2010

Politik 'ugutan' sama 'manusia tikus'!

UCAPAN Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika merasmikan Mesyuarat Perwakian UMNO Bahagian Lumut yang diketuainya baru-baru ini, mengambil masa yang agak lama, hampir dua jam.

Pelbagai isu dilontarkan daripada sikap 'sesumpah' dan politik 'putar alam' yang dipraktikkan pembangkang terutama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hinggalah kepada masa depan parti keramat Melayu itu. Namun, di sebalik isu-isu semasa yang dibangkitkan, perhatian perwakilan mungkin lebih tertarik dengan peringatan tegasnya terhadap kelompok pemimpin atau penyokong UMNO yang suka 'mengugut'.

Kepada Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, mereka yang mengamalkan politik 'ugutan' tersebut tidak ubah seperti 'manusia-manusia tikus' yang sebenarnya hanya merosakkan parti.

Hakikatnya, apa yang dibangkitkan oleh anak jati Pangkor ini sebenarnya bukan suatu isu baru atau perkara yang pelik sekarang. Banyak pihak terutama yang merasakan mereka mampu menentukan kedudukan sesebuah parti atau kerajaan negeri, sentiasa mencari peluang mendapatkan sesuatu demi kepentingan diri.

Tiada apa yang menghairankan kerana ini juga adalah ragam manusia. Cuma agak menyedihkan, apabila kita sendiri terus membiarkan mereka ini diangkat sebagai pemimpin. Sedangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir. Silap percaturan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menjadi sejarah.

Justeru, peringatan Zambry bahawa beliau tidak gentar berdepan dengan manusia-manusia tikus seumpama itu menampakkan perubahan melawan arus. Pada ketika ramai mengharapkan sokongan semata-mata untuk mengekalkan kuasa yang ada, Zambry membiarkan takdir menentukan masa depan politiknya.

Mesej yang ingin disampaikan juga mudah - tiada erti terus menerajui negeri jika terpaksa tunduk kepada desakan-desakan tersebut. Sedangkan janji setiap kali turun padang berjumpa rakyat adalah untuk membantu mereka.

''Jangan jadikan masa ini sebagai ugutan untuk menekan saya sebagai Menteri Besar, kalau tidak bagi (apa diminta), tidak akan sokong saya. ''Kalau begini caranya ugut saya, dipersilakan. Saya tidak pernah gentar berhadapan dengan manusia-manusia tikus ini," tegasnya.

Di Perak, ada beberapa pemimpin walaupun telah lama berkhidmat tetapi kesan perkhidmatannya tidaklah seberapa. Mereka ini ada kalanya bersikap 'lebih sudu dari kuah' selain sentiasa mengharapkan 'bulan dan bintang'.

'Napolean-napolean kecil' ini juga sebenarnya tidak mudah mengaku kalah. Mereka hebat mengatur strategi untuk kekal 'berkuasa' tetapi realitinya gagal menambat hati rakyat yang kesusahan. Memetik kata-kata diakhir ucapannya, ''jangan lupa bahawa Kerajaan Negeri Perak ini adalah kerajaan negeri yang ditakdirkan."

Bermakna, beliau sedar setiap tindak tanduknya sentiasa diperhatikan rakyat dan dalam masa sama, Tuhan juga sedang menguji keikhlasannya memimpin. Jika ini jangkaannya, Zambry tidak perlu takut melakukan apa sahaja yang difikirkan terbaik kerana setiap perbuatan yang baik itu akhirnya akan pasti dibalas dengan baik juga.

Sumber : Utusan Malaysia

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: