DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Jumaat, 7 Disember 2012

Anak muda penyokong Pas sertai UMNO!


MAHDZIR Khalid (tiga dari kiri) menerima borang menyertai UMNO daripada wakil 16 ahli Pas yang bertindak keluar daripada parti tersebut dalam majlis penyerahan borang keahlian UMNO di Kampung Genting Palas, Padang Terap, Kedah, kelmarin.

Perjuangan UMNO yang ikhlas dan berterusan dalam menjaga kebajikan rakyat berjaya menarik penyertaan sekumpulan anak muda dari Kampung Genting Palas serta Bendang Hilir di sini, untuk berada dalam parti itu.

Mereka merupakan antara 16 ahli dan penyokong Pas yang mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut untuk menyertai UMNO selepas kecewa dengan hala tuju Pas pada masa ini.

Salah seorang daripada mereka, Mohd. Shukri Che Dam, 23, berkata, dia dan rakan-rakannya menyedari perjuangan Pas semakin jauh tersasar selepas parti itu bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dia yang menyertai Pas sejak tiga tahun lalu berkata, perjuangan Pas kini didapati dipengaruhi pemimpin tertentu dan bukan berdasarkan kehendak majoriti.

"Pemimpin pertengahan Pas takut sangat hendak mengkritik pemimpin atasan khususnya dalam soal pelaksanaan hukum hudud yang disanggah DAP.

"Kami golongan muda sangat kecewa dengan perkembangan ini dan sebab itu memilih UMNO yang lebih konsisten memperjuangkan Islam untuk meneruskan agenda memartabatkan agama dan orang Melayu," katanya ketika ditemui pemberita ketika menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Ketua UMNO Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini malam tadi.

Zakiah Arshad, 32, pula berkata, dia kecewa kerana pemimpin Pas di kawasannya tidak mengendahkan kebajikan anggota terutama semasa mereka memerlukan bantuan.

Sebab itu katanya, dia bersama ibunya, Zainab Ahmad, 58, menyertai UMNO dan lima lagi adik beradiknya akan menyusul berbuat demikian.

Sementara itu, Zainab mendakwa, tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang menziarahi suaminya, Arshad Husin, 78, yang sedang sakit ataupun diberi bantuan.

"Sebaliknya, bantuan termasuk semasa banjir disumbangkan oleh pemimpin UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu berkata, perkembangan yang berlaku itu dipercayai dapat mengukuhkan lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Parlimen ini.

Katanya, penyertaan ramai golongan muda ke dalam UMNO menyerlahkan kesedaran generasi hari ini bahawa mereka memahami perjuangan parti itu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Saya mendapat tahu ramai lagi yang bakal keluar Pas untuk menyertai kita. Saya mengalu-alukan penyertaan mereka kerana UMNO tidak sekali-kali menutup pintu atau menghalang sesiapa sahaja yang mahu berjuang bersama-sama.

"Saya juga berterima kasih kepada anggota Pas yang menyokong perjuangan UMNO," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: