DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Ahad, 7 Jun 2009

Mampukah Pas jadi parti utama?

''Bersandarkan kepada latar belakang politik negara yang kelam kabut dan iklim dunia yang semakin parah suasana geopolitiknya pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki menerusi tema muktamar kali ini iaitu - Islam Memimpin Perubahan.

Demikianlah petikan ucapan dasar oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di Shah Alam, kelmarin yang sekaligus memberikan isyarat yang jelas bahawa parti itu kini bukan sahaja sudah bersedia menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang malah mula mengatur langkah untuk menerajui negara ini.

Atas sebab itulah, Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan tersebut yang turut dihadiri oleh Lim Kit Siang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, Pas bersedia menawarkan diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia selepas berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, jika diberi mandat oleh rakyat.

Dalam soal ini mana-mana juga pihak termasuk pakatan pembangkang tidak harus merasa gundah gulana dengan apa yang diperkatakan oleh Abdul Hadi kerana kenyataan itu hakikatnya adalah hasrat yang dizahirkan atas keyakinan bahawa "keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia."

Tambahan pula, kenyataan Abdul Hadi itu selaras dengan desakan yang bergema dalam perbahasan di peringkat Dewan Pemuda mahupun muktamar yang mahu Pas menjadi parti dominan atau tulang belakang kepada pakatan pembangkang dan bukan sekadar pengikut sahaja.

Sememangnya kenyataan Abdul Hadi adalah tepat pada masanya kerana selama ini sepanjang berada dalam pakatan tersebut, Pas dilihat seolah-olah tidak berdaya untuk 'menyanggah' apa yang dilakukan oleh rakan pembangkang yang lain.

Ada ketikanya pula, rakyat mempertikaikan pendirian Pas apabila ada sesetengah isu yang dicetuskan oleh pembangkang biarpun dilihat tidak betul tetapi tidak disanggah oleh Pas. Perjuangan Pas yang berteraskan Islam menambahkan lagi desakan bahawa parti itu sepatutnya berada teratas berbanding parti-parti lain kerana di situ Islam sepatutnya diletakkan.

Berkemungkinan

Sememangnya sementara kita mengakui bahawa dalam politik segalanya berkemungkinan, namun begitu dalam usaha Pas mencapai cita-cita tersebut, terlalu banyak yang harus dilakukan oleh parti itu bagi memastikan apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Ia termasuklah untuk menyakinkan PKR dan DAP untuk menerima konsep Islam yang diperjuangkan.

Apa pun, cabaran utama Pas ialah memperkukuhkan kedudukan politik dan dalaman jika mereka berhasrat untuk bukan sahaja menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang tetapi juga memerintah negara. Pas perlu memberi keyakinan kepada rakyat secara keseluruhan bahawa mereka alternatif terbaik.

Dari segi politik, jika Pas ingin menjadi dominan, mereka perlu terlebih dahulu mempunyai kerusi Parlimen yang mencukupi. Pada masa ini Pas hanya mempunyai 23 kerusi Parlimen iaitu lapan kerusi di Kelantan, enam kerusi di Kedah, dua kerusi di Terengganu, dua kerusi di Perak, empat kerusi di Selangor dan satu kerusi di Wilayah Persekutuan.

Ia bermakna kedudukan Pas adalah terlalu rapuh untuk menjadi dominan hatta dalam pakatan pembangkang sekali pun. Oleh itu Pas harus mengkaji dari sekarang kerusi-kerusi yang boleh ditandingi oleh parti tersebut. Mahu tidak mahu, Pas harus menjadi parti yang memiliki majoriti dalam Parlimen seperti mana kedudukan UMNO sekarang yang mempunyai 78 kerusi.

Jika Pas tidak mempunyai kerusi majoriti dalam Parlimen maka apa juga yang diperkatakan oleh Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya hanya akan menjadi satu mimpi indah yang tidak akan kesampaian. Dalam soal ini ketegasan pucuk pimpinan Pas adalah penting terutamanya ketika pembahagian kerusi untuk PRU13 hendak dilakukan.

Pas tidak boleh tunduk kepada sebarang tekanan daripada DAP atau PKR sehingga terpaksa sekali lagi menjadi pengikut seperti mana berlaku dalam pilihan raya umum lalu. Begitu juga di peringkat negeri, Pas perlu menguasai kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri seperti mana kejayaan dicapai di Kedah dan Kelantan.

Parti itu perlu mempunyai keyakinan diri untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu kerana seperti mana kata Abdul Hadi, "Sepanjang tempoh puluhan tahun kewujudan Pas ini, kita telah berjaya untuk memecahkan tembok masyarakat bukan Islam yang dahulunya merasa janggal dengan Pas."

Bagi melaksanakan tujuan itu, Pas perlu memberi peluang kepada ahli-ahli yang berada di dalam Kelab Penyokong Pas untuk menjadi calon.

Persoalannya, mahukah DAP dan PKR memenuhi jumlah kerusi yang dituntut oleh Pas termasuklah di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu? Biarlah persoalan ini diselesaikan oleh pucuk pimpinan Pas tetapi apa yang pasti kalaulah benar Pas berhasrat menjadi peneraju kepada pemerintahan negara, inilah cabaran pertama yang harus ditempuh.

Seperkara lagi, apabila Pas membentangkan slogan bertemakan, 'Islam Memimpin Perubahan', parti itu haruslah melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa Islam bersifat universal seperti mana ditegaskan oleh Abdul Hadi bahawa "kita perlu menyedari bahawa Islam adalah sebuah addin yang lengkap dan syumul. Ia sama sekali tidak bersifat kaku, jumud dan eksklusif sebagaimana yang dikritik oleh para orientalis barat yang buruk sangka terhadap Islam."

Kita tidak menafikan bahawa sokongan bukan Islam kepada Pas semakin meningkat tetapi dalam masa yang sama keyakinan mereka terhadap pelaksanaan kepimpinan berteraskan Islam harus diperkukuhkan. Jika mereka melihat bahawa Pas sememangnya boleh menjadi alternatif terbaik melalui pendekatan Islamnya tidak mustahil calon-calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya akan mencapai kejayaan.

Taksub

Bagaimanapun dalam keghairahan Pas untuk menumbangkan UMNO janganlah terlalu taksub melihat apa sahaja yang dilakukan oleh parti induk Melayu itu semuanya salah. Ini kerana pendekatan seumpama itu boleh menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

Dalam soal ini, pemimpin-pemimpin Pas perlu bersikap terbuka, mereka perlu menyokong jika sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah betul mereka perlu menyokong tetapi kalau sebaliknya maka menegurlah dengan baik. Jangan terlalu ghairah melihat UMNO seolah-olah 'musuh kamu yang paling nyata' . Sebagai sebuah parti politik, Pas sudah pastilah mempunyai kelemahan dan tidak semestinya segala tindakan politik mereka semuanya betul belaka, begitu juga dengan UMNO.

Pendirian memberikan teguran secara baik adalah selaras dengan pendirian Abdul Hadi yang menegaskan sebanyak dua kali dalam ucapan dasarnya bahawa; "Pas mempunyai sikap keterbukaannya untuk bertemu serta berbincang dengan sesiapa sahaja bagi kepentingan Islam dan seterusnya rakyat di dalam negara kita ini." dan "Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah dengan sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema 'Islam Memimpin Perubahan'.

Oleh itu prinsip ini perlu dipegang teguh oleh semua kepimpinan dan ahli Pas. Tidak salah untuk mempunyai hasrat untuk menggantikan UMNO, malah bukanlah satu 'dosa' mempunyai niat sedemikian, tetapi janganlah mempunyai perasaan seolah-olah melihat segala keburukan yang berlaku di dalam negara ini adalah akibat perbuatan UMNO.

Langkah itu bersesuaian dengan penegasan Abdul Hadi kepada wartawan, kelmarin bahawa, "pada ketika ini Pas menjadi penasihat kepada kerajaan dan bukannya membangkang membuta tuli''.

Kesimpulannya, Abdul Hadi sudah pun secara terbuka menyatakan hasrat Pas untuk menjadi parti utama di negara ini, oleh itu terserahlah kepada pemimpin dan ahli Pas untuk membuat persiapan bagi merealisasikan impian beliau itu, tetapi apa yang pasti ia bukanlah sesuatu yang mudah dicapai seperti mana 'selancar' ia dilafazkan. - UM

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 1 Jun 2009

Zaid Ibrahim ''Merepek'' Lagi!!!

Zaid Ibrahim buat hal lagi. Bekas Menteri di Pejabat Perdana Menteri ini sekali lagi membuat kenyataan konstroversi apabila mengkritik tindakan kerajaan Malaysia mengenai isu usaha membawa Chin Peng ke Malaysia.

Zaid dilaporkan menyatakan "kerisauan"nya mengenai isu Chin Peng yang menurutnya berbaur "perkauman". Tapi, benarkah isu Chin Peng ini berbaur "perkauman" sebagaimana yang didakwa?

Zaid mendakwa Dato' Seri Rais Yatim dan Dato' Seri Zahid Hamidi telah memberi kenyataan yang berbaur perkauman apabila menyatakan bahawa Malaysia mempunyai "satu lagi musuh baru" iaitu "kumpulan mereka-mereka yang mahu menghidupkan kembali fahaman komunisme di Malaysia". Mungkin Zaid merujuk kepada kenyataan kedua menteri tersebut kepada kaum Cina di Malaysia kerana dia menyangka bahawa komunis merujuk kepada kaum Cina.

Ingin saya menyatakan disini bahawa tanggapan Zaid itu salah sama sekali! Mungkin benar bahawa Chin Peng yang merupakan "de facto" kepada komunis di Malaysia suatu masa dahulu adalah berbangsa Cina. Namun, Zaid juga perlu tahu bahawa Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Muhammad Indera dari Partai Komunis Malaya di bawah pengaruh Chin Peng dahulu merupakan "bumiputera" yang berbangsa MELAYU.

Oleh yang demikian, maka salahlah tanggapan Zaid yang melabelkan kenyataan Rais dan Zahid merujuk kepada "kaum" yang tertentu. Maka oleh itu, TIDAK TIMBULLAH ISU PERKAUMAN!Hairan bin Ajaib. Mengapa setelah dinyalakan bibit-bibit api, lalu disimbah pula dengan minyak? Mahu dimarakkan api itukah? Beberapa pemimpin politik pembangkang bertindak seolah-olah "hero" kepada Chin Peng.

Kononnya "pembela keadilan" dan "pembela rakyat". Tapi, apakah mereka memikirkan sepatutnya "pembelaan" diberikan kepada lebih dari 1444 orang anggota polis yang dibunuh pihak komunis? Apakah pemimpin pembangkang ini prihatin untuk membela nasib 1883 warga polis yang cedera dan cacat akibat kumpulan pengganas Chin Peng ini dahulu? Apakah pemimpin pembangkang ini "lupa" untuk membela nasib lebih dari 2558 orang awam yang dibunuh manakala 1490 orang lagi cedera akibat keganasan pihak Komunis ini?

Atau mereka sengaja "menbutakan mata" semata-mata demi permainan "politik" mereka? PAS, DAP dan Zaid Ibrahim adalah sama sahaja. Mungkin mereka ini manusia kononnya prihatin dan pembela, namun mungkin mereka juga hanya membela kepada mereka-mereka yang menyebelahi mereka sahaja. Mungkin mereka-mereka ini seangkatan dengan fahaman Komunis sehingga berani membelakangkan sensitiviti beribu-ribu rakyat sendiri demi kepentingan hanya seorang ketua komunis?

Jika mereka ini hidup di zaman komunis, mungkin Chin Peng akan mengambil mereka sebagai "komrad"nya dan habis ditembaknya polis, askar, orang awam dan pemimpin politik yang tidak sehaluan dengan mereka! Jika Zaid dan pemimpin politik Pakatan Rakyat ingin membawa Chin Peng kembali ke tempat kelahirannya atas dasar kemanusiaan, apakah Chin Peng tidak cukup makan semasa tinggal di Thailand?

Apakah tidak ada lagi tanah kosong untuk Chin Peng "disemadikan" dengan aman di sana? Ayah dan ibu Chin Peng boleh berhijrah ke Malaya suatu masa dahulu tanpa memikirkan tempat mati mereka, mengapa kini Chin Peng harus difikirkan tempat matinya? Mengapa nenek moyang Chin Peng tidak sebok untuk disemadikan di tanah besar China? Jika dikaji, ada juga komunis berbangsa Melayu yang meninggal di Thailand.

Mengapa pula pemimpin Pakatan Rakyat dan Zaid tidak teringat untuk "berjuang" untuk mereka dahulu? Saya hairan. Mengapa individu seperti Zaid Ibrahim ini diberikan liputan oleh media? Zaid Ibrahim mungkin seorang menteri. Tapi, itu dahulu. Kini dia tidak lagi menteri. Malah dia juga telah dipecat dari UMNO! Dia tidak lebih dari seorang peguam biasa yang "mendambakan" kontrak perundangan dari pihak kerajaan.

Samalah jika hendak dibandingkan dengan peguam-peguam lain. Saya percaya, lebih ramai yang "menyampah" untuk mendengar ucapan "merepek"nya berbanding yang suka mendengar. Bukan membenci, tapi ucapannya bagaikan omongan kosong untuk secebis publisiti murahan!

MYKMU

Selasa, 19 Mei 2009

Nizar memalukan orang Melayu !

PENDERHAKAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan satu lagi episod yang amat memalukan orang Melayu. Pengisytiharan "mohon derhaka" secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam sejarah Melayu.

Sejak perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang, tidak pernah orang Melayu memohon untuk derhaka. Menurut beberapa kitab historiografi Melayu, sepanjang zaman feudal, hanya dua kali orang Melayu derhaka.

Itu pun tanpa bongkak membuat pengisytiharan terbuka. Sekali oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura dan sekali lagi penderhakaan Hang Jebat di Melaka. Apa pun sebab yang membawa kepada penderhakaan itu, kesannya membawa kepada keruntuhan empayar Melayu. Tindakan Sang Rajuna bersubahat dengan Majapahit menyebabkan kerajaan Temasik runtuh.

Sehingga kini, Singapura terus terlepas ke tangan bukan Melayu. Tindakan Hang Jebat pula membawa kepada perpecahan orang Melayu di Melaka sehingga menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan akhirnya dijajah Portugis. Peristiwa itu membuka kepada episod penjajahan Barat. Sehingga kini, Melaka kehilangan sultan.

Kini, wujud satu lagi penderhakaan oleh orang Melayu. Alasannya bukan sahaja sangat memalukan, malahan memperlihatkan kerakusan dan ketamakan serta membuktikan Nizar tidak sedar diri. Beliau lupa parti yang diwakilinya menang jumlah kerusi paling sedikit tetapi beliau melaung-laungkan bahawa dirinya mendapat mandat majoriti rakyat?

Jika tidak kerana ehsan Sultan Azlan Shah serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Nizar tidak akan merasa menjadi Menteri Besar. Sikap Nizar kononnya Pas mendapat sokongan majoriti sangatlah memalukan. Sultan berkuasa untuk melantik Menteri Besar. Jika kabur bahasa undang-undang sekalipun, daripada segi adab, Nizar memberi gambaran betapa biadapnya orang Melayu terhadap Sultan.

Penulis yakin, insiden Nizar menderhaka akan terpahat sebagai sesuatu yang sangat memalukan dalam sejarah orang Melayu. Segala ciri kesantunan, kerendahan hati dan tatasusila Melayu yang menjadi kebanggaan bangsa sudah dipalit arang.

Alasan penderhakaan Sang Rajuna dan Hang Jebat kini telah dirasionalkan oleh orang Melayu. Tetapi penderhakaan Nizar tetap tidak akan diterima oleh orang Melayu sehingga akhir zaman.

Sedarlah Nizar, Allah telah mentakdirkan sedemikian. Apabila Allah menarik balik rezeki itu, anggaplah Dia memberi kesempatan untuk bermuhasabah dan jika perlu, bertaubat.

Sepanjang 11 bulan berkuasa, Nizar banyak melukakan hati Sultan dan orang Melayu. Beliau terikut-ikut dengan rentak biadab sahabat-sahabat yang tidak berkenaan dengan perjanjian Bukit Siguntang itu.


Warna-warni politik
Torashah


Sabtu, 16 Mei 2009

Sultan Perak bukan punca kemelut politik .

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak harus dipersalahkan berhubung krisis politik di Perak dan baginda juga bukan punca kemelut politik di negeri itu. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Sultan Azlan memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar setelah mengambil kira Barisan Nasional (BN) negeri itu memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu, kata Perdana Menteri, dibuat selepas menilai surat perakuan majoriti anggota DUN yang menyatakan sokongan kepada BN. ''Mengikut sistem demokrasi di negara ini, rakyat memilih wakil rakyat dan sultan di negeri-negeri akan melantik calon yang mewakili parti yang mendapat majoriti dalam DUN untuk menjadi Menteri Besar,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang, di sini hari ini.

Najib mengulas kritikan-kritikan pembangkang yang menyalahkan Sultan Perak berikutan krisis politik di negeri itu serta menuduh baginda menjadi punca kepada kemelut politik di Perak yang kini sudah berlarutan lebih tiga bulan. Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak bahawa Sultan Azlan menggunakan prosedur yang sama melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, selepas pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya umum 2008.

''Jadi jangan salahkan Tuanku. Baginda (Sultan Perak) menggunakan kaedah dan prinsip yang sama ketika melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru dan tindakan Tuanku (Sultan Perak) itu tidak boleh dianggap melanggar Perlembagaan,'' katanya. Beliau berkata, ketika pakatan pembangkang menang majoriti kerusi DUN Perak selepas pilihan raya umum lalu, ia pun bukanlah gabungan parti yang berdaftar.

Atas kedudukan itu, sekiranya Sultan Perak hendak melantik semula Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Menteri Besar, beliau boleh berbuat demikian kerana BN adalah parti tunggal berdaftar yang mendapat majoriti kerusi di DUN Perak pada masa itu. '' Tetapi atas semangat demokrasi berasaskan ketetapan yang dibuat oleh wakil rakyat daripada tiga parti pembangkang di negeri itu (Perak), Tuanku sebaliknya mendapatkan surat perakuan mereka dan melantik Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar," katanya.

Perdana Menteri juga menegaskan pelantikan Zambry melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak serta sistem demokrasi di negara ini. ''Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan, seperti yang mereka lakukan di DUN Perak sekarang. Siapa suruh gantung Menteri Besar dan Exco BN daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri Perak.

''Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen," katanya. Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian juga boleh diumpamakan seperti BN yang mempunyai majoriti kerusi di Parlimen bertindak menggantung 20 anggota Parlimen pembangkang jika BN mahu.
'' Masuk akal ke dalam sistem demokrasi, bila sesebuah parti mempunyai majoriti, Speaker boleh gantung enam anggota parti itu. Jika begitulah keadaannya, kita (BN) pun boleh gantung enam orang anggota mereka (pembangkang) di Parlimen," tambah beliau.
Najib juga menafikan beliau menjadi punca kemelut politik di Perak dan harus bertanggungjawab atas tindakannya kerana terbabit 'merampas kuasa' kerajaan negeri Perak pada awal Februari lalu. ''Apabila tiga anggota DUN pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan pakatan pembangkang dan menyokong BN, sehingga dia (Mohammad Nizar) turut hilang kepercayaan. Sayakah yang bertanggungjawab?'' tanya beliau.

Perdana Menteri turut mengulas mengenai lompat parti, sambil menjelaskan bahawa ia dibenarkan oleh undang-undang dan ia pernah berlaku di negara lain, termasuk di negara maju.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill pernah beberapa kali berpindah parti dan baru-baru ini seorang senator daripada Parti Republikan di Amerika Syarikat berpindah ke Parti Demokrat. Beliau menjelaskan bahawa BN tidak merampas kuasa kerajaan negeri di Perak kerana peralihan kerajaan dilakukan mengikut peraturan serta undang-undang. - UM
Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 14 Mei 2009

Al-Fatihah Buat Allahyarham Kekanda Sultan Azlan Shah



SITIAWAN - Jumaat, 15 Mei '09:

Belum terlewat untuk saya dan isteri mengucapkan salam takziah ke bawah DYMM Tuanku Sultan Perak dan seluruh kerabat Di Raja Perak khususnya kepada ahli-ahli keluarga terdekat Allahyarham Raja Datuk Seri Baharom Shah Sultan Yussuf Izzuddin Shah, 83, kekanda sulung kepada Tuanku Sultan Azlan Shah yang kembali kerahmatullah jam 10:45 pagi hari Rabu, 13 Mei 2009 di kediamannya di Taman Canning, Ipoh.

Al-fatihah buat Allahyarham Raja Datuk Seri Baharom Shah Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Diiringi doa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan para solehin dan solehah.
- Amin -

Daripada: Ahli UMNO Cawangan Kampung Serdang,
Sitiawan, Perak.

Torashah

Selasa, 12 Mei 2009

TAHNIAH NIZAR! DARI PENDUDUK PERAK !

Ke hadapan YAB Dato Seri Nizar, didoakan semoga berada dalam perlindungan Allah hendaknya. Saya mengucapkan tahniah kepada Dato Seri kerana berjaya menjadi Menteri Besar semula dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Sesungguhnya YAB Dato Seri telah mencipta sejarah yang besar serta menjadi orang pertama yang dahulu (the first to achieve several first) dalam sejarah di negara ini.

YAB Dato Seri adalah satu-satunya Menteri Besar di dalam dunia yang mempunyai hanya enam kerusi dari 59. UMNO ada 27, MCA ada satu, DAP ada 17, PKR 5, Bebas 3 dan PAS ada enam. Tetapi kehebatan Dato Seri menjadikan Dato Seri Menteri Besar Perak walaupun mempunyai kerusi yang sedikit.

Kedua Dato Serilah yang pertama memberikan tanah hak milik 999 tahun kepada kampung-kampung baru. Jika lihat sejarah, kampung-kampung baru ini adalah bekas-bekas komunis yang dipindahkan di bawah Rancangan Briggs zaman darurat. Tahniah Dato Seri mengiktiraf pengganas komunis.

Malangnya tidak pula memberi pengiktirafan kepada bekas-bekas tentera yang 99 peratus orang Melayu yang telah berkorban jiwa dan nyawa untuk tanahair. Tahniah Dato Seri.Penghargaan juga kepada YAB Dato Seri kerana menjadi ahli politik PAS pertama merealisasikan konsep Malaysian Malaysia anjuran PAP yang disambung perjuangannya oleh DAP.

YAB Dato Seri juga tahu bahawa Lim Kit Siang, maestro DAP itu adalah bekas setiausaha politik Lee Kuan Yew dan merupakan penyambung perjuangannya di Tanah Melayu selepas Singapura disingkirkan dari Malaysia.YAB Dato Seri saya juga mengucapkan tahniah kepada YAB Dato Seri kerana berani mengenepikan Raja dan lebih patuh serta taat kepada Ngeh dan Nga lebih daripada DYTM Sultan Perak.

Dato Serilah wira. Dato Seri tahniah juga kerana walaupun berdarah separuh Cina, Dato Seri lebih Cina dari Cina-cina lain sebab sanggup menggunakan agama Islam untuk menjual orang-orang Melayu Perak.Ini bukan sembah derhaka cuma doa saya agat kubur YAB Dato Seri tidak akan dikencing anak cucu kita nanti bila agama, negara dan bangsa sudah tergadai demi semata-mata untuk YAB Dato Seri mencapai cita-cita Dato Seri menjadi Menteri Besar.

Akhir kata saya doakan agar YAB Dato Seri dilindungi Allah swt dan dibukakan hati untuk melihat kebenaran.

Amin

Salam Hormat

Rahimi Ariffin
Kg Seri Kinta
Ipoh Perak

MINTA JASA BAIK RAKAN-RAKAN SEMUA UNTUK SEBARKAN MAKLUMAT INI

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 9 Mei 2009

KEZALIMAN MINORITI

1. Secara terus terang saya tidak menjangkakan tindakan paling tidak bertamaddun sanggup dilakukan oleh Pakatan Pembangkang dalam Persidangan Dewan Perak baru-baru ini. Bukan hanya dengan tindakan bekas speaker, Sivakumar, yang keterlaluan, tetapi juga tindakan para juak ADUN-ADUN yang dengan ganas menyeberang ke arah ADUN-ADUN BN termasuklah sewaktu saya hendak bercakap.

2. Saya menjangkakan mereka akan bertindak untuk duduk di kawasan sebelah kanan seperti yang selalu ditanya oleh para wartawan. Demi menjaga keharmonian Dewan dan menghormati Dewan yang akan dirasmikan oleh DYTM Tuanku Pemangku Raja, maka saya dan rakan-rakan tidak mengendahkan tindakan mereka yang awal-awal lagi sudah mengubah tempat duduk kami.

3. Tanpa menghormati agenda persidangan, apatah lagi menghormati Tuanku Raja Nazrin speaker terus memanaskan Dewan dengan mengarahkan saya dan sembilan ADUN yang lain meninggalkan Dewan. Keadaan menjadi tegang apabila segerombolan ADUN-ADUN mereka terus menyeberang dan menyerang saya yang bangun untuk berucap.

. 4 Saya katakan bahawa saya tidak akan membenarkan the tyranny of the minority (kezaliman dan kekejaman golongan minoriti) untuk bertindak ke atas golongan majoriti dalam Dewan. Sewaktu mereka menjadi majoriti kita akur meskipun Dewan dipenuhi dengan hujah-hujah panas.

5. Maka saya terus mengusulkan pelucutan jawatan speaker dengan menggunakan peruntukan 13 (2) dalam Perintah Tetap. Setelah diluluskan dengan 31 menyokong, maka Timbalan Speaker mengambil tempat untuk meneruskan persidangan sehinggalah pencalonan Speaker yang baru dibuat.

.6 Di waktu ini mereka terus menunjukkan tindakan-tindakan biadab, aggresif dengan tidak memperdulikan peraturan sehinggakan Timbalan Speaker yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dimaki-hamun dengan kecacatannya, dibaling buku Perintah Tetap, ditolak untuk menggagalkannya ketika mempengerusikan mesyuarat. Lebih dahsyat setiap kali Speaker baru hendak bercakap kertas ucapannya dirampas dan dikoyakkan. Mikrofonnya dipatahkan. Saya menyaksikan tidak kurang empat mikrofon dipatahkan di tempat-tempat yang diduduki oleh Speaker.

7. Namun saya tetap sabar melihat keganasan mereka. Sementara dalam masa yang sama saya memerhatikan tingkah laku tiga-N (Nizar, Nga, Ngeh) yang duduk di tempat duduk masing-masing seperti sutradara. Saya bertanya kepada Thomas Su (ADUN DAP) apakah saudara mahu menjadikannya seperti Taiwan. Katanya, “ya, saya sudah bersedia”.

8. Selama lebih empat jam kami diserang, namun kami bersyukur kerana masing-masing dapat mengawal perasaan meskipun diperlakukan bermacam cara. Maka usul untuk mengubah aturan mesyuarat dibuat.

9. Sivakumar yang sudahpun menjadi “mantan” tetap berdegil tidak mahu meninggalkan kerusi speaker. Maka R.Ganesan yang sudahpun mengangkat sumpah sebagai speaker baru memberi arahan kepada Bentara dengan dibantu oleh pihak polis bagi membawanya keluar. Bentara sudah tercedera diwaktu ini. Tetap akhirnya ia berjaya dibawa keluar.

10. Akhirnya sampai ke peringkat Titah Perasmian Tuanku yang sudahpun menanti begitu lama dan amat sabar sekali. Sewaktu Tuanku berangkat masuk ke Dewan dan bersemayam mereka (ADUN-ADUN Pembangkang) enggan duduk di kerusi masing-masing. Sehinggalah Nizar dan Ngeh dititahkan mengadap barulah masing-masing mengambil tempat.

11. Selepas Titah Tuanku, saya mengusulkan Dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan disokong oleh YB Sungai Rapat.

12. Dalam tulisan saya sebelum ini saya sudah mengatakan bagaimana dilemma Nizar dan rakan-rakannya samada hendak hadir atau tidak. Kalau hadir bermakna ia mengiktiraf kerajaan yang ada dan sidang Dewan, tetapi kalau tidak hadir ia hilang peluang untuk menunjukkan aksi-aksi drama yang hebat. Maka dia hadir. Dan tidak mengejutkan saya bila Dewan ditangguhkan beberapa orang ADUN mereka datang bersalam dengan saya sambil mengatakan “ok, it’s over”. Lalu saya bertanya kenapa mereka sanggup membuat begini bagaikan suatu drama yang direka-cipta untuk terus menimbulkan kegelisahan rakyat dengan skrip-skrip baru yang diolah agar rakyat terus menyokong mereka.

13. Percayalah selepas ini saudara/i semua akan menyaksikan sebuah drama baru yang akan ditayangkan ke seluruh Negara dengan menunjukkan “kezaliman” BN. Sampai bilakah rakyat akan menjadi mangsa kebuasan nafsu kuasa mereka?
Salam Perjuangan!

DATO' SERI DR ZAMBRY B ABD. KADIR

Warna-warni politik
Torashah