DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 16 November 2009

'Anwar pendebat yang bagus, tapi tidak dalam ekonomi'!

"Kalau nak mufliskan Selangor, dia adalah penasihat yang sesuai." Itu reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai pelantikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang.

Dr. Mahathir berkata, Anwar mungkin seorang pendebat yang bagus tetapi tidak dalam aspek ekonomi. "Dia ialah penasihat ekonomi yang 'hebat' kerana hampir menjatuhkan Malaysia ketika krisis kewangan dulu. "Dia menggunakan polisi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan menjadikan keadaan lebih buruk ketika itu. Saya tak rasa dia tahu apa-apa mengenai ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Siri Syarahan Tokoh-Tokoh Terkemuka bertajuk Asia dan Abad Ke-21 anjuran Asia-Europe Institute di sini hari ini.
Dr. Mahathir ditanya mengenai pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri itu Jumaat lalu dengan bayaran elaun bulanan tetap sebanyak RM1. Pelantikan Anwar itu diumumkan Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dr. Mahathir berkata, sudah tentu apabila Anwar dibayar elaun RM1 sebulan, nasihat ekonomi yang diberikannya nanti juga akan bernilai hanya RM1. Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir yang ditanya mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat ekonomi kepada Kemboja berkata, ia adalah perkara sensitif untuk diperkatakan.

"Thaksin sangat popular di kawasan pedalaman dan mendapat banyak sokongan. Saya cuma berharap kerajaan yang ada sekarang berusaha mencari jalan penyelesaian kepada kekalutan yang wujud kerana beliau," katanya. Mengulas mengenai peranan ASEAN di rantau ini, Dr. Mahathir berkata, negara-negara anggota dilihat tidak mengamalkan kerjasama dan perhubungan erat sesama sendiri pada masa sekarang.

"Saya rasa semua negara di rantau ini sepatutnya menjaga diri sendiri dan tidak harus membiarkan pihak ketiga menjadi 'penjaga' kepada kita," katanya. Mengenai pembangunan rantau Asia, Dr. Mahathir berkata, demokrasi sebenarnya mampu menjadi penghalang kepada pembangunan sesebuah negara apabila ia menyebabkan terlalu banyak kerenah birokrasi.
Katanya, masih ramai yang tidak memahami had demokrasi dan apabila semua orang mahukan kebebasan terutama untuk bersuara, ia akan menyebabkan proses pembangunan sesebuah negara menjadi lambat. - UM

Warna-warni politik
Torashah