DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Isnin, 6 Februari 2012

Sultan Perak ingatkan pemimpin tidak kejar kekayaan peribadi!

SULTAN Azlan Shah bersama Tuanku Bainun beramah mesra bersama rakyat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Parit, semalam.


PARIT 5 Feb. - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini bertitah, kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila barisan kepimpinan lebih mengutamakan agenda untuk kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok tertentu sahaja.

Titah baginda, kekayaan material yang diperoleh secara mendadak lagi mencurigakan merupakan kekayaan palsu yang sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah serta banyak melakukan pembaziran.

"Lalu berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, kadar pengangguran, kadar penghijrahan, kadar penyeludupan dan kadar jenayah yang tinggi, dituruti pula dengan pelbagai penyakit sosial.

"Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, perbelanjaan keselamatan dan pertahanan negara meningkat dan akibatnya ummah bertambah derita kerana terus terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan," titah baginda pada perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Parit di sini hari ini.

Sultan Azlan bertitah, ummah akan hidup sejahtera dan negara akan makmur jika mempunyai pemimpin yang sentiasa menginsafi tanggungjawab besarnya kepada ummah serta negara dan paling utama kepada Allah.

"Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan dan kepentingan majoriti ummah akan lebih diutamakan.

"Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya pemusatan himpunan kekayaan secara melampau dalam kalangan kumpulan kecil tertentu sehingga mengakibatkan menjelmanya secara mendadak beberapa individu yang terlalu kaya bagai pulau-pulau kecil terapung di tengah lautan kemiskinan," titah baginda.

Titah Sultan Azlan, senario semasa yang sedang berlaku di negara-negara tertentu hendaklah dijadikan peringatan betapa pentingnya bagi umat Islam hari ini mengembalikan keluhuran kepimpinan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda bertitah, Rasulullah memiliki watak dan sifat unggul yang wajib dijadikan ikutan terutamanya dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan.

"Pemerintahan baginda teguh berpegang kepada hukum, menegur setiap kesalahan, mencegah setiap kemungkaran walaupun ia melibatkan saudara, anggota keluarga atau sahabat terdekat. Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda untuk membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga.

"Ketika wafat, baginda tidak meninggalkan kekayaan material untuk diwarisi tetapi yang ditinggalkan oleh baginda adalah ajaran dan amalan baik supaya dijadikan panduan dan pedoman dalam usaha membina kehidupan ummah yang mendapat keredaan, berkat dan rahmat Ilahi," katanya.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Yusuf Husin.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 4 Februari 2012

Hampir 200 Rumah Di Seri Manjung Dilanda Ribut, Kejadian Terburuk Dalam Tempoh Setahun!


”Habis semua perabot dan barangan elektrik dalam rumah rosak di basahi air. Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana keluarga dan penduduk kampung tidak mengalami sebarang kecederaan.

”Harta boleh dicari.. tapi kalau ianya melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan hanya Allah sahaja yang mengetahui,” kata Asri Mohd Chor, 52, salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut di Taman Perumahan Fasa 3A Seri Manjung, dekat Lumut, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, sebanyak 119 buah rumah mengalami kerosakan bumbung selain peralatan perabot serta elektrik selepas di basahi air hujan dalam kejadian kira-kira 6.15 petang semalam.

Kejadian itu merupakan paling buruk berlaku sejak setahun lalu, di mana sebanyak lima kejadian ribut dilaporkan berlaku di situ termasuk pada Julai tahun lalu yang melibatkan sebanyak 52 buah rumah penduduk di kawasan perumahan yang sama.

Seorang lagi mangsa, Shaari Zaini, 42, berkata selain mengalami kerosakan di bahagian bumbung rumah, cermin belakang kereta jenis Kancil yang diletak di depan rumah turut pecah akibat terkena serpihan atap yang berterbangan dalam kejadian tersebut.

”Selain cermin kereta, beberapa keping cermin tingkap rumah turut pecah selepas dilanggar serpihan sampah sarap yang berterbangan itu.

”Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada seorang pun ahli keluarga cedera akibat kaca tingkap yang pecah itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Rashidi Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, hampir 200 buah rumah penduduk di Taman Perumahan Fasa 3A, Seri Manjung dan Kampung Datuk Seri Kamaruddin (KDSK) terlibat dalam kejadian tersebut.


”Sehingga jam 12 tengahari ini seramai 185 penduduk dari Taman Perumahan Fasa 3A, Seri Manjung dan KDSK (2) dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

“Kebanyakan penduduk mengalami kerosakan bumbung rumah serta peralatan elektrik dan perabot selepas rumah mereka dibasahi air hujan.

“Kita juga telah mengarahkan beberapa kontraktor untuk memperbaiki segera bumbung rumah penduduk bagi mengelakan kerugian lebih besar lagi,” katanya kepada pemberita ketika meninjau tempat kejadian, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Manjung, Anuwar Ismail berkata, pihak JKM sedang bersiap sedia memindahkan penduduk ke pusat perpindahan sementara di Dewan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sekiranya keadaan memerlukan.

“Kita bimbang, hujan atau kejadian sama akan berlaku berikutan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi melaporkan hujan dan angin kencang akan berlaku dalam tempoh sehari dua ni,” katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor turut berada di tempat kejadian dan melawat mangsa kira-kira jam 8 malam semalam dan mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan mengambil tindakan serta merta membantu semua mangsa.

Sumber : Perak Today

Warna-warni politik
Torashah

Salam Maulidur Rasul


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) Al-Ahzab 33:21

Salam Maulidur Rasul dari UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak.

Warna-warni Politik
Torashah