DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 17 November 2008

TUN ABDUL RAZAK

Tun Abdul Razak Datuk Hussein, Presiden UMNO yang ketiga dan Perdana Menteri yang kedua lahir pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan Pahang. Tun Razak memulakan karier politiknya dalam UMNO pada 1950. Empat bulan selepas menyertai UMNO, beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda parti. Pada 1951, dalam usia 29 tahun, dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua UMNO.

Apabila kemerdekaan dicapai, Tun Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Beliau mengubah sistem pendidikan berdasarkan Penyata Razak (1956) bagi mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk semua kaum dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pada 17 November 1959, Tun Razak dilantik menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Beliau mewujudkan dasar dan rancangan pembangunan Negara dengan mengemaskinikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), melancarkan ‘Buku Merah’ (6 Mei 1962), Gerakan Maju (Mac 1966), program Jayadiri serta Buku Hijau. Beliau turut melancarkan Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) dan Rancangan Malaysia Kedua.

Selepas tragedy 13 Mei 1969, Parlimen digantung dan Negara diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Tun Razak. Beliau berjaya memulihkan ketenteraman awam dan mengembalikan semula Negara kepada demokrasi berparlimen. Sejajar dengan itu Rukunegara diperkenalkan. Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 22 September 1970 dan Presiden UMNO pada 23 Januari 1971.

Pada 1971 juga, beliau melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan mengasaskan pembentukan Barisan National (BN) pada 1 Jun 1974 menggantikan Perikatan. Tun Razak kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 1976.

Tiada ulasan: