DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 9 Mac 2010

Harussani jawab Nik Aziz!

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tujuan beliau mengungkap kembali usahanya membantu menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak adalah supaya tidak ada nada songsang dari mana-mana pihak yang menyatakan mufti tidak berperanan dalam menyatukan masyarakat Melayu Islam.

Kata beliau, tindakannya itu disebabkan ada pihak-pihak yang memohon nasihat dan pandangannya bagaimana perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kekuatan Melayu Islam. Menurutnya, kenyataan beliau berhubung penolakan mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan Pas-UMNO di Perak baru-baru ini adalah berdasarkan pengamatannya terhadap Pas Perak yang tidak mahu memberi ruang untuk berbincang selepas mereka menang dalam pilihan raya umum lalu.

Maka, beliau berpandangan tidak ada jalan pintas melainkan berusaha bersama-sama mencantumkan semula dua parti yang majoritinya Melayu itu untuk bersatu. "Mereka (Pas Perak) tidak menunjukkan minat untuk mengadakan perbincangan dengan dakwaan yang pelbagai. "Saya adalah mufti yang dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan Perak yang antara lain tugasan utama saya adalah membantu dan menasihat DYMM Sultan dalam perkara yang berkaitan hukum syarak.

"Oleh yang demikian, segala urusan yang menjadi kepentingan orang Islam dan Islam itu sendiri, maka saya bertanggungjawab memberi pandangan apatah lagi ia membabitkan perpaduan dan hubungan antara dua parti terbesar orang-orang Melayu Islam," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menggelarkan beliau sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwa campur tangan dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Reaksi Menteri Besar Kelantan itu adalah susulan daripada pendedahan terbuka Harussani dalam Program Dialog Za'ba - Perpaduan Melayu, Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.

Harussani mendakwa, Pas bersikap angkuh apabila menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak dan juga dipersetujui oleh kepimpinan parti itu.
Nik Abdul Aziz terkilan kerana Harussani menyebut namanya tanpa kehadiran beliau untuk mengesah atau menafikan perkara itu.

Dalam kenyataan hari ini, Harussani menegaskan bahawa mufti bukan sekadar memberi pandangan dan mengeluarkan fatwa berhubung dengan isu air mutlak dan haid sahaja.
Malah, kata beliau, ia lebih dari itu, apatah lagi yang membabitkan kepentingan umat Islam biarpun terpaksa menerima cercaan dari pelbagai pihak.

"Segala pandangan yang diberi adalah berdasarkan tanggungjawab saya sebagai mufti dan saya tidak pernah khuatir dengan apa-apa gelaran yang dilemparkan kepada saya," katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

1 ulasan:

wasabi berkata...

Harussani, Nik Aziz dan Ahmad Awang perlu bersemuka

Tokoh akademik Islam, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid menawarkan diri bagi menyediakan 'forum yang lebih selesa' kepada tiga ulama yang sedang menghadapi polemik berhubung kerajaan perpaduan Pas-UMNO di Perak.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, ia akan memberi ruang kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang untuk bersemuka dan berbincang.

"Ketiga-tiga pihak itu sedang 'membuka budu di padang', budu kalau sudah dibuka berbau busuk walaupun ia sedap dimakan.

"Jadi, hentikan sahaja polemik itu, tiada lagi susulan dibuat sebaliknya mereka perlu berbincang kerana ketiga-tiganya adalah ulama.

"Oleh itu saya tawarkan diri untuk sediakan forum lebih selesa, tidak perlu lagi mencari publisiti di dada akhbar," katanya.

Mahmood yang juga penerima Anugerah Perdana Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2010 mengulas polemik yang timbul ekoran pendedahan terbuka Harussani dalam Program Dialog Za'ba - Perpaduan Melayu, Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Harussani mendakwa, Pas bersikap angkuh apabila menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak dan juga dipersetujui oleh kepimpinan parti itu.

Laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut Ahmad yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Perak tidak menafikan dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab menggagalkan usaha menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menggelarkan Harussani sebagai ejen UMNO apabila mufti itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Sementara itu, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein berkata, tidak timbul soal Harussani bertindak atas dasar politik kepartian kerana perkara utama yang dilihat oleh beliau ialah perpaduan umat Islam.

"Saya setuju dengan Harussani kerana isu yang dibawa pada ketika itu tentang kedudukan orang Melayu dan Islam," katanya.

"Beliau mufti yang celik, bukan mufti baju pagoda, beliau lebih mementingkan soal Islam daripada politik di bawah.

"Malah, Rasulullah sendiri ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah mengambil peranan menyatukan dua puak Arab, Aus dan Khazraj," katanya.

Mohd. Yusoff yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya Pas tidak bersetuju dengan cadangan bekerjasama dengan UMNO, mereka tidak sewajarnya bersikap sombong dan menghina orang lain.

"Saya rasa Ahmad Awang sudah terlajak sama dengan Nik Abdul Aziz," katanya.

Jelas beliau, Harussani tidak melakukan apa-apa kesalahan sebaliknya kewibawaannya terserlah kerana membuktikan beliau bukan mufti bisu dan buta.

"Dalam konteks fikah, ada pandangan yang disebut sebagai jumhur ulama, maknanya ada ulama tidak bersetuju tentang sesuatu keputusan.

"Tetapi ulama yang tidak bersetuju tidak memberikan apa-apa masalah, ini suatu perkara biasa," katanya.

Katanya, masyarakat mahu seorang mufti duduk di tengah-tengah tanpa mencampuri urusan politik kepartian.

"Tetapi sila tunjukkan di mana yang dikatakan sebagai 'tengah' kerana apabila kita bercakap tentang sesuatu perkara mesti ada yang berkata kita cenderung kepada pihak tertentu," katanya.

Dalam hal ini, kata beliau, apa yang penting ialah soal perpaduan Islam.

"Tunjukkan saya di mana ayat al-Quran menyuruh kita berpecah belah sebaliknya yang ada adalah perintah kita berpegang teguh dengan tali Allah (hablillah)," katanya.