DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Khamis, 1 April 2010

Provokasi pembangkang gagal !

SEPERTI biasa, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Ipoh semalam berlangsung dalam suasana kecoh berikutan tindakan kurang sopan wakil-wakil rakyat pembangkang.

Namun berbeza dengan dua sidang sebelum ini, kekecohan yang cuba dicetuskan oleh pembangkang kali ini ternyata gagal. Gagal kerana mereka bukan sahaja tidak berjaya mengheret rakyat mengadakan demonstrasi untuk mempertikaikan kerajaan negeri sedia ada malah, sedikit pun tidak menggugat 'kekuatan' emosi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang bersidang.

Kekecewaan jelas tergambar di wajah mereka apabila provokasi-provokasi yang dilakukan hanya memakan diri sendiri. Akhirnya, tanpa disuruh, dengan perlahan-lahan mengambil beg masing-masing, berjalan keluar Dewan secara beramai-ramai. Sikap yang ditunjukkan oleh wakil rakyat pembangkang ini hakikatnya jelas hanya mempermainkan hasrat dan harapan rakyat.

Dalam hal ini DUN bukanlah tempat untuk menunjuk lagak atau lakonan hebat, sebaliknya tempat menentukan nasib rakyat. Rakyat mengundi mereka dengan harapan setinggi gunung agar dapat bersama-sama membantu menggapai bintang-bintang di langit. Malangnya semakin hari semakin jelas bahawa bintang-bintang yang diharap bukan sahaja kian menjauh malah bertambah kelam.

Dengan sikap dan perangai yang dipertontonkan sejak pembangkang kehilangan kuasa di Perak, apakah ada lagi harapan rakyat yang menggunung ini? Tiada salahnya tugas pembangkang kerana itu adalah saluran terbaik untuk menjadi pengimbang kepada kerajaan sedia ada.
Malangnya, peranan murni pembangkang ini tidak difahami oleh kebanyakan wakil rakyat pembangkang itu sendiri.

Akhirnya, jadilah apa yang disaksikan semalam apabila pembangkang hanya tahu membangkang sehingga kewarasan berfikir dan matlamat asal menjadi wakil rakyat semakin terpinggir. Sedarlah bahawa rakyat bukan bodoh sepanjang masa. Mereka juga bukan penonton yang setia. Jika sikap pembangkang berterusan begini, tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada mereka.

Maka, jangan salahkan sesiapa jika suatu masa nanti kewujudan pembangkang di negara ini hanyalah dilihat sebagai 'badut-badut' yang hakikatnya tidak mampu memperjuangkan apa-apa pun.

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan: