DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 7 Disember 2010

Perpecahan: Jangan ulangi kesilapan!

Sultan Perak Sultan Azlan Shah menyampaikan titah ucapan Perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak di Kolej Islam Darul Ridzuan, Kuala Kangsar, semalam.





Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata'ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan kebesaran limpah rahmat dari-Nya juga, Beta berada dalam keafiatan dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1432 Hijrah.

Penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dari Mekah ke Madinah memberi satu dimensi baru dalam penyusunan peradaban manusia. Peristiwa Hijrah adalah titik yang telah memperhebatkan kegiatan penyebaran Islam setelah sebuah pemerintahan berlandaskan Islam berjaya dibentuk. Penghijrahan Baginda mencetuskan nilai-nilai persaudaraan yang amat tinggi dalam erti satu agama dan satu kepercayaan; berjaya mewujudkan perpaduan yang ampuh sehingga Islam menjadi satu kuasa yang disegani dan dihormati serta turut membuktikan bahawa agama Islam memegang kepada prinsip menghormati dan dihormati dalam pergaulan masyarakat yang berbilang kaum dan berlainan agama.

Nyatalah, peristiwa Hijrah telah mencetuskan satu perubahan penting kepada Islam dan umat Islam. Peristiwa Hijrah merakamkan berlakunya transformasi. Hijrah adalah titik peralihan membolehkan umat Islam membuktikan kejayaan merealisasikan prinsip-prinsip utama risalah yang dibawa oleh Islam hingga ummah berjaya membina tamadun agung serta mencipta sejarah besar.

Lalu peristiwa Hijrah yang merupakan detik penting dalam sejarah Islam dijadikan peristiwa yang diberikan peringatan dan disambut secara rasmi di negara ini. Memperingati peristiwa Hijrah diiktiraf sebagai salah satu acara rasmi negara. Pengiktirafan tersebut adalah selaras dengan status keutamaan agama Islam yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Islam adalah agama yang telah berakar kukuh di bumi Malaysia. Pelbagai pihak berperanan penting dan berjasa besar terhadap penduduk pribumi di negara ini, hingga Islam dan Melayu itu menjadi sinonim. Islam disebar, dianuti, dihayati dan dikembangkan melalui peranan para ulama, para pedagang, para pembesar negeri hatta peranan yang dipenuhi oleh Raja Melayu.

Penerimaan Islam oleh Sultan Melaka merupakan satu titik penghijrahan yang amat penting dari segi pegangan akidah, pegangan spiritual dan pegangan moral dalam kalangan penduduk di bumi ini. Penerimaan Islam oleh Raja-Raja Melayu dan peranan istana dalam usaha mengembangkan Islam telah mempengaruhi prinsip beraja, prinsip berkerajaan dan prinsip beragama di negara ini untuk sekian lamanya.

Islam selanjutnya mempengaruhi hala tuju dan menjadi asas serta prinsip pemerintahan yang diamalkan oleh Raja-Raja Melayu. Kemudahan-kemudahan untuk mengamalkan dan menyebarkan Islam mendapat naungan penuh Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Agama Negeri. Tanggungjawab memberi payung naungan kepada agama Islam dan kepada umat Islam tidak pernah disisihkan oleh Raja-Raja Melayu. Ketika sembilan Raja Melayu memberi perkenan menurunkan tandatangan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan pada 5 Ogos 1957, salah satu dari tujuh wasiat Raja Melayu adalah mengisytiharkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Keistimewaan yang dinikmati oleh umat Islam ini bukannya pipis datang melayang atau bulat datang menggolek. Keistimewaan status agama Islam di bumi ini mempunyai sejarah yang lama. Ketahanan umat Islam untuk tidak mudah dipesongkan dari akidah Islam adalah kerana telah dibina mekanisme-mekanisme secara perundangan untuk melindungi umat Islam dari dapat dipengaruhi oleh sebarang usaha dakyah. Sedarlah! Bahawa segala keistimewaan yang dimiliki oleh umat Islam di negara ini, adalah hasil dari pemikiran yang dirumuskan secara strategik untuk memastikan bahawa umat Islam akan sentiasa dilindungi dan aktiviti Islam bukan sahaja dapat dikembangkan tetapi diberikan hak untuk mendapat pembiayaan negara.

Keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan dari segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelosok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan untuk dimaktubkan di dalam Perlembagaan Negara. Pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci, meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam dari sebarang usaha pemesongan. Demikian tahap kejayaan perjuangan yang dapat dicapai melalui perpaduan ummah; perpaduan yang tidak dipisahkan oleh sempadan negeri, ideologi, profesion, disiplin pengajian atau status sosial mahupun status ekonomi.

Ummah bersatu atas nama agama - ummah berpadu atas kalam Islam; Raja dijunjung rakyat dilindung. Insaflah, bahawa sesuatu keistimewaan tidak mungkin kekal selamanya apatah lagi jika umat Islam sendiri gagal menghargainya. Keistimewaan akan hanya dapat dikekalkan jika keistimewaan itu terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salah silah langit yang sedang dijunjung.

Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian dari perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka. Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan, tetapi turut mewarisi tanggungjawab kepada agama dan bangsa, memastikan wasiat tersebut terus dijunjung. Adalah menjadi tanggungjawab Raja-Raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu di bumi ini, untuk terus mempertahankan segala hak dan keistimewaan Islam dan orang Melayu dari sebarang usaha mahu menghakisnya.

Sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara. Jika ada dalam kalangan orang Melayu yang melakukannya, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsanya dan telah derhaka kepada bangsanya sendiri. Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit; takut-takut nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan di kepuk dan itik kehausan di air.

Amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah. Jika ini dibiarkan, tidak ada maknanya lagi apabila bangsa di kemudian hari menghadapi sesal kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.

Barang dijauhkan Ilahi dari berlaku. Oleh itu, wajib dijadikan pengajaran dari peristiwa kejatuhan empayar dan sejarah keruntuhan pemerintahan Islam begitu juga kisah-kisah ketewasan tentera Islam di dalam pelbagai peperangan. Belajarlah dari nasib malang yang telah menimpa umat terdahulu akibat dari perpecahan.

Sambutan Maal Hijrah hendaklah dipenuhi dengan peringatan, agar ummah dapat bermuhasabah untuk tidak mengulangi kesilapan, agar ummah dapat bertawaduk untuk merendahkan ego diri, lalu sama-sama memohon Nur Ilahi mencari jalan yang diredai. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala terus melimpahkan Beta dan rakyat Beta dengan segala petunjuk dan panduan untuk terus dapat melaksanakan yang terbaik demi masa hadapan umat Islam dan agama Islam di negara ini.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini melancarkan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan 1432 Hijrah.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: