DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 24 Disember 2012

Diakad dua kali selepas anggap dinikah imam UMNO tidak sah?



Akibat terlalu terpengaruh Amanat Haji Hadi, Daud Hussin, 50 sanggup diakad nikah sebanyak dua kali selepas beranggapan pernikahan yang dilakukan oleh imam UMNO tidak sah.

Ketika mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada tahun 1984 itu, Daud berkata, beliau pada mulanya menggunakan khidmat imam UMNO bagi membolehkan proses perkahwinan didaftarkan selain menghormati ibu bapa dan keluarga pengantin perempuan.

''Bagaimanapun, beberapa jam kemudian saya menjalani upacara akad nikah kali kedua di rumah imam yang menyokong Pas kerana percaya proses pertama tidak sah di sisi agama Islam,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Tawar, dekat sini hari ini.

Menurut Daud, apa yang berlaku akibat ketaksubannya kepada Amanat Haji Hadi dan isu kafir mengkafir terhadap individu yang bersekongkol, menyokong dan mengundi UMNO.

Beliau berkata, sebagai penyokong kuat Pas pada waktu itu, tanggapan serong terhadap imam UMNO adalah bukan sahaja tidak sah menjadi jurunikah sekalipun memiliki tauliah yang berkaitan tetapi juga tidak boleh dijadikan imam sembahyang.

"Apabila difikir dan dikaji Amanat Haji Hadi dengan apa yang berlaku sekarang ia sebenarnya suatu kebodohan kerana ramai yang menjadi pak turut sedangkan amanat itu lebih bermotifkan politik bukannya perjuangan Islam yang sebenarnya.

"Mengambil tindakan melakukan akad nikah kali kedua dilakukan kerana percaya imam UMNO kafir. Tindakan sebegini bukan dilakukan oleh saya seorang tetapi keseluruhan anak-anak penyokong Pas yang baru berumahtangga ketika itu," katanya

Beliau diminta mengulas pengalamannya selama lebih 30 sebagai penyokong tegar Pas berikutan pendedahan bekas aktivis dan penyokong tegar parti itu, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afgghani bahawa puluhan ribu pengikut Pas masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi.

Menceritakan lebih lanjut mengenai upacara akad nikah tersebut, Daud berkata, pernikahan pertama dilangsungkan di rumah keluarga isterinya di Beris Kubur Besar, Bachok dan dalam tempoh beberapa jam selepas imam UMNO itu pulang majlis akad nikah dilangsungkan semula atas desakan semua anggota keluarga serta kerelaannya sendiri.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana tanggapan bahawa akad nikah yang dijalankan oleh imam UMNO tidak sah yang boleh menyebabkan beliau berzina dan melahirkan anak luar nikah.

"Pada masa ini mungkin akad nikah semula tidak berlaku berbanding ketika isu kafir kuat dicanang oleh pemimpin parti yang pernah saya sokong,'' katanya.

Daud berkata, dengan darah muda ketika itu dia juga pantang menyentuh bendera UMNO yang dianggapnya haram untuk dipegang kerana beranggapan ia setaraf dengan bendera musuh yang menentang perjuangan Islam.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 22 Disember 2012

Projek pembalakan di Kelantan: Benarkah Ngeh, Nga terbabit?



Pengerusi DAP Perak mengaku buat pelaburan

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mengaku beliau dan sepupunya, Nga Kor Ming yang juga Setiausaha DAP negeri itu, melabur dalam syarikat Upaya Padu Sdn Bhd yang mendapat projek pembalakan di Kelantan.

ADUN Sitiawan dan Ahli Parlimen Beruas itu berkata, mereka menyertai perniagaan berkenaan selepas diajak oleh anak guam mereka untuk melabur.

“Kami adalah sebahagian daripada pelabur dan semua transaksi diketahui oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Saya sudah tulis surat kepada LHDN,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Diberi tanah balak lebih 4,000 hektar

Beliau mengulas dakwaan blog Pisau.net sebelum ini yang mendakwa mereka melalui Upaya Padu diberi tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang, Kelantan sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menjadi Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Kelmarin, EXCO Kanan Kerajaan Perak, Datuk Hamidah Osman, berkata carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan Koo Ham dan Kor Ming adalah dua daripada enam ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Ditanya mengenai pendedahan dokumen dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa beliau mengeluarkan jutaan ringgit untuk projek berkenaan, Koo Ham berkata:
“Ini dibuat sekumpulan pelabur, apa yang dia (Hamidah) ada hanya satu dokumen saja. Sebagai seorang peguam, saya tidak boleh beri (dedahkan) semua transaksi.”

Ugut laporan polis

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, enggan mengulas lanjut isu itu untuk melindungi anak guam mereka mengikut Akta Profesion Undang-undang 1956.

Koo Ham turut mengugut akan membuat laporan polis mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Percetakan dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan, selain saman sivil terhadap media yang memfitnah mereka berkaitan isu berkenaan.

Beliau juga mengedarkan kenyataan media Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang menjelaskan tanah berkenaan adalah milik Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan syarikat terbabit diberi pajakan selama 50 tahun.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 7 Disember 2012

Anak muda penyokong Pas sertai UMNO!


MAHDZIR Khalid (tiga dari kiri) menerima borang menyertai UMNO daripada wakil 16 ahli Pas yang bertindak keluar daripada parti tersebut dalam majlis penyerahan borang keahlian UMNO di Kampung Genting Palas, Padang Terap, Kedah, kelmarin.

Perjuangan UMNO yang ikhlas dan berterusan dalam menjaga kebajikan rakyat berjaya menarik penyertaan sekumpulan anak muda dari Kampung Genting Palas serta Bendang Hilir di sini, untuk berada dalam parti itu.

Mereka merupakan antara 16 ahli dan penyokong Pas yang mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut untuk menyertai UMNO selepas kecewa dengan hala tuju Pas pada masa ini.

Salah seorang daripada mereka, Mohd. Shukri Che Dam, 23, berkata, dia dan rakan-rakannya menyedari perjuangan Pas semakin jauh tersasar selepas parti itu bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dia yang menyertai Pas sejak tiga tahun lalu berkata, perjuangan Pas kini didapati dipengaruhi pemimpin tertentu dan bukan berdasarkan kehendak majoriti.

"Pemimpin pertengahan Pas takut sangat hendak mengkritik pemimpin atasan khususnya dalam soal pelaksanaan hukum hudud yang disanggah DAP.

"Kami golongan muda sangat kecewa dengan perkembangan ini dan sebab itu memilih UMNO yang lebih konsisten memperjuangkan Islam untuk meneruskan agenda memartabatkan agama dan orang Melayu," katanya ketika ditemui pemberita ketika menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Ketua UMNO Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini malam tadi.

Zakiah Arshad, 32, pula berkata, dia kecewa kerana pemimpin Pas di kawasannya tidak mengendahkan kebajikan anggota terutama semasa mereka memerlukan bantuan.

Sebab itu katanya, dia bersama ibunya, Zainab Ahmad, 58, menyertai UMNO dan lima lagi adik beradiknya akan menyusul berbuat demikian.

Sementara itu, Zainab mendakwa, tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang menziarahi suaminya, Arshad Husin, 78, yang sedang sakit ataupun diberi bantuan.

"Sebaliknya, bantuan termasuk semasa banjir disumbangkan oleh pemimpin UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu berkata, perkembangan yang berlaku itu dipercayai dapat mengukuhkan lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Parlimen ini.

Katanya, penyertaan ramai golongan muda ke dalam UMNO menyerlahkan kesedaran generasi hari ini bahawa mereka memahami perjuangan parti itu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Saya mendapat tahu ramai lagi yang bakal keluar Pas untuk menyertai kita. Saya mengalu-alukan penyertaan mereka kerana UMNO tidak sekali-kali menutup pintu atau menghalang sesiapa sahaja yang mahu berjuang bersama-sama.

"Saya juga berterima kasih kepada anggota Pas yang menyokong perjuangan UMNO," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 6 Disember 2012

Nurul jangan campur isu keselamatan!



Ahli politik terutama kalangan pembangkang diingat supaya berhenti bercakap tentang pasukan keselamatan dan aset pertahanan negara demi populariti apatah lagi tanpa mengetahui fakta sebenar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan mempertikaikan kemampuan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan merupakan amalan yang tidak wajar kerana isu tersebut langsung tidak boleh dipolemikkan.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya berlaku dalam kalangan ahli politik negara ini tetapi tidak berlaku di luar negara yang ahli politiknya amat menghormati institusi keselamatan negara masing-masing.

"Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan dan pertahanan dan saya tak nampak ahli politik di negara luar yang mempertikai kemampuan, kesiapsiagaan anggota polis dan tentera.

"Di negara kita sahaja berlaku perkara ini. Jadi semak fakta dulu sebelum berbicara isu keselamatan kerana akhirnya tindakan itu menempelak diri sendiri dan diketawakan oleh para pegawai yang mengetahui fakta berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO diminta mengulas tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyangkal kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar kononnya bilangan anggota polis di negara ini sudah mencukupi.

Selain mengemukakan fakta salah kononnya statistik bagi setiap anggota polis dan penduduk adalah 1:270, Nurul Izzah turut berjanji untuk membekukan pengambilan anggota polis jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum nanti.

Pada 2010, Ahmad Zahid pernah menempelak Nurul Izzah kerana anak Ketua Pembangkang itu dalam satu temu bual dengan akhbar Indonesia mendakwa kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam, selain merupakan aset terpakai dan usang.

Ahmad Zahid menambah, Nurul Izzah sepatutnya menghormati dan menyerahkan soal keselamatan serta pertahanan kepada golongan profesional yang berkecimpung dalam bidang itu.

"Sektor keselamatan dan pertahanan janganlah disentuh. Biar profesional polis dan tentera menjalankan tugas mereka. Walaupun tidak menghormati mereka, hargailah dan berikan sepenuh kepercayaan kepada polis dan tentera untuk menjaga hal mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengenal pasti lima pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang kini diperhalusi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan untuk menggantikan MiG-29N dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Keputusan muktamad akan dibuat dan ia bergantung pada situasi yang sesuai untuk diumum," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 13 November 2012

Nurul Izzah patut tarik balik kenyataan dan bertaubat?



Wawancara bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Md. Isa dan juga ahli Majlis Syura Pas yang tersiar dalam Mingguan Malaysia amat tepat sekali. Nurul Izzah Anwar tidak patut berdalih lagi kerana kenyataannya di majlis forum itu ibarat 'sudah terang lagi bersuluh.'

Beliau harus jujur dengan kenyataannya kerana maklumat kontroversial itu tersiar mulanya dalam portal pembangkang Malaysiakini. Utusan Malaysia hanya memetik semula apa yang dikatakan.

Ucapannya yang dirakamkan, transkrip yang disiarkan sangat jelas mengenai apa yang dikatakan. Mengapa Nurul Izzah harus berdolak dalik sehingga ayahnya, Anwar Ibrahim cuba menyalahkan orang lain mengenai apa yang berlaku.

Penanya soalan Siti Zabedah Kasim ahli Majlis Peguam dalam forum itu menyatakan dengan jelas apa yang sebenarnya diucapkan oleh Nurul Izzah dan Nurul Izzah tidak berani komen.

Apakah Nurul Izzah mewarisi perangai bapanya "lawan tetap lawan" atau terus menyalahkan orang lain dan ghairah ingin menyaman Utusan Malaysia dan tidak berani menyaman portal Malaysiakini? Mengapa Nurul Izzah bersikap berpilih sedangkan perjuangan partinya adalah ke arah keadilan.

Reaksi terhadap kenyataan Nurul Izzah ini amat luar biasa sekali. Pada hemat penulis penafian Nurul Izzah dengan apa yang dikatakannya memerangkap diri.

Kekayaan Allah menyerlahkan siapa sebenarnya Nurul Izzah yang mewarisi sikap ayahnya bila ayahnya menjawab isu Lina Joy yang juga kontroversial suatu ketika dulu.

Tafsirnya terhadap "Tiada paksaan dalam beragama" dalam konteks al-Quran dan Perlembagaan Malaysia memperlihatkan kedangkalan Nurul Izzah memahami ilmu tafsir yang sebenar dan cuba memberi jalan kepada orang Melayu boleh memilih jalan murtad.

Kenyataan Nurul Izzah amat berbahaya dan terkait rapat dengan faham liberalisme dan pluralisme agama. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kenyataan Nurul Izzah itu celaru tapi mencari dalih menyalahkan pihak lain dan Datuk Abdul Hadi Awang menganggap ia isu remeh dan tumpuan harus diberikan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 sementara Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kenyataan Nurul Izzah itu mungkin disalah tafsir.

Bagi khalayak yang mengikuti perkembangan diri Dr. Asri sesuai dengan ungkapan "Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah."

Isu kontroversial yang berbangkit adalah isu akidah dan isu Islam. Pas sepatutnya mengambil sikap yang jelas dan tegas terhadap perkara ini. Keberanian Nasharuddin dalam kenyataannya patut dipuji.

Tidak banyak orang Pas terutama pemimpinnya berani menyatakan kebenaran dan sebahagiannya membuat kenyataan dengan berdalih.

Kepada Nurul Izzah berlaku jujurlah kepada diri. Allah mengetahui apa yang kamu lafazkan. Hati kecil kamu lebih tahu apa yang kamu ucapkan. Sebagai orang Islam langkah terbaik ialah menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf kepada umat Islam atas keterlanjuran itu dan dengan Allah mohon keampunan, kerana Allah amat mengetahui apa yang berlaku.

Bagi Pas harus tampil menyatakan yang benar itu benar dan jangan letakkan politik mengatasi kebenaran.

Politik menjaga hati dan kerusi bukanlah maslahah yang dianjurkan oleh Islam. Apalagi isu yang berbangkit menyentuh isu akidah dan isu yang boleh membawa kepada murtad.

Pas harus peka dengan perkembangan terkini mengenai aliran liberalisme dan pluralisme agama yang amat bahaya bagi umat Islam. Gerakan evangelis yang semakin agresif kini harus menarik perhatian pemimpin Pas daripada sikap apologetik kepada sensitif terhadap strategi orang lain.

Nurul Izzah juga menyebutkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Ia juga adalah isu zina. Zina sama ada berlaku secara terang atau private tetap salah dari sudut hukum Islam. Janganlah gunakan isu agama untuk memenangi pengaruh politik dan undi. Kenyataan Nurul Izzah mengenai agama dan LGBT memberi signal yang salah.

Sebagai orang Islam Nurul Izzah harus lebih bertanggungjawab. Perjuangan kebebasan bersuara yang beliau tuntut jangan sampai menafikan hak orang lain bersuara.

Kata pepatah lama, 'orang lain berlari, di laman sendiri bertenjet (berhati-hati).' Itu tidak adil namanya.

Menyaman Utusan Malaysia tidak Malaysiakini adalah langkah berpilih. Ayah Puan selalu membangkitkan isu berpilih dalam banyak kes mahkamah yang terdahulu. Reaksi khalayak berasaskan data dan fakta.

Nurul Izzah harus menerima hakikat kecanggihan teknologi boleh menyebabkan fakta diperolehi dengan cepat dan tepat. Minta maaflah dan bertaubatlah secara jiwa besar kerana ia menyentuh akidah dan isu murtad.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 4 November 2012

Akibat tamak, pembangkang 'adik beradik 3N' di Perak asyik 'berperang' berebut agihan kerusi pilihanraya?



Cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya parti pakatan pembangkang mengamalkan polisi 'satu calon, satu kerusi' membuktikan mereka kini 'berperang' berhubung agihan kerusi pilihan raya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dasar itu sudah menjadi amalan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, kecuali di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

"Setiap kali pilihan raya, kami tidak pernah melihat ini sebagai satu masalah besar tetapi pembangkang kini sedang berperang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak 2012 di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Karpal supaya wakil rakyat DAP yang menyandang dua kerusi perlu memilih hanya satu kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dasar 'satu calon satu kerusi' yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pemimpin DAP.

Zambry berkata, soal calon bertanding dua kerusi menjadi masalah dalaman DAP, termasuk di Perak apabila Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming menyandang dua kerusi.

Katanya, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga menyandang dua kerusi.

"Kita tahu kenapa perkara ini menjadi huru-hara termasuk di Perak. Kita kena tanya 'tiga beradik' atau 'tiga N' iaitu Nizar, Ngeh dan Nga," katanya.

Katanya, wakil rakyat yang menyandang dua kerusi tidak dapat menjalankan tugas dengan baik terutamanya apabila terpaksa memilih menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat.

"Kita dapat menyaksikan kadang-kadang dia datang tunjuk muka sekali sahaja dan lepas itu dia tidak datang lagi. Kita hendak komen lebih pun nanti dia kata ada tanggungjawab lebih besar. Jadi, dia kena fikirlah tanggungjawab yang mana satu lebih besar," katanya.

Sementara itu, mengulas kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang, Zambry berkata, perkara tersebut hanya gimik politik pembangkang.

"Mereka cabar sebab hendak tunjukkan kononnya mereka lebih popular daripada Perdana Menteri. Tak apalah, dia hendak lawan, lawanlah. Kita tengok siapa lebih popular," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 23 Oktober 2012

Sekolah 80 tahun ditutup ( SRJK Gandhi, Sitiawan )?


Pemandangan dari luar Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat

SITIAWAN - Nasib seramai 464 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat @( Nama lama - SRJK [Gandhi], Sitiawan ) di sini, masih belum ada kata putus meskipun sekolah itu bakal ditutup bermula 1 Januari tahun depan.

Terdahulu, tapak sekolah itu bakal diambil semula oleh sebuah persatuan yang mendakwa kawasan berkenaan adalah milik mereka.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) sekolah, Akmal Abdul Rahim berkata, ibu bapa telah mengambil kata sepakat memohon penangguhan penutupan sekolah sehingga sekolah baru selesai dibina.

“Kami telah mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan beberapa pegawai pelajaran untuk memohon pihak berkenaan membenarkan anak-anak kami bersekolah di sini sehingga sekolah baru siap.

“Kita akan sama-sama mencari tapak yang sesuai berhampiran kawasan ini untuk membangunkan sekolah baru bagi memberi kemudahan kepada murid di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penerangan dan penjelasan penutupan sekolah itu semalam.

Akmal berkata, saranan yang diberikan pihak berkaitan supaya memindahkan murid-murid di sekolah lain bukan tidak diterima namun, banyak faktor yang perlu difikirkan.

“Jika tukar ke sekolah berhampiran akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk keselamatan kerana keadaan jalan yang sibuk.

“Cadangan menumpang sementara di sekolah lain boleh menjatuhkan moral murid dan guru sekolah ini memandangkan status mereka
yang menumpang,” katanya.

Katanya, PIBG bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk JKKK kampung berhampiran, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Sitiawan,
Pakat, Taman Terus Maju, Perkasa Manjung, Mapim Manjung, Biro Pendidikan Wanita Bahagian Lumut, Persatuan Anak-anak Sabah Manjung dan gandingan 16 taman perumahan telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar untuk tindakan beliau.

Perlu adakan perbincangan terlebih dahulu

SEORANG bapa, G Mahalingan, 40, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu namun, sehingga kini belum ada sebarang penyelesaian.

“Apabila surat terakhir yang dihantar pihak berkaitan supaya mengosongkan kawasan ini sampai, barulah pelbagai alternatif dicari.

“Perkara ini sepatutnya diselesaikan dahulu lagi dan sekarang diharap supaya pihak berkenaan memberi kebenaran untuk kita menggunakan sekolah ini dahulu,” katanya. Zamri Abdullah, 51, berkata, perbincangan harus dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Pihak berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah dan Tanah Manjung harus melakukan perbincangan lebih mendalam mengenai perkara ini.

“Kami sebagai ibu bapa tidak mahu memindahkan anak-anak kami ke sekolah lain kerana faktor keselamatan. Ia juga menjadi beban kepada ibu bapa yang kurang kemampuan,” katanya.

Ibu bapa terikat jadual kerja

SEORANG lagi bapa, Zarrin Ali, 43, berkata, mereka amat berharap supaya sekolah itu dapat dikekalkan sampai bila-bila.

“Sekolah ini mempunyai murid yang ramai dan guru-gurunya juga komited dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Katanya, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan terikat dengan jadual
kerja yang tidak membolehkan mereka keluar sesuka hati.

“Apabila keadaan ini berlaku, kami menghadapi masalah dari segi pengangkutan anak untuk ke sekolah jika perlu dipindahkan,” katanya.

Apa kata pihak Pejabat Pelajaran Daerah

SEMENTARA itu, Pegawai Pelajaran Daerah Manjung, Muhd Suod Mat Thani berkata, pada 2010, sebuah persatuan telah menghantar surat untuk mengambil semula tanah sekolah berkenaan kerana mendakwa milik mereka untuk dimajukan.

“Selepas itu kami membawa perkara ini ke dalam mesyuarat tindakan daerah untuk mencari penyelesaian dan berusaha mencari tapak lain membangunkan sekolah baru.

"Perkara ini juga dibawa ke pengetahuan Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan sebuah tapak baru.

Usaha mencari tapak giat dijalankan namun hasilnya hampa kerana tapak berkenaan berada jauh kira-kira tujuh kilometer dari sini," katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran kemudiannya bersetuju membeli tapak asal sekolah itu daripada pihak berkenaan, namun malangnya mereka tidak bersetuju.

Muhd Suod berkata, pada 1 Oktober lalu pihaknya menerima surat terakhir daripada persatuan itu supaya mengosongkan sekolah dan diberi tempoh sehingga 31 Disember ini.

“Kita menyediakan alternatif untuk memindahkan murid-murid ke dua sekolah berhampiran iaitu SK Kampung Sitiawan dan SK Sri Selamat,” katanya.

“Kami tidak mempunyai kuasa menahan perkara ini, namun akan terus membawa ke peringkat atasan termasuk berjumpa dengan pihak persatuan untuk mendapat penyelesaian sewajarnya,” katanya.-SH

Warna-warni politik
Torashah