DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 29 Disember 2008

Nizar terkilan wakil rakyat PKR ingkar !

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terkilan dengan tindakan dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingkari larangan kerajaan negeri yang tidak membenarkan proses pemilihan ketua kampung baru.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye menyerahkan laporan berhubung pemilihan ketua kampung baru bagi Kampung Gunung Rapat yang akan diadakan Khamis ini.

"Saya terkilan dengan tindakan kedua-dua mereka kerana larangan itu sudah dimaklumkan sebelum ini. Justeru, saya mahu mereka menghantar laporan mengenai perkara itu kepada saya secepat mungkin.

"Saya ingin melihat kewajaran kedua-duanya meneruskan niat mereka sebelum tindakan susulan dilakukan ke atas mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah 1430 peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ming Kai dan Boon Chye masih meneruskan proses penamaan calon ketua kampung baru bagi Kampung Gunung Rapat di sini semalam, walaupun kerajaan negeri telah mengeluarkan larangan berhubung perkara itu.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga telah mengarahkan proses penamaan calon bagi jawatan berkenaan yang diadakan semalam dibatalkan dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengadakan pemilihan bagi jawatan berkenaan.

Dalam proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Fook Tat Chee itu, seramai lima penduduk kampung berkenaan berusia 39 hingga 68 tahun menawarkan diri bagi merebut jawatan itu.

Jumaat lepas, Menteri Besar membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk parti dalam Pakatan Rakyat mengadakan pemilihan ketua kampung baru kerana mesyuarat Exco kerajaan negeri telah memutuskan jawatan berkenaan hanya dibuat secara lantikan.
Torashah

Jumaat, 26 Disember 2008

HUDUD Senjata Politik Pas!

Bagi orang-orang Melayu amat sukar untuk membezakan antara UMNO dan PAS, kalau PAS mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, UMNO juga boleh mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, demikian juga kalau PAS mendakwa ianya memperjuangkan Islam, UMNO juga mendakwa ianya memperjuangkan Islam, bahkan dalam Perlembagaan UMNO sendiri tertulis dengan jelas matlamat Islam dalam perjuangannya.

Oleh itu untuk menunjukkan yang PAS itu lebih Islam dari UMNO, maka PAS telah membangkitkan hukum hudud yang belum lagi dibangkitkan oleh UMNO dan menggunakan hukum itu sebagai isu politik, supaya dengan demikian penonjolan Islam yang ada pada PAS itu dapat menenggelamkan Islam yang ada pada UMNO. Isu-isu lain seperti mengkafirkan UMNO, UMNO parti asabiah, UMNO mengasingkan agama daripada politik dan sebagainya dianggap sudah lapok sukar untuk dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi.

Justeru itu semasa kempen Pilihanraya Umum 1990, PAS telah membesar-besarkan isu hudud dan berjanji kepada rakyat, khasnya di Kelantan sekiranya parti itu berkuasa mereka akan melaksanakan hukum tersebut.Setelah PAS berjaya memerintah Negeri Kelantan, maka janji yang dibuat oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu hanya tinggal janji, kerana sebelum itu tidak ada apa-apa persediaan yang dibuat bagi melaksanakan hukum tersebut. Tetapi apabila Pilihanraya Umum yang baru heboh diperkatakan yang ianya akan diadakan tidak lama lagi, maka mahu tak mahu janji itu harus diselesaikan walau dengan apa cara sekalipun. Kalau tidak ianya akan mengancam kedudukan parti yang membuat janji itu.

Justeru itu dalam tempoh yang singkat, secara tiba-tiba pada 24 dan 25hb November 1993, maka bergemalah suara-suara yang lantang dan bersemangat di Dewan Undangan Negeri Kelantan, menandakan lahirnya hukum Hudud untuk dilaksanakan di negeri itu.Oleh kerana hudud itu sudah dan diluluskan berdasarkan kepentingan politik dan bukan berdasarkan kebenaran serta perancangan yang rapi dan menyeluruh, maka banyaklah kelemahan dan kelonggaran yang tidak mencerminkan Hudud Islam tetapi lebih mencerminkan Hudud PAS.

Antara kelemahan-kelemahan dan kelonggaran yang terdapat dalam Hudud PAS itu menurut mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana hukum tersebut tidak dibuat melalui proses mengikut kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan akidah feqah yang syaamil. Kajiannya amat terhad tidak boleh ditafsirkan sebagai selari dengan kaedah feqah untuk mencapai muslihat ummah. Undang-undang itu juga hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dikenakan mengikut Undang-undang Jenayah Biasa, perbezaan antara kedua-duanya amat ketara, tidak mencerminkan keadilan dalam apa jua sistem nilai dan agama. Justeru itu maka Hukum Hudud yang ditaja oleh PAS itu terpaksa ditolak dan dikaji semula.

Walaupun hukum itu ditolak, tetapi bagi pemimpin dan ahli-ahli PAS bukanlah merupakan masalah pokok yang perlu dikesali, yang penting mereka dapat melepaskan diri daripada ikatan janjinya terhadap rakyat Kelantan, kalau tidak janji itu akan mengancam kedudukan mereka dalam pilihanraya yang akan datang, sekarang mereka telah terselamat dari ancaman itu bahkan mereka juga telah mendapat modal baru untuk memancing undi dan modal itu sekarang telahpun kedengaran di sana-sini terkeluar dari lidah-lidah PAS yang panas dan membakar, kononnya UMNO menentang Hukum Hudud, UMNO membuat tipu helah untuk melaksanakan hukum hudud, UMNO menggunakan ulamak ala Amerika untuk menolak Hukum Hudud dan bermacam-macam tuduhan lagi dibuat.

Walau apa pun diperkatakan, UMNO tetap berpegang kepada aqidah dan kepercayaan bahawa Hukum Hudud itu adalah Hukum Allah yang jelas termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, ianya tidak boleh ditolak dan diingkari kebenaran dan kesempurnaannya, sesiapa yang menolak dan mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran dan kepada sesiapa yang menuduh orang lain menolak dan mengingkari Hukum Hudud itu seperti juga ia menuduh orang lain kafir, sekiranya tuduhan itu tidak benar maka tuduhan itu kembali kepada orang yang menuduh itu sendiri.

Ini berdasarkan Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abu Zar dalam Kitab Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim yang bermaksud;

"Barangsiapa yang menuduh fasik dan kafir, terhadap seseorang yang lain, maka ia sendiri akan menjadi fasik atau kafir, jika tuduhan itu tidak benar".

Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.

UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangannya dalam menegak dan mengembangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Dan undang-undang Hudud itu sebahagian kecil dari undang-undang Jenayah Islam yang sangat luas. Seperti apa yang telah dikatakan oleh Ustaz Abdul Hadi, “ Hukum Hudud itu adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam”.

UMNO juga tidak akan mencemarkan Hukum Hudud yang lebih sempurna dan agung itu di mata orang-orang bukan Islam lantaran kepentingan politik, sedangkan kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakannya belum lagi mengizinkan.

Taminsari
Shah Alam

Kafirkan UMNO Angkara Militan Pas – Nik Aziz!

Jika kenyataan Nik Aziz itu boleh diterima mewakili keseluruhan pandangan kepemimpinan Pas, ia jelas membuktikan selama ini parti itu tidak mengkafirkan UMNO. Ia juga bermakna UMNO, parti yang didokong oleh orang Islam, tidak pernah bercanggah dengan kehendak Islam.Soalnya mengapa perkara ini tidak pernah diperjelaskan sebelum ini?

Mengapa perkara ini dibiarkan berlarutan hingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam, berlaku perceraian suami, isteri dan perbalahan anak-beranak yang berbeza parti hinggakan berlaku sembahyang dua imam. Apa yang diketahui umum, pemimpin Pas turut mengkafirkan UMNO.Ia bukan sekadar inti ucapan di majlis ceramah, malah jelas membuktikan daripada pandangan orang Pas, UMNO adalah kafir.Mengapa hanya selepas Pas bercadang membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam, pandangan Pas terhadap UMNO berubah.

Umum mengetahui salah satu sebab UMNO dicap kafir ialah kerana ia bekerjasama dengan parti lain yang bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN). Sebaliknya apabila Pas cuba rapat dengan parti pembangkang lain yang bukan Islam, mereka menganggap ia dibenarkan oleh Islam kerana tujuannnya ialah untuk menegakkan keadilan.Apakah UMNO selama ini tidak pernah memperjuangkan keadilan terhadap rakyat? Apakah UMNO tidak pernah memperjuangkan nasib umat Islam?

Isu mengkafir UMNO berlarutan agak panjang. Sepatutnya, jika menyedari bahawa isu mengkafirkan UMNO dilakukan oleh pelampau dalam Pas, pemimpin parti itu segera memperbetulkan keadaan itu. Bukankah disebabkan ketika itu Pas melihat isu kafir-mengkafir itu memberi kelebihan politik, maka mereka mengizinkan UMNO dibelasah dengan tohmahan yang tidak sewajarnya dilakukan sesama Islam.

Mengapa ketika itu mereka sendiri tidak mengecam ahli-ahli yang dianggap pelampau dalam parti itu? Dengan membenarkan mereka membuat tuduhan seperti itu bermakna kepemimpinan parti itu juga turut bersubahat.Setidak-tidaknya, dengan kenyataan Nik Aziz itu jelas menunjukkan dalam Pas sendiri memang wujud kalangan ahli parti itu bersikap melampau. Islam tidak pernah merestui umat yang bersikap demikian.

Apakah dengan menjadikan pelampau dalam Pas sebagai sasaran, kepemimpinan Pas cuba mencuci tangan? Rentetan peristiwa yang berlaku sebelum ini jelas menunjukkan ketika debat UMNO-Pas diheboh-hebohkan apakah isu sebenar yang hendak dibincangkan? Bukankah ia mengenai isu kafir-mengkafir? Siapakah pemimpin Pas yang dinamakan untuk mengambil bahagian bahagian dalam debat? Bukankah mereka adalah pemimpin kanan Pas? Bukankah ketika itu Pas mendakwa sembelihan orang UMNO tidak sah dimakan, tidak sah berkahwin dengan orang UMNO dan berlaku peristiwa pengkebumian di tanah perkuburan berasingan?

Bolehkah Pas menutup kes sembahyang dua imam kerana menganggap tidak sah sembahyang berimamkan orang UMNO. Apakah Pas boleh menafikan hakikat ini?Sekiranya Pas benar-benar ikhlas, mereka sepaturnya mengeluarkan pendirian yang mengatakan UMNO adalah parti yang berjuang mengikut lunas Islam. Tidak perlu lagi parti itu berdolak dalik kerana apa saja isu yang dikemukakan oleh parti itu, adalah semata-mata untuk tujuan politik.

Kemungkinan besar kenyataan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu boleh menimbulkan kemarahan pemimpin Pas yang lain. Bagaimanapun mereka mungkin sukar untuk menyangkal kenyataan Nik Aziz itu kerana berbuat demikian hanya akan meletakkan diri mereka sebagai pelampau dalam Pas. Disebabkan Nik Aziz menyatakan isu itu dibangkitkan oleh pelampau dalam Pas, sesiapa sahaja yang cuba mempertahankan tuduhan itu, adalah tergolong dalam kumpulan pelampau dalam parti itu.

Adalah diharapkan dengan penjelasan Nik Aziz itu, isu UMNO kafir tidak sepatutnya lagi ditimbulkan. Sekiranya ada pandangan baru mengenainya bermakna mereka yang berbuat demikian menolak Nik Aziz. Jika kepemimpinan Pas berfikiran panjang, mereka seharusnya melihat diri sendiri dan bertanding dalam pilihanraya dengan isu yang lebih munasabah.
Bolehkah Amanat Hadi dimansuhkan. Hanya pemimpin-pemimpin Pas sahaja yang boleh menjawapnya?

Taminsari
Shah Alam.

Rabu, 17 Disember 2008

BUKTI HUBUNGAN DAP DAN PAP MASIH KENTAL!


LAWATAN KERJA TEKNIKAL PBT KE SINGAPURA

Pada 18 Disember hingga 20 Disember 2008, lawatan kerja teknikal dari semua pimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Yang di Pertua dan Setiausaha PBT, termasuk beberapa Pegawai Kerajaan Negeri dan Ahli Exco serta ADUN pergi melawat sambil belajar kerja ke negara Singapura . Kunjungan bertemu Pihak Berkuasa Bandaraya Singapura di susun oleh kerajaan Perak dengan kerjasama Kedutaan Singapura di Kuala Lumpur.

Kunjungan hormat Pesuruhjaya Singapura ke Malaysia, Mr. Jasudasen ke pejabat MB Perak tempoh hari telah memperakui lawatan ini serta aturan majlis lawatan kerja sewaktu berada di negara tersebut.
Nizar! Rakyatmu resah... Tolonglah mereka....! DAP loves PAP!
Kata Negeri Berkebajikan, apa lagi? Kebajikan Oh! Kebajikan!besi said...Dato seri...harga getah jatuh la..orang kampung banyak mengeluh... kerajaan negeri ada program yang boleh meringankan beban penoreh penoreh getah...ini?


Posted by Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin

Selasa, 16 Disember 2008

Kaum India mesti bersatu angkat taraf hidup!

Seperti yang disiarkan di ruangan rencana Utusan Malaysia pada hari ini Selasa 16-12-2008.

AGAK pelik juga apabila Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mendakwa hak kaum India telah diabaikan termasuk sukar menyertai sektor awam, gagal memasuki universiti awam, tidak diagihkan rumah murah dan tersisih daripada tender kerajaan.

Apakah tujuan sebenar Samy Vellu hendak memburukkan kerajaan Barisan Nasional dan di mana semangat setiakawan yang dijunjung sebelum ini. Jika semasa menjadi menteri, beliau menyatakan telah melakukan yang terbaik untuk kaum India di Malaysia, tetapi mengapa sekarang lain pula nada nadanya.

Sepatutnya Samy Vellu, MIC dan parti-parti yang mewakili masyarakat India berkerja keras untuk memperbaiki taraf hidup kaum India serta membendung penyakit sosial di kalangan mereka supaya tidak menjadi wabak. Samy Vellu pun tahu beberapa tempat di Lembah Klang, penduduk setempat hidup dalam ketakutan akibat gangguan daripada kumpulan-kumpulan haram.

Hindraf sendiri dalam salah satu tuntutannya mendakwa pihak polis tidak mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah sosial kaum India. Mereka menyalahkan pihak polis kerana tidak melakukan apa-apa. Dan apabila pihak polis bertindak agak keras dan tegas, mereka menuduh pihak polis cuba menghapuskan kaum India. Dengan sebab itu timbullah satu laman web yang diberi nama police watch oleh Hindraf sendiri dengan matlamat untuk mengawasi pergerakan polis. Inilah Hindraf yang dikatakan memperjuangkan hak asasi kaum India di Malaysia di mana Samy Vellu sendiri sudah mula terikut-ikut rentaknya.

Sebenarnya masalah masyarakat India hendaklah diselesaikan sendiri oleh orang- orang India seperti ketua-ketua masyarakatnya. Samy Vellu mungkin telah cuba sedaya upaya semasa beliau berada di dalam Kabinet. Malangnya, masalah terbesar di kalangan pemimpin-pemimpin India adalah kerana mereka tidak boleh bersatu. MIC dengan Samy Vellu-nya, IPF dengan ketua barunya, PPP dengan Kayveas-nya manakala MIUP dengan Nalakarupan-nya.

Walaupun mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang 2 juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin mereka tidak boleh duduk semeja untuk berbincang. Masyarakat keturunan India Malaysia sebenarnya masih kuat berpegang dengan 'sistem kasta' seperti yang diamalkan di negara India itu sendiri.

Perkara itu memang tidak boleh dinafikan. Kita boleh lihat sendiri cara-cara golongan bertaraf sederhana dan tinggi (kasta atasan) berinteraksi dengan golongan bertaraf rendah. Golongan bertaraf tinggi pada kebiasaan akan memandang rendah golongan bertaraf rendah. Agak sukar untuk dipercayai apabila ada kalangan masyarakat India yang masih berpegang kepada amalan ini. Sebab itu kita boleh lihat orang kaya dari golongan bertaraf tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan bertaraf rendah akan menjadi bertambah miskin.

Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri. Mungkin di atas sebab-sebab inilah mendiang Tan Sri Pandithan keluar dari MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin di kalangan penduduk keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet di seluruh negara.

Selagi ikatan 'kasta' tidak terlerai, selagi itulah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah-masalah lain kerana di kalangan mereka sendiri tiada kata sepakat. 'Sistem kasta' inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri.

Dan apabila mereka gagal, mereka akan menyalahkan orang lain terutamanya UMNO seperti yang didakwa oleh Hindraf kononnya kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO gagal membantu mengatasi masalah kaum India di Malaysia. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri. Akhir sekali satu soalan kepada Datuk Seri Samy Vellu. Mengapa hendak mendapatkan bantuan dari luar setelah anda sendiri berasa gagal memimpin kaum India di Malaysia?


TAMINSARI
Shah Alam

Selasa, 9 Disember 2008

Satu lagi usaha menghina bahasa kebangsaan !

MASALAH papan tanda pelbagai bahasa di George Town, Pulau Pinang belum selesai, kini Perak pula mahu memanaskan lagi isu ini. Walau apa pun hujah mengenai cadangan untuk menggantikan papan tanda jalan yang sedia ada dengan papan tanda pelbagai bahasa di Taman Cempaka, Ipoh, ia tidak patut dilaksanakan.

Apa yang dapat dirasakan, parti pembangkang yang berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Perak sejak lapan bulan lalu cuba mencabar kedaulatan bahasa kebangsaan.
Terdapat sesetengah pemimpin pembangkang terutama bukan Melayu langsung tidak menghormati Perlembagaan negara. Kenapa tembok di pintu masuk Taman Cempaka dan papan tanda jalannya hendak ditukar dengan pelbagai bahasa?

Kenapa mereka 'sakit hati' dengan papan tanda bahasa Melayu sedia ada?
Sudah terang lagi bersuluh, Taman Cempaka itu bukan kawasan pelancongan. Jadi apa kewajaran hendak ditukar papan tanda dalam tulisan rumi bahasa Malaysia itu?Kita percaya ada motif tersembunyi cadangan penukaran papan tanda yang cuba dilakukan oleh pemimpin pembangkang terutama bukan Melayu.

Daripada Pulau Pinang, tindakan tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah menular ke Ipoh. Jika perbuatan dan cabangan sebegini tidak dikawal atau dibantah habis-habisan, kita percaya banyak lagi kawasan yang dikuasai pembangkang bukan Melayu akan melakukan perubahan pada papan tanda jalan.

Apa yang kita bimbang ialah atas nama untuk menggambarkan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di kawasan terbabit, banyak lagi cadangan untuk mencabar perkara yang termaktub dalam Perlembagaan akan dilanggar dan 'diceroboh'.

Bermula dengan usaha yang boleh dianggap penghinaan terhadap bahasa kebangsaan, ditakuti ia akan mengotak-katikkan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan pusat. Penggunaan papan tanda pelbagai bahasa dan tulisan perlu dihentikan. Kita perlu mencari jalan penyelesaian supaya tidak diketawakan oleh generasi cucu cicit kita nanti.

Melihat perkembangan yang semakin tidak sihat ini, maka Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1967 patut dipinda dan dibentangkan di Parlimen dalam kadar segera. Ini kerana terdapat kelemahan dalam Akta itu hingga menyebabkan DBP tidak mempunyai 'taring' dan kuasa undang-undang dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

DBP yang diletakkan tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan tidak dapat bertindak ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang yang menggunakan pelbagai bahasa untuk papan tanda jalan di negeri tersebut. Tanggungjawab penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh diserah kepada Pihak Berkuasa Tempatan lagi. Banyak kepincangan telah berlaku sehingga penggunaan bahasa Melayu menjadi lintang-pukang.

Kita menyeru dibuat sesuatu. Semua ini perlukan kesungguhan politik dan keberanian di kalangan pemimpin. Jika kesilapan masa lalu kita perbetulkan dari sekarang, mungkin kita akan dapat melihat papan-papan tanda di kedai-kedai yang pada masa ini menggunakan pelbagai bahasa akan diturunkan dan diseragamkan dengan tulisan bahasa Melayu sahaja.

Suara Rakyat

Politik Tuntut-Menuntut

Isu ketuanan Melayu bukanlah satu isu baru yang telah dibangkitkan oleh parti-parti politik Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP. Ia adalah isu lama yang kerap kali digunakan sebagai senjata untuk mencari publisiti murahan dan pengaruh.

Seperti yang telah penulis tulis sebelum ini, parti-parti politik Cina tidak pernah serik, malah semakin berani dan lantang serta sengaja membangkitkan isu-isu perkauman yang berkaitan sensitiviti orang Melayu.

Ia sengaja dibangkitkan untuk menguji reaksi orang Melayu. Apatah lagi kedudukan orang Melayu berada dalam keadaan yang lemah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) Mac 2008. Apa yang dapat penulis katakan, orang Cina tetap tidak rugi apa-apa sama ada berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Mereka tetap menang sama ada berada dalam Kerajaan Pusat (BN) mahupun kerajaan negeri (Pakatan Rakyat).

Pada hemat penulis, inilah bentuk perubahan dikehendaki oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Pada persepsi Soi Lek, PRU 12 adalah petanda rakyat mahukan perubahan daripada perjuangan perkauman kepada perjuangan untuk semua bangsa Malaysia.

Inilah intipati ucapan beliau yang penulis layari dalam laman blognya. Pada Soi Lek, ucapannya telah dipolitikkan. Setelah membaca sepenuhnya teks ucapan beliau bertajuk Change the Game, penulis tidak nampak, ucapan beliau dipolitikkan oleh media, khususnya Utusan Malaysia.

Perubahan

Seperti kata-kata pemimpin-pemimpin Cina sebelum ini, Soi Lek mahukan rakyat Malaysia berubah seperti mana rakyat Amerika Syarikat yang memilih Barack H. Obama, merentasi batasan bangsa dan warna kulit. Perubahan yang dimaksudkan beliau termasuklah ungkapan ketuanan Melayu.

Katanya: "The slogan/phrase of 'Ketuanan Melayu', of Master and Servant relationship becomes unacceptable… the younger generation of various races will not accept it. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy. "We must change the concept of power sharing. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy."

Semua sedia maklum bahawa setiap negara yang dijadikan oleh Allah SWT ada tuan punya asal sesuatu bangsa. Dengan sebab itu, kita dapati bangsa-bangsa yang dijadikan Tuhan akan menjadi tuan di tempatnya. Misalnya, Ketuanan Melayu membentuk negara Melayu, Ketuanan Cina membentuk negara China, Ketuanan India membentuk negara India, Ketuanan Siam membentuk negara Siam (Thailand) dan lain-lain negara yang boleh dijadikan contoh.

Sepanjang tinjauan penulis, belum ada sesebuah negara menjadi majmuk secara semula jadi. Setiap negara bermula dengan satu bangsa. Dalam hal ini, sudah tentu kita menerima Orang Asli adalah penduduk asal dalam setiap negara di dunia ini. Kemajmukkan berlaku melalui proses migrasi.
Perlu diingatkan, penggunaan istilah ketuanan Melayu bukan perkara baru. Ia adalah bagi menggambarkan bahawa orang Melayu adalah etnik asal dan seharusnya mendapat hak-hak istimewa berbanding kaum lain seperti mana yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dipolitikkan
Penulis fikir orang Cina faham makna sebenar ketuanan Melayu tetapi sengaja dipolitikkan untuk mendapatkan political mileage terutama kalangan pemimpin mereka. Persepsi yang mengatakan jika orang Melayu adalah tuan, maka hambanya orang Cina sengaja diada-adakan. Begitu juga dengan ungkapan "Hidup Melayu". Jika Melayu hidup, siapa pula yang mati?Apa yang nyata, orang Cina sengaja memperbesar-besarkan isu ini, walaupun mereka tahu tujuan sebenar penggunaan istilah ini. Lebih ekstrem lagi, mereka menggunakan isu ini sebagai faktor kehilangan banyak kerusi BN dalam PRU 12.

Justeru, penulis ingatkan pemimpin-pemimpin Melayu supaya melayari laman web parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Cina ini serta buletin mereka untuk menyelami betapa kiasunya mereka. Isu-isu yang menjadi sensitiviti kaum bukan hanya diperdebatkan, malah dihina dan dikeji. Saya tidak menafikan juga laman-laman pemimpin Melayu yang lain.

Mewakili MCA, Ong Tee Keat ketika itu menjadi Naib Presiden, dengan nada keras meluahkan perasaan orang Cina terhadap istilah tersebut (The Star, 9 Mei 2008). Kenyataan Tee Keat bertepatan dengan dengan temu bual yang telah dilakukan oleh penulis sebelum ini (Temubual, 7 September 2007). Tee Keat menolak sama sekali istilah ketuanan Melayu, dengan anggapan orang Melayu adalah tuan, manakala orang Cina adalah hamba.

Ini bermakna, kenyataan Soi Lek bukanlah isu baru tetapi telah dibangkitkan sebelum ini, terutama ketika Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menghunus keris dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang ada kaitannya dengan ketuanan Melayu.Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2007, Hishammuddin telah memberikan penjelasan berhubung isu ini. Beliau memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu (orang Cina) tidak membangkitkan isu keris kerana ia merupakan sebahagian adat budaya Melayu dan bukan isu perkauman.

Orang Cina diingatkan supaya "jangan mencipta musuh yang tiada dan jangan takut dengan bayang-bayang". UMNO tidak akan melayan lagi polemik melulu mengenai keris yang masih belum reda sejak tahun lalu. Keris dianggap sebagai lambang perpaduan. Beliau turut menyindir orang Cina yang masih tidak memahami budaya Melayu setelah 50 tahun merdeka.

Apa juga alasan UMNO berhubung isu keris dan ketuanan Melayu, pemimpin Cina sengaja memutar-belitkan isu ini. Sejarah membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berakarkan bangsa Melayu (Comber, 2007). Walaupun ada yang beranggapan bahawa Orang Asli yang menjadi penduduk asal, namun sejarah menunjukkan bahawa Malaysia yang berasal dari nama Tanah Melayu berakar umbikan bangsa Melayu. Sebab itu, dalam banyak perkara, bangsa Melayu mendapat lebih keistimewaan dan keutamaan berbanding yang lain. Ini dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sejak awal-awal lagi (Haas, 1967).

Maka tidak hairanlah istilah 'Ketuanan Melayu' dan 'Hidup Melayu' selalu digunakan. Istilah ini telah menjadi sinonim dengan UMNO. Begitu juga dengan lambang keris yang menjadi simbol bendera UMNO. Secara mudah, ketuanan Melayu merujuk kepada suatu keadaan yang mana orang Melayu dan warisan mereka diberikan kedudukan yang wajar selaras dengan status sebagai bangsa atau penduduk asal negara ini. Ia sering dikaitkan dengan kedudukan orang Melayu dalam politik dan pemerintahan; sebagai pengendali utama negara.

Unsur-unsur penting lain yang dapat dilihat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan adalah kedudukan dan peranan Raja-raja, peranan Islam, kedudukan bahasa Melayu (Perkara 152) dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu (Perkara 153).

Ini termasuk juga adat istiadat dan seumpamanya, sehinggalah membawa kepada isu Tanah Rizab atau Simpanan Melayu. Semua perkara ini telah wujud sebelum Perlembagaan yang ada sekarang mula beroperasi pada tahun 1957 (Abdul Aziz Bari, 2006).
Penulis fikir orang Cina menyedari makna ketuanan Melayu yang merujuk kepada perkara-perkara di atas, tetapi mereka sengaja mencari publisiti murahan ketika pengaruh MCA dan Gerakan mula merosot di kalangan kaum Cina yang telah beralih kepada DAP.

Kata-kata Soi Lek yang mahukan perubahan adalah satu pembohongan. Soi Lek mahukan rakyat Malaysia menerima perubahan. Perubahan yang meletakkan kepentingan semua, bukan hanya satu-satu kaum sahaja. Katanya lagi, isu sekolah Cina bukan isu bangsa Cina tetapi isu nasional.

Dalam mengulas isu ini, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, menyarankan supaya sekolah vernakular ditutup. Sistem satu sekolah iaitu sekolah kebangsaan mesti diperkasakan. Ini bukanlah isu baru dan bukan mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular yang telah menjadi agenda politik tuntut-menuntut dan ugut-mengugut.

Orang Cina akan menggunakan isu ini untuk mendapatkan political mileage dalam BN dan Pakatan Rakyat. BN dan Pakatan Rakyat terpaksa tunduk kepada ugutan ini demi survival politik.Penulis tidaklah menyokong sangat saranan Mukhriz ini, tetapi pengalaman penulis memimpin PIBG di sekolah yang majoritinya pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC), menyebabkan penulis terpaksa bersependapat dengan Mukhriz .

Berkomunikasi

Kebanyakan pelajar vernakular tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Inggeris. Akhirnya, mereka tidak bergaul dengan pelajar-pelajar Melayu dan seterusnya ketinggalan dalam pelajaran apabila sampai ke peringkat menengah.Penulis cukup teruja apabila Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali begitu mempertahankan sekolah vernakular agar setanding dengan sekolah kebangsaan, dalam perbahasan Parlimen baru-baru ini.

Persoalannya, pernahkah Azmin membuat kajian kemampuan berbahasa Melayu dan tahap integrasi di kalangan pelajar di sekolah-sekolah vernakular? Sekadar mendengar aduan dan pergi membuat lawatan ke sekolah vernakular selaku Yang Berhormat adalah tidak mencukupi.

Cubalah menyelidiki dan berkomunikasi dengan pelajar-pelajarnya. Penulis berani beri jaminan bahawa sebahagian besar pelajar SJKC/T tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ramai yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Inilah akibatnya apabila sistem pendidikan diasing-asingkan dan dipolitikkan. Matlamat perpaduan nasional masih terlalu jauh untuk dicapai, apatah lagi untuk menanamkan semangat patriotik yang tinggi. Justeru, sudah sampai masanya kita jangan terlalu berpolitik sesama sendiri sehingga melupakan kepentingan masa depan negara yang lebih besar.


Suara Politik

Isnin, 1 Disember 2008

Apa Lagi Yang Bukan Melayu Mahu Dari Orang Melayu!

Sejak dari selesai PRU ke-12 yang lepas dan sepertimana yang kita ketahui akan keputusannya dimana lima negeri telah jatuh ketangan pembangkang, kian dilihat setiap hari bagaimana kaum bukan Melayu semakin berani mempertikaikan akan Ketuanan Melayu. Tidak kira kaum bukan Melayu dari parti pembangkang, begitu juga dengan rakan-rakan UMNO didalam Barisan Nasional. Ibarat menikam kawan dari belakang, inilah yang berlaku didalam senario politik negara.

Penulis tertanya-tanya apabila UMNO diasak bertubi-tubi oleh pihak pembangkang, dimanakah rakan-rakan utama UMNO dalam BN? Sepatutnya rakan-rakan utama BN inilah yang akan berdiri teguh dibelakang UMNO untuk menangkis segala serangan dari pihak pembangkang. Ini tidak, bukan sokongan seperti yang diharap-harapkan malah UMNO sendiri menerima tekanan dari dalam BN. Seolah-olah UMNO dibelasah dari luar dan dalam. Malah ada rakan-rakan utama UMNO mula bertindak dengan berani mengugut untuk meninggalkan Barisan Nasional jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Dimanakah semangat setiakawan dan persefahaman yang telah sekian lama dipupuk selama ini sejak dari merdeka lagi diantara semua parti-parti komponen Barisan Nasional. Apa lagi yang kaum bukan Melayu mahukan dari orang Melayu? Tidak cukupkah apa yang mereka telah perolehi dan kecapi setelah keturunan datuk moyang mereka diterima sebagai warganegara tanah air tercinta ini. Tidak cukupkah lagi dengan penguasaan ekonomi yang mereka dominasi sehingga mampu mengurangkan tahap kemiskinan kaum-kaum mereka jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu?

Ingatlah kaum bukan Melayu,orang Melayu juga berhak menikmati hidup yang sempurna di tanah air mereka sendiri. Orang Melayu tidak mahu hidup merempat ditanah air mereka. Orang Melayu tidak meminta apa-apa dari bukan Melayu. BN yang ditunjangi oleh UMNO telah berusaha merangka berbagai polisi untuk menaikan taraf hidup orang Melayu sejak merdeka disamping tidak mengabaikan hak-hak kaum lain. Adakah orang Melayu meminta kaum bukan Melayu supaya mengabaikan atau memansuhkan bahasa, adat resam dan sekolah-sekolah bukan Melayu? Malah kebanyakan sekolah-sekolah mereka telah turut dibantu oleh kerajaan.

Ingatlah kaum bukan Melayu, tidak ada didalam dunia ini manusia yang begitu baik bernama “ Melayu “ yang sanggup menerima kaum-kaum pendatang ini sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan. Tanah Melayu tidak meletakkan apa-apa syarat kepada kaum bukan Melayu untuk menerima mereka sebagai warganegara Tanah Melayu. Malah mereka bebas mengamalkan adat resam mereka selepas merdeka.

Jangan cepat lupa sejarah pembentukan Malaysia. Untuk apa kita merayai hari ulang tahun kemerdekaan pada saban tahun jika semua rakyat Malaysia tidak mahu menghayatilah sejarah pembentukan Tanah Melayu. Inilah gunanya hari kemerdekaan disambut supaya rakyat dapat menghayati apa ertinya kemerdekaan dan bagaimana untuk terus mempertahankannya. Bagaimana pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang rata-ratanya orang Melayu berjuang menuntut kemerdekaan dari pihak penjajah.

Pejuang-pejuang Melayu terdahulu sanggup bermandikan darah mempertahan bumi tercinta ini dari terus dijajah untuk menjadikan Malaysia sepertimana yang ada pada masa ini. Adakah kaum bukan Melayu pernah berterima kasih pada orang Melayu diatas pengorbanan pejuang-pejuang Melayu terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara? Adakah kaum bukan Melayu tahu akan kehadiran Pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela dan lain-lain pejuang Melayu. Adakah kita pernah mendengar Kapitan Yap Ah Loy atau ceti-ceti sanggup mengangkat senjata berjuang bersama-sama dengan orang Melayu melawan penjajah? Tidak pernah.

Mengapa pejuang-pejuang Melayu sanggup bermandikan darah berjuang melawan penjajah? Kerana apa, kerana niat mereka cuma satu. Tanah air ini adalah tanah Melayu. Bermakna Melayu adalah tuan kepada tanah air bumi tercinta ini. Siapakah akan mempertahankannya kalau bukan orang Melayu itu sendiri. Sama juga dengan Singapura. Siapakah tuan tanah kepada negara Singapura sekarang walaupun ia sebenarnya pernah menjadi sebahagian dari tanah Melayu. Bolehkah orang Melayu Singapura mengatakan mereka adalah tuan kepada tanah Singapura. Tentu tidak boleh kerana sudah bertukar “ tuan “.

Maka tidak perlulah bukan Melayu terus mempersoalkan akan Ketuanan Melayu kerana semuanya sudah termaktub didalam perlembagaan. Boleh dikira dengan jari berapa ramai perajurit yang berpangkat rendah dari kalangan bukan Melayu kecuali bumiputra dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat didalam pasukan angkatan tentera Malaysia. Kalau mereka benar-benar sayangkan negara mengapa mereka tidak mahu menyertai angkatan tentera Malaysia bermula dari pangkat paling bawah. Kalau adapun yang mahu menyertai ,mengapa mereka cuma memilih untuk pangkat-pangkat atasan sahaja. Apakah jijik sangat pangkat bawahan itu?

Mengapa orang Melayu sahaja yang sanggup menggalas tangungjawab ini meninggalkan anak dan isteri serta keluarga berada didalam hutan atau disempadan untuk menjaga keselamatan negara sedangkan kaum bukan Melayu yang mendabik dada mengatakan yang mereka juga adalah “ tuan” kepada tanah air ini duduk bersenang lenang dengan rumah besar, kereta mewah dan segala kemewahan yang lain. Sanggupkah mereka yang bongkak dan lupa daratan ini berada bersama-sama perajurit Melayu didalam hutan demi menjaga keselamatan negara? Dimanakah bukan Melayu bila setiap tahun Tabung Rayuan hari Pahlawan dilancarkan? Berapa ramai yang sanggup menderma bagi membantu ahli-ahli keluarga perajurit yang daif ataupun yang terkorban semasa menjalankan tugas?

Begitu juga dengan tugas-tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Berapa ramaikah bukan Melayu yang mahu menjadi konstabel Polis? Mengapa jika ada cuma memilih pangkat atasan sahaja. Adakah pangkat bawahan ini untuk orang Melayu sahaja? Bukankah soal keamanan adalah tanggungjawab bersama. Malah ada ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kredibiliti anggota polis dalam menjaga keamanan negara. Sepatutnya sebagai rakyat dan pembangkang, beliau menyeru kepada bukan Melayu untuk menganggotai pasukan polis bagi sama-sama menjaga keamanan. Ini tidak, malah mempersalahkan pasukan polis dengan kadar jenayah yang tinggi sekarang.

Bagi penulis tanggungjawab pasukan Polis adalah seperti berat mata memandang, tetapi lebih berat bahu yang memikul . Cuma yang faham sahaja yang akan menghormati kerja-kerja yang ditanggung oleh pasukan Polis. Adakah tugas-tugas menjaga keselamatan dan keamanan terletak dibahu orang Melayu sahaja sedangkan kaum bukan Melayu sibuk menghimpun harta kekayaan. Adakah bukan Melayu pernah bersyukur dengan kenikmatan dan hidup senang lenang mereka sekarang adalah hasil dari susah payah orang Melayu yang menjadi pewaris kepada bumi tercinta ini.

Jika bukan Melayu masih lagi mempersoalkan tentang Ketuanan Melayu, adalah lebih baik mereka cermin dulu diri masing-masing tentang asal-usul mereka. Hayati apa itu kontrak sosial, apa itu rukun negara dan apa yang termaktub dan terkandung didalam perlembagaan. Ingatlah yang orang Melayu sudah banyak berkorban untuk bukan Melayu. Orang Melayu tidak meminta banyak kepada bukan Melayu, cuma diharap bukan Melayu menghormati hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Dr,Nazrin tidak lama dahulu:

Masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah ‘ Dimana bumi berpijak, di situ langit dijunjung ‘.

Sama-samalah kita renungkan.

Taminsari
Shah Alam.