DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 9 Disember 2008

Satu lagi usaha menghina bahasa kebangsaan !

MASALAH papan tanda pelbagai bahasa di George Town, Pulau Pinang belum selesai, kini Perak pula mahu memanaskan lagi isu ini. Walau apa pun hujah mengenai cadangan untuk menggantikan papan tanda jalan yang sedia ada dengan papan tanda pelbagai bahasa di Taman Cempaka, Ipoh, ia tidak patut dilaksanakan.

Apa yang dapat dirasakan, parti pembangkang yang berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Perak sejak lapan bulan lalu cuba mencabar kedaulatan bahasa kebangsaan.
Terdapat sesetengah pemimpin pembangkang terutama bukan Melayu langsung tidak menghormati Perlembagaan negara. Kenapa tembok di pintu masuk Taman Cempaka dan papan tanda jalannya hendak ditukar dengan pelbagai bahasa?

Kenapa mereka 'sakit hati' dengan papan tanda bahasa Melayu sedia ada?
Sudah terang lagi bersuluh, Taman Cempaka itu bukan kawasan pelancongan. Jadi apa kewajaran hendak ditukar papan tanda dalam tulisan rumi bahasa Malaysia itu?Kita percaya ada motif tersembunyi cadangan penukaran papan tanda yang cuba dilakukan oleh pemimpin pembangkang terutama bukan Melayu.

Daripada Pulau Pinang, tindakan tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah menular ke Ipoh. Jika perbuatan dan cabangan sebegini tidak dikawal atau dibantah habis-habisan, kita percaya banyak lagi kawasan yang dikuasai pembangkang bukan Melayu akan melakukan perubahan pada papan tanda jalan.

Apa yang kita bimbang ialah atas nama untuk menggambarkan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di kawasan terbabit, banyak lagi cadangan untuk mencabar perkara yang termaktub dalam Perlembagaan akan dilanggar dan 'diceroboh'.

Bermula dengan usaha yang boleh dianggap penghinaan terhadap bahasa kebangsaan, ditakuti ia akan mengotak-katikkan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan pusat. Penggunaan papan tanda pelbagai bahasa dan tulisan perlu dihentikan. Kita perlu mencari jalan penyelesaian supaya tidak diketawakan oleh generasi cucu cicit kita nanti.

Melihat perkembangan yang semakin tidak sihat ini, maka Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1967 patut dipinda dan dibentangkan di Parlimen dalam kadar segera. Ini kerana terdapat kelemahan dalam Akta itu hingga menyebabkan DBP tidak mempunyai 'taring' dan kuasa undang-undang dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

DBP yang diletakkan tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan tidak dapat bertindak ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang yang menggunakan pelbagai bahasa untuk papan tanda jalan di negeri tersebut. Tanggungjawab penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh diserah kepada Pihak Berkuasa Tempatan lagi. Banyak kepincangan telah berlaku sehingga penggunaan bahasa Melayu menjadi lintang-pukang.

Kita menyeru dibuat sesuatu. Semua ini perlukan kesungguhan politik dan keberanian di kalangan pemimpin. Jika kesilapan masa lalu kita perbetulkan dari sekarang, mungkin kita akan dapat melihat papan-papan tanda di kedai-kedai yang pada masa ini menggunakan pelbagai bahasa akan diturunkan dan diseragamkan dengan tulisan bahasa Melayu sahaja.

Suara Rakyat

1 ulasan:

Awang Kata berkata...

Dah tak tahan melihat bahasa Melayu dipinggirkan di negara sendiri.

Pihak pemerintah perlu perbetulkan keadaan ini dengan segera. Tempoh 50 tahun merdeka dah lebih memadai.

Cuma sedikit kuat kuasa dan kesungguhan setiap rakyat tentunya bahasa kebangsaan akan terserlah tentunya.