Setelah dikecam pelbagai pihak sebagai perbuatan biadab, tidak bertamadun, kurang ajar, keji dan memalukan rakyat Malaysia, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
Permohonan maaf itu dibuat ekoran perbuatan beberapa pemimpin utama parti itu termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang dan ahli parti itu memijak poster wajah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas di negeri itu baru-baru ini.
Bagaimanapun, permohonan maaf itu, menurut Setiausahanya, Nga Kor Ming tidak terpakai kepada semua ADUN berkenaan yang digelar tiga ekor 'katak'. ''Tetapi kita tidak mohon maaf kepada tiga ekor 'katak' kerana pepatah Melayu ada mengatakan, Melayu pantang derhaka, harapkan pagar-pagar makan padi, harap ADUN, ADUN lompat parti.
''Ini adalah budaya yang tidak sihat dan kita 100 peratus tidak bersetuju kerana kita berpegang teguh kepada prinsip parti,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. Beliau berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu dan tidak faham mengapa isu yang berlaku di peringkat mesyuarat dalaman itu diuar-uarkan sedemikian rupa.
Kor Ming mendakwa kesediaan memohon maaf itu kerana DAP adalah parti yang berbudi bahasa, dan tidak bertoleransi kepada pengkhianat rakyat. ''Sebenarnya, ia hanya untuk mesyuarat dalaman, saya pun kurang faham mengapa isu ini diuar-uarkan,'' katanya.
Muka depan Utusan Malaysia semalam menyiarkan gambar Kit Siang memijak poster tiga ADUN Bebas Perak, sementara anaknya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melompat melepasinya semasa memasuki dewan pada Konvensyen Tahunan Parti DAP Perak di Ipoh, Ahad lalu.
Menurut Kor Ming, perbuatan tersebut bertujuan menunjukkan rasa keji terhadap tiga ADUN Perak itu kerana berpaling tadah daripada prinsip demokrasi, kawasan Parlimen mereka serta parti sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan pembangkang. Beliau mendakwa, tindakan itu juga selaras dengan prinsip politik parti itu yang menentang rasuah politik dan budaya 'lompat parti'.
Ditanya sama ada permohonan maaf tersebut atas faktor desakan, beliau berkata: ''Kita manusia kadang-kadang ada buat silap, tetapi kita memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung perasaan," katanya. - UM
Warna-warni Politik
Torashah
3 ulasan:
Samseng demokrasi hasil didikan DAP
ISU pijak gambar belum habis diperkatakan. Malah ia pasti diingat sampai bila-bila. Masakan ada yang boleh melupakan sikap kurang ajar pemimpin DAP - yang kononnya 'pejuang demokrasi' - bertindak ketika demokrasi yang mereka harapkan tidak berpihak kepada mereka.
Orang ramai daripada pemimpin politik, badan bukan kerajaan dan rakyat pelbagai kaum dan agama, membantah perlakuan biadap tersebut.
Mungkin itu cara pemimpin DAP meluahkan rasa marah mereka. Namun cara itu sangat tidak bermaruah. Ia memaparkan kecetekan minda dan kegopohan dalam perjuangan 'demokrasi' mereka.
Paling aneh, sehari selepas insiden memijak gambar tersebut, pihak yang sama tiba-tiba mengutuk kumpulan yang membuat demonstrasi di depan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Isnin lalu.
Kumpulan yang mengadakan demonstrasi itu dikecam sebagai liar serta berlagak seperti samseng. Malah ADUN BN dituduh mendalangi demonstrasi itu yang disertai oleh kira-kira 100 orang itu.
Kecaman oleh DAP itu memang pelik. Sebelum ini parti itu merestui semua demonstrasi pakatan pembangkang.
Maka kerana itulah rakyat negara ini dipamerkan dengan siri demonstrasi oleh ADUN DAP dan pembangkang yang lain di Perak.
Mereka berbuat apa sahaja untuk mengganggu perjalanan sidang DUN Perak termasuk membuat kecoh di dalam Dewan.
Tetapi apabila ada segelintir rakyat berdemonstrasi menyatakan bantahan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP, mereka digelar sebagai samseng.
Jika ada pihak yang menyatakan bantahan kepada BN, mereka adalah 'pejuang'. Tetapi jika ia ditujukan kepada DAP, ia satu bentuk ancaman dan tindakan samseng. Memang aneh dan pelik.
Persoalannya, sampai bilakah DAP akan meneruskan sikap double standard tersebut? Dan sampai bilakah demokrasi ala DAP akan diteruskan?
Adakah insiden pijak gambar itu akan diteruskan lagi jika masih ada wakil rakyatnya berpaling arah?
Berdasarkan perlakuan pemimpin DAP memijak gambar, parti itu pastinya tidak mengharapkan mana-mana wakil rakyat BN untuk melompat parti menyertai mereka.
Lagipun adakah wakil rakyat BN yang mahu menyertai parti yang tidak rasional itu?
Namun jika ada yang mahu berbuat demikian, bagaimanakah nasib mereka? Apa yang akan dilakukan oleh DAP? Tentu serba salah. Yang pasti, gambar mereka tidak akan dipijak!
Pengajaran positif daripada insiden demonstrasi di luar bangunan DUN Pulau Pinang itu ialah mungkin tiada lagi demonstrasi anjuran DAP selepas ini. Mereka pastinya tidak mahu pengikut mereka mendapat gelaran yang sama - samseng. Semoga selepas ini, kita akan aman daripada menyaksikan demonstrasi jalanan anjuran DAP dan pakatannya.
Biarkanlah DAP terjun dengan labu-labunya. Mereka yang waras boleh menentukan kerajaan pimpinan siapakah yang lebih afdal untuk memerintah negara ini.
Juragan agak tertarik dengan langkah DAP Perak memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan para pemimpin parti itu memijak potret tiga wakil rakyat Bebas DUN Perak Ahad lepas.
Namun bagi Juragan, permohonan maaf itu belum memadai lebih-lebih lagi mereka yang melakukan perbuatan itu bukanlah ahli biasa sebaliknya mereka yang memimpin parti tersebut.
Lagi pun kesan perbuatan tidak bermoral itu telah pun dirasai terutama terhadap cara berbudaya masyarakat serta tiga individu terlibat dan langkah memohon maaf tidak memberi makna banyak dalam mengikis kesan terbabit.
Permohonan maaf tersebut sewajarnya diluahkan sendiri oleh para pemimpin yang terlajak perbuatan itu.
Bagi Juragan, para pemimpin DAP terbabit terutama Penasihat parti, Lim Kit Siang bukan sahaja perlu mengelak daripada melakukan perbuatan tersebut yang dianggap oleh Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming sebagai satu kesalahan, malah perlu menjadi orang yang menghalang perbuatan seumpama itu.
Apa pun perbuatan memalukan itu telah menelanjangkan sikap buruk mereka yang melakukannya.
Juragan – Terpijak semut merah!!!
PADA 8 Mac 2008, seramai 3,796,464 pengundi melontarkan sokongan kepada pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.
Selain daripada penyokong tegar ketiga-tiga parti berkenaan, undi yang diberikan oleh golongan atas pagar juga telah memungkinkan pembangkang mencapai kejayaan yang dianggap cemerlang. Kali terakhir kejayaan itu dirasai oleh pembangkang sebelum ini ialah pada 1969.
Akibat daripada lontaran undi itu yang kemudiannya dianalisis sebagai ‘undi protes’ terhadap kepimpinan kerajaan, Barisan Nasional (BN) mencatatkan rekod terburuk dalam sejarahnya.
Parti itu hanya memenangi 140 kerusi Parlimen (menjadi 139 kerusi apabila calon BN tewas padam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu pada awal tahun ini) dan 305 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pembangkang pula memperoleh 82 kerusi Parlimen (kini 83 kerusi selepas menawan Kuala Terengganu) dan 196 kerusi DUN (berkurangan kepada 191 kerusi selepas empat ADUN dari PKR dan DAP isytihar menjadi calon Bebas).
Daripada keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-12 itu juga, BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (selama 11 bulan), ia belum termasuk Kelantan yang terus berada dalam genggaman Pas sejak tahun 1990.
Keputusan tersebut disambut dengan begitu gembira oleh pemimpin pembangkang, malah penyokong-penyokong mereka bagaikan berpesta. Ia dianggap kemenangan bersejarah dan digembar-gemburkan sebagai bermula era kejatuhan BN.
Tanpa mahu mengkaji kenapa keputusan tersebut berlaku, ketiga-tiga parti pembangkang menjadi angkuh. Mereka berasa begitu bangga kerana berjaya menjadi kerajaan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Pelbagai serangan, kecaman dan tuduhan dilemparkan kepada BN bagi memburukkan lagi imej parti itu yang dianggap semakin ditolak oleh rakyat.
Bagi rakyat yang menyokong pembangkang pula, mulai Mac 2008, mereka ternanti-nanti perubahan dan kepimpinan bertenaga yang sebelum ini digambarkan oleh PKR, DAP dan Pas bahawa merekalah lebih baik daripada BN.
Tetapi tidak sampai setahun memerintah dan kini sudah 21 bulan berkuasa serta diberi mandat memiliki jumlah anggota yang ramai di Parlimen, pembangkang hanyalah ibarat tin kosong, bunyi sahaja kuat tetapi isinya tiada.
Dalam masa yang sama, satu demi satu kemelut melanda parti-parti tersebut sama ada PKR, DAP atau Pas. Masing-masing mempunyai masalah sendiri tetapi yang anehnya, sindrom penafian yang sebelum ini dikaitkan dengan BN ‘berjangkit’ dengan parti pembangkang.
Namun apa sahaja masalah dan konflik yang mereka hadapi, BN pula yang dituduh menjadi dalang atau “mainan media arus perdana”. Mereka tidak mahu mengakui kelemahan yang ada pada diri termasuklah kerakusan ketika memerintah apabila diberi kuasa oleh rakyat.
Catat Ulasan