DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 31 Mei 2010

Terima RM2 juta: Wee Choo Keong belasah Anwar…selesai dulu kes liwat!


Ingat lagi pembohongan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya sudah cukup bilangan ahli parlimen BN yang akan lompat sertai pembangkang tawan Putrajaya ikut pintu belakang?

Ketua Pembangkang itu juga dakwa kata ada surat perakuan ahli parlimen itu tetapi semuanya temberang kerana apabila tiba 16 September, tak ada seorangpun ahli parlimen BN lompat parti. Anwar dan geng-gengnya dalam DAP dan PAS putih mata. Rakyat dalam dan luar negara pula kena tipu bulat-bulat.

Sebab itu Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju, Wee Choo Keong mengulangi kisah 16 September bagi menunjukkan Anwar sekali lagi cuba temberang kononnya akan dedahkan wakil rakyat PKR yang keluar parti terima habuan kontrak dan jadi jutawan.

Mengenali Anwar kata Wee amat mudah kerana jika Ketua Umum PKR itu ada maklumat itu, beliau tidak akan simpan lama-lama dan lebih baik mendedahkannya untuk menarik perhatian umum.

Pesan Wee yang pernah berada bersama DAP dan PKR, kepada Anwar, “Jangan tuduh orang suka-suka. Masa dalam parti (bersama PKR) semua ok…bagaimana jahatpun OK. Little Napoleons dan Fir’aun-Fir’aun Kecil pun OK asalkan dapat capai matlamat terakhir tawan Putrajaya,”.

Pesan beliau lagi, lebih baik Anwar selesaikan kes dakwaan liwatnya di mahkamah terlebih dahulu daripada bercakap mengarut untuk raih simpati rakyat. Sebagai seorang peguam, Wee turut hairan mengapa kes itu kerap tertangguh dan macam-macam alasan dibangkitkan peguam ahli parlimen Permatang Pauh itu.

“Sudah lebih 20 tahun saya jadi peguam, tak ada kes pelik macam ini. Kalau orang tak bersalah, mereka cepat-cepat nak selesaikan kes,” katanya yang menghubungi di sini. Bagi Wee adalah lebih baik kes itu diselesaikan dan jika Anwar tidak bersalah, bolehlah beliau bercakap ‘dirinya bersih’ dan rakyat boleh terima apa dikatakannya.

Diminta mengulas mengenai tuduhan Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamarudidn bahawa wakil rakyat atau ahli PKR yang keluar atau lompat parti adalah mereka yang terencat akal atau syndrom down, Wee ketawa panjang. Kalau macam itu katanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pun ada syndrome down sebab beliau pernah bersama BN pada 1974 dan bertanding atas lambang sama.

Lagi berat katanya, Anwar, Saifuddin Nasution, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Zaid Ibrahim dan ramai lagi pernah bersama UMNO dan sekarang mereka keluar atau lompat masuk PKR. “Maknanya mereka juga terencat akal macam kata Zuraidah,” sindir Wee.

Kesimpulannya kata Wee lagi, Anwar dan PKR semakin terdesak dengan memberi macam-macam tuduhan untuk mengelirukan rakyat. “Ini ciri-ciri parti dan pemimpin desperado yang perjalanan ke Putrajaya semakin jauh berbanding ke Sungai Buloh,” kata Wee yang meninggalkan PKR baru-baru ini.

Tungguuuu…

Wakil Rakyat PKR yang sudah lompat kenalah siap sedia tunggu apa ceritanya.Ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dakwa beliau ada bukti kukuh ada kalangan mereka ditawar RM2 juta dan kontrak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kongres PKR yang sedang berlangsung di Kota Bharu,Penasihat PKR itu kata beliau akan membuat pendedahan itu dalam masa terdekat.

Dakwaan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen PKR ditawar macam-macam bukanlah cerita baru.Malah semua yang keluar parti dituduh kena beli.

Agenda Daily

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 24 Mei 2010

Ambil tindakan tegas terhadap Raja Petra!

Kerajaan didesak supaya mengambil tindakan tegas dengan segera ke atas pengendali portal berita antikerajaan Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mencabar kerajaan supaya mendakwanya di mahkamah United Kingdom (UK) dalam satu ceramah di negara itu semalam.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, dengan kemunculan semula Raja Petra dan cabaran terbuka yang dilemparkannya, kerajaan tidak boleh lagi berlengah dan memberi pelbagai alasan untuk mengambil tindakan terhadapnya.

"Kalau sebelum ini alasan diberi ialah tidak tahu di mana tempat persembunyian Raja Petra, kini pengendali portal itu telah membuat kemunculan semula dan mendedahkan lokasinya. "Bahkan secara terbuka dia bukan sahaja mencabar kerajaan tetapi menempelak sistem kehakiman kita. Bila lagi tindakan hendak diambil,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemunculan semula Raja Petra semalam dan cabaran yang dilemparkan kepada pihak berkuasa agar membawa segala pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di mahkamah UK.

Raja Petra seperti yang dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysia Today serta Malaysian Insider dan Malaysiakini mendakwa dia sedia berhadapan dengan semua pertuduhan itu kerana menganggap UK sebagai 'wilayahnya'. Mengulas lanjut mengenai tindakan Raja Petra itu, Mohd. Hilmi menyifatkan pengendali portal itu sebagai penakut dan cabaran tersebut tidak perlu dilayan.

"Jika benar tidak bersalah, baliklah berdepan dengan sistem perundangan negara. Pertuduhan yang dibuat itu dilakukan di negara ini, jadi kenapa perlu dibicarakan di UK. "Contohnya, kalau sayalah yang menjadi mangsa dalam apa jua kes, takkan saya hendak buat laporan polis di Indonesia dan minta dibicarakan di Singapura, sedangkan kes itu berlaku di Malaysia.

"Tuduhan kononnya sistem perundangan dan kehakiman kita tidak adil hanyalah alasan politik. Jika tidak telus, masakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh semua layanan terbaik dalam kes liwatnya,'' jelasnya. Sehubungan itu tegas beliau, sudah sampai masanya pengendali portal itu diekstradisi ke negara ini bagi membolehkan perbicaraan segera dilaksanakan.

Mengenai tindakan Raja Petra mempersoalkan hak perundangan yang sama rata Mohd. Hilmi berkata, jika tidak yakin dengan sistem kehakiman dan perundangan Malaysia, pengendali portal itu tidak layak lagi menjadi warganegara Malaysia. Menurutnya, Raja Petra boleh melucutkan kerakyatannya dan memohon kerakyatan Britain kerana dia lebih yakin dengan sistem perundangan dan kehakiman negara tersebut.

Dalam pada itu Presiden Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku), Tan Sri Adam Kadir memberitahu, tindakan Raja Petra itu bertujuan memastikan dia memiliki masa serta ruang perundangan yang secukupnya untuk berhadapan dengan semua pertuduhan yang dihadapinya.

"Kita harus sedar cabaran itu dibuat berdasarkan amalan yang sama sebelum ini tetapi dalam kes yang berlainan. Namun, perjalanan untuk membuktikan keadilan itu cukup panjang dan sudah pasti Raja Petra mahu menggunakan sepenuhnya peluang itu,'' katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula membidas pengendali portal tersebut yang hanya berani bertempik di negara orang. Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan sumber kewangan yang diperolehi oleh Raja Petra bagi membiayai kos empat pengawal keselamatan yang menjaganya sepanjang ceramah tersebut.

"Saya tidak pasti apa pekerjaan yang dilakukannya di sana (UK) tetapi berdasarkan dakwaan, dalam keadaan Raja Petra sekarang, adalah mustahil untuknya menetap di kawasan elit di UK. "Apatah lagi bagi membiayai upah pengawal peribadi profesional yang saya fikir kosnya bukan murah dan kenapa memerlukan pengawal peribadi?'' soalnya.

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 13 Mei 2010

Zulkifli sedih Pas sekongkol dengan DAP!

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sedih dengan sikap Pas yang sanggup bersekongkol dengan DAP untuk terus mempermainkan isu kalimah Allah sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu walaupun larangan mengenainya telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Menurut Zulkifli, beliau sedih kerana Pas yang dahulunya terkenal jelas memperjuangkan Islam dan menjadi harapan sebahagian orang Melayu untuk membawa agenda perjuangan mendaulatkan negara Islam, sanggup bersekongkol dengan DAP melibatkan perkara seperti itu.

"Sudahlah semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor calon yang pernah mempertikaikan pelaksanaan enakmen hudud, qisas dan takzir diberi sokongan penuh oleh kepimpinan Pas.

"Persoalannya, apa hendak jadi dengan Pas? Saya menyeru kepada ahli Pas di peringkat akar umbi, pendakwah dan pejuang Islam, ulama dan ilmuwan yang masih bersama Pas, marilah selamatkan Pas daripada terus hanyut dalam buaian mimpi yang akan menghancurkan parti itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru blognya bertajuk "DAP Laknatullah" di http://zul4kulim.blogspot.com.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 10 Mei 2010

Selamat Menyambut Ulangtahun Penubuhan UMNO Yang Ke 64 Tahun.
























UMNO berusia 64 tahun hari ini. Selama usia itulah, iaitu sejak penubuhannya pada 1946, parti tertua negara ini berusaha untuk menjadi payung dan tempat bergantung kepada bangsa Melayu.

Namun, sama seperti sebuah kehidupan lainnya yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran, UMNO juga tidak berbeza. Di sebalik sekian banyak catatan kejayaan yang dilakar parti ini, Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 lalu bagaimanapun tercatat sebagai sisi hitam yang bakal dikenang sepanjang zaman.

Sebelum pilihan raya itu, parti ini dilihat terlalu selesa dan begitu berkeyakinan tinggi. Pelbagai masalah dalaman parti terutamanya politik wang dan kroni berlaku tanpa dapat diselindungkan kepada rakyat. Tanpa disedari, gerakan rakyat yang memberontak terhadap sistem elit di dalam UMNO menular begitu pantas.

Natijahnya, BN kehilangan sokongan rakyat dan orang Melayu juga mula menjauhi UMNO. Apa yang berlaku selepas pilihan raya itu juga adalah sesuatu yang terlalu pahit untuk dilalui bukan sahaja oleh UMNO malah orang Melayu keseluruhannya.

Penolakan orang Melayu terhadap parti yang memperjuangkan entiti Melayu dan agama Islam ini, diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu untuk menyerang entiti Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan seperti bahasa, biasiswa dan banyak lagi serta kesetiaan kepada Raja Melayu, diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian hak-hak dan keistimewaan orang Melayu itu didendangkan. Tanpa boleh dinafikan, UMNO perlu berasa bertanggungjawab terhadap peristiwa ini kerana ia boleh disifatkan sebagai kegagalan dalam teras perjuangan mereka.

Begitu pun, UMNO tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyedari kepincangan yang menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu. Perhimpunan Agung UMNO Ke-58 yang berlangsung pada Oktober 2009 misalnya, adalah bukti bahawa UMNO boleh berubah untuk terus menaungi orang Melayu.

Perhimpunan agung pertama dengan Presiden baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak meniupkan semboyan transformasi yang sangat jelas. Ia menyaksikan beberapa usul Pindaan Perlembagaan UMNO dibentangkan selepas kali terakhir dibuat pada 2000.

Antara yang dipinda ialah proses pemilihan pemimpin tertinggi di dalam parti membabitkan lebih ramai pengundi. Ini sekali gus membuka lantai demokrasi yang lebih luas di dalam UMNO dan paling utama, menghapuskan gejala politik wang.

Pindaan yang tidak kurang pentingnya juga ialah penghapusan kuota bertujuan menjadikan UMNO lebih terbuka. Ini mempermudahkan mana-mana calon yang dilihat berkaliber menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

Selain transformasi dalaman, UMNO turut mengambil langkah drastik mendekatkan diri dengan rakyat kebanyakan. Program Juara Rakyat yang antara lain menjadi medan kepada pemimpin UMNO dan BN bertemu secara langsung dengan rakyat mendapat maklum balas positif.

Program itu sebenarnya mengambil semangat turun padang seperti yang dianjurkan oleh Najib yang kerap bertemu pelbagai golongan masyarakat sejak menjadi Perdana Menteri. Pendekatan Najib itu menjadi senjata utama kepada UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Meskipun perlu menunggu pilihan raya kecil kesepuluh, iaitu di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini untuk menang dalam erti kata yang sebenar, namun ia adalah penantian dan strategi yang berbaloi. Pilihan raya kecil itu memberi signifikan yang sangat besar kepada usaha transformasi yang dilakukan oleh UMNO dan ia boleh diibaratkan sebagai hadiah ulang tahun yang paling bermakna.

Namun tiada kegembiraan yang paling mengharukan bersempena ulang tahun UMNO yang ke-64 kali ini melainkan melihat parti ini terus kekal bertahan untuk orang Melayu di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi. Perasaan itu misalnya, dikongsi oleh veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail yang sangat berbangga dengan semangat juang UMNO dalam membangunkan bangsa, agama dan negara.

Kejayaan UMNO untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini katanya, adalah kerana kejayaan pemimpin-pemimpinnya yang bersilih ganti meneruskan perjuangan hakiki pejuang-pejuang UMNO terdahulu.

''Saya sangat berkeyakinan dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak serta seluruh barisan kepimpinan UMNO hari ini. Saya juga berharap, seluruh rakyat Malaysia menyedari perjuangan UMNO serta parti komponen BN lainnya dan bersama-sama dengan perjuangan ini," katanya.

Tidak mahu terlalu larut dengan episod kekecewaan pada PRU12, Zaleha berkata, pasang surut serta turun naik sokongan rakyat terhadap UMNO sepanjang 64 tahun usia penubuhannya bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ia adalah proses kematangan bagi membolehkan UMNO menilai kehendak rakyat dan berubah mengikut peredaran semasa.

''Sementelah, trend sokongan yang menurun itu juga tidak hanya berlaku terhadap UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lainnya serta pembangkang ketika ini berdepan dengan situasi serupa. Apa yang lebih utama ialah bagaimana untuk UMNO bangkit semula dan membuktikan parti ini masih relevan untuk bersama-sama mencapai 1Malaysia," katanya.

Sudah semestinya, bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu tidak berseorangan dalam menyimpan harapannya. Ia sudah semestinya turut dikongsi bersama oleh kira-kira 3.2 juta orang ahli UMNO yang akan meraikan ulang tahun penubuhan parti itu hari ini.

Apa yang pasti, ia bukanlah angan-angan yang kosong sekiranya seluruh ahli UMNO mengambil semula semangat perjuangan pemimpin terdahulu yang menjadikan agama, bangsa dan negara sebagai teras perjuangan.

Dengan teras perjuangan itu, orang Melayu keseluruhannya tidak akan berbelah bahagi menyatakan sokongan kepada parti keramat buat mereka ini.- UM.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 8 Mei 2010

Sultan payung negeri.

Pada hari Isnin tanggal 19 April 2010 yang lalu genaplah ulangtahun keputeraan Sultan Perak yang ke-82. Alhamdulillah, baginda masih diberi Allah SWT kesihatan dan kekuatan untuk terus memerintah negeri agar aman dan sejahtera.

Selama hampir 25 tahun lebih saya menjadi Mufti Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan baginda, saya cukup bangga bila sejarah akan mencatatkan bahawa saya menjadi gandingan Umara-Ulama dengan Sultan. Saya sedar banyak lagi usaha yang perlu saya lakukan untuk memartabatkan Islam di negeri Perak, namun setiap titip kata saya di hadapan Baginda bila bercakap tentang hukum, Baginda tetap setia mendengar.

Melihat kelangsungan institusi raja dengan Islam, menyelak buku-buku sejarah telah mencatatkan bahawa institusi kesultanan merupakan tunggak pada keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan agama, bangsa dan negara. Ia diakui ramai manusia hingga disebut-sebut dalam sejarah Melayu bahawa raja adalah payung bangsanya.

Raja disebut sebagai tunggak penyebar ajaran Islam pada bangsa, pahlawan pada negara, penggerak pada ilmu yang berjasa, penegak keadilan siasah pada setiap jiwa malah dialah pembela setiap bangsa yang menjadi rakyat jelata.

Masih segar tercatat dalam sejarah apabila raja-raja di Melaka, Acheh, Brunei, Kedah, Kelantan, Pattani mahupun Perak telah menerima Islam dengan hati yang terbuka, menyebabkan empayar kesultanan Melayu menjadi lebih maju, makmur dan aman sejahtera. Sedangkan ketika segala raja bulat hati menerima Islam, mereka juga sebenarnya telah mengorbankan kedudukan istimewa mereka di kayangan hingga segala titah umpama wahyu turun menjadi hamba kepada Yang Maha Kuasa di mana yang adil itu 'disembah', yang zalim itu pula 'disanggah'.

Bak 'lembing awang pulang ke dayang', bak 'sirih pulang ke gagang' manhaj Islam yang begitu molek lagi cocok dengan jati diri Melayu telah memacu budaya dan kehidupan rakyat. Ini berlaku apabila raja yang selaku pemimpin negara telah membuat satu keputusan tepat menerima Islam sebagai agama diri, bangsa dan negara.

Masih segar juga dalam sejarah, apabila al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin yang memerintah bersama regu ulamanya Sayyid Hussain al-Faradz mengisytiharkan Undang-Undang 99 sebagai undang-undang keadilan bagi jajahan Perak. Yang zalim dihukum, yang mangsa dimulia, yang lemah jauh dari dihina, yang kaya diwajib menderma. Maka hiduplah rakyat jelata dalam aman sejahtera, makmur dan bahagia.

Maka benar juga firman Yang Maha Kuasa dalam surah al-Maidah : 50,

maksudnya: "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa Yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah."

Sehinggalah adat Melayu berpaksi pada hukum seperti kata pantun Melayu :

Menanam kelapa di Pulau Bukum,

Tinggi sedepa sudah berbuah,

Adat bermula dengan hukum,

Hukum bersandar di kitab Allah.

Begitulah antara mutiara-mutiara sejarah yang tidak akan lekang dek panas tak lapuk dek hujan. Ia adalah bukti kukuh yang akan dikenang sepanjang masa dan zaman, tentang peranan institusi kesultanan dalam penyebaran agama Islam. Namun sejarah bukan saja untuk dikenang, malah setiap yang gemilang perlu diulang agar lebih cemerlang.

Itulah cabaran institusi kesultanan hari ini dalam dakwah Islam di negara ini. Ketika keluhuran Islam dicabar oleh pelbagai pihak, institusi kesultanan yang berperanan sebagai ketua agama perlu dimantapkan sebagai benteng agama Islam. Bangunan istana yang dulunya sebagai medan muktamar muzakarah para ilmuwan, hari ini perlu juga dimainkan.

Pesanan

Akhirnya, besar hati juga saya yang faqir kepada Allah ini menitipkan satu pesanan dari ulama dengan katanya : "Bahawasanya binasa negeri itu dengan sebab binasa segala rakyat, dan binasa segala rakyat dengan sebab binasa segala raja-raja, dan binasa raja-raja dengan sebab binasa segala ulama." Katanya lagi: "Bermula adil sultan itu sebab bijaksana menterinya".

Maka tetap kukuhlah di sini, bahawa bagi rakyat jelata, dari yang di kebun sampai ke tengah bandar, dari yang berjalan di daratan sampai ke udara bersama dengan menteri-menteri dan ulama-ulama bersatu hati, dengan raja yang dihormati, kerana inilah tonggak kekuatan negeri, jiwa peribadi, untuk turunnya anugerah Illahi Yang Maha Tinggi, Rabbul Alamin.

Akhirnya, moga-moga tulisan ini menjadi buah fikir dan tilik, bersama ilmu dan pengetahuan yang terang yang sukakan iman dan makrifat, jangan dengan tilik jahil lagi kelam yang memusakakan sesat. Sesungguhnya Allah SWT akan mewariskan dunia ini kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Maka jika iman dan amal soleh sudah tiada maka hilanglah kekuasaan dan kekuatan ummah. Kekuasaan bukan semata hilang dengan hilangnya kekuasaan ekonomi, undi, pengaruh namun hilangnya iman dan amal soleh akan menjadikan umat ini hina-dina.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur : 55 maksudnya: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganku. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka." (Surah al-Nur :55 )

Warna-warni Politik
Taminsari

Ahad, 2 Mei 2010

Coretan Minda Awang Selamat : Najib ada cara!

Sudah banyak analisis tentang pilihan raya kecil Hulu Selangor termasuk pengundi Cina masih memihak kepada pembangkang di sebalik sikap pemurah BN.

Dari awal lagi, ramai menjangka majoriti pengundi Cina belum bersedia menyokong BN dalam pilihan raya itu atas banyak faktor, yang tidak perlu dihuraikan lagi.

Tetapi Awang percaya Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak ada cara. Beliau tidak nampak tertekan, sebaliknya seperti biasa tenang. Apabila beliau mengotakan janji kepada pengundi Cina meskipun tidak menyokong BN, ia adalah cerminan keyakinannya bahawa sokongan kaum itu akan kembali semula kepada kerajaan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Najib faham kehendak pelbagai kaum. Beliau adalah Perdana Menteri kepada semua. Pada masa yang sama, sudah tentu beliau menginsafi peranan sebagai Presiden UMNO dalam menjaga kepentingan Melayu. Peningkatan ketara sokongan masyarakat Melayu adalah isyarat yang Najib tidak akan abaikan. Pesanan Awang, usahlah gundah berlebihan. Lagipun, sentiasa ada jalan keluar termasuk dalam politik, yang semuanya tentu dalam pertimbangan Perdana Menteri.

Mengurus sebuah negara seperti Malaysia terutama pada era pasca pilihan raya umum ke-12, menuntut kebijaksanaan. Realitinya, gelora politik belum reda. Pengkhianat Melayu bermaharajalela dengan menjanjikan bulan dan bintang kepada semua. Umpama bahtera besar yang jika tidak dilayari dengan cekap oleh nakhodanya, pasti mudah karam. Tanggungjawab itu amat berat terpikul di bahu beliau berbanding sesiapa pun.

Awang percaya Najib tahu apa yang perlu dilakukan tanpa mengorbankan kepentingan mana-mana kaum apatah lagi kedudukan Melayu yang termaktub dalam perlembagaan negara. Beliau arif di mana untuk berkompromi dan di mana tidak. Awang yakin formula Najib akan berhasil. Masa akan membuktikannya.

Warna-warni Politik
Torashah